foto hiasan ~ sumber
35 tahun setelah Rasulullah saw lahir ke dunia, orang Quraisy merobohkan dan membangunkan semula Kaabah kerana Kaabah ketika itu hanya berupa susunan batu-batu yang sedikit lebih tinggi daripada tubuh manusia. Tingginya sembilan hasta sejak dibangunkan kali pertama oleh Nabi Ismail. Kaabah tidak beratap menyebabkan para pencuri sering memasukinya dengan memanjat dan melompat dari atas untuk mencuri barang-barang berharga yang ada didalamnya.
Akibatnya, bangunan yang telah tua itu semakin rapuh dan dindingnya pecah-pecah. Lima tahun sebelum Rasulullah saw diangkat sebagai nabi dan rasul, Mekah dilanda banjir besar yang luapan airnya sampai ke Kaabah. Sehinggakan bila-bila masa sahaja Kaabah boleh roboh.
Pada mulanya, pemulihan Kaabah tidak dapat dilaksanakan kerana kaum Quraisy lebih suka untuk membiarkan bangunan asal Kaabah seperti seadanya. Hingga akhirnya, diputuskan juga untuk memperbaiki Kaabah, tetapi dengan kesepakatan bahawa mereka tidak akan memasukkan apa-apa ke dalamnya kecuali perkara yang baik. Maka mas kahwin pelacur, wang daripada hasil penjualan dengan sistem riba serta barang rampasan tidak diterima.
Namun begitu, mereka masih juga berasa takut untuk merobohkannya. Hingga akhirnya Walid bin Mughirah al-Makhzumy memulakan menghancurkan dinding Kaabah. Melihat Walid tidak mengalami apa-apa, mereka semua mengikutinya. Mereka terus merobohkan Kaabah hingga tiba bahagian dasar yang dulunya dipasang oleh Nabi Ibrahim. Selepas itu mereka mula membangunkannya kembali.
Mereka membahagikan Kaabah menjadi beberapa bahagian. Setiap bahagian dikhususkan pembangunannya kepada satu kabilah. Setiap kabilah pun mula mengumpulkan batu-batu lalu membangunkan bahagian yang menjadi bahagian masing-masing. Orang yang merancang susun bangunan adalah arkitek berbangsa Rom bernama Baqum.
Ketika pembangunan telah sampai pada tahap perletakan kembali Hajarulaswad pada tempatnya semula, orang Quraisy berselisih tentang siapa yang layak mendapat penghormatan meletakkan Hajarulaswad di tempatnya. Perselisihan terus berterusan hingga empat atau lima hari. Situasi terus panas sehingga nyaris-nyaris menjadi pertumpahan darah di Tanah Haram.
Mujurlah Abu Umayyah bin Mughirah al-Makhzumy meredakan suasana dengan menawarkan cadangan agar keputusan atas perselisihan mereka diserahkan kepada orang yang pertama masuk menemui mereka melalui pintu masjid. Mereka semua menerima cadangan tersebut. Rupa-rupa Allah menghendaki bahawa orang yang pertama masuk ialah Rasulullah saw. Tatkala mereka melihat baginda datang, mereka berseru, "Ini dia al-Amin. Kami redha terhadapnya. Inilah Muhammad."
Tatkala baginda sampai di hadapan mereka, mereka terus menceritakan permasalahan mereka kepada baginda. Baginda lantas meminta sehelai kain panjang dan lebar, lalu meletakkan Hajarulaswad di tengah-tengahnya. Lalu baginda meminta semua pembesar daripada setiap kabilah untuk memegang hujung kain. Baginda menyuruh mereka untuk sama-sama mengangkatnya. Setelah mereka sampai di tempat meletakkan Hajarulaswad, Rasulullah saw mengambilnya dan meletakkan di tempat semula. Inilah penyelesaian bijak yang diredhai oleh semua orang.
Ketika hampir selesai membangunkan Kaabah, orang Quraisy kehabisan modal yang diperoleh daripada hasil yang baik. Maka, mereka membiarkan bahagian sebelah utara sebanyak enam hasta yang kemudian disebut sebagai al-Hijr atau al-Hathim. Mereka membina pintunya lebih tinggi daripada permukaan tanah agar tidak dimasuki kecuali oleh orang yang memang mempunyai keperluan. Tatkala pembinaan dindingnya sampai setinggi 15 hasta, mereka membuatkan atap untuk Kaabah yang disangga dengan enam buah tiang.
Ketika pembangunannya selesai, Kaabah kelihatan berbentuk seperti kubus yang tingginya mencapai 15 meter. Bahagian sisinya terdapat Hajarulaswad dan sisi lawannya mempunyai panjang 10 meter. Hajarulaswad diletakkan pada ketinggian 1.5 meter daripada permukaan tanah yang digunakan untuk bertawaf.
Sementara bahagian sisi lain terdapat pintu dan sisi lawannya mempunyai panjang 12 meter, dengan pintu setinggi 2 meter di atas permukaan tanah. Di sekeliiling Kaabah, bahagian luar terdapat kerangka bangunan yang letaknya paling bawah, yang dinamai dengan Syadzirwan merupakan sebahagian daripada bangunan asal Kaabah yang dibiarkan di situ oleh orang Quraisy.(1)
Rujukan:
(1) Penjelasan terperinci mengenai pembangunan Kaabah boleh dilihat dalam, Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. XII, hal. 192, 197, Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 62-63, Sahih al-Bukhari, bab tentang keutamaan Mekah dan bangunannya, jil. I, hal. 215 dan Muhammad. al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah. jil. I, hal. 64-65
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
2 comments:
Assalam ustazmoga sht sjhtra sekeluarga sejarah Islam mmg patut diketahui ummatnya
Salam Abu, cerita2 begini kalau tak jumpa tak baca. Terima kasih kerana berkongsi disini.
Post a Comment