Sahabat Sejati

Sunday, 8 January 2017

Bicara santai: Ke Kemaman, tengkujuh masih belum berakhir

foto hiasan ~ sumber

Cerah molek cuaca hari ini. Matahari memancarkan cahayanya menyinari bumi yang seringkali kebasahan kebelakangan ini. Bolehlah ambil kesempatan mengeringkan pakaian di jemuran atau membawa keluarga bersiar-siar dan sebagainya.

Semalam saya bermusafir ke Kemaman, menghantar anakanda Irsalina pulang ke asramanya di PPTIK kerana sesi persekolahannya bermula pada hari ini. Sepanjang perjalanan hujan turun mengiringi kami sehinggalah sampai ke sekolahnya. Sesetengah tempat lebat dan ada yang sebaliknya. Nampak gayanya musim tengkujuh masih belum berakhir.  Harap-harap tidak berlaku banjir di tempat saya tahun ini. Teringat pengalaman ditimpa bencana banjir yang memaksa kami berpindah ke pusat pemindahan kira-kira 3 tahun lalu. 

Kami berpindah pada malam hari setelah melihat air semakin naik. Dalam keadaan gelap-gelita (bekalan letrik telah diputuskan oleh pihak TNB untuk keselamatan) yang sekali sekala diterangi cahaya kilat, kami sekeluarga meranduk air banjir bersama penduduk lain. Saya menyandang beg sambil mendukung si Haikal, manakala tangan sebelah lagi memegang lampu suluh. Manakala ummu Ikhwan memegang payung sambil berpimpin tangan dengan angah Irsalina dan acik Adawiyah. Suasana hiruk-pikuk dengan hujan yang masih turun dengan lebat. Dipendekkan cerita, kami 'bercuti' di pusat pemindahan selama 4 hari 3 malam. 

Apa pun, jika berlaku juga banjir, apa boleh buat. Terima sahajalah dengan redha atas dasar beriman dengan qada` dan qadar.

Sampai di PPTIK     

 Pintu masuk PPTIK ~ sumber

Dalam melayan hujan bertitisan, saya tiba di PPTIK. Tanpa berlengah terus ke pejabat untuk melunaskan yuran persekolahannya. Saya lihat ramai ibu bapa yang turut berada di pejabat samada tujuannya seperti saya, ataupun mendaftar anak-anak sebagai pelajar baru. Alhamdulillah, anakanda Irsalina akan menyambung ke peringkat Thalis Thanawi. Insya-Allah seterusnya menyambung setahun lagi untuk menamatkan pengajian di peringkat Rabi` Thanawi. Maknanya ada dua tahun lagi berbaki. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan lancar. Allahu al-Musta`an.

Berkisah mengenai musim hujan, YAMCP telah pun bermesyuarat khas pada awal bulan lalu bagi menghadapi bencana banjir. Banyak perkara yang dibincangkan dari segi langkah-langkah bantuan yang perlu. Kami telah pun menyiapkan team ke Terengganu untuk menghantar bantuan di kawasan yang terjejas akibat banjir. Terbaru, wakil YAMCP telah pun ke Terengganu semalam untuk menyampaikan bantuan yang perlu. 

Sebenarnya memang setiap tahun YAMCP menghantar bantuan ke tempat-tempat yang dilanda bencana banjir. Kiranya memang menjadi rutin setiap tahun tatkala musim tengkujuh. Moga dengan sedikit bantuan yang dihulurkan, Allah SWT membalas pula dengan ganjaran yang sebanyaknya. Amiinn...

Nota:
YAMCP adalah Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Sebuah NGO kebajikan dan kemanusiaan yang bergerak ke seluruh pelusuk negara dan dunia menawarkan kepada masyarakat keprihatinannya terhadap musibah dan bencana.        

2 comments:

Nor Azimah Ali said...

Assalam, moga ustaz sekeluarga dalam rahmat Allah selalu.
Rasanya tahun ni takde seteruk tahun2 sebelum ni, mak sedara di terengganu bagitau hujannya taklah turun seharian. Ada masa hari panas juga. Tapi mungkin ada juga kawasan yg banjir.

abuikhwan said...

Salam kak Nor Azimah,
Terima kasih atas kunjungan. Melihat pada perkembangan cuaca sekarang, rasanya begitulah. Tetapi tak tahulah kut-kut berlaku juga banjir...harap-harap tidaklah

Post a Comment