sumber : fb
Sahabat Sejati
Wednesday, 30 November 2016
Friday, 25 November 2016
Rehat Minda: Pesan Murabbi 87
Assalamualaikum warahmatullah dan Salam Jumaat.
"Apabila kamu berada dalam kegelapan malam di sisi Tuhan yang amat mengetahui...
Gunalah perangai kanak-kanak tatkala meminta sesuatu yang tak diberi pasti menangis sehingga memperolehinya...
Maka jadilah kanak-kanak itu... mintalah hajatmu..."
~Imam Ibnu Jauzi
Labels:
fikir-fikir,
motivasi,
Mutiara kata,
pesan murabbi,
poster,
rehat minda,
Salam Jumaat
Monday, 21 November 2016
Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (16)
Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (15), di bawah tajuk: Penduduk Luar Mekah yang Mengakui Diri Beriman
5. Dhimad al-Azdy. Dia berketurunan Azd Syanuah dari Yaman. Dia biasanya melakukan ruqyah (mengubati) menggunakan tiupan angin. Suatu ketika dia mendatangi Mekah dan mendengar penduduk jelatanya mengatakan, "Sesungguhnya Muhammad adalah orang gila." Kemudian Dhimad berkata, "Jika aku mendatangi lelaki itu, boleh saja Allah menyembuhkannya melalui tanganku."
Dhimad pergi menemui Rasulullah saw. Kemudian dia berkata, "Aku biasa mengubat dengan menggunakan tiupan angin. Bagaimanakah sekiranya kau aku sembuhkan?" Rasulullah saw menjawab, "Segala puji bagi Allah. Kami memuji-Nya dan memohon pertolongan-Nya. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menyesatkannya. Manakala, barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak akan ada seorang pun yang dapat memberinya petunjuk. Aku bersaksi tiada Tuhan kecuali Allah dan tiada sekutu bagi-Nya. Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya. Ammaba`d."
Dhimad tersentak dan mengatakan, "Tolong ulangi kembali kata-katamu kepadaku tadi." Rasulullah saw pun mengulanginya tiga kali. Akhirnya Dhimad berkata, "Sesungguhnya aku telah mendengar ucapan dukun, penyihir dan penyair. Tidak sedikit pun ucapan mereka sama dengan kata-kata yang kamu ucapkan tadi. Sungguh, apatah lagi aku telah menguasai bahasa kamu sampai sedalam lautan. Tolong hulurkan tanganmu, biar aku berbaiat kepadamu untuk memeluk Islam."
Pendekata, Dhimad pun berbaiat kepada Rasulullah saw.(1)
Rujukan:
(1) Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Misykah al-Mashabih, bab tentang tanda-tanda kenabian, jil. ii hal. 152.
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
Labels:
ilmu,
petikan kitab,
sejarah,
sirah
Sunday, 20 November 2016
Ayuh, bersegera. Jangan tangguh-tangguh!
Assalamualaikum warahmatullah,
Alhamdulillah. Ketika ini kita dihidupkan oleh Allah SWT, tinggal di bumi milik-Nya. Kita berjalan dengan bebasnya. Kita diberikan rezeki yang melimpah, makanan, minuman, udara dan sebagainya.
Tiba saat yang telah ditentukan. Kita akan dikembalikan semula kepada-Nya. Sama ada suka atau tidak, sedar atau lalai, ia pasti berlaku. Selepas itu kita akan menuju ke negeri abadi, syurga atau neraka. Kita memilihnya semasa di dunia ini melalui amal dan tindakan.
Membuat persiapan
foto hiasan: sumber
Sesungguhnya perjalanan selepas ini amat jauh, maka banyak bekalan yang perlu dibawa. Kekurangan bekalan amat menyulitkan perjalanan kita. Mengingatkan hal demikian, maka wajiblah bagi kita menginsafi diri, menyiapkan diri bagi hari yang amat besar itu. Persiapan menghadapi kematian, persiapan bertemu dengan Tuhan.
Sememangnya dalam menjalani kehidupan ini, kita sering lupa matlamat hidup ini. Kita sangkakan bahawa dunia ini adalah tempat bersenang-lenang, tempat istirehat. Hakikatnya dunia tempat mencari bekal untuk menuju alam abadi.
Justeru, Allah SWT dengan sifat kasih sayang telah menghantar peringatan kepada kita agar tidak melupakan saat-saat itu, agar kita tidak terpedaya dengan keduniaan, sehingga kita tidak bersiap untuk bertemu dengan-Nya.
Diceritakan bahawa Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya memberitahu sebelum mengambil nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah menghantar peringatan demi peringatan...
Rambut yang hitam menjadi putih
Badan yang gagah beransur lemah
Selera yang terbuka mula menguncup
Gigi sudah banyak yang gugur
Mata yang terang mulai kabur
Kulit yang tegang semakin kendur
Allah SWT berfirman:
"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya), tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya." (Ali-Imraan: 185).
Oleh itu, awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semuanya itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.
Damba keampunan-Nya
foto hiasan: sumber
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang Yang beriman! bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): "Wahai Tuhan kami! sempurnakanlah bagi Kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (at-Tahrim: 8).
Segeralah bertaubat kepada Allah kerana pintu penerimaan-Nya sentiasa terbuka luas dan tanpa batasan. Allah SWT sentiasa membentangkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang ingin kembali kepada-Nya. Ingatlah, manusia yang terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah melakukan dosa sama sekali, akan tetapi manusia yang terbaik adalah manusia yang ketika dia berbuat kesalahan dia segera bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Teringat satu cerita semasa bersekolah arab dahulu. Mari kita kongsikan bersama.
Diceritakan bahawa seorang pemotong kayu terpesona kepada anak tetangganya. Suatu hari, gadis itu berpergian ke desa lain kerana menyelesaikan urusan keluarganya. Si pemotong kayu lalu mengikutinya dari belakang sampai akhirnya berhasil menemukannya. Lalu beliau memanggil gadis tersebut dan mengajaknya menikmati kesempatan indah itu.
Tetapi gadis itu menjawab, "Jangan lakukan. Meskipun aku juga mencintaimu, tetapi aku sangat takut kepada Allah Yang Maha Melihat." Mendengar jawapan itu, si pemotong kayu merasa dunia berputar. Kerana menyesal dan hatinya gementar, lalu dia berkata, "Kau takut kepada Allah sedangkan aku tidak."
Dia pulang dalam keadaan menyesal dan bertaubat kepada Allah. Dalam perjalanannya dia bertemu dengan seorang soleh. Mereka berjalan beriringan. Tiba-tiba mereka melihat gumpalan awan bergerak melindungi mereka berdua sehingga mereka masuk ke sebuah desa. Penduduk desa yang kehairanan merasakan bahawa awan itu mengikuti orang soleh tersebut.
Kemudian mereka berpisah di satu simpang desa tersebut. Awan itu ternyata condong dan terus menaungi si pemotong kayu sehingga sampai dirumahnya. Orang soleh itu hairan melihat peristiwa tersebut, lalu mengikuti pemotong kayu dan bertanya. Lalu pemotong kayu tersebut menceritakan apa yang berlaku.
Maka orang soleh tersebut berkata, "Sesungguhnya orang yang bertaubat itu dekat dengan Allah dan dikasihi seluruh makhluk-Nya."
Demikianlah kisah seorang yang bertaubat. Adakah rugi jika bertaubat? Tentunya tidak! Bukankah bertaubat itu perintah daripada Allah? Bukankah terlalu banyak perintah bertaubat di dalam al-Quran? Bukankah bertaubat itu sifat seorang hamba?
Jika kita merasakan bahawa kita adalah hamba, maka sentiasalah bertaubat. Allah SWT tidak pernah meletakkan syarat kepada sesiapa yang ingin bertaubat. Walau siapa pun dia, apa statusnya, bila-bila masa, di mana sahaja. Jika dia ingin berhubung dengan Allah atau kembali kepada Allah maka tiada pernah ada halangan.
Sesungguhnya Allah SWT membuka pintu keampunan pada waktu siang untuk Dia mengampunkan orang yang berbuat dosa pada waktu malam. Dan Dia membuka pintu keampunan pada waktu malam untuk mengampunkan dosa orang yang berbuat dosa pada waktu siang.
Oleh itu, jangan sesekali berputus asa dengan rahmat keampunan Allah. Teruskan memperbaiki diri, teruskan bertaubat kerana seluas-luas pintu di dalam Islam adalah pintu taubat. Nah, jangan sia-siakan masa yang ada, ayuh bertaubat!
Labels:
akhlaq,
Cetusan rasa,
diri,
fikir-fikir,
keinsafan,
motivasi,
tazkirah
Thursday, 17 November 2016
Misteri Hidup Selepas Mati (Ajal Tidak Menunggu Taubat)
Tajuk : Misteri Hidup Selepas Mati (Ajal Tidak Menunggu Taubat)
Penulis : Miftahul Asror Malik
Penerbit : PTS Publishing House
Harga : SM 20.00 / SS 22.00
Mukasurat : 240
Kematian adalah nasihat yang paling agung. Apabila ajal menjemput, segala nikmat dunia tidak menjadi kepentingan. Pada ketika itu, hanya amalan di dunia menjadi bekalan bagi menentukan di mana destinasi abadi kita, syurga ataupun neraka.
Kata-kata Ad-Diqaq, “Seseorang yang banyak mengingati mati akan mendapat tiga kemuliaan, iaitu bersegera dalam bertaubat, hati yang menerima kecukupan (qana'ah), dan tekun dalam beribadah.”
Antara topik menarik dalam buku ini adalah:
*Hakikat Kematian dan Kesengsaraannya
*Alam Barzarh, Alam Kubur, dan Alam Roh
*Hari Kiamat dan Hari Kebangkitan
*Hisab Amalan dan Pembalasan Dosa
*Timbangan Mizan dan Titian Sirat
*Golongan Ahli Syurga dan Ahli Neraka
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah mencpitakan"
Wednesday, 16 November 2016
Fenomena Supermoon
'foto yang dikirim oleh sahabat di dalam grup whatsapp.'
Kelmarin berlaku fenomena Supermoon atau Perigee yang menjadi viral dalam media sosial. Di dalam grup whatsapp saya 'kecoh' dengan cerita ini. Lepas satu whatsapp, satu whatsapp masuk berulang dengan info yang berbagai. Ada juga yang mengajak pergi 'mengintai' bulan pada malam itu kerana jarak ia berlaku selama 18 tahun. Maknanya, jika tidak dilihat sekarang kena tunggu 18 tahun akan datang. Entah sempat atau tidak. Tetapi saya tidak pergi pun, duduk di rumah sudahlah. Nanti banyaklah cerita fenomena ini dalam internet. Nanti adalah wartawan yang tidak bertauliah meng'update'nya di dalam aplikasi whatsapp.
Disebutkan bahawa fenomena Supermoon adalah satu fenomena astronomi di mana bulan akan berada di kedudukan paling hampir dengan bumi. Menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa) fenomena kali ini merupakan Supermoon terbesar yang berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lepas. Orang ramai di Malaysia boleh menyaksikan fenomena Supermoon yang dijangka berlaku pukul 7.24 malam dan berakhir pada 9.54 malam.
Saya tidak bermaksud mengulas mengenainya. Biarlah mereka yang pakar membicarakannya. Saya teringat firman Allah SWT mengenai bulan. Bahkan terdapat satu surah yang dinamakan dengan surah al-Qamar (bulan). Ia juga disebutkan sebagai di antara hadis mengenai akhir zaman.
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
"Telah dekat hari Kiamat dan telah terbelah bulan. Dan kalau (orang-orang Musyrikin) melihat keterangan (mukjizat), mereka berpaling dan berkata, "(Ini adalah) sihir yang terus-menerus berlaku." (al-Qamar: 1-2)
Tulisan awal mengenai kejadian tersebut ditulis oleh sahabat Nabi saw seperti Ibnu Abbas, Anas bin Malik, Abdullah bin Mas'ud dan lainnya. Menurut Ibnu Kathir rahimahullah: "Peristiwa ini telah disepakati (muttafaqun `alaihi) oleh para ulama iaitu bahawa terbelahnya bulan telah terjadi pada zaman Nabi Muhammad saw dan bahawa ia adalah salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad saw yang menakjubkan."
Anas ra. mengisahkan, peristiwa ini dimulai dengan adanya sekelompok penduduk Mekah yang meminta Rasulullah saw untuk menunjukkan kepada mereka tanda-tanda kebenaran kerasulannya. Maka Baginda saw mengarahkan jarinya ke bulan dan berdoa. Kemudian terbelahlah bulan menjadi dua bahagian sehingga mereka melihat gunung Hira` antara kedua belah tersebut. Maka turunlah ayat di atas.
Maka Rasulullah saw berkata kepada mereka: "Bersaksilah kamu semua (akan kebenaran kerasulanku)". Mereka berkata: "Muhammad telah menyihir kita", dan sebahagian mereka berkata: "Tanyakanlah kepada para musafir (orang-orang yang sedang di tengah perjalanan) tentang terbelahnya bulan ini". Kemudian mereka bertanyakan kepada para musafir tersebut dan mereka menjawab: "Kami juga melihat apa-apa yang kamu lihat".
Maka ketika itu mereka berkata: "Ini merupakan sebuah sihir yang panjang jangkauannya, di mana dengannya Muhammad dapat menyihir orang-orang yang menetap di Mekah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan".
Wallahu a`lam.
Labels:
fikir-fikir,
hadis,
ilmu,
satu catatan,
tazkirah
Friday, 11 November 2016
Rehat Minda: Pesan Murabbi 86
Assalamualaikum warahmatullah dan salam Jumaat.
"Aku cukup bimbang kepada diriku daripada kehidupan yang tidak membawaku ke syurga."
Labels:
fikir-fikir,
motivasi,
Mutiara kata,
pesan murabbi,
rehat minda,
Salam Jumaat
Thursday, 10 November 2016
Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (15)
Sambungan daripada: Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (14), di bawah tajuk: Penduduk Luar Mekah yang Mengakui Diri Beriman
foto hiasan ~ sumber
4. Thufail bin Amru al-Dausy. Dia seorang lelaki yang terhormat, penyair yang pandai dan ketua kabilah Daus. Kabilah yang dipimpinnya mempunyai sebuah pemerintahan (atau paling tidak seperti pemerintahan) yang menguasai sebahagian besar wilayah pinggiran Yaman.
Thufail mengunjungi Mekah pada tahun kesebelas kenabian. Sebelum tiba di Mekah, Thufail telah disambut oleh penduduk Mekah. Mereka memberikan salam penghormatan dan pengagungan kepadanya. Selepas itu mereka berkata, "Tuan Thufail, tuan mengunjungi negeri kami ketika ada orang sedang menyusahkan kami. Dia mencerai-beraikan persatuan kami dan memporak-perandakan urusan kami. Ucapannya bagaikan sihir yang memisahkan seseorang daripada ayahnya, juga daripada saudaranya, juga daripada isterinya. Kami khuatir tuan dan kaum tuan akan terkena hal yang sama seperti yang telah menimpa kami. Saranan kami, janganlah tuan bercakap dengannya dan jangan pula mendengar ucapannya walaupun sedikit."
Thufail berkata, "Demi Allah, mereka terus menghasutku sehingga aku bertekad tidak mendengarkan apa-apa daripada Nabi Muhammad dan tidak akan bercakap dengannya. Bahkan, aku menyumbat telingaku dengan kapas ketika memasuki masjid dengan tujuan agar aku tidak mendengar sepatah kata pun daripadanya."
Thufail meneruskan, "Aku masuk masjid dan aku dapati Nabi Muhammad sedang berdiri mengerjakan solat berdekatan Kaabah. Aku berdiri berdekatannya. Ternyata Allah menghendaki aku mendengar sedikit ucapannya. Ketika itu, aku mendengar serangkap perkataan yang sangat indah.
"Aku berkata kepada diriku sendiri, "Demi kesusahan ibuku ketika melahirkanku! Demi Allah, aku adalah penyair yang pandai, yang sangat mahir membezakan mana ucapan yang indah dan mana yang buruk. Maka, tidak ada salahnya aku mendengar ucapan orang ini. Jika ucapannya indah, kenapa aku tidak menerimanya? Jika ucapannya buruk, aku akan pergi meninggalkannya."
"Aku diam mendengar hingga selesai. Selepas itu dia pulang ke rumahnya dan aku mengikutinya dari belakang."
"Tatkala dia masuk ke dalam rumah, aku meminta izin untuk turut masuk. Kujelaskan kisah kedatanganku, bermula daripada tindakan orang Mekah yang menakut-nakutkanku, bagaimana aku menyumbat telingaku dengan kapas, hinggalah akhirnya aku mendengar sebahagian daripada ucapannya."
"Aku berkata kepadanya, jelaskanlah kepadaku tentang urusanmu." Baginda menjelaskan tentang Islam kepadaku lalu disambung dengan membacakan untukku beberapa ayat al-Quran. Maka demi Allah, belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah daripada itu dan urusan yang lebih adil daripada urusan yang dibawanya. Maka, aku pun memeluk Islam dan bersyahadah secara benar."
"Kepadanya kukatakan, aku ini pemimpin yang ditaati di tengah kaumku. Aku akan kembali kepada mereka dan menyeru mereka untuk memeluk Islam. Oleh sebab itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menjadikan sebuah tanda penguat untukku. Rasulullah saw berdoa seperti yang kuminta."
Tanda penguat dakwahnya adalah ketika dia telah mendekati kaumnya. Allah menjadikan cahaya yang bersinar di wajahnya bagaikan pelita. Ketika itu dia berdoa, "Ya Allah, pindahkanlah, jangan diwajahku. Aku takut mereka mengatakan aku serupa dengan Nabi Muhammad."
Maka Allah memindahkan cahaya itu ke tali cemetinya dan dia pun pergi mendakwahi ayah dan isterinya untuk memeluk Islam. Kedua-duanya menerima apa yang didakwahkannya dan mereka pun memeluk Islam. Hanya kaumnya saja yang tidak mahu memeluk Islam.
Meskipun begitu, dia tetap setia hidup bersama-sama kaumnya hinggalah dia berhijrah selepas Perang Khandaq(1), yang ketika itu dia diikuti oleh 70 atau 80 keluarga daripada kaumnya.(2)
Dalam memperjuangkan Islam, dia mendapat ujian keimanan yang baik sehingga dia terbunuh sebagai syahid dalam Perang Yamamah.
Rujukan:
(1) Menurut maklumat lain, hijrahnya adalah setelah Perjanjian Hudaibiah. Dia mendatangi Madinah sementara Rasulullah berada di Khaibar. Lihat Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 385
(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 382-385; Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-'Alamin, jil. 1, hal. 81-82; Abdullah bin Muhammad al-Najdy, Mukhtasar Sirah al-Rasul, hal. 144 dan Syah Akhbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil. 1, hal. 127.
(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
Labels:
kuliah ilmu,
petikan kitab,
sejarah,
sirah
Wednesday, 9 November 2016
Subscribe to:
Comments (Atom)








