Sahabat Sejati

Tuesday 30 August 2016

"Ikut faraid dulu..."

Usai solat asar di surau pejabat tadi, saya berbual-bual dengan beberapa orang rakan yang sama berjemaah. Duduk di tangga surau sambil memakai kasut, banyak perkara yang menjadi tajuk perbualan. Daripada satu topik bertukar ke topik yang lain. Daripada cerita kipas dan karpet surau hinggalah merebak ke cerita politik. Daripada kisah 'pokemon go' melarat pula kepada kisah anak panda yang akan dibawa pulang ke negara asal ibu bapanya.

Setelah beberapa rakan berlalu, akhirnya tinggallah saya berdua dengan abang Suhaimi. Di kalangan kami dia lebih dikenali dengan panggilan Pak Mi. Mungkin disebabkan faktor usia dan merupakan 'otai' di situ, maka dia digelar begitu. Pak Mi seorang yang ringan tulang dan suka bergurau. Ramai orang senang dengannya.

"Boleh tak kita bahagi harta pusaka tak guna hukum faraid, maksudnya kita bagi sama rata. Tapi masing setuju, ikhlas dan redha bahagi macam tu." Pak Mi bertanya kepada saya.

"Banyak ke hartanya Pak Mi? Kalau banyak sedekahlah kat saya juga." Saya menjawab sambil ketawa kecil. Pak Mi turut ketawa menampakkan giginya yang putih. Dia tahu saya sekadar berlucu.

Setelah ketawa kami mengendur, saya kembali menutur kata, "Saya ni taklah mendalami sangat ilmu faraid ni Pak Mi, sikit-sikit tu bolehlah. Kalau mahukan jawapan yang terperinci saya bukanlah tempat yang sepatutnya menjadi rujukan." Jujur saya memberi jawapan agar dia tidak tersalah-sangka. Bimbang juga ditanya dengan soalan yang pelik-pelik.

"Tetapi soalan yang Pak Mi tanyakan ini menyebabkan saya teringat kembali soalan yang pernah ditanyakan oleh guru kami sewaktu zaman belajar dahulu. Memang sama soalannya." Saya menyambung kata. Masih terbayang suasana ketika bergulat di medan tempur menuntut ilmu dahulu. Ramai rakan-rakan yang telah terputus hubungan. Yalah, masa itu tiada lagi kemudahan whatsapp, facebook, instagram dan sebagainya seperti hari ini. 

"Habis, apa jawapannya?" Soal Pak Mi. Wajah saya direnung, menunggu-nunggu jawapan yang bakal keluar daripada mulut saya.

"Agak-agak Pak Mi apa jawapannya?" Saya menyoalnya kembali, sengaja mahu menduga. Sekurang-kurangnya dapat mendengar pendapatnya.

Jawab Pak Mi, "Rasanya boleh, sebab semua dah setuju dan redha...ikhlas lagi."

"Ya, itulah juga jawapan kami semua. Yalah, masing-masing dah setuju, saling redha-meredhai, selesai." Saya membalas sambil tersenyum. Ikut logik, masing-masing bersetuju, puas hati, makna tidak timbul lagi sebarang isu. Itu jika ikut logik.

"Maknanya bolehlah, janji semua setuju begitu?" Pak Mi menyoal sekaligus menyimpul jawapan sendiri.

Saya ketawa kecil.

"Pak Mi tahu apa jawapan guru kami?"

"Apa katanya?"  Soal Pak Mi ingin tahu.

"Kamu semua ikhlas dan redha meninggalkan perintah Allah!

Ahh, terkejut kami semua. "Kamu ikhlas dan redha meninggalkan perintah Allah!" Bagaikan sebiji batu yang besar menghempap di kepala rasanya.

"Jadi tak boleh bahagi sama rata walaupun sama-sama setuju, kena ikut faraid juga?" Soal Pak Mi.

"Hukum faraid adalah yang terbaik, itu kita kena akui kerana ia adalah perintah Allah yang termaktub di dalam al-Quran. Tapi jika nak bahagi sama rata pun boleh.." Saya memberi sedikit penerangan kepada Pak Mi yang kelihatan mendengar dengan penuh minat.

"Macamana pula, tadi macam tak boleh."

"Boleh Pak Mi, tapi ada kaedahnya. Mula-mula bahagikan dulu mengikut hukum faraid. Buat pengiraan di atas kertas berapa banyak setiap orang dapat."

"Lepas tu?" soal Pak Mi lagi.

"Selepas masing-masing dah tahu jumlah yang didapati mengikut faraid tadi, dan setuju, barulah dibahagi sama rata pula. Tak susah mana pun, yang penting dahulukan hukum Allah Taala, barulah berkat dan berpahala."

Ooo.., macam tu. Bahagi ikut faraid dulu, lepas tu baru bahagi sama rata. Hmm, barulah Pak Mi faham," jawabnya sambil menyeringai senyum.

"Jangan lupa bahagian saya ye Pak Mi, 25 persen." kami sama-sama ketawa seraya berlalu menuju ke pejabat.

4 comments:

Kakzakie Purvit said...

Itulah yg kami adik-berdaik buat AI. Sebab adik beradik kakak cuma satu anak lelaki bapak. Tapi pembahagian sudah dibuat lama sebelum bapak kakak meninggal pun. Alhamdulillah tak ada dakwa-dakwi berkat didikan bapak kakak.

Win-win situation. Harmoni hendaknya hingga akhir hayat.

abuikhwan said...

Salam kakzakie, moga sentiasa di dalam kesihatan yg baik.
Itulah yang kita mahukan. Bukan tak boleh bagi sama rata tetapi dahulukan hukum agama kemudian barulah diagih sama rata. Tetapi dewasa kini ramai yang melalaikannya, terus dibahagi sama rata tanpa mempedulikan perintah agama. Moga Allah mengampunkan dosa kita semua..

paridah said...

assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga...pencerahan yg jelas sempurna semoga diikuti tanpa polemik perbalahan waris2 dlm membhgikan harta pusaka

abuikhwan said...

Salam kak paridah, moga dikurniakan kesihatan yg baik.
Mudah-mudahan memberi manfaat kepada semua. Bimbang yang biasa berlaku, perbalahan dalam mengagihkan harta biarpun adik-beradik. Namun yang terbaik dalam pengagihan harta adalah menurut hukum agama/faraid. Ada hikmah yang besar disebalik perintah Allah SWT...

Post a Comment