Sahabat Sejati

Wednesday 20 July 2016

Seronoknya...

foto hiasan (sumber: whatsapp group Rakan Masjid Qaryah Balok)

Seronok melihat surau dan masjid meriah dengan kebanjiran para jemaah. Ada sesetengahnya sehingga melimpah keluar. Golongan dewasa serta kanak-kanak berduyun-berduyun memakmurkan rumah Allah. Jika sebelum ini ada yang jarang-jarang datang ke surau atau masjid, tetapi berkat bulan ini mereka meringankan kaki untuk melangkah. Silaturrahim terjalin mesra sesama ahli qaryah. 

Seronok mendengar alunan kalamullah yang berkumandang. Gemersik kemerduan suara para hafiz yang dijemput menjadi imam terawih menggamit sesiapa yang mendengar. Kemudian ada pula majlis tadarrus al-Quran setelah selesai berterawih. Tidak cukup di surau dan masjid, bersambung pula di rumah. Pendekata, al-Quran menjadi sibuk dibuka dan dibelek helaiannya. Tidak seperti bulan-bulan sebelumnya, al-Quran diselimuti habuk kerana jarang bersentuh. 

Seronok melihat huluran tangan-tangan kemurahan. Infaq, sumbangan, derma dan sebagainya bagaikan bersambungan memenuhkan harapan si peminta. Bermacam-macam tabung yang tersedia menanti untuk diisi. Si pemberi menghulur tanpa berkira, si peminta pula wajah tersenyum girang. 

Alhamdulillah, inilah rahmat dan keberkatan yang satu, suasana yang jarang kedapatan di bulan-bulan lain. Inilah Ramadhan yang mampu menukar watak sesetengah insan. Menundukkan nafsu yang sekian lama menjadi bak raja. 

Mudah-mudahan ia menjadi kesinambungan pada bulan-bulan seterusnya... Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram.. sehinggalah bertemu Ramadhan kembali.. 

Seputar pesanan ulama, “Jadilah hamba Allah, jangan menjadi hamba Ramadhan...”

2 comments:

paridah said...

ASSALAM...KEMERIAHAN RAMADAN DIRASAI DI HATI KEBERKATAN KERANA AMAL IBADAH DI DALAMNYA MEMBAWA RAHMAT DI DUNIA HINGGA AKHIRAT...SYUKUR ALHAMDULILLAH

Normala Saad said...

Seiring usia meningkat, terasa Ramadhan kian indah dan dirindui. Dulu2 tak pernah rasa perasaan ni. Mungkin kurang penghayatan dek sibuk dengan kerja dunia...

Post a Comment