Sahabat Sejati

Monday, 16 May 2016

Sukarnya menjadi guru di zaman ini - updated

 
Guru, cikgu, murabbi, sifu, mudarris ataupun apa sahaja yang seerti dengannya adalah kalimat yang menyerlahkan di mata maupun di hati kemuliaan dan kehormatan. Tatkala kalimat ini dituturkan, maka sekilas rasa yang terlintas di benak manusia ialah rasa terhutang budi akan jasa-jasa mereka. 

Sejak dari usia kecil saya telah dilingkungi insan-insan yang bergelar guru. Saya dapat menyaksikan betapa kehormatan diberikan kepada mereka, hatta walau hanya mengajar mengenal alif ba ta kepada anak-anak kampung. Mereka bukan hanya dihormati oleh anak-anak yang datang belajar mengaji saban malam, malahan turut dihormati oleh ibu bapa anak-anak tersebut. 

Penghormatan itu mereka tumpahkan melalui sikap dan laku, tutur bicara dan pertolongan yang mereka hulurkan kepada guru anak-anak mereka. Sedaya upaya hati guru anak-anak mereka dijaga. Jika boleh tidak mahu sekali-kali guru anak-anak mereka terkilan sehingga menimbulkan rasa jemu dan tidak senang kepada anak-anak mereka. Bimbang ilmu yang ditadah hilang keberkatannya. 

Anak-anak sering diingatkan agar sentiasa ringan tulang membantu kerja-kerja tuan guru. Tujuannya ialah agar anak-anak mereka dikasihi dan disenangi oleh guru. Dari kasih sayang itulah mengalir ilmu yang penuh berkat dan membekas ke dalam jiwa anak-anak murid. 

Benarlah pesan guru saya: “Separuh dari keberkatan ilmu adalah dengan kita mengamalkan ilmu, dan separuh lagi adalah dengan kamu menghormati guru-guru kamu.” 

Saya masih ingat ketika kanak-kanak dahulu, selepas mengaji al-quran kami akan membantu memenuh air di dalam tempayan, menyapu sampah, menyiram tanaman dan sebagainya. Kami lakukan adalah semata-mata perasaan kasih dan curahan bakti kepada jasa guru yang mengajar. 

Begitu juga jika ingin berpindah belajar di tempat lain, maka hendaklah meminta kebenaran dan dihalalkan segala ilmu yang dipelajari. Memohon kemaafan daripada guru, kerana tanpa disedari mungkin ada perkara-perkara yang telah dilakukan mengguris hati dan perasaan seorang guru. 

Guru adalah ayah dan ibu seorang murid di sekolah. Alangkah indahnya jika ibu bapa sentiasa berpesan agar anak-anak mereka menghormati dan menyayangi guru sebagaimana guru sentiasa berpesan kepada anak-anak muridnya agar menghormati dan menyayangi ibu bapa mereka. 

Secebis rasa simpati 
Inilah secebis lakaran potret wajah masyarakat yang pernah saya saksikan dahulu. Yang pastinya zaman itu telah berlalu. Jika adapun hanyalah seperti kabus pagi yang semakin menipis disimbah sinar mentari. Taqdir Allah kita kita hidup di zaman ini dan melihat wajah masyarakatnya. 

(Mungkin saya tersilap) Sekarang kita hidup di zaman manusia berlumba-lumba menempatkan diri di celahan kebendaan. Kita hidup di zaman kebanyakan hati manusia sarat dengan berbagai-bagai keinginan. Lonjakan nafsu dalam diri memburu dan terus memburu beraneka kemahuan yang tidak bertepi. Terlihat hanya sedikit sisa ruang untuk mencintai ilmu dan keberkatannya. 

Seringkali saya bersimpati dengan keadaan sebilangan guru hari ini. Ada yang terpaksa bertugas di luar waktu. Kadang-kadang, jika ada sesuatu yang tidak kena, mereka akan menjadi mangsa sindiran dan tempat melampias ketidakpuasan dengan cara yang kasar. Apa yang terbuku di hati dihamburkan dengan sewenang-wenangnya. Bukan mahu disanjung tetapi menegur biarlah secara beradab dan mengikut akhlaq yang baik. 

Ada sesetengah tempat guru dipukul oleh murid-murid. Kereta dicalarkan, harta benda dirosakkan, sedangkan kita diajar untuk sentiasa menghormati guru. Apakah keberkatan ilmu bagi mereka sesuatu yang tidak pernah wujud dan tidak penting dipelihara? Apakah mereka tidak pernah mengerti dan memahami bahawa hati guru yang disakitinya itu akan membawa kepada tercabutnya keberkatan ilmu dari dada-dada mereka? Persoalan keberkatan ilmu sudah semakin terluput dari kamus kehidupan. 

Bagaimana boleh dikesan ilmu yang tidak berkat sedangkan ilmu itu tidak berbicara? Kata guru saya: “Lihatlah sang murid itu tidak ghairah untuk beramal dengan ilmu yang ada dan orang ramai tidak berminat untuk mengambil ilmu daripadanya walaupun sang murid itu seorang yang alim lagi pandai.” Mungkin ada contohnya di zaman ini... 

Sukarnya...  

'abuikhwan ~ masih seorang murid'

Sukarnya menjadi guru di zaman ini. Ibarat seorang pedagang yang penat memikul barang dagangan di bahu namun masih banyak yang tersisa. Kadang-kadang langsung tidak dilayan walaupun sudah jauh berjalan. Jika barang dagangan dibeli pun setelah sekian lama tawar menawar dengan harga yang amat murah. 

Salam penghormatan buat guru-guru yang taatkan Allah. Izinkan saya ungkapkan sekali lagi kata-kata: “Sukarnya menjadi guru di zaman ini.” 

Sukarnya...

3 comments:

LYAfrina said...

Betul tu...suasana dulu & skarang jauh berbeza..
cikgu kena mengalah utk ank2 murid..x mcm kt dulu2, sgt hormat & takutkan cg..

skarang, klo marah / denda terus cg kna tndakan..

sbnrnya ibubapa msa kini kot, maybe pgaruh media..x mcm dulu2..

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz..
Betul lah tu guru sekarang tugasnya mencabar kan.Kawan akak yang bertugas sebagai guru selalu gak mengadu stress .
Zaman akak dulu dengan guru2 cukup dihormati tapi sekarang zaman amat berbeza kan.

paridah said...

ASSALAM MOGA USTAZ SHT SJHTERA SEKELUARGA...LA NI GURU BERTUGAS SEMATA-MATA MENURUT TUGAASAN YG DITETAPKAN..XBERANI NK MELEBIH-LEBIH BIMBANG MENGGANGGU PRIVASI MURID N IBUBAOA MRK..TERPAKSA PILIH JLN SLMT

Post a Comment