Innalillah...
Mengurut dada saya, terkejut dan kasihan mendengar berita yang menimpa sahabat saya pagi tadi. Khabarnya, kenderaan miliknya telah dipecahkan dan wang yang tersimpan di dalamnya turut lesap. Bukan sedikit jumlah wang yang telah dilarikan, ribu-ribu juga katanya. Apa yang sedihnya duit tersebut bukan milik sahabat saya, tetapi milik sekolahnya iaitu Sekolah Rendah Islam Tahfiz Integrasi dan juga sekolah PASTI.
Apa boleh buat, sudah kehendak taqdir. Alhamdulillah, sahabat saya itu kelihatan tenang dan dapat menerimanya dengan hati yang redha. Tentu ada hikmah dan kebaikan disebalik kejadian tersebut. Apa pun sahabat saya sudah pun membuat laporan ke pihak berkuasa dan menyerahkan kepada mereka untuk membuat siasatan. Kalau ada rezeki, insya-Allah...
Rasa pelik jika masih ada yang terbuai dengan kata-kata, "Malaysia masih aman". Macamana amannya tu? Simpan wang di rumah, nanti rumah kena rompak, letak dalam kereta, kereta kena pecah. Nak bawa bersama, kena samun pula nanti. Dalam kes sahabat saya itu, wang baru sahaja dikeluarkan daripada bank. Mungkin sudah ada yang 'duk' perhati dan mengekori keretanya. Maka terjadilah apa yang telah terjadi.
Saya beranggapan undang-undang yang ada sekarang sudah tidak mampu untuk membendung perlakuan jenayah di dalam negara kita. Lihatlah, semakin dikuatkuasa, semakin banyak jenayah yang berlaku. Kadang-kadang pelik melihat apa yang berlaku, tidak terjangkau dalam kotak pemikiran kita. Seumpama penjenayah langsung tidak merasa gerun dan takut dengan hukuman yang dikenakan.
foto hiasan (sumber kartunis ART SAAD)
Tambah pula penjenayah sekarang ini semacam 'dilindungi'. Maksud saya seperti apa yang telah berlaku di Terengganu tempohari. Saya kira semua sudah maklum kronologi kes tersebut. Apabila tuan rumah bertindak melindungi harta dan keluarganya daripada perompak yang masuk ke rumahnya, menyebabkan perompak tersebut mati. Akhirnya tuan rumah didakwa kerana menyebabkan kematian perompak yang mahu merompak rumahnya. Pening kepala saya memikirkannya.
Nak buat macamana?
Bukalah Kitabullah dan Hadis Rasul yang sahih, pasti ketemu jawapannya. Bagi saya dengan yakinnya, tidak lain HUDUD adalah jalan penyelesaian. Allah SWT yang menjadikan manusia, malahan Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik baginya. Dia yang mengetahui apakah yang dapat menimbulkan kegerunan ke dalam hati-hati manusia. Yakinlah, hudud adalah jawapan kepada perlakuan jenayah hari ini.
Sesetengah orang melihat hudud pada potong tangan sahaja, sedangkan ia lebih daripada itu. Ada pula yang katanya kasihan kepada yang kena potong tangan. Simpati tidak kena dengan tempat. Habis yang kena curi, kena rompak pula bagaimana, tidak kasihan? Jangan kita tengok pada potong tangan, tetapi tengok akibat selepas potong tangan. Malahan, yang kena potong tangan cuma yang bersalah sahaja, hasilnya masyarakat jadi takut untuk melakukan sesuatu jenayah. Akhirnya negara jadi aman, rakyat hidup dalam keadaan selamat. Tidak kurang pula segelintir yang apabila mendengar kalimah hudud, maka katanya itu politik. Hmm, hudud dikatakan politik. Entahlah...
Apa pun marilah kita semua kembali kepada hukum Allah SWT yang terbukti dapat mencegah barah jenayah. Allah SWT sendiri menyebut hudud sebagai satu pencegahan. Kepada siapa lagi kita mahu percaya jika tidak kepada Allah SWT, selaku pencipta kepada manusia.
Kepada sahabat saya, Ustaz Ruhazan, semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kesabaran di atas musibah yang berlaku. Mudah-mudahan Allah SWT menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Kepada si pencuri tersebut, semoga diberikan hidayah dan bertaubat di atas perbuatan dosanya, dan Allah SWT membuka pintu hati untuk memulangkan semula wang yang telah diambil. Sesungguhnya ia adalah infaq orang ramai untuk kegunaan pihak sekolah.
Allahu al-Musta`an.
3 comments:
assalam...hmm urut dada baca n3 ustaz ni...penjenayah sentiasa mengintai peluang utk melakukan kerja2 mrk...agaknya mrk sentiasa berkelaran di bank2 n memerhati mangsa2 yg mengeluarkan sejumlah wang yg banyak utk disamun bila tiba masanya...perlu sgt berhati-hati dgn duit ringgit ni...la ni bukan senanglah nak kmpul duit dgn banyak tambah dlm kos hidup yg serba mahal kini...hanya berlindung dgn Allah drpd sebarang keburukan...didoakan semoga wang yg hilang itu kembali kpd yg berhak...insya-Allah.
Selagi perundangan tidak berlandaskan cara Islam selagi itu keamanan dan keharmonian tak akan tercapai AI. Percayalah sebab semua sudah tercatat di dalam Al-Quran. Mana mungkin kalau hukuman mengikut akal manusia sedangkan apa yg dicatat di dalam Al-Quran turunnya dari Allah yg maha berkuasa.
Kadang kakak pun hairan takkanlah benda macam ini pun'mereka' tak boleh nampak. Nak kata tak tahu dosa mustahil kan..
undang2 manusia begitulah...
Post a Comment