Sahabat Sejati

Friday, 30 October 2015

Seminggu ' berpuasa'

 
 foto hiasan (sumber)

Assalamualaikum warahmatullah. 

Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan keizinan untuk bertemu di ruangan alam maya ini, setelah beberapa ketika menyepikan diri. Memang hasrat dihati ingin bertemu setiap hari, apakan daya ketentuan adalah milik mutlak-Nya. Kita hanyalah mampu mentadbir, tetapi ditangan-Nya kekuasaan mentaqdir. Akur dengan ketentuan itu, ada masa-masa saya terpaksa ‘berpuasa’ daripada mencoret sesuatu dek kerana aral yang menjadi penghalang. 

Melihat pada tarikh entri terakhir ditulis, rupa-rupanya telah genap seminggu saya tidak mencoret apa-apa di pondok kecil abuikhwan ini, sekaligus memberi erti selama itulah saya tidak menjengah ke laman sesawang milik sahabat-sahabat.  Maafkanlah kerana ia bukanlah disengajakan.

Sebenarnya dalam tempoh tersebut, laptop kesayangan yang banyak berjasa ini mengalami kerosakan. Hari-hari yang dilalui tanpa mengetik butang-butang hurufnya, biarpun cuma seminggu, agak meresahkan. Tidak keterlaluan jika saya katakan ia seumpama kehilangan sebelah tangan. Kewajarannya ada, banyak tugasan yang dilakukan dengan bantuan laptop usang ini. Kerja-kerja berkaitan kebajikan dan khidmat masyarakat, kuliah ilmu, misi dakwah, termasuk juga sebagai alat menjalinkan ukhuwah fillah dengan sahabat-sahabat menerusi laman blog, FB dan sebagainya.  

Teringat sindiran seorang pakcik pengusaha 'house boat' di Tasik Kenyir satu ketika dahulu: "Budak-budak zaman sekarang kalau tak ada telefon macam tak boleh hidup!" 

Tersenyum kami semua mendengarnya. Apa tidaknya, keadaan kami membenarkan kata-kata pakcik tersebut. Masing-masing semacam kelam-kabut, resah dan gelisah lantaran tiada liputan telefon di situ. Itu baru tiga hari dua malam, bayangkan jika seminggu atau sebulan. Mau 'gila' jadinya. Demikianlah sekadar perbandingan. 

Namun saya tetap bersyukur dengan lafaz alhamdulillah, mujurlah kerosakannya masih boleh dirawat. Dapatlah juga membereskan kerja-kerja yang telah tergendala. Tetapi entahlah sampai bila ia mampu bertahan, kerana menurut sahabat yang membaikinya, hard disc-nya’ juga telah menghampiri ambang sore. 

Begitulah hakikat yang perlu difahami. Tiada yang kekal di dunia ini bagi yang bergelar makhluk. Tentunya ia lebih bererti buat diri kita. Laptop, atau apa sahaja tiada persoalan untuk dipertanggungjawabkan nanti. Rosak, usang dan dibuang, maka setakat itu sahaja. Manakala kita selaku khalifah di atas muka bumi ini yang telah berbai`ah di alam roh dahulu, akan dipersoalkan apa sahaja yang dilakukan di dunia ini. Perbuatan yang baik atau sebaliknya ada perhitungan dan pembalasan. Hati-hati jangan sampai kita terleka dalam kehidupan di dunia ini.  

Friday, 23 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 45

Salam Jumaat.


Sesungguhnya diam orang perkasa itu bukan bererti lemah...
Tetapi ia peluang untuk orang lemah bersuara sebelum ia diam untuk selamanya.

Wednesday, 21 October 2015

Wordless Wednesday: Jerebu merah




##...........................

Tuesday, 20 October 2015

Bicara santai: Jerebu, peringatan yang perlu difikir-fikir

foto hiasan (sumber)

Masalah jerebu telah reda beberapa minggu yang lalu apabila bacaan IP-nya mula turun ke paras selamat (warna biru). Maka urusan kehidupan kembali berjalan seperti biasa. Sudah tidak kelihatan yang memakai topeng muka untuk mengelakkan implikasi jerebu ini. Kebimbangan mula semakin hilang. 

Tiba-tiba, hari ini berita mengenainya mula memenuhi ruang laman sesawang. Saya sendiri dihujani dengan perkongsian tentang jerebu daripada sahabat-sahabat menerusi aplikasi whatsapp. Belum selesai lagi rupanya musibah ini. Teringat peristiwa dua minggu lepas gara-gara jerebu... 

Bergegas saya ke Pulau Tawar Jerantut pada hari itu untuk membawa pulang anak sulung di sekolahnya. Ketika itu jam sudah pun melewati 3.30 petang. Mujurlah hari Ahad, kalau hari biasa tentu agak sulit juga. Asalnya dia menelefon setelah pihak sekolah meminta semua pelajar pulang ke rumah masing-masing. Ini berikutan arahan KPM mengenai penutupan sekolah selama 2 hari di negeri Pahang dan negeri lain yang terlibat. Memandangkan hari telah lewat petang saya terpaksa mengambilnya di sekolah. Jika hari masih awal, bolehlah dia pulang dengan menaiki bas ekspres. 

Setiba di ‘exit’ Maran, anak ketiga saya yang bersekolah di Alor Akar pula menelefon, memberitahu hal yang sama seraya meminta mengambilnya di sekolah. 

“Ah..sudah, macamana ni?” 

Menepuk dahi saya memikirkan perjalanan yang sudah pun jauh. Takkan nak berpatah balik semula ke Kuantan, kemudian memulakan kembali perjalanan ke Jerantut. Teruk begini. Namun, jika itu pilihan yang ada maka terpaksalah akur sahaja. 

Dalam kekalutan tersebut, mujurlah ada seorang rakan sekelasnya yang tinggal di taman perumahan berdekatan mempelawa beliau menumpangkan kenderaan ayahnya, dan mengikut ke rumahnya dahulu. Tetapi sahabat-sahabat jangan salah sangka, kerana maksud berdekatan itu bukanlah dekat dalam erti kata yang sebenar. Maksudnya ialah rumah rakannya yang paling dekat berbanding yang lain. Jika mahu diikutkan jauh juga sebenarnya. Hendak buat macamana, itu pilihan yang terbaik yang saya ada. Apa pun, ungkapan puji-pujian bagi Allah atas sifat rahmat dan kasih sayang-Nya yang memudahkan setiap urusan. 

Hmm, gara-gara jerebu, kelam-kelibut jadinya....

Saya sekadar menjentik. 

Bagaimanakah sepatutnya kita mengambil pengiktibaran daripada musibah jerebu ini? Apakah hanya dengan menyalahkan negara jiran atas apa yang berlaku sambil mengutuk-ngutuk di laman sesawang? Dan juga berfikir tentang usaha membenihkan awan semata-mata dengan tujuan mengurangkan jerebu? 

Kita bernasib baik kerana jerebu yang menyelubungi ruang udara kita tidaklah seteruk yang dialami negara-negara jiran (jika benar laporannya). Bahkan Malaysia cuma mengalami mencapai tahap IP berkali ganda lebih rendah berbanding dengan negara jiran Indonesia. Khabarnya di sana sehingga mencecah 2 ribu lebih dengan tahap amaran warna kuning iaitu tahap beracun. Wal`iyazubillah. 

Benar, kita melihat jerebu berlaku kerana onar dari negara jiran akibat perbuatan pembakaran terbuka yang sangat berleluasa. Kita sudah tentu boleh menyalahkannya. Namun, jika sekadar itu maka ia hanya sampai setakat itu tanpa apa-apa pengajaran. 
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan alam ini untuk manfaat dan kebaikan kepada seluruh mahkluk. Manusia bebas memanfaatkan alam ini untuk kepentingan mereka. Namun, terdapat segelintir manusia yang rakus mengejar kemewahan dunia. Mereka tidak berhemah dan tidak langsung menghargai peranan alam sekitar kepada keseimbangan kehidupan. Lalu mereka mengganggu dan memusnahkan keseimbangan ekosistem yang ada. Mereka menganggap ia satu peluang kemewahan dan kebijaksanaan dalam menggunakan teknologi moden, hakikatnya mereka adalah pemusnah dan perosak alam ini. 

Marilah kita menerima hakikat bahawa bencana ini bukan ‘kejadian alam tanpa sebab’. Ia adalah amaran Allah. Ia adalah peringatan yang perlu diperhati dan difikir-fikirkan. Janganlah kita terlalu saintifik sehingga tidak sudi memikirkan hakikat ini. Tiada kerosakan yang berlaku di muka bumi ini kecuali dengan asbab. 

Firman Allah SWT di dalam surah Ar-Rum ayat 41: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. 

Bukan sahaja jerebu, malahan apa sahaja musibah yang berlaku tentu ia akibat daripada kemusnahan alam ini yang dilakukan oleh tangan-tangan yang rakus. Lebih daripada itu, akibat melanggar hukum dan perintah Allah SWT. Barangkali juga ada onar dan kesilapan yang telah kita (samada rakyat atau pemimpin) lakukan sehingga Allah SWT menurunkan musibah ini. Fikir-fikir.

Monday, 19 October 2015

Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai atau ke laut. Bolehkah dipercayai?

Soalan:

Banyak kali orang menyebut jin telah ditangkap, makhluk halus telah dipenjarakan, toyol telah dimasukkkan ke dalam botol, dibuang ke laut dan berbagai dakwaan lain seperti itu? Apakah ada asasnya dalam syarak bahawa makhluk halus seperti itu boleh ditambat, disumbat dalam botol atau dibuang ke sungai ke laut. Bolehkah dipercayai? Sila jelaskan. 

Jawapan: 

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang budayanya dicambahi dengan pelbagai kepercayaan dan tahayul. Disebarkan dengan berbagai dakwaan yang kebanyakannya ada yang menyalahi hukum syarak. 

Masalah makhluk halus adalah masalah kefahaman kepada istilah itu sendiri. 

Al-Qurannul karim merujukkannya sebagai syaitan, iblis, jin, ifrit dan beberapa istilah lain dalam hadis yang semuanya merujuk kepada makhluk halus. Pernah berlaku seketika di zaman Rasulullah saw, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu, kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah sedang mengelak daripada sesuatu dan sedang memegang atau menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak. 

Selesai solat sahabat bertanya Rasulullah saw, mengapakah gerak-geri Rasulullah dalam solat tidak pernah dilihat sebelum itu. 

Rasulullah menjelaskan kepada mereka: "Bahawa ifrit telah datang kepada ku dengan obor api untuk menganggu solat ku, aku mengelak daripada nyalaan obor api itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya, boleh menawan, mengangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengena ke lengan aku." 

Kejadian ini membolehkan kita mengambil kesimpulan bahawa Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah menangkap atau menambat iblis, jauh sekali memasukkannya ke dalam botol, untuk dibuang ke mana-mana. 

Yang berlaku ialah, baginda hendak mengelak dia diganggu, baginda adalah seorang Rasul yang dapat melihat sesuatu yang orang ramai tidak dapat melihatnya. 

Baginda menangkap hanya kerana ifrit menganggunya, walaupun Muhammad teringin untuk menambat ifrit, namun mengingatkan doa Sulaiman maka ianya tidak berlaku. 

Maka pada saya, soalan saudari tadi tiada asasnya untuk dipercayai hukum syarak. 

Lagipun makhluk ini diperbuat daripada api (bukan fizikal). Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. 

Contohnya, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak. 

Malah batu batan yang besar seperti Piramid, juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray. 

Kalau setakat boleh yang diperbuat daripada kaca yang telus cahaya, bermakna makhluk halus boleh masuk dan boleh keluar, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang bentuknya fizikal?

Botol adalah benda fizikal sedangkan makhluk halus bukan fizikal. Makhluk halus adalah api, dari unsur cahaya, kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya. 

Tidak perlu dimasukkan ke dalam botol. Dia boleh masuk dan dia boleh keluar bila-bila masa. 

Nabi Sulaiman dan Nabi Muhammad boleh menangkapnya kerana mereka Rasul. Tetapi tidak sabit pada amalan sahabat atau tabiin bahawa mereka boleh menangkap makhluk halus untuk dimasukkan ke dalam botol. 

Apa yang ada hanyalah ikhtiar manusia untuk mengelakkan gangguan makhluk halus dengan membaca ayat-ayat al-Quran yang ditunjukkan oleh Rasullah saw. 

Tujuan kita ialah memohon Allah menjauhkan makhluk halus daripada kita. 

Di antaranya yang Nabi sebut dalam Surah al-Baqarah, ayat Kursi dan sebagainya. 

Dengan bacaan ayat-ayat al-Quran, insya Allah dengan kehendak Allah, maka makhluk halus akan menjauhkan dirinya atau mengeluarkan dirinya dari badan manusia. Wallahu a'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday, 17 October 2015

Jom hijrah, hari ini lebih baik dari semalam...

Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian mereka terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik pemberi limpah kurnia.” (al-Hajj: 58) 

Hijrah adalah satu tuntutan yang besar nilainya di sisi Islam. Allah sendiri memerintahkan Rasulullah saw berhijrah pada saat sukar bagi baginda mendirikan negara Islam pertama. Para sahabat juga berhijrah setelah mendapat restu Rasulullah saw. Tetapi bukanlah sesuatu yang mudah untuk berhijrah. 

Makna hijrah ialah meninggalkan kepentingan, mengorbankan harta dan menyelamatkan diri. Ia dilakukan dengan kesedaran bahawa diri mereka mungkin terbunuh atau dirompak pada awal maupun pada akhir perjalanan. Demikian pula kesedaran bahawa diri mereka berjalan menuju masa hadapan yang belum pasti, sedangkan mereka tidak tahu apa yang akan menerpa mereka kemudian hari. 

Hari ini kita juga digesa agar berhijrah. Tetapi hijrah kita bukanlah meninggalkan tanah tumpah menuju ke suatu tempat asing. Selepas pembukaan kota Makkah tidak lagi dianjurkan berhijrah sebagaimana hadis Rasulullah saw: 

Daripada Ibn ‘Abbas r.ahuma, katanya: sabda Rasulullah saw:  
“Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, sebaliknya jihad dan niat. Apabila kamu diminta keluar berjihad maka keluarlah”. (Riwayat al-Bukhari 1986M: 3/1025) 

Hijrah yang mesti berlaku di kalangan orang Islam pada hari ini ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hari muka lebih baik dari hari sebelumnya. 

Benar, memang sukar untuk berhijrah. Namun, tiada alasan untuk kita berkata tidak mampu melakukan yang terbaik. Keinginan dan keyakinan antara faktor kejayaan disamping doa dan tawakkal kepada Allah. Penghijrahan bukan membabitkan soal perubahan semata-mata, tetapi soal jati diri dalam kehidupan. Kepayahan yang dihadapi adalah kemanisan dan kebahagiaan di masa hadapan. Alangkah bahagianya mereka yang dapat mengecapi kemanisannya. 

“Pesan Imam al-Ghazali di antara cara untuk mengawal hawa nafsu ada tiga iaitu duduk di dalam majlis ilmu, merapati para alim ulama dan berpakaian cara Islam”.

Tunggu apa lagi, jom hijrah!

Friday, 16 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 44

Salam Jumaat.


Sesetengah pintu dibuka dengan nombor rahsia.
Sesetengahnya dibuka dengan cop jari.
Adapun pintu langit dibuka dengan doa,
maka ungkapkan sentiasa dan serulah:

Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah!

Thursday, 15 October 2015

Bicara santai: Borak-borak petang tadi

Usai solat asar di surau tempat kerja tadi, saya berbual-bual sebentar dengan sahabat-sahabat sementara menanti waktu pulang. Seronok juga, bermacam-macam topik yang menjadi tajuk perbincangan. Lepas satu, satu, sehinggalah kepada topik bulan Muharram. 

Rupanya ada bangsa tertentu yang beranggapan Muharram ialah bulan sial. Saya pun baru tahu tadi setelah diceritakan dalam perbualan tadi. Akibat kesialan itu, maka tidak diadakan acara perkahwinan, membuat rumah dan sebagainya. Mereka percaya jika dilakukan juga akan mendatangkan sial dan malapetaka kepada mereka. Ada juga acara menghanyut sajian ke laut dan amalan ritual yang pelik-pelik, khusus untuk menghindari bala. Saya katakan kepada mereka bahawa dalam bulan Muharram ada Hari 'Asyura. Puasa pada hari itu mendapat keampunan dosa setahun sebelumnya. Dalam Riwayat Muslim, Nabi saw menyebut puasa paling afdhal selepas puasa fardu Ramadhan ialah puasa sunat bulan Muharram. 

Kalau bulan Safar memang kita sudah biasa dengar dituduh bulan sial atau bulan bala. Bukan setakat di kalangan umat Islam di Nusantara bahkan termasuk orang Arab. Ada pula yang tidak mahu membuat majlis kahwin pada bulan Safar. Mereka percaya jodoh tidak akan berkekalan jika ia dilangsungkan pada bulan itu. Kasihan. Mereka tidak tahu bahawa Nabi berkahwin dengan Sayyidatina Khadijah pada bulan Safar bahkan Nabi mengahwinkan anaknya Sayyidatina Fatimah juga pada bulan Safar. 

Ada pula amalan mandi Safar satu ketika dahulu. Seorang sahabat memberitahu, pernah melihatnya acara tersebut ketika zaman muda-muda dahulu sewaktu menetap di satu daerah di negeri Melaka. Menggeleng-geleng kepala saya mendengar ceritanya, bagaimana cara amalan mandi safar itu dilakukan. Maklumlah saya di antara generasi yang tidak sempat dengan semua itu. Maka kelam gambaran di minda saya memikirkan bagaimana keadaannya. Tetapi saya yakin semua kepercayaan karut-marut tersebut telah pun lenyap apabila para ugamawan bertungkus-lumus memahamkan masyarakat dengan ilmu agama. Alhamdulillah....

"Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (at-Taubah: 36)

Tuesday, 13 October 2015

Salam Ma`al Hijrah 1437

 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara'

Assalamualaikum warahmatullah.

Dikesempatan masa dan usia yang masih berbaki ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1437 kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan. Sejujurnya, sokongan sahabat sekelian amatlah saya dambakan, justeru saya terus bersemangat untuk mencoret sesuatu di pondok kecil ini. 

Pejam dan celik, 
Hari berganti hari, 
Bulan berganti bulan, 
Tahun berganti tahun, 

Kita telah pun berada di 1437H. Semangat dan azam baru untuk meneruskan langkah selaku khalifah di atas muka bumi ini. 

Penuhilah masa yang masih diberikan dengan iman dan taqwa. Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam. Manakala hari esok lebih baik dari hari ini. Demikianlah seterusnya hari-hari yang dilalui. Semoga kedatangan tahun baru ini memberikan seribu kebaikan serta meningkatkan lagi amalan kepada-Nya.

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali-Imran: 185). 

Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, sesungguhnya itulah kejayaan yang sebenarnya.

Apakah makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya benar-benar wujud?

Soalan:

Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari Barat dengan seorang yang berpendidikan agama, tentang kepercayaan kepada makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Apakah makhluk ini benar-benar wujud. 

Masing-masing menegakkan hujah tanpa ada penyelesaian antara kedua-duanya. Apakah pandangan dan komen ustaz tentang perkara ini? 

Jawapan: 

Persoalan seperti yang saudara kemukakan ini memang sering berlaku kepada masyarakat yang mempunyai latarbelakang kehidupan yang berasaskan kepada kebendaan (material) khasnya pengetahuan dalam sains moden yang segala-galanya merujuk kepada keterangan nyata bahawa sesuatu itu wujud jika dapat dilihat atau dirasa untuk meyakinkan mereka, jika tidak berlakulah penafian yang mutlak. 

Persoalan ini merujuk kepada istilah, sama ada ia hantu, jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkara ini dengan lebih halus, dalam kamus Dewan yang menjadi rujukan kita sebagai contoh makhluk halus dirujuk sebagai hantu, bunian, jembalang, pontianak, langsuyar, pelesit dan sebagainya ruh jahat yang merasuk manusia dengan pelbagai kemudaratan yang menimpa manusia. 

Semua ini adalah istilah-istilah yang terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagaimanapun masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-jinn, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam kamus Arab yang terkenal seperti Al-Munjid ada Lisanul Arab, Mukhtar Assahah dan lain-lain menyatakan erti bagi istilah tadi adalah bermaksud, ruh-ruh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam berbagai-bagai cara. 

Kedua-dua kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan masyarakat Arab. Iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, ataupun ia hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja. 

Kalau kita lihat kepada al-Quran Karim dan hadis-hadis Nabi Muhammad saw, kita akan menemui istilah yang sama. 

Al-Quran menyebut syaitan atau syayateen, jin atau jinnah, qareen, iblis, ifrit dan sebagainya. Dalam hadis yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khinzab, Aamir, Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadis merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun ruh-ruh jahat yang menganggu manusia dengan berbagai-bagai cara. 

Malah dalam satu ayat Quran, begitu jelas Allah menyebut, misalnya dalam Surah al-Ahqaf, ayat 29, Allah berfirman yang mafhum: "Ketika Kami (Allah) menghadapkan kepada kamu (wahai Muhammad) beberapa jin untuk mendengar al-Quran pada Surah al-Jin." 

Disebutkan juga dalam hadis yang sahih bahawa Rasulullah saw telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran dan hadis Ibnu Abi Hatib, dari Mujahid bahawa Nabi saw pergi bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah. 

Oleh yang demikian memang wujud dan wajib dipercayai ia benar-benar wujud. Pada pandangan saya yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja, walhal ianya adalah makhluk yang sama. 

Sama ada ia hantu, jembalang, jin tanah, pelesit, bunian dan sebagainya adalah makhluk halus yang wajib dipercayai wujudnya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran. 

Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah. Wallahu a'lam. 

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday, 11 October 2015

Kami juga mahu hidup selesa...

Kami tidak menolak pembangunan, tetapi biarlah pembangunan yang tidak mengabaikan keselesaan hidup. Hendak melombong bauksit, silakan tiada yang membantah. Tetapi biarlah dengan tidak mencemarkan alam sekitar dan mengganggu ketenteraman hidup orang lain.

Sumber: FB dronepahang

##Sekadar berkongsi kesusahan dan kesedihan yang menimpa penduduk setempat. Mudah-mudahan ada sinar cahaya dalam kehidupan mereka, aminn.

Dari An Nu’man bin Basyir, ia berkata bahwa Nabi saw bersabda:

 مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى  
“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal kasih sayang bagaikan satu tubuh, apabila satu anggota badan merintih kesakitan maka sekujur badan akan merasakan panas dan demam” (HR. Muslim no. 2586).

Allahu al-Muasta` an..

Friday, 9 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 43

Salam Jumaat.


Lontarkan senyumanmu untuk manusia...
dan
Aduanmu untuk Tuhan manusia.

Friday, 2 October 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 42

Salam Jumaat.


Keanggunan lidahmu merupakan terjemahan kepada keanggunan fikiranmu...

Maka jangan meninggikan suaramu sebaliknya tinggikan taraf ucapanmu.