Dalam berdakwah atau mengajak kepada kebaikan, kita perlu menggunakan pendekatan yang sesuai mengikut keadaan. Kita tidak boleh menggunakan kaedah ‘pukul rata’ terhadap mad`u. Jika mad`u itu orang tua, maka pendekatannya mestilah sesuai dengan jiwa tuanya, jika ia golongan terpelajar, maka mesti didekati dengan cara terpelajar, begitu juga jika berhadapan dengan anak muda, tentulah cara atau kaedah yang digunakan sesuai dengan jiwa muda mereka. Bahkan kepada kanak-kanak juga ada caranya yang tersendiri dan bersesuaian dengan sifat keanakannya.
Analoginya mudah. Ibarat kita mahu memancing, kita gunakan umpan yang ikan suka, bukan umpan yang kita suka. Tentulah jika kita memancing di laut, kita akan gunakan umpan untuk ikan air masin. Kita tidak akan menggunakan umpan untuk ikan air tawar. Sama juga jika kalau kita mahu mengail tenggiri, maka umpannya mestilah umpan tenggiri. Kita tidak akan guna umpan untuk ikan kerisi. Andainya sama sahaja umpan yang digunakan, maka sia-sialah apa yang kita lakukan.
Samalah seperti dalam berdakwah, pendekatannya mestilah kreatif dan bersifat meraikan. Bukan pendekatan sehala dan mendatar. Namun, harus diingat walaupun bersifat meraikan tetapi tidaklah sampai melanggar prinsip-prinsip dakwah dan agama.
Ajaklah, biar berhikmah
Contohnya, jika kita mengenali seorang sahabat yang tidak bersolat. Cara bagaimanakah mahu mengajaknya bersolat? Membiarkan sahaja? ikut kamulah, yang penting aku solat. Tentu tidak, kerana menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Bagaimanakah cara ajakan kita?
“Kamu tak sembahyang? Kamu tahu apa dosa orang yang meninggalkan sembahyang, kamu nak masuk neraka! Bla..bla..bla...”
Atau..
Kamu tak sembahyang? Orang yang sembahyang Allah sayang, hatinya akan tenang. Semua masalah akan hilang...bla..bla..bla...”
Jika diberi pilihan, agaknya ayat mana yang akan kita gunakan kepadanya. Ayat pertama atau kedua? Saya rasa ramai yang akan menggunakan ayat yang pertama, tidak terkecuali termasuklah saya. Sejujur demikian.
Mungkin kita akan tersenyum puas kerana dapat melepaskan ‘peluru’ yang kita bahasakan ia sebagai dakwah. Kemudian dengan harapan yang menggunung kita kata insya-Allah dia akan berubah atau kita kata, tanggungjawab saya sudah terlepas. Tidak dinafikan inputnya ada, tetapi bagaimana pula dengan ouputnya. Betul, bukan tugas kita untuk memberi hidayah, ia milik Allah SWT. Allah yang memegang hati-hati manusia. Namun, sekurang-kurangnya kita mahu melihat juga hasil daripada kerja-kerja dakwah yang dilakukan.
Jangan salah faham pula, saya tidak pula kata salah menggunakan kaedah yang pertama. Manusia tidak sama jiwanya. Memang tidak dinafikan ada pemilik jiwa yang sesuai dengan pendekatan begini. Mereka perlu dimarahi, dibentak keras barulah peringatan itu boleh menusuk masuk dan mencair hatinya.
Contoh yang mudah. Ibarat sebatang besi buruk, jika dijual begitu sahaja kepada sang peraih besi tentulah harganya entah berapa sen. Tetapi jika besi tersebut dibakar, kemudian ditempa berkali-kali sehingga menjadi sebilah keris, apakah sama harganya dengan besi buruk tadi. Tentu tidak! Mungkin berpuluh ringgit harganya atau mencecah ratusan ringgit jika baik buatannya.
Walau bagaimanapun, tidak semua orang boleh menerima cara begitu. Bimbang jika tidak kena cara dakwah dan ajakan, boleh menyebabkan bermasam muka dan mencetuskan pergaduhan. Mungkin juga dia merasakan kita telah mengganggu ‘privacy’ hidupnya dan mula menjauhkan diri. Ketika itu ruang dakwah mula tertutup rapat, maka rugilah kita dan semestinya rugilah dia.
Tentu kita biasa mendengar ayat: “Saya bukan tak boleh terima nasihatnya, tapi caranya sangat menyakitkan hati saya..”
Hulur tali, bukan cambuk api
Bukankah Allah telah menyatakan bahawa rahmat-Nya sentiasa mendahului kemurkaan-Nya?
Bukankah di dalam al-Quran Allah sentiasa menggunakan perkataan ‘basyir’ (khabar gembira) terlebih dahulu sebelum perkataan ‘nazir’ (memberi ancaman)
Ya, marilah kita gunakan kaedah “hulur tali, bukan cambuk api”, atau dengan bahasa yang mudah mengajak bukan membentak, memujuk bukan mengutuk, menerang bukan menyerang.
Mari beranalogi lagi. Seorang penjual madu pasti akan menerangkan dengan panjang lebar kelebihan dan khasiat madu yang dijualnya. Ini kerana sudah menjadi tabiat manusia suka mendengar kepada kelebihan dan kebaikan pada sesuatu. Apabila si penjual berjaya menimbulkan keghairahan di dalam hati-hati pembeli, sudah pasti madunya akan habis terjual. Sebab itulah jika kita perhatikan iklan-iklan di televisyen akan menonjolkan kelebihan-kelebihan barang-barang yang diiklankan. Niatnya agar orang ramai tertawan dan terpesona dengan kebaikan yang terdapat pada barang tersebut.
Oleh itu, mengapa tidak kita gunakan konsep ini terlebih dahulu. Iaitu menerangkan kebaikan dan kelebihan solat kepada sesiapa yang mendirikannya.
“Siapa yang bersolat, dia akan dapat begini dan begini...Kelebihannya begini dan begini...”
Itu dalam perkara solat.
Saya sering membaca pengalaman-pengalaman individu yang pergi ke Mekah di dalam buku dan majalah. Samada pengalaman mengerjakan haji ataupun umrah. Apa yang saya dapati, kebanyakan (tidak semua) kisah yang dipaparkan berkisar kepada balasan-balasan yang di dapati akibat dosa-dosa yang dilakukan. Ada yang tidak nampak Kaabah, ada yang hilang barang-barang, ada yang tidak dapat makan, ada yang sentiasa dihurung lalat dan sebagainya. Entahlah, tersayat kebimbangan di hati saya kerana secara tidak langsung ia seakan mahu menimbulkan rasa takut dan jeran untuk ke sana.
Tidaklah saya katakan ia tidak boleh. Ada baik dan bagusnya sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua. Mudah-mudahan ramai yang takut melakukan dosa atau ramai yang berubah menjadi baik setelah membaca pengalaman tersebut. Namun, di sisi yang lain saya tertanya-tanya, mengapa pula tidak dibanyakkan kisah-kisah kelebihan menunaikan haji atau umrah.
“Orang yang ke Mekah adalah tetamu Allah yakni Allah menjemput mereka datang kepada-Nya. Taubat senang diterima, doa mudah dimakbulkan dan sebagainya”. Saya rasa kisah-kisah begini lebih perlu diperbanyakkan. Ia boleh jadi seumpama iklan yang boleh menimbulkan keghairahan d hati-hati manusia.
Saya menulis artikel ini bukanlah mahu mengajar cara-cara berdakwah, jauh sekali mahu menafikan usaha dakwah sahabat-sahabat sekelian. Tidak selayaknya saya berbuat demikian. Tulisan ini hanyalah satu perkongsian dan ingatan terutama kepada diri saya sendiri. Mari kita hulurkan tali, bukan cambuk api. Kita adalah pendakwah bukan penghukum. Kita mengajak bukan membentak. Kita memujuk bukan mengutuk. Kita menerang bukan menyerang.
Mahu membentak keras? Silakan, tetapi biarlah ia menjadi jalan yang kedua, ketiga atau keempat..
Anda mampu mengubahnya.
2 comments:
assalam...berdakwah itu menyampaikan..pendakwah yg bijak tentu akan menyampaikan dakwahnya yg bersifat ilmu r info dgn berkesan...n3 yg sangat bagus buat perkongsian bersama.
yan pernah jumpa orang macam ni...menasihati tu tak salah..tapi jangan sampai menyakiti hati orang....kadang tu ada yang fanatik sangat...hingga semua orang disangka jahil...
Post a Comment