Sahabat Sejati

Sunday, 4 May 2014

Alhamdulillah, nikmat yang tampak kecil tetapi besar.


"Berrp..alhamdulillah, lega rasanya." 

Dapat membasahkan tekak dengan segelas air kelapa muda di tengahari yang terik adalah satu nikmat yang tidak terperi. Kedinginannya menyelinap ke dalam anak tekak lantas menyegarkan kembali badan yang tidak bermaya. Biarpun sekadar singgah minum di gerai kecil tepi jalan, gerai rakyat marhein seperti saya. Namun, seteguk kedinginan air kelapa muda di tengah terik musim panas seolah-olah menyebabkan saya terlupa akan nikmat-nikmat sebelum ini.

Manusia, memang begitu sifatnya. Kata Buya Hamka "Manusia seringkali bertanya kepada nikmat yang mendatang, tetapi jarang melihat nikmat yang telah ada." Benar, seringkali kita tertanya-tanya nikmat yang belum dimiliki sedangkan kita seakan lupa kepada nikmat yang telah lama ada pada diri kita.

Saya teringat satu cerita sufi yang pernah saya dengar ketika bersekolah arab dahulu. Suka saya untuk berkongsi kisahnya.

Seorang ahli sufi, Ibnu Sammak mengadap raja dengan membawa secangkir minuman. Raja itu meminta sedikit nasihat daripada Ibnu Sammak. Ibnu Sammak bertanya raja, "Katakan tuanku dalam kehausan yang amat sangat dan hanya terdapat secangkir minuman yang ada di tangan saya ini.Relakah tuanku membayar secangkir minuman ini dengan seluruh harta benda tuanku?"

Raja itu mengatakan, " Sudah tentu."

Ibnu Sammak meneruskan, " Kalau tuanku terpaksa menyerahkan tahta kerajaan tuanku untuk menghilangkan kehausan itu, bagaimana, bolehkah tuanku serahkan?"

Raja menjawab, "Sudah tentu aku serahkan!"

Ibnu Sammak lantas berkata, "Nah tuanku, janganlah tuanku bergembira dengan tahta kerajaan yang nilainya hanya seteguk minuman!"

Kisah ini sangat menginsafkan.

Setiap benda akan berharga atau bernilai apabila berada pada tempatnya. Sebaliknya jika ia diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya, maka hilanglah nilainya. Orang tua-tua dahulu menyebut peribahasa, "seperti si kudung mendapat cincin" serta "seperti kera mendapat bunga". Apakah nilai sebentuk cincin kepada si kudung? Sekadar boleh melihat tanpa dapat memakainya. Apakah pula nilai sekuntum bunga pada seekor kera. Kosong. Tidak sampai seminit hancur kelopak bunga dikerjakan oleh sang kera. Tetapi jika sekuntum bunga berada di tangan seorang gadis, maka akan terserlah nilainya.

Kita beranalogi lagi.

Orang yang sedang lemas sangat-sangat memerlukan sesuatu untuk berpaut, tidak kira sebatang buluh atau sepotong kayu. Ketika itu harta dan wang ringgit langsung tidak memberi makna. Bahkan jika ketika itu isterinya memberikan keizinan untuk berkahwin satu lagi pun tidak diendahkan. Tentunya pada masa itu yang paling penting ialah sebatang buluh atau sepotong kayu yang jika di atas daratan mungkin tidak akan diendahkan.

Begitulah juga agama Islam yang mulia ini. Cantiknya Islam apabila ia berada pada mereka yang mahu beramal dengannya. Ketika itu akan ternampaklah kecantikan dan keindahan Islam. Tetapi jika ia berada pada mereka yang hanya memakai nama Islam, sudah tentu akan terhijab indahnya Islam. Bahkan boleh menjadi fitnah keburukan pula terhadap Islam. Berapa ramai orang yang memakai gelaran Islam tetapi peel kelakunya tidak menggambarkan seorang Islam. Lihat dunia hari ini, ramainya orang Islam yang terlibat dengan rasuah, menyalahguna kuasa, melakukan kezaliman, mencuri hak orang lain, merompak harta negara dan sebagainya.

Daripada Ali bin Abi Talib ra. berkata: “Telah bersabda Rasulullah saw; “Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya...” (Riwayat al-Baihaqi)

Wal`iyazubillah.

Seperti segelas air kelapa muda yang saya minum, sangat-sangat terasa nilainya kerana diminum ketika tekak sedang haus di bawah cuaca panas. Saya seakan terlupa akan nikmat yang lain kerana air kelapa tersebut. Tetapi jika air kelapa muda yang dingi berais tersebut dibawa ke kutub utara, saya tidak rasa ia menjadi sesuatu yang berharga. Entah-entah tiada siapa yang sudi mengendahkannya.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"

0 comments:

Post a Comment