Alhamdulillah, syukur pada-Mu.
Hari ini saya terlewat ke masjid untuk bersembahyang Jumaat. Sampai sahaja di masjid, khutbah sedang rancak berkumadang di corong pembesar suara. Saya mengagak hampir 20 minit khatib telah berkhutbah. Ekoran daripada itu terpaksalah saya bersila di luar, tidak seperti kebiasaan di dalam masjid.
Saya sentiasa memilih untuk duduk di dalam masjid kerana banyak sebab. Di antaranya memang gajaran pahala yang besar, tetapi yang menjadi sebab utama ialah untuk melihat muka khatib yang sedang berkhutbah. Bukannya apa, itu petua saya untuk mengelakkan rasa mengantuk, tetapi untuk orang lain saya tidak tahu menjadi atau tidak. Kalau tidak menjadi jangan marahkan saya.
Syukur saya tadi bukan kerana lewat tiba di masjid, tetapi ada alasan lain yang menyebabkan saya memanjatkan pujian itu.
Kebiasaannya saya akan ke masjid untuk bersembahyang Jumaat dari tempat kerja dengan menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami dua lagi rakan untuk mencukupkan muatan penumpang sebuah kereta.
Apa yang mahu saya ceritakan ialah sewaktu mahu memasuki simpang ke masjid, sebuah kereta keluar dengan tiba-tiba lalu melanggar sebelah kanan pintu penumpang kereta sahabat saya. Mujur tidak terlalu kuat tetapi kemek juga pintu sebelah kanan itu. Mengeluh kecil juga sahabat saya, katanya dia baru sahaja menukarkan keempat-empat pintu. Terpaksalah menukarkan pintu yang ini pula.
Saya pula bersyukur panjang kerana sayalah yang duduk di sebelah kanan itu. Kalaulah kuat hentamannya, saya tidak tahu bagaimana nasib saya. Yang pasti hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.
“Allah sayangkan kamu”
Kita sering mendengar kata-kata “Allah sayangkan kamu” terutama bila terselamat daripada sesuatu bahaya atau musibah.
“Allah sayangkan kamu”, kalimah ini diucapkan juga tatkala kita tertunduk ditimpa ujian.
Mungkin lebih pelik jika kita mendengar ungkapan “Allah sayangkan dia” apabila mendengar seseorang yang meninggal dunia dengan berbagai-bagai sebab.
Siapa yang Allah sayang sebenarnya?
Orang yang sihat? Orang yang sakit? Atau orang yang telah meninggal?
Sebenarnya semua Allah sayang. Bukankah sifat Allah yang pertama disebut di dalam al-Quran ialah “ar-Rahman, ar-Rahim”? Justeru, Allah SWT melayani makhluk-Nya dengan lembut dan penuh kasih sayang.
Di dalam satu hadis, Umar bin al-Khattab ra. meriwayatkan bahwa satu ketika dibawa ke hadapan Rasulullah saw satu kumpulan tawanan perang. Ternyata terdapat seorang perempuan di kalangan rombongan itu sedang mencari-cari sesuatu ( anaknya ). Setiap kali dia menjumpai bayi di kalangan rombongan tawanan itu maka dia pun terus mengambil dan memeluknya dan menyusuinya.
Maka Rasulullah saw pun berkata kepada kami,“Apakah menurut kamu perempuan ini akan tergamak melemparkan anaknya ke dalam julangan api?”. Maka kamipun menjawab, “Tentu saja dia tidak akan sanggup melakukannya, demi Allah. Walaupun dia sanggup, pasti dia tidak ingin melemparkan anaknya.”
Maka Rasulullah saw pun bersabda : “Sesungguhnya Allah jauh lebih menyayangi hamba-hamba-Nya dibandingkan kasih sayang ibu ini kepada anaknya.” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, luasnya kasih sayang Allah SWT dengan memberikan seseorang sihat agar dengan kesihatan itu dia dapat beribadat dan mengabdikan diri kepada-Nya. Meluasnya kasih sayang Allah dengan menimpakan ujian dan musibah kepada seseorang agar dengan ujian itu ia menjadi orang banyak bersabar dan Allah kurniakan ganjaran yang besar kerana kesabarannya. Meluasnya kasih sayang Allah dengan mendatangkan kematian kepada seseorang, yang mana jika dia orang jahat maka orang disekeliling terselamat daripada kejahatannya. Tetapi jika dia orang baik, maka ia adalah satu kerehatan baginya daripada musibah dan kesibukan dunia.
Lihat! Semuanya adalah kasih sayang.
Di dalam Hadis Qudsi, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya rahmatKu mengatasi kemurkaan-Ku.” (HR Muslim)
Sesungguhnya Allah SWT adalah sebaik-baik pemberi kasih sayang!
0 comments:
Post a Comment