Saya pernah mendengar kisah ini.
Kisah seorang pemilik dusun yang menembak seekor ibu monyet. Ketika monyet itu meraung kesakitan, darah mencucur laju dari liang tembakan. Kesakitan menyelinap ke segenap saraf dan sendi akibat dari muntahan timah panas mendidih. Darah pekat bercampur buih terus mengalir. Raungan terus bergema tetapi semakin perlahan. Kesakitan yang tidak mampu dibayangkan. Saat itu, ketika anaknya mendakap kemas pada tengkuknya gelisah ketakutan.
Dalam saki-baki nafas yang sukar lalu si ibu memeluk anaknya lalu disuakan ke susunya. Hanyir darah yang mengalir serta kesakitan yang ditanggung tidak dapat memisahkan kasih antara ibu dan anak.
Hela nafasnya makin perlahan. Sesaat kemudian rangkulannya kian lemah, lalu terkulai. Hayatnya berakhir. Meninggalkan anaknya yang masih merah menyusu, yang bukan sahaja dahagakan air susu tetapi dahaga kasih sayang dari ibunya.
Demikianlah contoh kasih ibu.
Sungguh hiba, terasa sebak yang menyucuk-nyucuk rasa. Remuk rendam hati nurani saya ketika mendengar kisah ini. Hampir bertakung kolam air mata saya. (saya mengelaknya agar tidak dilihat oleh sesiapa)
Lantas mengingatkan saya pada satu hadis yang mulia.
Berkata Abu Hurairah ra. saya mendengar Rasulullah saw bersabda: "Allah membahagi kasih sayang menjadi seratus bahagian dan Dia menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan menurunkan satu bahagian ke bumi, dan disebabkan oleh yang satu bahagian itu, makhluk-Nya saling berkasih sayang antara satu sama lain, sehingga seekor kuda menahan kukunya daripada anaknya yang masih kecil, kerana khuatir akan menginjaknya." (Riwayat Bukhari)
Harga kasih ibu yang tidak mampu dinilai oleh sesiapa pun.
Maafkan diri ini
Kasih yang tercurah tanpa syarat
Hari ini saya sekeluarga berangkat pulang ke kota, setelah menghabis cuti di kampung halaman. Meninggalkan emak keseorangan, masih terasa hangat pelukan sesusuk tubuh yang pernah berkongsi nyawa dengan saya. Kerana saya datang dari DIA melalui dia.
Kasihan emak.
Keseorangan di kampung, melayani hari-hari kosong pada usia senja.
Termenung di malam sepi, sendirian di meja makan yang dulunya riuh rendah dengan suara anak-anak.
Kesunyian di hujung dunia yang terasing, menghitung masa-masa yang telah berlalu. Di saat teman-teman berbualnya sudah ramai yang dijemput Tuhan.
Teringat kata seorang teman: “Derhaka anak-anak pada zaman ini bukan pada melawan kata, bukan pada perangai nista. Tetapi membiarkan bonda kesunyian tanpa teman bicara.”
Saya merintih memohon keampunan-Nya atas dosa membiarkan emak kesunyian.
Masih terngiang di telinga kalimah keramat ungkapan sang murabbi: "Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lamanya. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan penuh mulia."
Daripada Umar ra. Katanya telah bersabda Rasulullah saw: “Redha Allah ada pada redha kedua-dua ibu bapa dan kemurkaan Allah ada pada kemarahan kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat Tirmidzi, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
Bagaimana mungkin redha Ilahi dapat diraih sekiranya syarat mendapat redha-Nya tidak dipenuhi?
Sentiasalah kubasahkan bibir ini dengan doa buatmu duhai ayah dan bonda
2 comments:
slm singgah ye sahabat,tersentuh hati baca entri ni.mulalah membayangkan bgmana khdpn kite sbg ibu di masa tua nti.penat lelah menjaga anak2 dgn kasih syg tak kan berakhir,tak dipinta dibalas jasa dan sebagainya.cuma berdoa agar di waktu tua anak2 sentiasa di sisi,bertanyakan khbr,makan semeja walaupan sekali sebulan cuma,tidak lupa berdoa untuk ibunya....hurmm ni yg nak nangis ni...
Hmmm..anak2 yg soleh, kita harapkan demikian.
Post a Comment