Sahabat Sejati

Saturday, 25 December 2010

Satu hari ....


Meluat rasanya melihat muka si 'lepat pisang' berhidung kemek memakai topi santa klaus sambil mulut ber'ho..ho..ho' di sebuah pusat membeli belah. Berjalan dengan bangganya sambil tangan menghulur semacam 'voucer' kepada setiap pengunjung.

Apa yang saya nampak adalah kelemahan jati diri yang membarah seumpama sarang labah-labah. Kemaruk mahu menjadi barat, barangkali. Kasihan...

Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu bahawa Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Sesungguhnya kamu akan menurut langkah orang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah bila mereka masuk lubang biawak sekali pun kamu turut menurutnya. Para sahabat bertanya: Adakah yang dituruti itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah lantas menjawab, siapa lagi kalau tidak mereka itu. [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Hukum Sambutan Hari Krimas Oleh Umat Islam

Rata-rata masyarakat di dunia ini hidup dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai penganut berbeza agama. Manakala dalam setiap agama pula mempunyai tarikh-tarikh tertentu yang dirayakan bagi memperingati sesuatu peristiwa. Keadaan yang sama berlaku dalam negara Malaysia dan beberapa buah negara di Timur Tengah.

“Christmas Day” menurut orang Kristian adalah sambutan hari ulangtahun kelahiran anak Allah di muka bumi, iaitu Jesus. Walaupun di sana ada perselisihan pendapat pada tarikh kelahirannya, tumpuan utama adalah pada diri Jesus yang telah dikorbankan oleh Allah demi menghapuskan dosa-dosa manusia. Pengorbanan sebesar ini tidak patut dilupakan begitu sahaja, maka ia diingati dengan sambutan Hari Krismas. Jelas, perayaan ini disambut bersempena dua perkara ; Pertama : Jesus sebagai anak Allah dan kedua : pengorbanan Jesus yang disalib demi menebus dosa manusia.

Persoalan : Adakah perayaan ini boleh disambut oleh orang Islam dan bagaimana jika kita hanya mengucapkan tahniah/memberikan ucapan kepada masyarakat Kristian?

Jawapan : Hukum sambutan krimas ini boleh dibahagikan kepada dua :

1) Hukum Menyambut Perayaan Krismas Bersama Orang Kafir :

Ulamak bersepakat dalam PENGHARAMAN meraikannya atau turut serta dalam apa-apa sahaja bentuk sambutan yang berkaitan dengan perayaan orang kafir termasuk perayaan Krismas. Seperti yang telah diterangkan di atas, umat Islam hanya mempunyai dua perayaan yang besar iaitu ‘Idulfitri dan ‘Iduladha.

Imam ibnu Qayyim menerangkan didalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” tentang hukum sambutan perayaan orang kafir : (TIDAK HARUS bagi orang mukmin itu menghadiri perayaan orang kafir dengan persetujuan semua para ulama. Perkara ini telah dijelaskan oleh para fuqaha’ mazhab empat dalam kitab mereka, berdasarkan hadis riwayat Imam Baihaqi daripada Umar bin Al-Khattab berkata “Janganlah kamu masuk bersama orang kafir ke dalam gereja mereka pada hari perayaan mereka, maka sesungguhnya kemurkaan diturunkan kepada mereka."

Imam an-Nawawi juga menjelaskan dalam kitabnya Al-Majmu’ akan tegahan daripada bersama-sama dengan orang kafir di dalam majlis mereka kerana perbuatan tersebut memuliakan mereka dan dikira menyamakan kemuliaan orang mukmin dengan orang kafir, maka perkara tersebut adalah tidak harus.

Antara pendapat ulama dalam mengharamkan sambutan perayaan orang kafir adalah berdasarkan beberapa dalil antaranya :

• Sambutan tersebut menyerupai orang kafir. Pengharaman ini berdasarkan hadith baginda saw yang berbunyi :

Telah menceritakan kepada kami Utsman bin Abu Syaibah berkata, telah menceritakan kepada kami Abu An Nadhr berkata, telah menceritakan kepada kami 'Abdurrahman bin Tsabit berkata, telah menceritakan kepada kami Hassan bin Athiyah dari Abu Munib Al Jurasyi dari Ibnu Umar ia berkata, "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa bertasyabuh dengan suatu kaum, maka ia bagian dari mereka." “Barangsiapa yang menyerupai (meniru) suatu kaum (yang bukan Islam), maka dia tergolong dalam golongan mereka” (Hadith ke-3512 riwayat Imam Abu Daud)

• Penyertaan atau menyambut perayaan tersebut merupakan satu daripada tanda kita menyukai dan cinta kepada mereka. Allah SWT berfirman :

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim." (al-Maidah: 51)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (saw) dan juga mengeluarkan kamu (dari tanah suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalan-Ku dan untuk mencari keredaan-Ku. (tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah ia dari jalan yang betul." (al-Mumtahanah: 1)

• Perayaan merupakan hal keagamaan dan aqidah kaum tertentu, seperti dalam hadith Nabi S.A.W. :

Telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Isma'il berkata, telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Hisyam dari Bapaknya dari 'Aisyah berkata, "Abu Bakar masuk menemui aku saat itu di sisiku ada dua orang budak tetangga kaum Anshar yang sedang bersenandung, yang mengingatkan kepada peristiwa pembantaian kaum Anshar pada perang Bu'ats." 'Aisyah melanjutkan kisahnya, "Kedua sahaya tersebut tidaklah begitu pandai dalam bersenandung. Maka Abu Bakar pun berkata, "Seruling-seruling setan (kalian perdengarkan) di kediaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!" Peristiwa itu terjadi pada Hari Raya 'Ied. Maka bersabdalah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam: "Wahai Abu Bakar, sesungguhnya setiap kaum memiliki hari raya, dan sekarang ini adalah hari raya kita." (Hadith ke-899 riwayat Imam Bukhari)

Perayaan krismas menunjukkan akan aqidah mereka yang salah serta mensyirikkan Allah, maka tidak harus kita menyertainya.

2) Hukum Mengucapkan Tahniah/Memberikan Ucapan Perayaan Kepada Mereka :

Berhubung permasalahan mengucapkan tahniah kepada orang kafir pada perayaan mereka, terdapat perselisihan pendapat ulama. Ada yang membenarkan dan ada pula yang mengharamkan tindakan ini.

Imam Ibnu Qayyim mengharamkan ucapan tahniah ini dengan katanya dalam kitabnya “Ahkam Ahli Zimmah” pada Bab Ucapan Tahniah Kepada Ahli Zimmi : (dan adapun ucapan tahniah terhadap syiar yang telah dikhusukan kepada orang kafir adalah haram secara sepakat, seperti ucapan tahniah terhadap perayaan dan puasa mereka, dengan ucapan : Eid Mubarak ‘Alaika / tahniah atas perayaan ini, atau sebagainya).

Tetapi menurut Dr Yusuf Qardawi dalam fatwanya, beliau mengharuskan tindakan ini selagi mana kita tidak menyambut perayaan mereka dan sekadar ucapan tahniah kepada mereka sebagai tanda hubungan kemasyarakatan. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah ia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu." (an-Nisaa’: 86)

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil." (al-Mumtahanah: 8)

Namun, perlu diingat bahawa ucapan yang ditujukan kepada mereka adalah suatu ucapan yang bukan digambarkan dengan keredhaan kita terhadap agama mereka tetapi semata-mata ingin menjaga hubungan dan berbuat baik kepada mereka. Sikap ini dari satu sudut menunjukkan Islam merupakan agama yang mengamalkan sikap toleransi dengan penganut agama yang lain dengan menjaga batasan syara’ yang telah ditetapkan.

Kesimpulan: Agama Islam merupakan agama yang menitikberatkan toleransi antara pengikutnya dan penganut agama lain. Namun, dalam masalah yang berkaitan dengan soal akidah, perkara ini adalah lebih utama. Berdasarkan kepada perbahasan yang telah diletakkan, kita dapat melihat penyelesaian kepada permasalahan adalah seperti berikut :

1. Haram menyambut perayaan orang kafir disebabkan kesalahan aqidah yang dianuti oleh mereka. Secara umumnya, perkara ini disamakan seolah-olah kita turut sama menyokong pendirian dan pegangan mereka.

2. Dibolehkan memberikan ucapan atau tahniah pada hari kebesaran mereka dengan syarat bukan disebabkan kita berasa gembira dengan perayaan ini tetapi hanya ingin menjaga hubungan kemasyarakatan dalam sebuah komuniti.

Apa yang paling penting ialah pendekatan yang digunakan oleh umat Islam dalam mendepani masyarakat berbeza bangsa dan agama dalam sesebuah kawasan. Cara ini perlu diberikan perhatian supaya Islam itu dapat diperlihatkan wajahnya yang indah dan kefahaman tentang suatu peristiwa itu dapat diperbetulkan.

Rujukan :

1. Al-Quran Al-Karim.
2. Sahih Al-Bukhari, karangan Muhammad Ibn Ismail Ibn Ibrahim Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah al-Bukhari.
3. Sahih Muslim, karangan Abul Husayn Muslim ibn al-Hajjaj Qushayri al-Nisaburi.
4. Sunan Abi Daud, karangan Abu Da'ud Sulayman ibn Ash`ath al-Azadi al-Sijistani.
6. Al-Majmu’, karangan Imam An-Nawawi.
7. Ahkam Ahli Zimmah, karangan Imam Ibnu Qayyim.
8. Al-Bidayah Wa An-Nihayah, karangan Imam Ibnu Kathir.
9. Tasamuh Fi Hadarah Islamiyah, karangan Dr Ikrimah Sobri.

Friday, 24 December 2010

Dimana dapat kumiliki kebahagiaan

Pernahkah kita menghitung berapa minitkah kesempatan hidup yang dimiliki setiap hari semalam?
Pernahkah kita memikirkan adakah setiap minit yang dilalui diisi dengan kebaikan atau adakah kita pernah bertanya berapa minitkah yang digunakan untuk menambah amal?

Kadang-kadang tanpa di sedari kita telah membuang percuma dan menyia-nyiakan kesempatan hidup yang amat bererti ini. Kita semua diperuntukkan sebanyak 24 jam tidak kurang dan tidak lebih, tidak ada yang mendapat lebih 25 jam tidak juga yang mendapat 23 jam. Semuanya sama 24 jam, jangka masa yang panjang untuk kita meraih kebahagian dan ketenangan hidup.

Tanpa ketenangan jiwa, manusia akan menghadapi banyak risiko bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti rungsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat berfikir dengan waras.

Mencari kebahagian dan ketenangan

Kebahagian dan ketenangan hidup adalah dambaan setiap manusia. Tidak ada yang menolak kebahagiaan. Jika ditanya apakah mereka mahukan kebahagiaan dan ketenangan , pasti mereka akan menjawab "ya, kami mahukannya, kami benar-benar memerlukannya." tapi bagaimana?

Ada yang beranggapan kebahagiaan hadir apabila mempunyai harta yang banyak, rumah yang besar, pangkat dan kedudukan. Ada yang rasa bahagia jika ada pengaruh dan ramai pengikut. Benarkah demikian? Cuba lihat berapa ramai yang memiliki semua itu tetapi adakah mereka semua bahagia, adakah mereka memiliki ketenangan, belum pasti.

Sesungguhnya kunci kebahagiaan dan ketenangan jiwa adalah dengan menghindari dosa dan maksiat. Bukankah ia termasuk dalam asas kehidupan, disamping kenikmatan dan kebahagiaan? Dengan meninggalkan dosa dan maksiat mereka akan menjadi orang yang beruntung dan bahagia.

“Daripada al-Nawwas bin Sam’aan Radiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” [Hadith Riwayat Muslim]

Marilah sahabat sekelian kita muhasabah diri, peruntukkan sedikit masa sebelum tidur untuk menyoal diri kita apakah dalam 24 jam hari ini kita telah menunaikan kewajipan yang telah diperintahkan. Jika "ya" alhamdulillah kita bersyukur kepada Allah. Tetapi jika jawapannya kurang maka mintalah ampun dan bertaubat kepada-Nya. Tingkatkanlah ketaqwaan dan mutu ibadah kerana daripada Dialah kita mendapat sumber kekuatan bagi menghadapi segala sesuatu.

Perhatikanlah firman Allah SWT ini:

"Wahai manusia, telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa), dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman." (Yunus: 57).

"Dan kami turunkan al-Quran yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." (al-Isra`: 82)

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (al-Ra‘d: 28)

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah." (al-Zumar: 23)

Sesungguhnya setiap penyakit itu ada ubatnya.

Anda ada jawapannya?

Thursday, 23 December 2010

Melihat Allah di hari akhirat

Soalan:

Masalah melihat Allah dengan 'mata kepala' menjadi pertengkaran yang tiada kesudahannya. Yang kata boleh melihat Allah menggunakan alasan al-Quran dan as-Sunnah, golongan yang kata tidak boleh juga menggunakan alasan yang sama. Mana satu yang boleh diterima pakai. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Masalah yang anda kemukakan sepatutnya tidaklah sampai kepada tahap pertengkaran yang mengundang pecah belah dan masam muka.

Perkara ini bukan perkara besar dan kalau pun berlaku masalah yang disebut sebagai melihat Allah SWT itulah bukanlah masalah di dunia ini, tetapi ianya masalah di akhirat nanti. Sesudah akhirat nanti, barulah kita tahu, boleh atau tidak kita melihat Allah.

Oleh kerana itu pada saya, jika wujud pertengkaran sebagaimana yang anda utarakan, ianya tidak akan memberi manfaat apa-apa selain mengundang perpecahan.

Firman Allah (mafhum-Nya): "Pada hari akhirat itu, wajah-wajah (orang mukmin) berseri-seri; melihat kepada Tuhannya". (Surah al-Qiyamah: 22-23)

Mengenai perkara ini, banyak perbincangan dan pendapat dikalangan ulama. Tetapi jelas pada ayat ini bahawa Allah SWT akan memberi peluang kepada orang-orang yang beriman, melihat-Nya pada hari kiamat.

Untuk mengendurkan ketegangan atau merungkaikan permasalahan yang anda hadapi, bolehlah saya tumpang perjelaskan bahawa. "Orang yang mengatakan Allah tidak boleh dilihat, adalah berpandukan ayat al-Quran sebagaimana firman Allah (mafhum-Nya): "Yang demikian (sifat-sifat-Nya dan kekuasaan-Nya) ialah Allah Tuhan kamu, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, maka beribadatlah kamu kepada-Nya. Dan ingatlah Dialah yang mentadbir segala-galanya. Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata). Dan Dialah Yang Maha Halus, lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya." (Surah al-An`am: 102-103)

Ayat tersebut adalah ditujukan kepada semua makhluk yang berada di dalam dunia hari ini. Makhluk-makhluk keseluruhannya, ada mata yang boleh melihat, tetapi untuk melihat ke alam akhirat ini dinafikan Allah untuk melihatnya.

Secara tabiinya, kejadian makhluk Allah, diletakkan tutupan atau penghalang bahawa mereka tidak boleh melihat Allah sama sekali.

Sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah saw (mafhumnya): "Seandainya Allah membuka hijab (penutup mata) manusia di dunia ini, maka bolehlah mereka melihat Allah."

Oleh kerana hijab atau penutupan itu tidak dibuka, maka semua pandangan makhluk kepada Allah, terhalang.

Adapun hujah lain, dalam sebuah hadis Nabi saw bersabda (mafhumnya): "Sembahla Allah, seolah-olah kamu melihat Allah, kalau kamu tidak dapat juga melihat Allah, maka Allah melihat kamu."

Hadis ini merujuk kepada penglihatan mata batin ataupun hati terhadap kebesaran dan keagungan Allah, bukan dengan melihat dengan mata kepala.

Inilah juga, jika kita merujuk kepada peristiwa yang berlaku kepada Nabi Musa as. Nabi Musa tatkala diperintahkan mengadap Allah, sehingga boleh bercakap dengan Allah SWT, baginda memohon untuk melihat Allah dengan mata kepalanya.

Allah SWT menjawab kepada Nabi Musa, "Kamu tidak boleh melihat Daku."

Kisah sepenuhnya disebut oleh Allah dalam firman-Nya (mafhum): "Dan tatkala Nabi Musa datang pada waktu yang telah Kami tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata; "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu. Allah berfirman; "Engkau tidak sekali-kali tidak akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku." Setelah Allah Tajalla (menzahirkan kebesaran-Nya, kepada gunung itu, maka gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: "Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman." (surah al-A`raaf: 143)

Mengikut sesetengah mufassirun, Allah bukan menampakkan diri-Nya kepada bukit, kerana bukit tidak melihat Allah dengan matanya, kerana bukit tiada mata seperti manusia.

Apa yang berlaku kata mufassirun, Allah sekadar mempamerkan Keagungan dan Kehebatan-Nya kepada bukit, sehingga bukit yang pejal dan kukuh hancur luluh.

Bayangkan jika Allah tunjukkan yang seperti itu kepada Nabi Musa atau kepada manusia, tanpa ada perisai atau pelindung, tentulah Musa walaupun rasul, pasti akan hancur berkecai.

Kerana itulah Nabi Musa as yang diberi keizinan untuk bercakap dengan Allah, pun tidak dibenarkan melihat Allah di dunia, bagaimana kita atau yang selain daripada Nabi Musa, boleh melihat Allah?

Pada saya, cukuplah kita dengan pegangan, bahawa masalah ini terlalu akademik, dan terlalu relatif. Usahlah diperbahaskan atau dipanjang bicarakan.

Tunggulah di hari akhirat nanti, dengan izin Allah SWT, kita boleh melihat Allah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday, 22 December 2010

Dalam al-Ma`arij ada ingatan

Sesungguhnya mereka memandang (azab itu) jauh sekali.
Sedangkan kami memandangnya amat dekat (tetap akan berlaku).
Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair.
Dan gunung-ganang menjadi seperti bulu (yang berterbangan).
Dan tidak ada seorang teman akrab pun yang menanyakan temannya.
Mereka saling melihat (antara satu dengan yang lain). Orang yang berdosa pada hari itu ingin anak-anaknya menebus (dirinya) daripada azab itu.
Dan isteri serta saudaranya.
Kaum keluarga yang melindunginya.
Dan orang-orang yang ada di atas bumi, maka (semua itu) diharapkannya dapat menyelamatkannya.
Tidak sekali-kali. Sesungguhnya neraka itu api yang menyala.
Yang menggugurkan kulit kepala.
Yang memanggil orang yang membelakangi dan yang memalingkan mukanya.
Dan orang yang mengumpulkan (harta) dan menyimpannya.”

(al-Ma`arij: 6 - 18).

Demikianlah di antara peringatan hari kiamat yang disebut di dalam al-Quran. Sesungguhnya cara yang terbaik untuk mempelajari perihal kiamat ini adalah dengan merujuk kepada al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah saw. Mempelajari perihal kiamat ini ialah sebagai satu peringatan agar manusia tidak lalai dan hanyut dalam angan-angan yang panjang dan serta hidup semata-mata untuk membangun dunianya sahaja.
Lihatlah apa yang berlaku pada zaman sekarang, manusia rakus mengejar kemewahan dan kebendaan seolah-olah lupa pada ketentuan yang pasti ini.

Islam tidak menghalang umatnya mencari kekayaan, tetapi biarlah kekayaan itu tidak menghalang dari mengingati Allah. Malahan Islam menggalakkan umatnya menjadi kaya kerana dengan kekayaan itu dia dapat berperanan sebagai juruwang kepada saudara yang miskin melalui zakat, sedekah, infaq dan sebagainya. Demikianlah yang kaya menjadi pembantu yang miskin, yang kuat menjadi pelindung kepada yang lemah, yang alim menjadi sumber ilmu kepada yang jahil. Bukankah Islam itu saling lengkap melengkapi?

Akhir kalam, ingatlah kehidupan ini adalah satu pelayaran menuju destinasi yang pasti. Dunia hanyalah sementara dan tempat untuk kita menyemai bekalan. Semailah sebanyaknya bekalan agar kita dapat menuai di sana.

Semoga kita semua mendapat petunjuk dari-Nya.

Tuesday, 21 December 2010

Umpama sarang labah-labah


Petang yang mendamaikan, di tepi perigi berhampiran pagar yang banyak menyimpan kenangan semasa kecil. Suka dan duka.

Sungguh asyik saya memerhatikan sang labah-labah membina rumahnya. Ia membina rumahnya dengan benang-benang halus yang dihasilkan tubuhnya dan disulam menjadi sebuah jaring. Ia melempar benang yang dipintalnya ke udara lalu aliran udara ini membawanya ke tempat tertentu dimana ia menempel. Lalu kerja menyusun benang-benang itu dimulai. Mula-mula labah-labah menarik tegang benang dari titik pusat ke arah luar untuk mempersiapkan rangkanya. Kemudian menggunakan benang jenis kendur yang melekat untuk membuat lingkaran dari arah luar ke dalam. Benangnya di susun dan dianyam dengan rapi untuk membentuk satu jalinan yang tersusun, cantik.

"Subhanallah...subhanallah..." itulah yang termampu saya ucapkan dengan akal yang pendek dan terbatas ini.

Rumah labah-labah

Anda tentu biasa melihat sarang labah-labah. Ianya mudah ditemui dan terdapat di mana-mana hatta di dalam rumah kita. Tidak ada orang yang suka kepada sarang labah-labah kerana mencacatkan pemandangan, dan menandakan sesuatu itu telah usang dan lama apabila sudah dilitupi sarang labah-labah.

Allah SWT berfirman:

"...dan sesungguhnya rumah-rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah, kalau mereka mengetahui." (al-Ankabut: 41)

Allah SWT menyebut bahawa sarang labah-labah adalah rumah yang paling lemah. Mengapa? Perhatikan, lemah kerana ia paling gagal berfungsi sebagai rumah kerana tidak dapat memelihara penghuninya daripada panas matahari dan siraman hujan. Malah jika dirempuh ranting atau dibaling batu kecil pun, rumah ini akan musnah dengan mudah dan tidak akan memberikan perlindungan kepada labah-labah lagi, maka ia terpaksa membina semula rumahnya. Demikianlah keadaannya. Bagaimana pula aqidah yang seumpama sarang labah-labah?

Islam adalah agama yang berteraskan aqidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah SWT kemudian di ikuti kepada malaikat-Nya, Rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat dan keyakinan kepada qada` dan qadar dari-Nya. Hasil dari keyakinan inilah, lahirnya kesedaran, kesanggupan dan ketaatan dalam melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Ini dapat dilihat dalam sejarah dakwah Rasulullah saw yang berusaha menanam aqidah yang mantap kepada para sahabat ketika di Makkah. Selama 13 tahun Rasulullah saw mengajar dan mendidik mereka sehingga lahir dikalangan mereka yang sanggup mempertahankan Islam tanpa berbelah bagi. Kita biasa mendengar nama-nama seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Bilal bin Rabah, Mus`ab bin Umair dan ramai lagi. Mereka membuktikan keimanan mereka yang sejati dan ini tidak mungkin berlaku tanpa aqidah yang mantap dan kukuh.

Dalam kehidupan di zaman yang amat mencabar ini, kita haruslah memastikan aqidah diri, keluarga serta masyarakat ditanam dengan kukuhnya. Tetapi ini semua bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak faktor yang menyumbang ke arah kerosakan aqidah kini. Kita lihat kebejatan akhlaq dan moral serta pemujaan budaya hedonisma yang melampau-lampau dikalangan masyarakat kini. Cuba lihat di televisyen program realiti TV "macam-macam ada" ada untuk kanak-kanak, ada untuk remaja, ada untuk orang dewasa dan untuk yang dihujung senja pun ada.

Kita amat bimbang kerana ini adalah jarum suntikan yahudi untuk melekakan umat Islam. menurut satu artikel yahudi menggunakan beberapa strategi untuk merosakkan pegangan umat Islam serta menjuhkan mereka dari pegangan agamanya. Strategi tersebut dikenali sebagai 5F-4S:

-Film
-Family
-Fashion
-Fun
-Food

-Song
-Sex
-Smoke
-Sport

Berhati-hatilah sahabat semua, mantapkanlah aqidah dan keimanan kita kepada Allah SWT. Percayalah hanya Islam yang boleh membawa kepada kebahagian. Islam sahaja yang dapat menyelamatkan kita di dunia dan akhirat.

Lebih memerhati

Oleh itu perhatikanlah ciptaan Allah agar kita dapat mengambil pengajaran dan pelajaran. Sesungguhnya segala ciptaan Allah itu tidak sia-sia, pasti ada manfaat dan gunanya. Hanya kita sahaja yang tidak mengetahui dan memahaminya. Inilah yang Allah maksudkan dalam surah Ali-Imran ayat 191: "Mereka yang sentiasa mengingati Allah dalam waktu berdiri, waktu duduk dan waktu berbaring dan mereka sentiasa memikirkan tentang kejadian langit dan bumi, seraya mereka berkata "Wahai Tuhan kami, tidak engkau jadikan semua ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka jauhkanlah kami dari azab neraka".

Subhanallah! Maha Suci Allah yang bersifat dengan Maha Bijaksana, hanya menggunakan labah-labah yang dikenali oleh siapa sahaja sebagai perumpamaan menggambarkan kerapuhan aqidah dan iman golongan yang menurut hawa nafsu ini sebagai metode paling mudah untuk difahami. Labah-labah adalah haiwan kecil berkaki lapan yang memerangkap serangga sebagai makanannya dengan jaring yang juga rumahnya.

Semoga kita semua lebih memerhati...

Sunday, 19 December 2010

Cetusan rasa: Aku hanyalah sebutir pasir

Aku yang tersirat
Hanyalah sebutir pasir yang lemah dan kerdil
Berserakan di dataran tandus dan kontang

Aku yang tersurat
Hanyalah si jahil yang kosong tanpa lorekan warna
Bagai setitis dengan selautan

Masih mahu meninggi diri?


Cetusan rasa abuikhwan
Kuantan Pahang

Saturday, 18 December 2010

Seloka perjalanan hidup

Dalam meniti arus kehidupan ini, setiap insan tidak terlepas dari mendaki tingkat-tingkat perubahan. Demikianlah sebagai mematuhi sunnatullah yang azali.

Demikianlah pantasnya masa berlalu, silih berganti malam dan siang. Pejam dan celik.

Ketika dulu dia tiada, lalu dengan kudrat dan iradat-Nya di hadirkan ke dunia ini. Setelah berjanji taat setia:

Tika ditanya, “Bukankah Aku ini adalah Tuhanmu”
“Benar! Bahkan aku menyaksikan” jawabnya

Tanpa ada pilihan, dia meninggalkan alam rahim, alam kasih sayang. Biarpun terpaksa, walau melansing tangisan. Namun apakan daya...

Maka lahirlah dia sebagai bayi yang tidak mengerti apa-apa. Tanpa seurat benang, tanpa sebarang bekalan, hadirnya begitulah keadaan. Tangisannya disambut dengan tawa gembira ibu dan bapa. “Syukur pada-Mu ya Allah,” bisik hati kecil mereka.

Dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, dipercikkan sedikit sifat itu ke dalam hati ibu dan bapa, lalu dia dibelai sepenuh raga. Dia dijaga bagai putera raja. Mana mungkin dihinggap walau seekor serangga berduri. Indahnya ketika ini. Dia kata inilah duniaku...

Kemudian tanpa sebarang pilihan, dia dipaksa menjadi kanak-kanak. Rela atau tidak terima sahaja, itulah kiraannya. Rupanya zaman ini penuh ceria, penuh tawa dan ria. Bermain, berlari, berkejaran ke sana ke sini tiada runsing di hati. Dia kata inilah duniaku...

Namun, zaman itu terpaksa jua dia tinggalkan. Jika ada pilihan, dia kata ingin selamanya di zaman itu. Menjadi kanak-kanak sepanjang masa. Apakan daya...dirinya tiada kuasa. Zaman itu ditinggalnya jua.

Menginjak usia muda remaja, dia rasa inilah hidup yang dicari. Bebas, ke mana pergi mengikut fikirannya sahaja. Bersama rakan sebaya dia rasa bagai berkuasa. Ibu dan bapa sekadar melihat sahaja. Anakmu usah ditegur, kerana dia berkata, “aku orang muda.”

Tetapi awas anak muda, zaman ini penuh liku dan pancaroba. Zaman ini tidak kenal siapa. Siapa yang lalai buruk padahnya.

Dijawabnya pula, “aku peduli apa.”

Dia kata inilah duniaku sebenarnya...

Meniti usia menuju dewasa. Kamu semua ikut kataku, kerana kini aku telah dewasa.
Lalu hiduplah dia di zaman manusia berlumba-lumba menyelitkan diri di celahan kebendaan, mungkin juga di celahan kerosakan. Inilah duniaku...

Saat kematangan diri mula menjelma. Kini dia menjadi ketua keluarga. Kepada pewarisnya dia selalu berkata, “jangan jadi seperti bapa, dulu bagaikan dunia ana yang punya. Ke sana ke mari bebas seadanya. Bebas...bebas...

Sekarang apa yang ada?? Sesal sekarang tiada berguna. Namun jalan pulang masih ada, seumpama rahmat dan keampunan-Nya sentiasa terbuka.

Menginjak usia menuju senja.

Badan mulai lemah, tenaga hanya sekadar sahaja. Rambut banyak yang putih dari yang hitam. Mata mulai kabur. Gigi banyak yang gugur. Saat itu mula teringat kepada janji taat setia:

Tika ditanya, “Bukankah Aku ini adalah Tuhanmu”
“Benar! Bahkan aku menyaksikan” jawabnya.

Maka habiskan masa hanya untuk-Nya.

Ibnu Abid Dunya meriwayatkan dengan isnadnya dari Mujahid, ia mengatakan: "Tak satu pun hari kecuali mengatakan, wahai anak Adam! Hari ini aku masuk ke dalam kehidupanmu dan tidak akan kembali kepada kehidupanmu setelah hari ini."

Sesungguhnya hari yang berlalu, maka ianya akan dilipat dan disimpan dan akan dibuka kembali pada hari akhirat. Maka sebanyak mana hari yang kita habiskan di dunia dahulu, sebanyak itulah yang akan dibentang di hadapan Allah SWT dan akan menceritakan perilaku kita. Baikkah atau burukkah akhlaq kita? Bakhilkah kita atau pemurahkah kita? Semuanya diceritakan oleh hari yang menjadi tetamu di dunia dahulu.

Diceritakan dari mula kita dilahirkan, tangisan ketika bayi. Zaman kanak-kanak, kenakalan, kelucuan dan kesedihan sehinggalah menginjak dewasa, sehinggalah ketika usia senja. Diceritakan bagaimanakah kepedulian dan layanan kepada-Nya, taat atau ingkar. Sehinggalah diceritakan saat kematian dan bagaimana kita menghadapinya.

Semuanya diceritakan dengan jujur tanpa disembunyikan walau sebesar zarah pun.

"(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekali pun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit ataupun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya) kerana sesungguhnya Allah Maha Halus PengetahuanNya lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi." (Luqman: 16)

Friday, 17 December 2010

Pelik, kenapa unta nabi Saleh jadi mukjizat?

Soalan:

MUKJIZAT adalah sesuatu yang unik untuk membuktikan benarnya dakwaan seseorang Rasul, bahawa dia benar-benar seorang Rasul, seperti benarnya tongkat Nabi Musa as. bertukar menjadi ular. Al-Quran juga adalah mukjizat yang tiada tolok bandingannya. Akan tetapi saya pelik, bagaimana unta boleh menjadi mukjizat kepada Nabi Saleh as. Bukankah unta itu haiwan biasa yang terdapat di mana- mana negeri Arab. Bagaimana boleh unta menjadi mukjizat? Jelaskan.

Jawapan:

Mukjizat adalah sesuatu yang benar. Ia anugerah Allah kepada setiap Rasul utusan-Nya.

Semua mukjizat kepada Rasul-Rasul adalah sebagai bukti nyata kerasulan mereka pada zaman mereka sahaja.

Setelah mereka kembali kepada Allah, mukjizat itu juga hilang. Melainkan kesan kepada tempat-tempat berkenaan sahaja yang dapat dilihat sehingga ke hari ini. Kecuali al-Quranul karim, ia mukjizat dari dahulu, kini dan selama-lamanya.

Unta Nabi Saleh as. adalah mukjizat Allah kepada umat Nabi Saleh untuk membuktikan bahawa baginda benar-benar Rasul yang diutuskan.

Ceritanya tertera di dalam al-Quranul karim, terdapat dalam surah al-A`raaf dan beberapa surah lain.

Kesimpulan ceritanya, Nabi Saleh as. menyeru kaum Tsamud kepada agama Allah. Menyeru mereka menyembah Allah Yang Esa. Kaumnya ingkar, akhirnya mereka meminta bukti daripada beliau, agar mengeluarkan seekor unta betina yang bunting sepuluh bulan dari sebuah batu besar di tepi sebuah bukit.

Mereka mensyaratkan pula kepada Nabi Saleh, unta itu setelah keluar dari batu besar melahirkan anaknya di hadapan mereka. Unta itu pula hendaklah pula meminum dari perigi yang ada di tempat tersebut.

Setelah meminum dari perigi tersebut, handaklah ianya mengeluarkan susu, yang sebanyak mana air diminum. Dengan itu susu unta boleh diminum oleh seluruh penduduk kampung.

Permintaan kaum Tsamud itu ditunaikan oleh Allah SWT kepada nabi-Nya seperti yang mereka minta.

Allah menceritakan perihal ini di dalam al-Quran: "Nabi Saleh berkata: "Ini adalah seekor unta betina, (di antara cara-cara hidupnya ialah) air kamu hendaklah menjadi bahagian minumnya sehari, dan bahagian kamu sehari, menurut giliran yang tertentu.
Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya; (jika kamu menyakitinya) maka akibatnya kamu akan dibinasakan oleh azab seksa hari yang besar (huru-haranya). Akhirnya mereka menikam mati unta itu, kemudian mereka menyesal (setelah melihat kedatangan bala bencana). (asy-Syua'raa: 155-158)

Kemukjizatan unta itu adalah daripada kisah lahirnya. Ia tidak beribu atau berbapa. Ia lahir daripada seketul batu besar, atas cabaran kaum Nabi Saleh.

Lahinya pula secara tiba-tiba. Mereka meminta yang bunting. Melahirkan anak di hadapan mereka. Meminum air yang mereka tetapkan dan mengeluarkan susu yang banyak. Semuanya berlaku.

Nabi Saleh mengingatkan kaumnya bahawa ini adalah unta Allah. Maksudnya unta khusus sebagai anugerah Allah sebagai mukjizat kerasulannya. Nabi Saleh mengingatkan mereka jika mereka menyakitinya, kelak bala Allah akan turun menimpa mereka.

Kaum Tsamud membunuhnya, maka bala Allah pun turun. Itulah mukjizat unta yang boleh dijadikan renungan, bahawa Allah SWT berkuasa apa sahaja untuk mengemukakan bukti benarnya Rasul utusan-Nya, dengan mukjizat yang diberikan kepada Nabi-Nya, tidak ada mana-mana insan atau makhluk yang boleh menyamai atau meniru keadaan tersebut.

Itulah dia mukjizat unta yang dipanggil unta Allah dan ia adalah satu mukjizat yang membuktikan benarnya kerasulan Saleh as. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din
Harakah bilangan 1585

Wednesday, 15 December 2010

Cover your AURAT CAMPAIGN

Terima kasih kepada saudari Aleasara Yang telah sudi berkongsi`Cover your AURAT CAMPAIGN` ini. Ianya telah dianjurkan oleh saudara Asyfiqaz. Alhamdulillah satu kempen kesedaran yang amat baik. Semoga kita semua beroleh kebaikan dari-Nya.



KEMPEN menutup aurat. Apa yang anda rasa jika ayat ini menerjah di minda. Anda bersetuju, atau tidak mahu mengambil tahu kerana anda ada banyak kerja lain yang hendak dibuat? Atau anda rasa terganggu kerana itu hak masing-masing, human right?

Mengapa mesti menutup aurat. Adakah dengan menyuruh menutup aurat atau menggalakkan bertutup litup dianggap menceroboh private life seseorang? Ada juga yang berkata, "Kenapa mesti memakai tudung, sedangkan Tuhan yang menciptakan rambut kemudian disuruh tutup pula, tak masuk akal..." sinis sahaja bahasanya skeptik pun ada. Bagaimana mahu menerangkan kepada mereka yang begini, tidak perlu menyalahkan mereka. Mungkin mereka ada masalah yang tersendiri, kejahilan, masalah keluaraga atau kehidupan silam. Oleh itu mari kita ambil pendekatan menerang bukan menyerang. Kita hulurkan tali bukan libas dengan cambuk api.

Buah akal dan logik, kerap memeningkan kepala

Rasanya jika disuapkan dengan nas al-Quran dan hadis belum tentu dapat diterima, kerana persoalan pokoknya belum selesai. Seumpama ada orang berkata untuk hidup ceria hendaklah senyum setiap pagi. Mana mungkin seseorang boleh menguntum senyum setiap pagi tanpa bersebab.

Justeru itu, untuk menyelesaikan masalah aurat ini kita kena kembali kepada persoalan pokok iaitu matlamat hidup. Setiap manusia pasti mempunyai matlamat hidup, kerana dengannya dia dikatakan mempunyai impian cita-cita. Adakah sesiapa yang tidak mempunyai matlamat hidup.

"Aku hidup sekadar ini sahaja, makan, minum, bekerja, berlibur. Sampai ajal mati jadi tanah." Itu sahaja. Jika ditanya pula apakah malamat hidup anda, mungkin ada yang menjawab.

"Saya mahu menjadi jutawan, income RM15K sebulan."

"Aku mahu hidup senang tiada masalah, pergi melancong ke mana-mana."

"Saya mahu beli kereta besar, rumah besar dan bermacam-macam besar lagi."

Adakah itu dikatakan matlamat hidup. Mungkin "ya" bagi sesetengah orang, tetapi itu bukanlah matlamat yang hakiki. Lihat berapa ramai yang telah memiliki semua itu tetapi hidup masih kosong dan samar. Berapa ramai yang mencapai puncak kehidupan yang didaki tetapi masih lagi berkata, "Apa yang aku cari dalam hidup ini?"

Apakah matlamat hidup kita? Semuanya sudah terjawab di alam roh dahulu.

"Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku," (adz-Zariyaat: 56)

Ya, inilah matlamat hidup kita, menghadirkan rasa bertuhan di dalam diri. Rasa bertuhan mestilah setiap masa dan ketika, tunduknya, patuhnya dan taatnya bukan sekadar di atas tikar sembahyang atau di dalam masjid. Bukan sahaja, keluar dari masjid "bye-bye Tuhan". Bukan begitu.

Jika konsep rasa bertuhan, rasa dimiliki dan rasa seorang hamba boleh diterima, maka persoalan menutup aurat tidak lagi menjadi masalah.

Satu analogi

Kita perhatikan bagaimana 'trend' sesebuah organisasi, jabatan, malahan restoran hebat hari ini pasti meletakkan 'dress code' atau etika berpakaian tertentu bagi kakitangannya. Ianya pasti bertujuan untuk menjaga standard bagi organisasi tersebut. Contohnya, kita tidak akan dapat melihat individu yang berselipar jepun atau berkain pelikat di sebuah persidangan antarabangsa seperti PBB, WHO dan sebagainya. Semuanya menjaga standard.

Jika sesuatu organisasi mempunyai standard yang sedemikian, apatah lagi Islam yang merupakan satu agama dan cara hidup yang profesional, tentunya mempunyai standard yang lebih lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Islam tidak menolak fesyen kerana memang fitrah manusia untuk bergaya dan kelihatan menarik, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh Islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.

Justeru itu marilah kita mencelikkan pandangan hati untuk mencari kebenaran. Kita datang dari-Nya maka sudah pasti Dia mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Setiap perintah dan larangan ada hikmah yang kadang-kadang kita mengetahuinya dan banyak pula yang kita jahil terhadapnya. Oleh itu marilah kita hadirkan rasa dimiliki kerana Dia yang memiliki, kitalah hamba, Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa.

Katakan Tak Nak!
Setiap selakan mengundang dosa
Anda mampu mengubahnya!

Seterusnya saya meng`tag` sahabat saya untuk sama-sama menyokong kempen ini. Harap-harap mereka suka...


Seeru `ala barakatillah

Monday, 13 December 2010

Bicara santai: Suka duka kehidupan


Kadang-kadang hidup ini amat meletihkan, serabut dan merimaskan. Kadang-kadang terasa seronok, lucu dan menggembirakan. Ada ketikanya kehidupan ini terasa hiba, sedih dan mendukacitakan. Mengapa...

Inilah asam garam, rencah dan rempah kehidupan. Adakala suka dan adakalanya berduka. Kadangkala merimaskan, resah dan gelisah. Apabila digaul dan diuli kesemuanya maka terasa lengkaplah kehidupan seorang manusia, ada perasaan gembira, sedih, serabut, cemas dan sebagainya. Demikianlah corak kehidupan.

Mana mungkin seorang manusia yang gembira sepanjang hidup tanpa ada hari berdukacita. Begitu juga tiada manusia yang setiap hari berendam airmata duka tanpa ada hari yang ceria. Demikianlah Allah SWT menciptakan manusia dan dibekali dengan sifat sedih, gembira, sayang, malu, malas dan sebagainya. Fitrah manusia memang begitu.

Rasulullah saw sebagai manusia terpilih juga ada hari yang gembira dan ada masa-masa berdukacita.

Di antara senda gurauan Rasulullah saw ialah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hasan:

Seorang perempuan tua telah datang kepada Rasulullah saw lalu berkata, "Wahai Rasulullah! Berdoalah kepada Allah SWT supaya aku dapat masuk syurga. Maka Rasulullah saw bersabda, "Wahai ibu! Sesungguhnya orang tua tidak boleh masuk syurga. lalu menangislah perempuan tua itu. Dengan segera Rasulullah saw bersabda, "Khabarkan kepada perempuan tua itu bahawa sesungguhnya dia tidak akan masuk syurga dalam keadaan dia tua. Lalu dibacakan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa serta kami jadikan mereka sentiasa dara yang tetap menjadi jodohnya serta yang sebaya umurnya." (at-Tirmidzi dan Baihaqi)

Kesedihan Rasulullah saw juga diceritakan di dalam satu riwayat:

Para sahabat bersama Rasulullah SAW menjenguk puteranya, Ibrahim yang ada di sisi ibu susuannya. Maka beliau mengambilnya, lalu menciumnya. Tidak lama kemudian para sahabat masuk menemuinya, dan mereka dapati Ibrahim telah pulang ke rahmatullah.

Maka nampaklah kedua mata Rasulullah saw berlinang airmata.
Maka berkata Abdul Rahman bin A`uf: "Ya Rasulallah, engkau menangis?" Lalu Rasulullah saw menjawab: "Sesungguhnya inilah tanda kasih sayang. Sesungguhnya berurai airmata sedangkan kalbu berdukacita. Dan kami tidak menyatakan melainkan kata-kata yang diredhai Allah. Sesungguhnya kami berdukacita dengan sebab kepulanganmu wahai Ibrahim." (Muttafaq `alaihi).

Teruskan kehidupan

"Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan. Dan Dia berkuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan kematian dan kehidupan, supaya Dia menguji kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dan Dia Maha Kuasa lagi Maha Pengampun." (al-Mulk: 1-2)

Teruskanlah kehidupan ini dengan penuh ketabahan. Sama ada gembira ataupun berduka, hadapilah dengan penuh kesabaran. Semuanya adalah ujian dari Allah SWT untuk melihat penerimaan hamba-Nya. Apakah redha atau tidak. Ingatlah ujian Allah SWT adalah dari sifat kasih sayang-Nya.

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia layak diuji. Bukankah AKU seorang hamba? Seorang hamba sememangnya layak diuji. AKU harus akur dengan ketentuan, akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa AKU yang diuji? Kenapa AKU, bukan orang lain? Tidak layak sama sekali AKU berkata demikian. Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa AKU layak diuji akan menyebabkan AKU berasa tenang dan tenteram, hati gembira tiada kesedihan kerana ujian.

"Jika tidak diuji dengan kesedihan, kita tahu nikmatnya gembira. Jika tidak diuji dengan kesibukan, tidak kita tahu betapa nikmatnya lapang. Jika tidak diuji dengan kegelisahan, kita tidak tahu betapa besarnya erti ketenangan."

Alangkah bahagianya mereka yang menerima segala ketentuan dengan rela. Alangkah bahagianya mereka yang dapat meletakkan dirinya sebagai manusia yang gagah dikala susah dan senang, suka dan duka.

“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” (At Taubah: 51)

Tidakkah kita merasa tenang?

Sunday, 12 December 2010

Suami langgar sumpah, kahwin lagi

Soalan:

Ini adalah masalah peribadi tetapi boleh dikongsi pengajarannya. Suami saya berkahwin seorang lagi. Kami bergaduh besar di hadapan anak-anak dan berakhir dengan suami saya melafazkan talak tiga ke atas isteri barunya, dan diikuti dengan sumpah bahawa dia tidak akan berkahwin lagi selepas itu hinggalah dia mati. Tetapi selepas enam bulan kemudian, terbongkar lagi rahsianya dia berkahwin lagi. Apa jadi dengan sumpahnya? Suami saya sekarang ini menghadapi sakit ganjil kononnya dimakan sumpah.

Jawapan:

Sumpah yang suami anda buat itu sumpah yang bagaimana, adakah sumpah syarie, atau cakap kosong (sumpah lagha), seperti katanya, "Sumpah aku tak akan kahwin lagi hingga aku mati" atau kalimah seumpama dengannya. Sumpah yang seumpama ini bukanlah sumpah syarie tetapi lagha dan tidak ada sebarang kesan, "lagh ul yamin" sumpah tak pakai.

Akan tetapi kalau ia benar-benar bersumpah dan bukan main-main dengan menggunakan lafaz sumpah syarie, seperti memulakan sumpah dengan wallahi, wabillahi, watallahi atau satu sahaja daripada tiga lafaz itu dan sambung dengan "saya tidak akan kahwin lagi hingga mati", maka itu sumpah sempurna yang ada hukum-hakam, di dalam al-Quran.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Maaidah ayat 89, Allah berfirman yang bermaksud "Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpah kamu yang tidak disengajakan untuk bersumpah, akan tetapi Dia akan menghukum kamu disebabkan sumpah yang benar-benar kamu bersumpah (sungguh-sungguh bersumpah) maka jika dilanggar sumpah itu maka kafarahnya (dendanya) memberi makan kepada sepuluh orang miskin daripada jenis makanan yang kamu biasa beri kepada keluarga kamu atau memberi pakaian kepada mereka ataupun memerdekakan seorang hamba yang beriman, ataupun jika tidak dapat melaksanakan kafarah tersebut maka hendaklah dia berpuasa tiga hari demikianlah itu kafarah untuk menebus sumpah kamu, dan apabila kamu bersumpah peliharalah sumpah kamu dengan tidak melanggarnya, demikianlah Allah jelaskan kepada kamu hukum-hukumnya agar kamu bersyukur kepadanya..."

Namun demikian menurut hukum syarak kalaulah seseorang itu bersumpah kerana ada keperluan maka bersumpahlah untuk mentaati perintah Allah seperti mahu bangun solat tahajjud, atau berpuasa sunat, atau bersedekah untuk fakir miskin atau pun sebagainya kerana Allah, itulah yang baiknya dalam sumpah.

Adapun seseorang yang bersumpah untuk tidak melakukan perkara yang dituntut syarak, seperti sumpah tidak akan berkahwin langsung, atau bersumpah tidak akan ke masjid, ataupun bersumpah tidak akan bersolat, maka syarak menyarankan langgarilah sumpah itu kerana melakukannya adalah lebih baik dari mentaati sumpah yang berlawanan dengan hukum syarak, jika melanggari sumpah tersebut maka bayarlah kafarah kerana melanggari sumpah tersebut.

Membayar kafarah sumpah bukan satu kerugian kerana ia sebahagian ibadah, bagi kes yang dirujuk tadi suami anda mungkin ada keperluannya untuk berkahwin lagi, jika ada keperluan untuk berkahwin lagi maka ada kahwin yang hukumnya wajib, seorang lelaki Islam atas keperluan yang sesungguhnya perlu boleh berkahwin sehingga empat isteri. Suami anda mungkin salah seorang dari itu.

Mungkin, kalau berkahwin itu satu keperluan maka hukumnya wajib pula, maka dia langgarilah sumpah itu dan berkahwin lagi seorang dan jika sudah berlaku dia bayarlah kafarah sumpah itu. Wallahu a`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr. Harun Din
Harakah bilangan: 1577

Saturday, 11 December 2010

Secebis ingatan bersama

Hari ini giliran saya menyampaikan tazkirah dalam pertemuan bulanan JAIM. Alhamdulillah saya memang selalu bersedia dengan satu tajuk dan apabila telah selesai tajuk tersebut saya akan bersedia dengan tajuk yang baru. Begitulah selalunya, saya akan bersedia pada bila-bila masa apabila diperlukan. Dan saya gembira melakukannya.

Saya menyedut nafas panjang sambil memandang satu persatu wajah sahabat sebelum mula bersuara. Sengaja mencari mood dan untuk menarik perhatian pendengar. Jelas wajah-wajah yang sentiasa melazimi majlis ilmu. Semoga semuanya dibawah naungan sayap-sayap para malaikat yang redha dengan apa yang dilakukan oleh penuntut-penuntut ilmu.

Saya memulakan tazkirah dengan satu kisah:

Satu ketika di zaman seorang khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai tuan guru, para abid dan ulama` yang berpengaruh serta mempunyai pengikut yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah, tetapi keadaan masih tidak berubah.

Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat minta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah seperti tidak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulama` dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?" Pemuda itu menjawab, "Insya-Allah doa kita akan dikabulkan!"

Pemuda itu terus mengimami solat bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan, "Pernah satu ketika dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah."

Khalifah mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.

Mari bertaubat

Sengaja saya membawa cerita ini sebagai mukaddimah.

Allah SWT mempunyai sifat ketinggian dan kemuliaan.

Allah SWT amat menyukai para hamba-Nya yang bertaubat dan memohon keampunan-Nya. Sesungguhnya manusia diciptakan dalam keadaan lemah, lalai dan lupa. Tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan melakukan dosa. Oleh yang demikian bukan rahsia lagi, menjadi tanggungjawab seorang hamba untuk bertaubat dari segala dosa dan segera memohon keampunan-Nya. Rasulullah saw sendiri sebagai seorang yang maksum sentiasa bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah SWT.

Sabda baginda: "Demi Allah! Sesungguhnya aku memohon ampun dan bertaubat kepada Allah pada setiap hari lebih daripada 70 kali."

Ingatlah apabila seseorang telah melakukan dosa, lalu menangguh-nangguhkan taubatnya, pasti akan menghadapi kerugian yang amat besar. Di antaranya kegelapan yang akan berkumpul di dalam hatinya, iaitu kegelapan maksiat yang karatnya semakin menebal. Apabila ia semakin sebati, disaat itu hati menjadi beku dari menerima hidayah. Seumpama kegelapan yang tidak ditembusi cahaya. Dan jika di ketika itu ia menemui ajal maka ia akan beroleh kesengsaraan yang amat dahsyat. Ia akan menemui Allah SWT dalam keadaan tidak selamat dan menghadapi kemurkaan-Nya.

Cuba kita andaikan setiap hembusan nafas kita adalah seumpama sebutir permata yang berharga. Berapa banyak permata yang kita miliki setiap hari. Dan yang lebih malang lagi apabila kita mensia-siakan permata itu, kita membuangnya tanpa memanfaatkan nilainya. Mensia-siakannya adalah satu kerugian yang amat besar. Jika sudah nyata kerugian itu dan kita menyedarinya tanpa menangisinya, maka itu menunjukkan kebodohan kita. Bencana dengan sebab kebodohan adalah satu musibah kepada manusia. Apatah lagi kita hanya tertawa riang melihat musibah, maka itu menandakan ada sesuatu yang tidak kena pada akal kita. Lalai dari kebenaran adalah satu musibah yang besar.

Kata Abu Sulaiman Darani: "Jika seseorang yang berakal itu selama hidupnya menangis kerana tidak melakukan perkara-perkara yang berupa ketaatan dan pengabdian kepada Tuhan di masa hidupnya, nescaya kesedihan ini akan berterusan sehingga ia mati. Oleh kerana itu alangkah bodohnya seseorang yang menjalani hidup sepanjang baki usianya semata-mata untuk melakukan hal-hal yang sebagaimana dahulu oleh sebab kebodohannya sendiri, sehingga ia akan kerugian untuk selama-lamanya."

Oleh yang demikian sebaik-baiknya kita merenungi kembali akan betapa banyaknya kecuaian yang telah dilakukan dalam menjalani kehidupan ini.

(Tanah yang gersang dan tandus, tidak mungkin ada tumbuhan yang dapat hidup. begitulah perbandingan hati yang tandus, mungkinkah dapat menerima hidayah Allah?)

Satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: "Allah SWT mempunyai kegembiraan yang teramat sangat lantaran taubat yang dilakukan hamba-Nya dari kegembiraan seseorang dari kamu yang sedang bermusafir di padang pasir yang tandus di mana dalam perjalanannya itu tunggangannya telah berpaling dan lari darinya bersama-sama dengan bekalan makanan dan minumannya, maka dia merasa amat putus asa atas yang demikian itu. Dia telah menghampiri sebatang pokok lalu berbaring di bawah naungannya dengan perasaan hampa dan gundah gulana akibat kehilangan tunggangannya. Apabila dia di dalam keadaan yang sedemikian itu, tiba-tiba tunggangannya muncul di sisinya, dia segera memegang tali kekang tunggangan itu dan dengan perasaan yang amat gembira dia berkata: "Wahai Allah! Engkaulah hambaku dan akulah Tuhanmu." Dia telah membuat kesilapan di dalam penyataan ini akibat dari kegembiraan yang teramat sangat. Walau bagaimanapun kegembiraan Allah SWT lantaran taubat hamba-hamba-Nya adalah melebihi kegembiraan si musafir tersebut.

Demikianlah perbandingannya. Tidakkah anda mahu bertaubat?

Segeralah bertaubat. Bukankah rasa ingin bertaubat itu sifat seorang hamba?

Friday, 10 December 2010

Saya ada Dia



Pernahkah anda merasa tidak bermaya? Bukan kerana anda tidak sihat tetapi kerana resah dan gelisah, fikiran berkecamuk dan rasa tertekan. Sedangkan anda tidak tahu mengapa.

Saya pernah mengalaminya, lebih-lebih lagi ketika sedang belajar dahulu. Resah dan gelisah, rasa tertekan muncul tanpa sebab yang jelas. Fikiran jadi tak menentu, hinggakan saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Saya rasa tidak mahu bertemu dengan sesiapa, lebih selesa menyendiri berkurung di dalam bilik melayan perasaan yang kosong ini.

Saya hanya terbaring sambil mata memerhati jalur-jalur atap. Radio dipasang untuk meredakan perasaan, tetapi setiap patah perkataan yang keluar dari corong radio bagaikan selumbar yang mencucuk ke dalam jiwa. Saya terasa seperti kehilangan sesuatu, ada ketikanya terasa bagaikan ada satu kerinduan yang mendalam, tetapi entah pada siapa. Hilang semua itu muncul pula perasaan marah, sedih, bimbang dan benci. Apa yang dibuat semua tidak kena. Masa bergerak bagaikan terlalu perlahan. Adakah saya sudah tidak siuman?

Ketika itu saya rasa keseorangan, tiada siapa yang mahu mendengar jeritan hati ini. Tiada siapa yang mahu menarik saya keluar dari kegelapan ini. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan. Tiada...

"Ahh...kenapa aku begini!" jeritan batin meronta-ronta sendirian, jauh ke dalam.

Saya ada Dia

Saya cuba kembali ke alam nyata, bersikap rasional. Segera saya membelek artikel-artikel tazkirah yang banyak kedapatan di dalam laptop. Saya membaca satu persatu. Saya perlukan kekuatan, hinggalah anak mata saya singgah pada sebaris ayat:

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [Qaff : 16]

"Dan Tuhanmu berfirman, "berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa kamu." (al-Ghafir: 60)

Berulangkali saya membacanya. Terpaku seketika, rupanya saya tidak keseorangan. Saya ada Dia. Benar, Dia yang bersifat dengan lunak dan kasih sayang. Dia yang suka mendengar rintihan. Dia yang tidak jemu menghulur pertolongan. Dia yang amat dekat. Mengapa saya terleka hingga lupa kepada Dia.

Saya mula mencari titik mula. Saya mencari rahmat dan belas ehsan-Nya. Saya mencari kasih-Nya yang sempurna. Dan saya merasakan hati dan jiwa saya mula bersatu dengan diri yang hilang tadi, mulai tenteram.

Semuanya bercahaya kembali, kerana saya ada Dia. Ya! Saya ada Dia.

"Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati." (ar-Ra`du: 28)

Thursday, 9 December 2010

Cetusan rasa: Pergi tak kembali

Fitrah kehidupan, pasti ada perhentian.
Siapa yang dulu, siapa yang kemudian.
Semoga perbekalan telah disiapkan.

Katakanlah! "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, pasti akan menemui kamu. Kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)." (al-Jumu`ah: 8)

Cetusan rasa abuikhwan
Kuantan, Pahang

Wednesday, 8 December 2010

Indahnya persahabatan



“Kita nak ikut mana ni, jalan lama atau highway?” Tanya sahabat saya.

“Rasanya baik ikut jalan lama, nanti boleh tengok kampung, rumah-rumah, lembu, kambing. Kalau ikut highway hutan je kiri dan kanan,” jawab saya memberi cadangan.

“Betul juga tu, seronok juga tengok suasana kampung. Kita pun bukannya nak kejar masa,” celah sahabat yang seorang lagi.

“Ok, kalau macam tu ikut jalan lama,” sahut sahabat yang pertama tadi. Persetujuan segera dicapai. Mudah.

Pagi yang cerah, kami memulakan perjalanan menuju ke Jerantut melalui jalan lama. Seronok menikmati panorama di kiri dan kanan jalan, kawasan kampung dan hutan hijau tidak lupa alur jernih yang menderu. Perjalanan diisi dengan perbualan yang menceriakan suasana, kadang-kala bersulam derai tawa tatkala kelucuan hadir bertamu.

Firman Allah SWT:

Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang silam; kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik” [al-Room 30: 42]

Kenali sahabat

"Jauh berjalan luas pandangan, banyak pengalaman" kata orang tua-tua. Tetapi bukan itu sahaja yang diperolehi bahkan menambah jaringan sahabat dan memutik kemesraan serta mengenal hati budi teman sedia ada.

Sesungguhnya manusia adalah makhluk sosial, mana mungkin dapat hidup sendirian. Setiap orang perlu kepada bersahabat. Setiap orang akan memilih sahabat yang mempunyai kecenderungan yang sama. Salah memilih sahabat akan menyesal kemudian hari, manakala sahabat yang baik akan mengingatkan kepada akhirat.

Rasulullah saw bersabda:

"Apabila seseorang itu dikehendaki oleh Allah menjadi baik, maka Allah memberikan rezeki kepadanya berupa seorang kekasih (sahabat) yang soleh. Kalau ia lupa, kekasih itulah yang mengingatkannya. Jikalau ia ingat maka kekasih itu akan menolongnya." (Abu Daud)

Teringat saya kepada riwayat, pernah suatu ketika seorang lelaki menemui Saiyidina Umar dan berkata, bahawa dia telah memilih seorang lelaki untuk menjadi saksi.

Lantas Saidina Umar bertanya, "Apakah engkau kenal lelaki itu?"
Pemuda itu menjawab, "Tidak ya amirul mukmimin."

Saiyidina Umar bertanya lagi. "Apakah engkau pernah bermusafir dengannya?"

Orang itu jawab, "Tidak pernah,"

Bertanya lagi Saiyidina Umar, "Apakah engkau pernah berjiran dengannya?"

Orang itu menjawab,"Tidak pernah."

Lantas ditanya Saiyidina Umar lagi, "Macam mana engkau kenal dia?"

Dijawab si pemuda. "Saya selalu tengok dia sembahyang maka yakinlah dia memang baik."

Saiyidina Umar berkata, "Engkau pergi dan selidiki lagi kerana engkau sebenarnya belum betul kenal kepadanya."

Bermusafir bersama dan bergaul rapat itu adalah di antara jalan untuk kita saling mengenal hati budi. Setelah bermusafir barulah kita mengetahui hati budi dan cerminan sebenar seorang sahabat. Baguskah dia, pemarahkah dia, bakhilkah dia dan sebagainya. Itulah khasiat di sebalik setiap kembara yang di lalui.

Itulah sebabnya Saiyidina Umar menilai bahawa selagi kita tidak pernah bermusafir bersama, atau bergaul mesra, janganlah kita mendakwa bahawa telah mengenalinya. Jangan!

Kembara yang walaupun hanya beberapa hari itu memberi erti yang amat besar bagi diri ini. Banyak kenangan pahit, manis, suka dan duka yang ditempuhi bersama. Alhamdulillah, itu semua mengeratkan jalinan ukhuwah dan persahabatan di samping mengenal hati budi sesama kami. Kata orang “tak kenal maka tak cinta”.

Sesungguhnya perjalanan hidup ini adalah satu proses untuk mengenal hati budi sahabat dan paling utama adalah mengenal hati budi sendiri.

Seeru `ala Barakatillah.

Tuesday, 7 December 2010

Salam Ma`al Hijrah 1432H

Salam Ma`al Hijrah kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Pertama-tama sekali marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT yang masih lagi memberi peluang kepada kita untuk menyedut udara di tahun baru 1432 hijrah ini. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang masih diberikan ini, marilah kita jadikan peluang untuk meningkatkan ketaqwaan dan menambah amal kebajikan. Tiadalah yang lebih berharga untuk dibawa bertemu Allah SWT melainkan kedua-duanya.

Mengingati peristiwa hijrah bukanlah hanya sekadar meniti di bibir sahaja, bukanlah sekadar dengan kita berarak membawa sepanduk tetapi lebih daripada itu. Kita menyelak lembaran sejarah hijrah lalu kita mempelajari dan hayati dalam kehidupan. Marilah kita berhijrah dalam segenap aspek kehidupan daripada tidak baik kepada baik dan bertambah baik. Semoga Allah menerima amalan kita yang paling ikhlas.

Hijrah adalah pengorbanan
Hijrah adalah perpaduan
Hijrah adalah perjuangan

Kegembiraan kedua

Berkongsi kegembiraan, anakanda Imamuddin Haikal yang menyambut ulangtahun kelahirannya pada hari ini. Semoga Allah SWT memanjangkan umurmu dalam ketaatan dan menjuruskan hidupmu ke jalan kekasih-Nya.

Anakanda Imamuddin Haikal...semoga membesar menjadi tonggak agama.
Doa abi buat mu.

Monday, 6 December 2010

Orang muda dan peristiwa hijrah


Satu ketika.

"Wahai Abu Bakar, sesungguhnya Allah telah mengizinkan saya berhijrah," kata Rasulullah saw kepada Abu Bakar as-Siddiq.

"Apakah saya akan menemanimu, wahai Rasulullah,"Abu Bakar bertanya.

"Benar, kamulah yang akan menemani saya," jawab Rasulullah saw.

"Bilakah masanya kita akan berangkat, wahai Rasulullah," Abu Bakar as-Siddiq bertanya lagi.

"Insya-Allah saya akan menjemput kamu apabila tiba masanya, sementara itu buatlah persiapan yang patut," jawab Rasulullah kepada Abu Bakar as-Siddiq. Sebelum itu Abu Bakar as-Siddiq memang sudah menyiapkan dua ekor untanya yang diserahkan pemeliharaannya kepada Abdullah bin Uraiqit sampai tiba waktu yang diperlukan.

Termasuk yang membantu hijrah Rasulullah saw ialah Amir bin Fuhairah yang mengembala kambing untuk menghilangkan jejak mereka. Manakala Asma` binti Abu Bakar pula ditugaskan menghantar makanan selama mereka berdua berada di dalam gua. Asma` ketika itu sedang sarat mengandung. Abdullah bin Abu bakar ditugaskan sebagai pengintip untuk mencari maklumat.

Di ketika yang lain

Bulan mengambang penuh, cahayanya menyimbah bumi Makkah yang tandus. Di Daar an-Nadwah berlangsung satu mesyuarat rahsia. Pembesar-pembesar Quraisy berkumpul memperkatakan sikap yang akan diambil terhadap Nabi Muhammad saw.

Akhirnya satu keputusan telah diambil .

"Kita ambil dari tiap-tiap kabilah seorang pemuda yang gagah dan berani, dan tiap-tiap pemuda itu kita beri sebilah pedang. Mereka hendaklah bergabung tenaga menikam Muhammad sampai mati., dan demikian darahnya terbahagi kepada semua kabilah. Dengan ini Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib tidak berani berperang dengan semua kabilah Quraisy," cadang Abu Jahal.

"Saya sanggup membiayai segala perbelanjaan untuk membunuh Muhammad, termasuk upah yang banyak kepada setiap pemuda yang terlibat," Abu Lahab pula berkata.

Allah Maha Mengetahui tidak akan membiarkan kekasihnya dalam kesusahan. Menurut riwayat seusai mesyuarat tersebut, Jibril datang menyampaikan kepada Rasulullah saw pakatan jahat tersebut.

"Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika orang kafir (Quraisy) mengatur rancangan (tipu daya) untuk menangkapmu, membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah membuat tipu daya pula (menggagalkan rancangan mereka). Dan Allah sebaik-baik pengatur rencana. (al-Anfal: 30).

Demikianlah disebut di dalam Raheeq al-Makhtum, apabila mengetahui rancangan jahat pembesar Quraisy, baginda segera membuat persiapan untuk berhijrah ke Madinah. Pada malam itu baginda membisikkan kepada Ali bin Abi Talib supaya memakai selimutnya yang berwarna hijau dari Hadralmaut dan berbaring di tempat tidurnya. Rasulullah saw juga meminta Ali memulangkan barang-barang milik kaum Quraisy yang disimpan di rumah baginda. 

Di sebutkan juga dalam riwayat bahawa Ali bin Abi Talib menutup seluruh tubuhnya, ketika pemuda-pemuda Quraisy mengintip ke tempat tidur Rasulullah saw melalui celahan pintu dan tingkap, mereka melihat sesusuk tubuh berselimut di tempat tidur itu dan mengira bahawa baginda masih tidur. Sebaliknya yang berada di dalam selimut tersebut adalah pemuda bernama Ali bin Abi Talib. Sedangkan Rasulullah telah pun keluar dari kepungan mereka dengan bantuan Allah SWT.

Orang muda

Saya tidak bermaksud untuk menceritakan kronologi peristiwa hijrah secara terperinci, kerana saya percaya sahabat sekelian sudah banyak kali mendengarnya saban tahun setiap kali awal Muharam menjelma. Tetapi saya ingin menyentuh tentang pembabitan dan sumbangan orang muda dalam misi yang besar ini.

Tidak dinafikan golongan muda memainkan peranan yang penting dalam sesuatu usaha atau tujuan. Apabila golongan muda atau belia melibatkan diri dalam sesuatu perancangan, mereka menggunakan potensi akal dan kekuatan tenaga kita lihat ianya pasti menjadi realiti, Insya-Allah. baik dari sekecil-kecil perkara hinggalah ke sebesar-besar perkara seumpama mencorakkan pemerintahan negara. Mereka adalah agen perubahan, pencetus reformasi yang boleh merubah dunia. Rasulullah saw memberikan perhatian kepada pembinaan jati diri dan akhlaq anak muda, oleh kerana itu kita dapat lihat generasi awal dakwah terdiri daripada golongan muda.

Rasulullah saw dilantik menjadi rasul ketika usia 40 tahun, Abu Bakar ketika itu berusia 38 tahun, Mus`ab bin Umair 17 tahun, Arqam bin Abi Arqam berusia 16 tahun, Zubir al-Awwam 16 tahun, Ali bin Abi Talib masih kanak-kanak begitu juga dengan Hanzalah Abu Amir dan Talhah bin Ubaidillah serta ramai lagi golongan muda yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka semua dicetak oleh Rasulullah untuk menjadi generasi dakwah yang hebat.

Kita lihat golongan muda yang membantu misi hijrah ini seperti Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Abu Bakar yang bertindak sebagai pengintip dan pemberi maklumat kepada Rasulullah saw, Asma` binti Abu Bakar yang menghantar bekalan makanan, Abdullah bin Fuhairah yang mengembala kambing bagi menghilangkan jejak serta Abdullah bin Uraiqit yang bertindak sebagai penunjuk jalan.

Tetapi kita jangan lupa mereka yang terlibat dalam misi untuk membunuh Rasulullah saw juga adalah orang muda. Ini bermakna ada orang yang muda yang menjadi penolong kepada Rasulullah saw dan ada sebahagian orang muda yang menjadi penentang kepada Rasulullah saw. Inilah realiti yang berlaku sekarang. Ada golongan muda yang taat pada perintah agama dan ada yang jauh dengan agama. Dimana silapnya?

Penutup

Krisis kebejatan moral belia atau orang muda kini amat membimbangkan. Ia semakin hari semakin membarah dan bagaikan tidak kunjung padam. Selesai satu muncul pula sepuluh kerosakan. Isu dadah, rempit, perzinaan, pembuangan bayi, pelacuran, samseng, murtad, hiburan yang melampau-lampau dan sebagainya semakin memeningkan kepala. Menyebabkan orang muda semakin hanyut dan jauh dengan agama.

Ditambah lagi dengan isu politik yang semakin bersimpul, rasuah, penyelewengan, ISA pun masih ada lagi. Semuanya amat merimaskan.

Justeru itu semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Ibu bapa dan guru ada peranannya dalam meneguhkan institusi kekeluargaan, memberi penekanan ilmu agama ke dalam diri anak-anak, serta meneguhkan akhlaq dan jati diri.

Kerajaan juga ada peranan yang lebih besar dalam membentuk jati diri belia dan beliawanis. Media elektronik dan media cetak hendaklah memaparkan maklumat yang boleh meningkatkan penghayatan agama, pembinaan saksiah dan keyakinan diri. Agar generasi yang lahir selepas ini adalah generasi yang mampu melakar sejarah dengan tinta emas. Kita harapkan.

Seeru `ala barakatillah