Sahabat Sejati

Wednesday, 22 March 2017

Muhasabah diri (aku)

Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang mengatur perjalanan hidup setiap makhluk. 

Justeru, tiada siapa yang mengetahui ketentuan masa bilakah ‘kita’ akan keluar dari jasad ini. Semuanya tersimpan di dalam rahsia Allah SWT. Jika jasad ini kita hiasi dengan kesombongan, yang akan menjadi tanah jua akhirnya, kitalah yang akan menanggung akibatnya. Di akhirat pasti kita termasuk di kalangan mereka yang rugi dan menyesal. 

Kita dikurniakan akal. Dengannya kita dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan indah dan sempurna. Akal berfungsi sebagai pengimbang, pembeza dan pemilih. Akal yang sihat mampu berfikir dengan waras dan rasional, maka kita dapat membezakan mana satu yang baik serta memberi manfaat dan mana satu yang buruk serta memudaratkan. 

Malanglah jika akal yang dikurniakan ini kita sia-siakan dengan merosakkan fungsinya. Sebab itulah Islam melarang merosakkan akal dengan pengharaman arak dan perbuatan-perbuatan yang boleh menjejaskan kewarasannya. 

Kita adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baik kejadian. Kita dijadikan dalam keadaan fitrah dan bersih. Sekiranya fitrah yang suci itu kita cemari dengan dosa dan maksiat, maka mohonlah rahmat keampunan-Nya. Sesungguhnya rahmat keampunan-Nya seumpama air bersih yang mengalir membawa pergi segala kotoran. 

Muhasabah Diri 

Apabila terbitnya matahari di pagi hari, bermakna bertambahlah usia kita sehari. Ia juga bererti helaian catatan perjalanan hidup kita pada hari semalam turut berlalu tanpa dapat kita pastikan apakah ia dipenuhi dengan perkara-perkara kebaikan atau sebaliknya. 

Bagi seorang muslim yang prihatin, pastinya perjalanan hidup yang telah berlalu sentiasa dimuhasabah dan direnungi, agar perjalananan seterusnya benar-benar berada di landasan yang betul dan tidak tersasar ke jalan yang dimurkai-Nya. Ini adalah kerana jiwa manusia sangat cepat berubah. Ada ketika baik dan ada ketika tidak. Malah kecenderungan untuk melakukan perkara terlarang lebih kuat dorongannya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan aku tidak membersihkan diriku (dengan mengatakan aku tidak bersalah), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Yusuf: 53) 

Justeru, adalah menjadi suatu kemestian bagi kita memohon kepada Allah SWT agar memberi petunjuk dalam menjalani kehidupan ini. Suburkanlah keimanan dengan memperbanyakkan amal ibadat. Disamping itu hendaklah kita sentiasa melazimi majlis ilmu supaya dengan ilmu pengetahuan akan menjadikan amal ibadat lebih sempurna dan berkualiti. 

Sebagai akhirnya, marilah kita bermuhasabah atau koreksi diri bagi menilai sejauhmana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah SWT dan menuruti sunnah Nabi saw. 

“Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan dengan itu (apabila) aku disuruh dan aku adalah tergolong dari golongan Islam.”

3 comments:

Nor Azimah said...

Menambah ilmu menjadi kewajiban bg setiap muslim, agar dgn ilmu kita dpt menyuluh kekurangan diri kita. Ruginya org yg membiarkan waktu berlalu sia2, sehingga tidak sedar tiada bekal utk pulang sedangkan perjalanan di sana amat jauh dan panjang.

paridah said...

Assalam ustaz moga diberi Allah kesejahteraan sekeluarga...sentiasa kita muhasabah diri menipiskankemungkaran n mohon doa diberi hadayah-Nya sbg mrk yg beriman.

webctfatimah said...

Assalaamu'alaikum wr.wb AbuIkhwan...

Didoakan sihat dan sejahtera bersama keluarga dalam rahmat Allah SWT.

Alhamdulillah, membaca tulisan di atas, terasa saya sedang diingati bahawa kehidupan ini hanya sementara dan fana. Perlukan lebih banyak amal ibadah sebagai bekal di kemudian hari. Menjadi hamba Allah yang taat memerlukan rasa ikhlas dan cinta kepada Allah SWT tanpa berbelah bahagi dan penuh keyakinan tinggi. Apabila kita ikhlas, semuanya akan dilakukan kerana Allah SWT smeata-mata. Terima kasih sudah berpesan yang baik untuk rohani kita.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

Post a Comment