Sahabat Sejati

Sunday, 15 January 2017

Ingat-ingat pada-Nya, pasti bahagia...

 foto hiasan ~ si kecil haikal yang istimewa

Kita tidak pernah bercita-cita untuk lahir dan hidup di dunia ini. Kita lahir kerana dilahirkan, dan kita hidup kerana dihidupkan. Semuanya adalah kehendak dan taqdir kuasa Allah SWT. Kita melalui perjalanan hidup ini, kita diberi peluang untuk mencipta diari dan perjalanan hidup sendiri. Ya, kita bebas merancang dan menentukan arah perjalanan hidup. Kita bisa berusaha menjadi apa yang kita mahu.

Namun, semuanya sama sekali tidak terkeluar dari batas kehendak dan perancangan-Nya. Itulah adalah ketetapan dan taqdir yang harus di-iakan. Oleh kerana itu, tiada sekali-kali kita boleh lupa atau berpisah dengan-Nya. Apatah lagi cuba menentang hukum-hukum dan peraturan yang telah ditetapkan.

Kata Imam al-Ghazali rah. di dalam Ihya `Ulumiddin: “Segala sesuatu jika kau pisahkan darimu nescaya ada penggantinya. Kecuali Allah, jika kau berpisah dengan-Nya pasti tiada penggantinya.”

Mari kita berfikir sejenak. Bagaimanakah keadaan haiwan peliharaan samada lembu, kambing, ayam atau itik, jika tuannya sering mengabaikan atau tidak menjaganya dengan baik. Tentu kita dapat lihat haiwan itu dalam keadaan yang menderita. Mungkin ia akan menjadi kurus kering.

Bagaimana pula jika kita melihat seorang anak yang tidak mendapat perhatian atau jagaan yang sepatutnya daripada ibu bapanya. Kita dapat lihat anak itu akan menjadi tidak terurus, selekeh, mungkin akhlaknya menjadi rosak dan sebagainya.

Samalah seperti manusia apabila tidak mendapat jagaan daripada Allah SWT.

Menurut as-Syahid Syed Qutb, manusia ini mempunyai pancaindera keenam atau ketujuh, iaitu pancaindera kehinaan. Apakah yang dimaksudkan pancaindera kehinaan? Pancaindera kehinaan ini adalah satu perasaan berharap kepada tuannya.

Adakalanya hati kita terasa sunyi, tidak tenteram, berkecamuk dengan seribu mainan perasaan lebih-lebih lagi tatkala dirundung pelbagai ujian. Kita merasa amat lemah dan tidak berdaya, bahkan segala sumber kekuatan turut hilang entah ke mana. Kita seakan-akan buta dan gelap-gelita walaupun hakikatnya kita masih mampu mengelus pandangan.

Apakah ubat untuk gejolak derita batin ini?

“Mengingat kepada-Nya” adalah ubat yang paling mujarab untuk mendamaikan gelodak batin dan menggelongsorkan segala kegalauan hidup manusia. Sesungguhnya dalam diri manusia telah ada satu kepercayaan diri yang azali bahawa “hidup ini tidak bersendirian”. Di saat segalanya telah lumpuh dan pintu harapan telah tertutup, tiba-tiba kita dapati pintu-Nya sentiasa terbuka.

Tanpa sedar kita bisikkan dengan perlahan: “Oh Tuhan... oh Tuhan...”

Fitrah kita memerlukan tempat untuk mengadu. Perasaan kita memerlukan tuan. Tidak lain dan tidak bukan tuan kita adalah Allah SWT Yang Maha Mendengar dan Maha Memelihara. Dia yang tidak jemu-jemu mendengar sebarang pengaduan hamba-Nya. Maka halakanlah ketundukan kita hanya kepada-Nya. Dialah sahaja yang boleh menjaga kita dan memberikan kebahagiaan yang hakiki.

Maka, biarpun betapa mewah dan megahnya kemajuan manusia, berapa banyak pula longgokan harta dan tingginya pangkat, tidak akan mampu melahirkan ketenangan dan ketenteraman jiwa. Sesungguhnya keterasingan dan ketandusan jiwa yang menjerat manusia, yang menyebabkan rapuh dan kosongnya dari memahami erti dan tujuan hidup yang sebenar, lantaran perlakuan mereka sendiri yang “melupakan Allah dalam kehidupan”.

Justeru, Allah SWT berfirman memberi ingatan: “Janganlah engkau seperti orang-orang yang melupakan Allah sehingga Dia menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka inilah orang-orang yang sesat (jalan hidupnya).” (al-Hasyr: 19)

Selalulah mengingat pada-Nya, pasti ada bahagia. (peringatan buat diriku)

4 comments:

paridah said...

Assalam moga berbhgia sekeluarga...peergantungan kita hanya kpd-Nya. jgn sesekali sesali takdir-Nya

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...peringatan untuk akak juga.
Saat diuji akak selalu ingatkan diri ....Allah pasti tolong.

Normala Saad said...

InsyaAllah...semoga tidak pernah lupa padaNya

Kakzakie Purvit said...

Itulah sebabnya lahirnya kita diberi peluang belajar dan mengajar. Ada tanggungjawab setiap kita yang akan ditanya kelak di sana.

#Haikalmemangistimewa

Post a Comment