Sahabat Sejati

Saturday, 8 October 2016

Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (13)

Sambungan daripada: Solatullah-wa-salamuhu-ala-Rasulillah (12), di bawah tajuk: Menawarkan Islam Kepada Kabilah Dan Perseorangan


foto hiasan: sumber

 Penduduk Luar Mekah yang Mengakui Diri Beriman

Sebagaimana Rasulullah saw menawarkan Islam kepada kabilah-kabilah dan para pengunjung Mekah, baginda juga menawarkannya kepada individu. Baginda mendapat penolakan yang baik daripada sebahagian mereka. Sementara itu, beberapa orang yang lain memilih untuk beriman kepada baginda beberapa ketika selepas musim haji. Berikut adalah penjelasan tentang mereka.

1. Suwaid bin Samit. Dia penduduk Yathrib yang pandai bersyair. Dia digelar "al-Kamil" (yang sempurna) lantaran kulit dan rambutnya bagus serta nasab dan kedudukannya terhormat. Dia datang ke Mekah untuk menunaikan haji atau umrah, lantas Rasulullah saw mendakwahinya untuk memeluk Islam.

Suwaid berkata kepada Rasulullah saw dengan kehairanan, "Apa yang kau sampaikan ini sama dengan yang kuyakini selama ini." Maka Rasulullah saw bertanya kepadanya, "Apa yang kau yakini?" Suwaid menjawab, "Hikmah (kebijaksanaan) Luqman." Rasulullah saw kemudian meminta kepadanya, "Ceritakanlah hikmah itu kepadaku." Suwaid menceritakan hikmah tersebut kepada Rasulullah saw.

Selepas itu, Rasulullah saw berkata kepada Suwaid, "Sesungguhnya ucapan yang kau sampaikan betul-betul bagus. Namun begitu, apa yang ada padaku masih lebih utama daripada itu, iaitu sebuah bacaan yang Allah SWT turunkan kepadaku yang merupakan petunjuk dan cahaya."

Selepas itu Rasulullah saw membacakan beberapa ayat al-Quran kepada Suwaid dan mengajaknya untuk memeluk Islam. Tanpa mengambil masa yang panjang, Suwaid pun menyatakan keislamannya. Selepas itu Suwaid berkata, "Bacaan tadi benar-benar bacaan yang bagus."

Tidak lama setelah pulang ke Madinah, Suwaid terbunuh dalam perang Buats.(1) Sedangkan keislamannya terjadi pada awal tahun kesebelas kenabian.(2)

2. Iyas bin Muaz. Dia seorang remaja Yathrib yang usianya masih muda. Dia datang ke Mekah bersama rombongan Aus yang datang untuk menjalin persepakatan dengan orang Quraisy untuk menghadapi kaum Khazraj. Ia terjadi sebelum Perang Buats pada awal tahun kesebelas kenabian. Ketika itu, api permusuhan antara dua kabilah di Yathrib ini telah menyala sejak lama. Kaum Aus mempunyai jumlah yang lebih sedikit dibandingkan dengan kaum Khazraj, sehingga mereka mencari bantuan kepada orang Quraisy.

Mengetahui kedatangan rombongan Aus, Rasulullah saw menemui mereka dan duduk bersama mereka. Baginda bertanya kepada mereka, "Adakah kamu ingin mendapatkan sesuatu yang lebih baik daripada kepentingan yang mendorong kamu datang kemari?" Tanpa menjawab, mereka terus bertanya, "Apakah itu?" Rasulullah saw menjawab, "Aku adalah rasul Allah. Dia mengutusku kepada semua hamba. Maka aku mendakwahi mereka untuk menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa-apa. Dia juga menurunkan kitab (al-Quran) kepadaku."

Selepas itu Rasulullah saw  menjelaskan tentang ajaran Islam dan membacakan ayat al-Quran kepada mereka. Maka Iyas bin Muaz berkata, "Hai kaumku, demi Allah, ini lebih baik dibandingkan kepentingan yang mendorong kamu datang ke sini."

Kemudian Abu Husair Anas bin Rafi` (salah seorang yang ada dalam rombongan) mengambil dua genggam debu tanah berpasir lalu disebarkannya ke wajah Iyas. Selepas itu dia berkata, "Menjauhlah daripada kami! Demi umurku, sesungguhnya kita datang bukan untuk urusan ini (mendengar dakwah)."

Iyas hanya diam, sementara Rasulullah saw bangkit dari tempat duduknya. Akhirnya rombongan Aus itu beranjak pulang ke Madinah tanpa berjaya mengikat persepakatan dengan puak Quraisy.

Tidak berapa lama setelah rombongan Aus kembali ke Yathrib, Iyas meninggal dunia. Menjelang kematiannya, Iyas sentiasa bertahlil, bertakbir, bertahmid dan bertasbih sehingga tidak ada seorang pun meragui bahawa dia mati sebagai orang Islam.(3)

Rujukan:
(1) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyah, jil. 1, hal. 425-427 dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 74

(2) Syah Akhbar Khan Najib Abady, Tarikh Islam, jil. 1, hal 125

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyah, jil. 1, hal. 427-428 dan Muhammad Sulaiman Salman al-Mansyurfuri, Rahmah li al-`Alamin, jil. 1, hal. 126

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

1 comments:

paridah said...

ASSALAM MOGA USTAZ N FAMILI SJHTERA SEKELUARGA...PERKONGSIAN INFO MENAMBAH TAHU TKSH.

Post a Comment