Sahabat Sejati

Tuesday, 16 August 2016

Ampunkan hamba yang sentiasa lemah dalam keyakinan kepada-Mu.

'Set alat pendengaran si kecil Haikal yang istimewa'

Terpancar kegembiraan di wajah ‘si kecil Haikal yang istimewa’ tatakala dipakaikan alat bantuan pendengaran di telinganya. Bising sekali mulutnya berceloteh dengan bahasa yang tidak kami fahami. Maklumlah hampir setahun menunggu ia diluluskan, setelah alat yang pertama dulu mengalami kerosakan dan tidak dapat dibaiki lagi. 

Alhamdulillah, mujurlah ada tambahan peruntukan daripada pihak kebajikan hospital untuk membeli alat tersebut. Jika tidak, terpaksalah saya membayar sepenuhnya yang berharga dalam linkungan enam ribu lebih. Demikianlah kata guru saya, selagi ada perkataan ‘mujur’ dan ‘nasib baik’, selama itulah bukti adanya rahmat Allah SWT. Sekali lagi, alhamdulillah. 

Dalam keasyikan melihat dan mendengar celoteh ‘si kecil haikal yang istimewa’ yang tidak tentu butir perkataan, saya teringatkan sesuatu. Pernah ketikanya tiba-tiba terdetik di hati kecil saya yang dhaif ini. 

“Bagaimanakah agaknya si Haikal mahu mmeneruskan kehidupan sekiranya saya dan ummu Ikhwan tiada nanti..” 

Tidak semena-mena perasaan saya menjadi sebak. Lama lidah saya kelu tanpa bicara. 

Ya, bagaimanakah kehidupannya nanti. Tanpa pendengaran, tanpa suara, masalah pada penglihatannya, jantungnya dan berbagai-bagai lagi. Mampukah dia berdikari? Atau samakah orang lain yang menjaganya sebagaimana kami menjaganya? Mandi, memakai pakaian, menceduk makanan dan menuang minuman memerlukan bantuan orang lain. 

Malahan jika mahu melangkah di tempat yang kurang rata pun terpaksa menggagau atau menupang pada orang lain. Jika tidak dipimpin tangannya, jenuhlah menunggu dia melangkah dalam keadaan takut-takut. Ada satu kejadian, dia langsung tidak melangkah. Berdirilah dia di situ dalam keadaan resah. Kasihan melihatnya, saya berpatah balik lalu menyambut tangannya melangkah perlahan-lahan. Sebenarnya niat saya mahu melatihnya melangkah sendiri, sebab itu saya meninggalkannya agak jauh sedikit di belakang.  

Bermacam-macam pula kebimbangan yang terbit bersarang di fikiran dan mendodoi-dodoi perasaan.

Ah, mengapa pula jauh lajak fikiran saya. Cepat-cepat saya menepis sangkaan buruk yang mengocak batin ini. Insan tidak sentiasa kuat. Ada masa iman mencanak, ada ketika iman menjunam. Ada masa hati berhubung dengan Allah, ada ketika kita jauh dengan Allah. Ketika itulah mudahnya kita berfikir yang tidak sepatutnya. Syaitan pula sentiasa mengintai-intai dan mahu mengambil kesempatan di atas kelemahan dan kelalaian kita. Rasulullah saw juga menyebut di dalam hadisnya yang mulia.

Sejujurnya, demikianlah diri saya. Ada ketika kuat, ada masanya lemah. Tidak mungkin ada yang sentiasa kuat tanpa ada sesekali yang melemahkannya, begitulah sebaliknya. Namun apa yang penting bagaimana keadaan diri ketika lemah itu. Pesan Rasulullah saw, mafhumnya, sentiasalah di atas petunjuk Allah SWT biarpun ketika kamu lemah. Akhirnya saya kembali mempositifkan diri. Merenung firman Allah SWT:
 
“Dan apakah mereka tidak memperhatikan bahwa Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendaki-Nya dan Dia (pula) yang menyempitkan (rezeki itu). Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.” (Ar-Rum: 40) 

Firman-Nya lagi:

“Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah-lah yang memberi rezekinya, dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh mahfuzh).” (Ar-Ra’d: 26) 

Astaghfirullah, ampunkan hamba yang sentiasa lemah dalam keyakinan kepada-Mu.

3 comments:

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Mahal rupanya alat bantuan pendengaran tu....Alhamdulilah dipermudahkan memperolehinya untuk si kecil Haikal.
Jauh pandangan ustaz dan isteri tentang Haikal..Insyaallah akan baik2 aja ....Allah kan ada.

saniah ibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Mahal rupanya alat bantuan pendengaran tu....Alhamdulilah dipermudahkan memperolehinya untuk si kecil Haikal.
Jauh pandangan ustaz dan isteri tentang Haikal..Insyaallah akan baik2 aja ....Allah kan ada.

Normala Saad said...

Be strong Abu..kita ni manusai yang lemah. Memang tak dapat lari dari memikirkan perkara yang sebegitu

Post a Comment