Sahabat Sejati

Sunday, 19 May 2013

Jentikan hati, fikir-fikir...

Tanpa sedar kita banyak habisi umur untuk kerja-kerja dunia...(Tuan Guru Dr Harun Din) 

video
kredit video: Sidiq Sigaraga TV Production

Thursday, 16 May 2013

Guru, umpama mesin pencetak manusia


Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan “Selamat Hari Guru” kepada semua warga pendidik walau dimana pun mereka berada. Mudah-mudahan mereka semua sentiasa dipermudahkan segala urusan dan mendapat balasan kebaikan atas ilmu yang telah disampaikan.

16 Mei adalah tarikh yang menjadi bukti pengiktirafan terhadap jasa para guru. Tidak kiralah sama ada mereka guru sekolah rendah, menengah, tadika, pusat pengajian tinggi hatta guru yang mengajar membaca al-Quran di kampung, mereka semua banyak berjasa dalam membimbing dan mendidik anak bangsa. Mereka umpama mesin pencetak manusia yang mencorakkan alam. Tentunya corakan yang mahu dilakarkan penuh warna-warni dan keindahan.

Seringkali mendengar ungkapan, “Guru umpama lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain”, “Guru adalah suluhan cahaya ilmu pengetahuan”, “Keberkatan ilmu terletak pada redha seorang guru”, dan berbagai-bagai lagi gambaran kata-kata pujian untuk guru. Saya katakan memang selayaknya mereka diberikan pujian dan penghormatan tersebut kerana peranan yang amat besar serta sukar yang dipikul di bahu mereka.

Sabda Rasulullah saw:
“Belajarlah ilmu, belajarlah ilmu untuk ilmu dan tunduk patuhlah kepada orang yang kamu belajar ilmu daripada mereka.” (Riwayat At-Thabrani) 

Diceritakan satu kisah, Imam Syafie tatkala menyelak helaian bukunya dengan cukup teratur dan berhati-hati tanpa sebarang bunyi kerana takut mengganggu gurunya yang sedang mengajar. Kata Imam Syafie: “Aku membelek kertas di hadapan Imam Malik perlahan-lahan kerana menghormatinya supaya dia tidak terdengar (bunyi belekan kertas tersebut).“

Saiyidina Ali pernah berpesan: “Hak orang alim ada tujuh. Pertama, jangan banyak bertanya dan bertanya bila dia bersedia untuk menjawab. Kedua, jangan halangi jika guru hendak berdiri. Ketiga, jangan membuka rahsia di hadapan guru. Keempat, jangan mengumpat orang di hadapan guru. Kelima, hormatlah guru kerana Allah. Keenam, jangan duduk membelakangi guru dan ketujuh, jika ada keperluan lain, utamakan keperluan guru.”

Bayangkan kehidupan kita tanpa manusia yang mengajar huruf dan angka. Dimanakah agaknya kita sekarang? Bagaimanakah perjalanan kehidupan yang akan dilalui? Tentu sukar dan banyak kekurangannya. Hidup ini memerlukan ilmu, maka daripada gurulah kita memperolehinya. Oleh itu, menjadi satu kewajipan kepada kita untuk menghormati dan memuliakan guru sebagaimana ketulusan mereka menabur ilmu kepada kita tanpa jemu.

Kata Imam Al-Ghazali: “Tidak akan dapat ilmu kecuali dengan merendah diri dan mendengar dengan teliti…”

Selamat Hari Guru!

Wednesday, 15 May 2013

15 Mei 1948: Peristiwa al-Nakbah

 Foto: FB Ustaz Riduan Mohd Nor

Nakbah membawa maksud malapetaka besar. Secara rasminya kemuncak peristiwa Nakbah berlaku pada 15 Mei 1948. Pada petang 14 Mei 1948 bendera Union Jack diturunkan di Palestin dan sebagai gantinya berkibarlah bendera ‘The Star of David’ dan pada keesokan harinya iaitu pada 15 Mei 1948 negara haram Israel diisytiharkan oleh perdana menterinya yang pertama David Ben Gurion.

Kenapa peristiwa Nakbah ini wajar mendapat perhatian kita sebagai umat Islam?

Sebabnya ialah kerana inilah tragedi kemanusiaan terburuk abad lalu yang direstui oleh masyarakat antarabangsa. Tragedi ini bukan sahaja dirancang oleh pertubuhan Zionis antarabangsa bahka
n mendapat kelulusan rasmi dari kuasa-kuasa barat dan penaja kepada PBB iaitu British dan Amerika Syarikat. Tragedi Nakbah menyaksikan 800,000 rakyat Palestin diusir dari rumah-rumah dan tanah air mereka dan duduk di khemah-khemah pelarian sehingga hari ini. Jumlah mereka kini sudah mencecah lebih dari 5 juta orang dan sehingga kini mereka tidak mendapat sebarang pembelaan termasuklah dari negara-negara umat Islam.


Perang Arab-Israel 1948 , dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel. Bagi orang-orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk sebagai "Al-Nakba" (bahasa Arab: النكبة, "Malapetaka"), perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab. Mandat British ke atas Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei. Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

Pada akhir Mei 1948, 6,000 tentera Syria, 4,500 Iraq, 6,000 Transjordan, 1,000 Lubnan dan 5,000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir. Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmuqaddis Barat. Dalam perjanjian gencatan senjata, Genting Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah di bawah Mandat British di Palestin sebelumnya menjadi milik Israel. (Wikipedia)