Sahabat Sejati

Tuesday, 29 March 2022

Alhamdulillah..

foto hiasan ~ sumber
 

Alhamdulillah saya dan keluarga telah dibebaskan dari 'penjara' kuarantin dan juga disahkan bebas Covid-19. Pujian dan rasa syukur yang sebanyaknya atas nikmat ini. Namun begitu, walaupun saya telah sembuh, beberapa kesannya masih belum hilang. 

Sehingga kini saya masih mengalami batuk-batuk dan sakit tekak yang kadangkala mengganggu kehidupan. Kondisi badan juga menjadi cepat lesu dan mudah semput jika melakukan aktiviti-aktiviti yang bersifat fizikal. Saya mengira faktor usia menyebabkan kesannya menjadi seperti demikian.

Ramai sahabat yang bertanya khabar dan mengirimkan doa. Termasuk juga yang memberikan petua-petua untuk menghilangkan gejala-gejala tersebut. Keprihatinan mereka menjadikan saya kuat serta keinginan untuk sembuh juga meningkat. 

Alhamdulillah, nikmatnya dikelilingi sahabat-sahabat yang baik dan mengambil berat. Ia juga termasuk anugerah Ilahi yang seharusnya disyukuri. 

Sahabat yang baik mampu meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.

Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik manusia yang dicintai oleh Allah adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain". (Riwayat Tobari 6026)

Alhamdulillah..

Monday, 14 March 2022

Dalam ujian ada rahmat-Nya

foto hiasan ~ sumber
 

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Tuhan yang Maha Pengasih kerana telah mengembalikan keafiatanku setelah dihilangkan beberapa ketika. 

Diuji dengan masalah kesihatan yang pastinya bukanlah sesuatu yang menyamankan. Masa banyak dihabiskan di tempat pembaringan. Ujian kesakitan yang mengingatkan agar sentiasa menghargai nikmat sihat yang diberikan. 

Agama kita meletakkan nikmat kesihatan itu ditempat yang tinggi selepas keimanan. Perihal ini selaras dengan sabda Nabi saw yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi, daripada Muaz bin Rifa’ah ra meriwayatkan daripada ayahnya, bahawa dia berkata: Abu Bakar berdiri di atas mimbar, lalu menangis, dan berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam berdiri di atas mimbar pada tahun pertama (Hijrah), lalu menangis dan bersabda: Mintalah kepada Allah pengampunan dan keafiatan (kesihatan) kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik dari keafiatan (kesihatan) selepas mendapat keyakinan (iman). 

Ada ketikanya sakit itu perlu agar kita menginsafi akan nilai dan harga sebuah nikmat yang dinamai sihat! Hampir seluruh kebahagiaan dan kenikmatan hidup bergantung dengan kesihatan. 

Ya, kita tidak akan menikmati kehidupan tanpa kesihatan yang baik. Justeru, sesekali diuji dengan kesakitan barulah kita tahu dan sedar akan nikmatnya sihat. 

Dalam ujian ada rahmat-Nya, moga keuzuran hari ini menjadi pelenyap dosa-dosa yang lalu..

Wednesday, 9 March 2022

Akhirnya..

Setelah berkali-kali saya menjalani kuarantin kerana menjadi kontak rapat pertama, akhirnya 'kekebalan' diri saya runtuh. Semalam saya disahkan positif Covid-19 bergejala dan terus bersambung kuarantin.

Asalnya saya mengalami beberapa simptom seperti batuk, demam dan sakit tekak. Setelah melakukan ujian kendiri dan hasilnya sebagaimana yang sedia maklum. Maka dapatlah saya menemani isteri yang terlebih dahulu dijangkiti. Sehati sejiwa (senyum)

Selain daripada simptom tersebut, saya juga mengalami kelesuan dan sakit di bahagian dada. Mudah-mudahan ianya tidak melarat 

Apa pun, saya menganggap ujian yang menimpa ini satu hikmah supaya dapat berehat dan lebih menjaga kesihatan.

Disebalik ujian yang datang sudah pasti Tuhan tidak akan sekali-kali menzalimi hamba-Nya. Malahan ujian yang diberikan adalah sebagaimana kemampuan hamba-Nya itu.