Sahabat Sejati

Thursday, 27 July 2017

Celoteh sebentar..

Lebih tiga bulan anakanda Ikkhwan mengharungi kehidupan di bumi Mesir, kota Kaherah jolokan kota seribu menara. Alhamdulillah, sepanjang berada di sana tiada pernah lagi terjadi apa-apa masalah yang menyukarkan. Moga-moga begitulah hendaknya sentiasa. Meskipun begitu, jika ada sebarang kesulitan, biarlah ianya dapat diatasi dengan sebaik mungkin. Maklumlah, terpisah jauh beribu batu, hanyalah doa yang mampu dipanjatkan dengan harapan yang disandarkan semata-mata kepada-Nya. 

Rindu? Sudah semestinya. Bak kata Hijjaz: “Rindu itu adalah anugerah dari Allah, Insan yang berhati nurani punyai rasa rindu..” Ya, saya dan ummu Ikhwan punyai rasa rindu terutama di usia ini. Semakin bertambah usia, semakin menebal rasa rindu. Sementelah lagi anak-anak yang lain juga turut tinggal di asrama. Angah Irsalina di PPTI, acik Adawiyah di SMKAA. Di rumah ini tinggallah abi dan ummi, bersama ‘si kecil Haikal yang istimewa’. Sedikit sebanyak terhibur juga dengan keletahnya biarpun lidahnya hanya mampu mengeluarkan suara, “aaa.. eee..” 

Telefon bimbit menjadi alat perhubungan yang sangat penting, untuk mendekatkan jarak kami. Aplikasi whatsapp, voice mail, serta video call banyak membantu. Dapatlah mengubati kerinduan hati kepada anak sulung kami ini. Cuma, kadang-kadang hiba juga tatkala melihat keadaan 'si kecil Haikal yang istimewa'. Beberapa kali saya perasan, linangan air matanya yang membasahi pipi tatkala dia membelek foto-foto abangnya di dalam telefon bimbit ummu Ikhwan. Sambil itu dia menggayakan isyarat tangan dengan maksud, "mana along, (lama along tak balik)? 

Ramadhan dan Syawal baru-baru ini adalah sambutan yang pertama tanpanya. Terasa seperti ada sedikit kelainan. Maklumlah, biasa beraya berenam, tahun ini tinggal berlima. Jangkamasa 5 tahun mungkin boleh terasa sekejap detiknya. Pejam dan celik, malam berganti siang, tanpa sedar lima tahun berlalu. Itu jika dalam keadaan biasa. Tetapi hakikatnya, di ketika ini, ketika rindu mengisi penuh kolong hati, apabila menyebut 5 tahun, terasa lama sangat masanya. Bahkan masa juga terasa bergerak terlalu perlahan.

Moga anakandaku semua berada di dalam limpahan rahmat dan redha-Nya, serta di dalam jagaan-Nya yang sebaik-baik penjaga...

Thursday, 20 July 2017

Rileks sekejap: Jika orang Pahang...

Sewaktu beratur mahu membeli tiket tadi tiba tiba penyokong Pahang yang berada didepan saya terlupa membawa IC. Ini menyebabkan penjual tiket tiada pilihan selain melakukan temuduga untuk memastikan penyokong tersebut adalah Bangsa Pahang... Berikut adalah rakaman temuduga antara penjual tiket dan penyokong yang terlupa membawa IC. 

Penjual tiket : Nama lama Indera Mahkota mende?

Penyokong : Atabara

Penjual tiket : Pekan Sari Derian Tawor hari mende?

Penyokong : Hari Rabu

Penjual tiket : Kalau gelas tepi meja dekat dekat nak jatuh, orang Temeloh panggil Coper.. Orang Lepih panggil mende?

Penyokong : Tekih

Penjual tiket : Orang Temeloh panggil ikan Seluang, orang Taman Negara panggil Ikan Halus, orang Lepih panggil ikan mende?

Penyokong : Ikan Bador

Penjual tiket : Padang Majlis Daerah Pekan te orang Pekan panggil padang mende?

Penyokong : Padang Beng

Penjual tiket : Kepala hotok betei budak ni, semua mende dia tau. Nah ambik 4 tiket.. Berambusss

sumber: FB

Wednesday, 19 July 2017

Doakanlah insan ini...

Coret seorang penyair di dalam lembaran puisinya: “Kalau boleh aku ingin hidup seribu tahun lagi!” 

Aku jua bernafsu begitu. Namun, manakan tercapai duhai diri akan anganmu itu, kerana telah datang ingatan junjungan mulia yang benar-benar menggentarkan perasaan: “Umur umatku antara 60-70 tahun, hanya sedikit daripada mereka yang usianya lebih daripada itu.” (Riwayat Tarmizi) 

Dengan izin-Nya, sekali lagi aku menyambut hari ulangtahun kelahiran pada hari ini. Seperti insan lainnya, aku ingin beroleh nikmat usia dipanjangkan agar dapat meningkatkan kematangan dan kebijaksanaan. Malahan, semestinya meningkatkan kesolehan yang akan dibawa bertemu Tuhan. 

Abuikhwan, telah lama merakap di bumi Tuhan. Telah banyak nikmat-Nya yang diperoleh, telah jenuh ujian dalam meraih kehidupan. 

Pantasnya masa bergulir. Usia semakin dimamah waktu. Apa yang ada pada angka yang bertambah saban tahun, melainkan ia memberi makna telah berkurang usia yang berbaki. 

Setiap kali menjelang tarikh seperti ini ia hanyalah mengingatkan bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian. Ucapan demi ucapan selamat hari lahir rupanya seumpama memendekkan masa lalu mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad. 

Doakanlah agar insan ini sentiasa di dalam kebaikan, rahmat dan redha Ilahi.