Sahabat Sejati

Tuesday, 28 June 2016

Sunnah berbuka, jangan berlebihan

foto hiasan ~ sumber: FB

Jika ketika bersahur disunnahkan dengan tamar (kurma kering), ketika berbuka pula Nabi saw mendahulukan ruthab iaitu kurma basah (yang lembik). 

Menurut Anas Ibn Malik ra: “Bahawa Rasulullah saw berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab sebelum bersolat. Sekiranya tiada ruthab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” (Riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah). 

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah ruthab, jika tiada dengan tamar dan jika tiada dengan air. Ruthab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Jadi kita haruslah berusaha untuk mendapatkan dan saya kira pada hari ini sangat mudah untuk kita mendapatkannya. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita ruthab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. 

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): “Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan ruthab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.” 

Apa pun tidaklah salah jika berbuka dengan makanan lain selain ruthab. Apa yang penting ialah makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT maksudnya: Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan. (Surah al-`Araf:31).

Monday, 27 June 2016

Lidahmu (aku) jagalah..

Daripada Sahl bin Sa’ad dia berkata, Rasulullah saw bersabda: “Barangsiapa yang menjamin untukku apa yang ada di antara kedua rahangnya dan apa yang ada di antara kedua kakinya maka aku menjamin untuknya Syurga.” (Riwayat Al-Bukhari, dan tidak ditemui dalam sahih Muslim).”

Rasulullah memberi satu kiasan di dalam hendak mengingatkan umat Baginda supaya menjaga lidah. Baginda mengatakan ‘Barangsiapa yang dapat menjaga apa yang berada di antara dua rahangnya’ iaitu lidahnya, ‘dan apa yang berada di antara dua kakinya’ iaitu kemaluannya, ‘maka aku menjamin untuknya Syurga’. Persoalan, kenapa Rasulullah tidak terus kata ‘Barangsiapa yang menjamin untukku lidah dan kemaluannya’? Kenapa Baginda berkias? Tujuannya adalah supaya kita ambil perhatian, supaya kita berfikir. Sebab kalau ucapan itu dimudahkan, orang akan mengambil mudah.

Hadis yang lain menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan masuk neraka kerana dua perkara ini. Sebuah hadis lagi menyatakan bahawa seseorang mengucap sesuatu perkataan hanya dengan tujuan manusia dapat kesempatan untuk ketawa sedikit dan gembira dengan lucunya, tetapi akibatnya ia dicampakkan jauh ke dalam neraka Jahannam seperti jauhnya langit dan bumi.

Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “Perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

Disamping itu ada banyak lagi riwayat-riwayat yang menyatakan perkara ini dengan berbagai cara. Walhal kita sangat-sangat lalai daripadanya. Sesungguhnya manusia harus sedar supaya perkataan yang diucapkannya, walaupun tidak mendatangkan faedah apa-apa, sekurang-kurangnya tidak memerangkapnya dalam musibah dan bahaya. 

Hadrat Sufian Thauri ra. adalah merupakan Imam hadis dan fiqh yang masyhur. Beliau berkata, “Aku telah melakukan satu dosa yang akibatnya adalah selama lima bulan aku telah kehlangan taufik untuk sembahyang tahajjud.” Salah seorang telah bertanya. “Apakah dosa itu?” Beliau menjawab, “Melihat salah seorang menangis, aku telah menyatakan kepada diri sendiri bahawa orang ini adalah mempunyai sifat riya` (yakni menunjuk-menunjukkan kepada manusia).” (Ihya`). 

Itu adalah akibat bercakap sia-sia dengan dirinya sendiri. Walhal kita sentiasa meneruskan bercakap sia-sia akan perkataan yang lebih keras lagi mengenai orang lain secara terang-terangan dan tanpa apa-apa alasan. Jika sekiranya ada permusuhan dengan sesiapa, maka kita tidak ragu-ragu untuk mengumpat dan membohonginya. Setiap kebaikannya di sisi kita menjadi sebagai keaiban dan setiap keaibannya menjadi keburukan yang terlalu besar, kemudian kita mengumumkannya.

Semoga Allah SWT melindungi diri kita semua..

Wednesday, 22 June 2016

Alhamdulillah, hidayah di atas jalan-Nya

Islam adalah agama yang telah disempurnakan oleh Allah SWT untuk sekelian hamba-Nya. Sesiapa sahaja yang beramal segala tuntutannya iaitu dengan mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya dalam segala ruang kehidupan, pasti akan memperolehi kejayaan dan kemuliaan.

Telah dikeluarkan oleh at-Thabrani dan Abu Nu`aim di dalam kitab al-Hilyah dan al-Hakim dari Abu Sa`labah al-Khusaini bahawa Rasulullah saw telah kembali dari satu ghuzwah kemudian baginda saw memasuki masjid dan bersolat dua rakaat di dalamnya. Ini adalah amalan yang disukai oleh baginda saw apabila kembali dari safar. Baginda saw akan singgah terlebih dahulu di rumah Fatimah rha. kemudian rumah isteri-isterinya. 

Pada suatu hari, baginda saw telah kembali dari berdakwah dan singgah di rumah anaknya Fatimah rha. dan disambut oleh Fatimah sambil menangis. Rasulullah saw bertanya kepada beliau: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Jawab Fatimah: “Aku melihat wajah ayahanda, telah bertukar warna kulitmu (akibat susah payah berdakwah kepada agama) dan kotor pakaianmu, apakah yang menyebabkan ayahanda berbuat demikian?” 

Rasulullah saw menjawab: “Sesungguhnya aku telah diutus oleh Allah SWT dengan tugas ini, di mana tidak akan tinggal sebuah rumah di bandar mahu pun di desa melainkan Allah SWT memasukkan ke dalamnya kemuliaan ataupun kehinaan sehingga tersebar (agama ini) sebagaimana malam itu tersebar sehinggalah tabir malam itu tersingkap.” 

Maksud ucapan baginda saw ialah setiap ahli rumah yang menerima agama ini dan mengamalkannya, maka Allah SWT akan memuliakan mereka. Sebaliknya sesiapa yang menolaknya maka mereka akan ditimpa kehinaan di dunia dan akhirat. 

Sesungguhnya Allah SWT dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, telah menganugerahkan kemuliaan dengan meletakkan kalimah Laa ilaha illallah ke dalam hati-hati kita. Bahkan ianya diperolehi tanpa kita menempuh sebarang kesukaran. Tatkala kita dilahirkan ke dunia ini, kalimah membesarkan dan mentauhidkan Allah SWT di bisikkan ke telinga. Mudahnya kita menerima Islam ini dengan mewarisinya daripada ibu dan bapa. Tidak seperti sesetengah mereka yang terpaksa menelan jalan kesusahan dan kepayahan, kadang-kadang terpaksa bergadai nyawa demi sebuah hidayah. 

Jika kita menelusuri sirah para sahabat, tentu kita akan melihat bagaimana keperitan dan penderitaan mereka dalam mempertahankan aqidah ini. Seumpama kisah Saiyidina Bilal, di mana dia dibaringkan di atas padang pasir yang panas membakar. Kemudian sebiji batu besar telah ditindihkan ke dadanya. Dia dipaksa untuk kembali kepada kekafiran. Lihat pula pengorbanan Khabab al-`Arat yang diseret di atas bara api yang menyala sehingga darah dan nanahnya memadamkan bara api tersebut. 

Kata Saiyidina Umar ra: "Kita adalah kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam, jika kita mencari kemuliaan selain daripada Islam maka kita akan dihina oleh Allah." 

Ini ditegaskan lagi oleh Allah SWT dengan firman-Nya: "Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi." (Ali-Imran: 85)

Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa menetapkan kita semua di atas jalan-Nya yang Maha Benar itu. Amiinn..