Sahabat Sejati

Tuesday, 29 October 2013

Cetusan rasa: Bonda

Mencium tangan bonda sudah mampu memutikkan damai rasa. Apatah lagi dapat mendakap dan memeluknya, bagaikan hilang segala rontaan jiwa yang bersarang. Resah dan gelisah seakan terbang menjauh entah ke mana.

Itulah nikmatnya dapat kembali ke dalam sebahagian diri kita.

Sebahagian daripada diri saya adalah diri bonda. Dalam denyut nadi bonda ada denyutan nadi saya. Dalam hela nafas bonda ada hela nafas saya. Saya pernah berkongsi nyawa dengan bonda. Saya datang dari DIA melalui dia. Bonda yang berlipat kesabaran mengandungkan saya, bonda yang berbagi nyawa melahirkan saya, bonda yang menyingkirkan penat lelah membesarkan saya dan bonda juga yang menelan kesusahan semata-mata mahu melihat saya menjadi ‘manusia’.

Sesungguhnya adalah suatu yang sangat indah dan apabila kita dapat bersama seorang ibu yang membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang seorang ibu kepada anaknya seumpama aliran air yang tiada hentinya. Mengalir dan terus mengalir. Sebagai anak kita adalah bekas tadahan kasih sayangnya. Kemanakah tumpahnya kasih sayang seorang ibu, jika bukan kepada anaknya.

Oleh itu, jangan dibiarkan ianya mengalir ke lembah yang sia-sia, binalah tadahan yang dapat memberikan manfaat kepadanya. Jadilah takungan yang sentiasa menyuburkan kehidupan yang baik baginya di akhirat nanti.

Tebarkanlah nilai kasih sayang kepadanya sehingga ia tidak melihat kita melainkan kebaikan semata-mata.

Bondaku...al-Fatihah. (24.09.1947 - 18.09.2011)

Sunday, 27 October 2013

Hujan dan ubi kayu

'Gerimis pagi'

Sejak dari pagi tadi hujan turun membasahi bumi. Dari pagi tadi jugalah saya berkurung di dalam rumah. Cuti hujung minggu begini malas rasanya nak bergerak ke mana-mana. Hujan tidaklah selebat mana sekadar renyai-renyai sahaja, namun saya mengiranya sebagai permulaan musim tengkujuh.

Hujan mengingatkan saya pada sesuatu. Tentunya mengimbas kembali zaman kanak-kanak yang seolah sentiasa ceria dan menggembirakan. Hujan juga mengingatkan saya sajian enak di musim tengkujuh, ubi kayu!

Dulu arwah nenek sering bercerita mengenai makanan ruji di zaman Jepun. Ubi kayu dicampur dengan sedikit beras. Ia juga dimakan dengan kelapa kulit hijau yang diparut. Itupun sudah cukup mewah, jika tidak makan ubi kayu sahaja sehingga badan naik sembab.

Jarang kami membeli ubi kayu. Arwah emak menanam banyak rumpun di belakang rumah. Bukan itu sahaja, emak juga menanam cili, halia, lengkuas, kunyit, serai dan sebagainya. Pendekata, bahan asas masakan itu tidak perlu dibeli, jenguk sahaja di belakang rumah. Selalunya emak merebus ubi kayu dengan agak banyak. Sesiapa yang bertamu di rumah, maka dihidang untuk dinikmati bersama kopi ‘O’ panas. Sejak dulu lagi beranda rumah pusaka ayah menjadi tumpuan jiran-jiran berhimpun di waktu petang.

Jika tidak habis emak akan membuat pula pindang ubi kayu. Ubi kayu rebus itu dimasak dengan air manisan gula melaka sehingga pekat. Saya memang menggemari pindang ubi kayu hasil air tangan emak. Selalunya saya makan tidak bertangguh, dan emak dengan wajah kasihnya setiasa tersenyum melihat gelagat itu.

Itulah nikmat Allah. Setiap satunya ada kisah yang sentiasa disyukuri.

Anakku seorang HAFIZ


Bagaimanakah cara memotivasikan anak untuk menghafaz al-Quran? Bagaimanakah untuk merancang? Apakah formula dan kaedah yang sesuai untuk anak-anak menghafaz al-Quran? Bagaimanakah cara berhadapan dengan permasalahan anak ketika menghafaz al-Quran?

Setiap persoalan ini diperjelaskan dalam buku “Anakku Seorang Hafiz” ini agar dapat membantu dan menyuluh jalan dalam mendidik dan mentarbiah, seterusnya merealisasikan impian kita untuk melihat anak kita berjaya menghafaz al-Quran.

Buku “ANAKKU SEORANG HAFIZ” ini sesuai untuk dijadikan salah satu bahan panduan dalam mendidik anak-anak kita menghafaz al-Quran sama ada di rumah atau di sekolah. Panduan yang dibariskan oleh penulis begitu jelas mampu membantu dan memudahkan usaha yang murni ini. Panduan yang dibentangkan juga, bukan sekadar melalui pengalaman sahaja, malah dikuatkan oleh pengalaman-pengalaman para ulama dan diteguhkan lagi oleh fakta serta formula yang diyakini kemampuannya.

Tajuk : Anakku seorang HAFIZ
Penulis : Mohd Solleh Ab. Razak
Penerbit : Telaga Biru  Sdn Bhd
Muka surat : 208
Harga : RM20.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!