Sahabat Sejati

Wednesday, 30 January 2013

Benar, rahmat untuk sekelian alam!



Kita masih berada di dalam bulan Rabi’ul Awwal. Bulan yang dimuliakan, Allah SWT telah memilih bulan ini sebagai bulan kelahiran Rasulullah saw. Sesungguhnya baginda dilahirkan ketika manusia berada di dalam kegelapan jahiliah yang penuh dengan keserabutan. Kehidupan masyarakat Makkah khususnya ketika itu boleh dikatakan tidak bertamadun. Undang-undang rimba menjadi peraturan. Siapa yang kuat menjadi raja dan berkuasa, manakala yang lemah menjadi hamba dan tertindas hina.

Sebenarnya para ahli sejarah Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Rasulullah saw. Di dalam satu hadis, Rasulullah saw pernah ditanya tentang puasa (syaum) hari Isnin. Baginda saw menjawab:

“Itu hari kelahiranku, dan hari aku diutus serta diturunkan kepadaku al-Quran." (Riwayat Muslim)

Jika kita melihat hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim ini hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya.

Di dalam kitab al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) menyatakan berbagai pendapat tentang haribulan bulan kelahiran baginda saw.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping itu ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada bulan Ramadan dan mereka mempunyai hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Saya tidak bermaksud untuk mengheret kita semua dalam perbezaan ini. Bilakah tarikh sebenar kelahiran Rasulullah saw bukanlah menjadi persoalan utama untuk kita bahaskan. Begitu juga persoalan apakah harus menyambut Maulidur Rasul. Setiap tahun persoalan ini akan menjadi polemik dan kerap dijadikan bahan perdebatan yang akhirnya menjadi medan memperlekeh antara satu sama lain. Apakah perlu setiap kali menjelang Rabi`ul Awwal kita mula menyemai titik kebencian di antara satu sama lain hanya kerana satu persoalan yang tidak sepatutnya kita bersikap begitu.

Oleh itu, bagi saya sesiapa yang tidak bersetuju dengan sambutan Maulidur Rasul janganlah mencela orang yang mahu menyambutnya, manakala sesiapa yang mahu menyambutnya hormatilah pandangan mereka yang tidak bersetuju dengannya. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri berdasarkan keilmuan mereka. Maka apakah ia menjadi sesuatu yang tidak baik, jika kita dapat menghormati pandangan masing-masing? Bukankah menjaga kesatuan umat Islam satu keutamaan?

Sebagaimana kita tahu, sambutan Maulidur Rasul adalah bertujuan untuk memperingati kelahiran baginda Nabi Muhammad saw atau yang lebih penting adalah perlantikan baginda menjadi Rasulullah serta mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat. Namun, jika sekadar mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.

Teringat satu cerita yang pernah saya dengar. Seorang suami yang menyertai perarakan Maulidur Rasul, dengan bersemangat membawa sepanduk yang memuji-muji Rasulullah saw beserta gema selawat di udara yang mengiringi perarakan itu.

Tatkala pulang ke rumah dalam keadaan kepanasan dan keletihan, dia meminta isterinya membawakan air minuman. Hendak dijadikan cerita isterinya terlupa menaruh gula ke dalam minumannya. Lalu bergemalah di udara maki hamun dan sumpah seranah kepada isterinya. Hairan! Dimanakah kata-kata memuji Rasulullah yang dilaung-laungkan tadi. “Rasulullah contoh ikutan kami”, “Kami sayang Rasulullah” dan sebagainya. Apakah sekadar ikut-ikutan. Inilah kesilapannya, kita memuji mengangkat nabi setingginya, tetapi sunnah ajarannya kita tolak ke tepi.

Bukankah kita menyakini bahawa perutusan Rasulullah saw adalah sebagai pemberi rahmat?

Rahmat sekelian alam 


Firman Allah SWT: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekelian alam.” (al-Anbiya`: 107) 

Secara umumnya rahmat dapat disimpulkan sebagai segala macam pemberian Tuhan kepada manusia, iaitu menunjukkan kasih sayang-Nya. Dari segi bahasa pula ia bermaksud sesuatu yang bertentangan dengan bala, musibah, keburukan dan kerugian.

Manakala di dalam Tafsir al-Baidhawi pula menyebut bahawa menurut bahasa; rahmat bermaksud kelembutan hati dan perasaan melindungi yang mendorong untuk memberi dan berbuat baik. Di sini diambil kata rahim wanita kerana ia melindungi apa yang ada di dalamnya.

Termasuk dalam definisi rahmat ialah dengan pengutusan para rasul, seperti yang disebutkan di dalam surah al-Anbiya` di atas.

Kata as-Syahid Sayyid Qutb di dalam Tafsir fi Zilalil Quran: “Sistem ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw adalah sistem yang membawa kebahagiaan bagi manusia seluruhnya, dan memimpinnya kepada kesempurnaan yang telah dijangkakan baginya dalam hidup ini.”

Risalah ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah bahawa martabat manusia adalah kemulian yang satu, iaitu kemuliaan disisi Allah kerana iman dan amal. Tidak ada perbezaan pangkat, harta, warna kulit dan sebagainya. Semua perbezaan ini dihapuskan oleh Islam setelah kedatangan Rasulullah saw. Ini juga di antara rahmat yang besar kepada manusia selain dari rahmat-rahmat yang lain. Bahkan terlalu banyak rahmat kepada manusia jika mahu disenaraikan. 

Rahmat kepada haiwan contohnya wajib kita menggunakan alat yang tajam ketika menyembelih dan diharamkan membunuh haiwan sesuka hati. Begitu juga rahmat kepada tumbuh-tumbuhan yang dilarang daripada dicabut, ditebang sesuka hati walau pun dalam peperangan. Akibat manusia rakus merosakkan hutan dengan menebang tumbuh-tumbuhan secara melampau antara penyebab yang membawa kepada kepanasan global yang semakin tinggi dan membahayakan kesihatan.

Oleh itu, dapatlah kita fahami bahawa rahmat yang dimaksudkan dengan pengutusan Rasulullah saw serta penyebaran risalahnya adalah untuk memberi kelembutan dan perlindungan kepada sekelian alam. Semuanya dapat merasai rahmat pengutusan Rasulullah saw baik manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Oleh itu. bilakah tarikh kelahiran Rasulullah saw, harus atau tidak kita menyambutnya, tinggalkan persoalan tersebut jika ia boleh mengganggu gugat ketenteraman dan kesatuan umat Islam. Apa pun, yang penting kita semua tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah serta menjadi rahmat kepada seluruh alam dengan sebab pengutusannya.

Benar, rahmat untuk sekelian alam!

Sunday, 27 January 2013

Semua berbogel di Padang Mahsyar?

Soalan: 

Apakah benar yang saya dengar bahawa semua manusia akan dibangunkan di Padang Mahsyar nanti, dalam keadaan bertelanjang bogel tanpa sehelai benang pun di badan mereka, hatta Nabi Muhammad saw dan rasul-rasul semuanya bertelanjang bulat. Lelaki dan perempuan, tua dan muda, sama-sama bertelanjang. Apakah semua ini benar? Mohon penjelasan.

Jawapan: 

Persoalan anda adalah berkaitan kepercayaan kepada perkara ghaib. Perkara belum berlaku, betul atau tidak akan berlaku, seperti yang anda sebut, bergantung kepada keyakinan (iman kita kepada nas-nas syarak yang sahih). Kepercayaan kepada hari kiamat adalah Rukun Iman. Apa yang akan berlaku pada hari itu, hendaklah diimani dan dipercayai atas keterangan-keterangan nas yang sahih dan sareh (terang).

Ada hadis daripada Aishah r.anha (mafhumnya): “Dihimpun manusia pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang bulat dan tidak berkhatan (bersunat). Lalu Aishah bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, kalau begitu pada hari itu manusia dapat melihat aurat orang lain.” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aishah, suasana pada hari itu amat menggemparkan manusia, amat menakutkan, sehingga tidak ada yang peduli kepada aurat orang lain.” (Riwayat Imam Muslim)

Apa yang anda sebut tentang rasul-rasul juga berbogel pada hari itu adalah benar. Ada hadis daripada Ibnu Abbas ra. beliau menceritakan (mafhumnya): “Rasulullah saw pernah berucap, “Wahai manusia sesungguhnya kamu akan dihimpunkan di Mahsyar nanti dalam keadaan berkaki ayam dan bertelanjang bulat, sebagaimana kamu lahir daripada perut ibumu dahulu. Ketahuilah bahawa awal-awal manusia yang diberi pakaian di hari kiamat, adalah Nabi Ibrahim as.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Suasana berlaku kiamat dan manusia dibangunkan semula dalam keadaan yang menggerunkan dan mengerikan itu, akan menyebabkan setiap manusia di dalam kebingungan dan ketakutan yang amat sangat.

Setiap orang hanya memikir tentang dirinya sahaja, hendak menyelamatkan dirinya sahaja.

Perihal ini Allah ceritakan di dalam firman-Nya (mafhumnya): “Pada hari seseorang itu lari dari saudaranya. Dan ibunya serta bapanya. Dan isterinya serta anak-anaknya. Kerana tiap-tiap seorang daripada mereka pada hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal dirinya sahaja.” (‘Abasa: 34-37)

Anda boleh bayangkan perihal analogi di dunia ini, andai kata berlakulah gempa bumi yang memusnahkan sebuah negeri atau kebakaran menyeluruh berlaku, maka anda akan dapat saksikan suasana hiruk-pikuk, pekik-memekik berlaku, manusia meraung meminta pertolongan, berlari ke sana ke mari.

Dan sudah tentulah dalam keadaan sebegitu, jika ada orang berlari tanpa pakaian, apakah di dalam ketakutan yang amat sangat, masih ada orang yang hendak memandang (mempedulikan) aurat orang lain?

Apa yang lebih penting, mereka menyelamatkan diri sendiri dan tidak mempedulikan orang lain.

Demikian itulah keadaan yang anda boleh bayangkan berlaku di akhirat nanti. Apa yang penting, kita muhasabah diri sendiri, apakah kita cukup persediaan untuk menghadap Allah SWT. Apakah amal ibadat kita diterima Allah atau tidak.

Apakah tidak akan berlaku amalan manusia, ditolak kesemuanya, seperti firman Allah (mafhumnya): “Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu (terbatal) yang berterbangan (oleh angin kencang).” (al-Furqan: 23)

Sumber: Bersama Dato' Dr Harun Din

Ceramah Maulid ar-Rasul oleh Dr MAZA

Alhamdulillah, terbaik...