Sahabat Sejati

Thursday, 28 June 2012

Berdosa Jika Pilihanraya Dilaksanakan Sewaktu Musim Haji


Oleh: Multaqa Asatizah & Du’at (MURSHID)

Kami, selaku pendakwah dan asatizah telah dan kerap ditanya berkenaan isu mengadakan pilihanraya sewaktu musim haji. Justeru itu, sebagai respon kepada pertanyaan tersebut, pihak Multaqa Asatizah & Duat (MURSHID) dalam mesyuarat yang lalu berpendapat seperti berikut :-

Di dalam system demokrasi, pilihanraya dan proses pengundian adalah ibarat suatu mahkamah besar bagi memilih siapa yang lebih layak diberikan amanah memerintah, maka sewaktu sistem demokrasi dijadikan panduan dan diterima oleh majoriti rakyat, tugas terbesar kerajaan melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) adalah memastikan semaksima mungkin penyertaan rakyat dalam pilihanraya, justeru kempen untuk pendaftaran pengundi mestilah dipertingkatkan kecanggihannya dan dipermudah di seluruh tanahair. Rakyat Malaysia selaku pengundi layak yang berada di luar negara perlu di jamin hak mereka agar boleh mengundi melalui kaedah yang berkesan lagi dipercayai.

Kami juga bersepakat bahawa Pilihanraya dan proses pengundian TIDAK BOLEH atau HARAM dilaksanakan sewaktu musim perayaan dan ibadah umat Islam khususnya musim haji yang mana berpuluh ribu pengundi dan petugas haji sedang berada di luar Negara. Sekiranya pilihanraya tetap dilakukan di musim haji, itu merupakan suatu pengkhianatan terhadap amanah dan sistem pemilihan. Ini adalah kerana proses pengundi adalah suatu proses KESAKSIAN. Firman Allah:

 وأشهدوا ذوى عدل منكم 
Mafhum: “Bersaksilah dengan mereka yang adil dari kalangan kamu”( At-Talaq: 2) 

Juga Firman Allah:
  
وَلاَ يَأْبَ الشُّهَدَاء إِذَا مَا دُعُوا 
Ertinya: "Janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil." (Al-Baqarah : 282) 

Dalil-dalil di atas menunjukkan, apabila kita berada di dalam suatu situasi atau keadaan sistem yang memerlukan mereka yang bermaklumat memberi kesaksian demi memberikan keputusan demi keadilan, mereka adalah dikira sebagai saksi yang diharamkan untuk menolak dari memberikan keterangan dan kesaksian.

Dalam konteks pilihanraya, rakyat sebenarnya bertindak sebagai SAKSI sama ada untuk menyokong atau menolak mana-mana calon yang bertanding. Justeru, SEKIRANYA pihak berkuasa memutuskan pilihanraya akan dijalankan pada musim haji, ia adalah suatu tindakan yang akan menghalang rakyat dari keluar menunaikan tanggungjawab mengundi.

Jika seorang saksi TIDAK DIBENARKAN untuk menolak tanggungjawab memberi kesaksian, maka tentunya DIHARAMKAN juga bagi pihak ketiga untuk menghalang saksi dari memberikan kesaksian seperti sengaja mengadakan sesi perbicaraan ketika saksi berada di luar negara.

Justeru, setiap individu yang mempunyai hak dan berkelayakan memberikan kesaksian samada di mahkamah, termasuk kesaksian dalam bentuk mengundi sewaktu pilihanraya, tidak dibolehkan untuk sengaja menyembunyikan kesaksian atau dinafikan hak dan ruang memberi kesaksian termasuk oleh pihak berkuasa sekalipun. Firman Allah Ta'ala:

وَلَا تَكْتُمُوا الشَّهَادَةَ وَمَنْ يَكْتُمْهَا فَإِنَّهُ آثِمٌ قَلْبُهُ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ 
"Maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (Al-Baqarah :283) 

Akhirnya, kami menyeru pihak berkuasa agar teguh menjalankan amanah yang terbaik buat rakyat bagi mereka menjalankan tugas dan amanah selaku pengundi yang perlu memberi penyaksian parti dan calon yang dipercayainya. Kami yakin, pihak berkuasa tentunya bijak dalam memutuskan keputusan dalam hal ini.

Sekian dari kami,

1. Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
2. Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri
3. Dr. Zahazan Mohamed
4. Dr. Maszlee Malek
5. Dr. Abd Basit Abd Rahman
6. Dr. Ahmad Wifaq Mokhtar
7. Dr. Khairuddin Aman Razali
8. Dr. Sukki Othman
9. Ustaz Roslan Mohammad
10. Ustaz Zamri Zainuldin
11. Ustaz Mohd Nidzam Abd Kadir
12. Ustaz Imam Muda Asyraf Ridzuan
13. Ustaz Izhar Ariff Mohd Kashim
14. Ustaz Aizam Mas’ud
15. Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
16. Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil
17. Ustaz Syed Mohamad Nurhisham Tuan Padang
18. Ustaz Ramadan Fitri Elias
19. Ustaz Abdullah Bukhari Abd Rahim
20. Xifu Naseer Abd Rahman

Wednesday, 27 June 2012

Beberapa golongan manusia

Pesan guruku...


مَّن ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللّهَ قَرْضاً حَسَناً فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافاً كَثِيرَةً وَاللّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
"Siapakah yang mahu memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan memperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan." (al-Baqarah: 245) 

Fikir-fikir dalam diri...

Monday, 25 June 2012

Morsi diisytihar menang Presiden Mesir


KAHERAH: Calon Ikhwanul Muslimin, Mohamed Morsi telah diisytiharkan secara rasmi memenangi pilihan raya Presiden negara itu.

Pengisytiharan itu disambut jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan bergemalah sahutan Allahu Akhbar.

Morsi mendapat 13.2 juta undi dari 26 juta rakyat Mesir yang keluar mengundi iaitu 51.7 peratus dari jumlah undi. Lawannya, Ahmed Shafiq, bekas Perdana Menteri di era Hosni Mubarak mendapat 12.3 million undi. Lebih 800,000 undi diisytiharkan tidak sah.

Keputusan diumumkan oleh Farouq Sultan, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir dalam satu ucapannya yang panjang sebelum memberikan keputusan.

Beliau mempertahankan intergriti suruhanjaya yang dipengerusikannya.

Ketidaktentuan

Pengumuman kemenangan Morsi dibuat seminggu selepas pilihan raya umum pusingan akhir pemilihan Presiden Mesir antara Mohamed Morsi dari FJP dengan Ahmad Shafiq selesai.

Sejak seminggu lalu, jutaan rakyat Mesir khasnya penyokong Ikhwanul Muslimin berhimpun di Dataran Tahrir pada setiap hari.

 Bilangan mereka bertambah hari ke hari sehinggalah pengumuman rasmi dibuat hari ini. Ikhwan telah mengumumkan kemenangan Morsi sejak Ahad lalu selepas semua kertas undi selesai dikira.

Ia dibuat berdasarkan keputusan yang mereka kumpulkan dari pusat-pusat pengundian kerana semua undi telah selesai dikira di pusat-pusat pengundian itu.

Dalam pilihan raya kali ini, semua kiraan undi dibuat dipusat pengundian yang diketuai oleh seprang hakim dan keputusannya diumumkan sebaik sahaja undi selesai dikira.

Namun, hanya hari ini iaitu kira jam 10.40 malam waktu Malaysia ia diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Mesir.

Sehingga kini tidak diketahui setakat mana Morsi akan berkuasa selaku Presiden Mesir kerana SCAF telah mengumumkan beberapa perkara sebelum pilihan raya pusingan terakhir baru-baru ini.

Antaranya, Presiden tidak mempunyai kuasa penuh dalam soal pertahanan dan keselamatan dalam negeri. Antaranya mereka didakwa cuba mempertahankan Perjanjian Camp David yang dibuat antara kerajaan Mesir sebelum ini dengan Israel yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

Penolong Setiausaha Agung PAS, DR Syed Azman Syed Ahmad yang kini berada di Kaherah akan membuat laporan lanjut perkembangan yang berlaku di Mesir.

Sumber: Harakahdaily