Sahabat Sejati

Tuesday, 31 January 2012

Cetusan rasa: Seorang hamba...


Memerhati hakikat kehidupan ini, umpama lautan yang luas. Sedangkan kita hanyalah perahu kecil yang belayar di permukaannya. Kadang-kadang berhanyut tenang, seketika pula terumbang-ambing diterjah gelombang membadai.

Kita belayar dan mengawal kemudi menuju destinasi persinggahan. Apakah ada pilihan buat diri, kerana pelabuhan yang dituju pasti di hadapan menanti. Akhirnya berlabuhlah di pelabuhan akhir kehidupan.

Hidup tidak mungkin tanpa ujian, kerana ia adalah sebahagian proses kehidupan. Ia berkeliling pada setiap insan. Di mana-mana sahaja dalam setiap episod perjalanan kehidupan pasti ada ujian. Kita melihat ujian adalah tapisan Allah, siapa di kalangan hamba-Nya yang terbaik keyakinan di sebalik taqdir yang menjelma.

Kesedihan dan kegembiraan adalah ujian Allah. Kesedihan bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan menjelma semula.

Begitu juga kegagalan dan kegembiraan, ia juga adalah ujian. Tiada siapa yang mahukan kegagalan kerana kegagalan bererti kesedihan, manakala kejayaan adalah suatu kegembiraan. Bahkan tidak ramai yang memandang kegembiraan juga suatu ujian.

Kadang-kadang kita terlupa, kegagalan adalah lebih manis dari kejayaan. Kegagalan yang menjenguk menyedarkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya yang lemah dan serba kekurangan. Kita mengakui kita adalah hamba, Dia adalah Tuan. Kegagalan menyebabkan kita mengadu kepada-Nya. Disitulah letak manisnya kegagalan, dan ini tidak dirasai andai tidak ditilik melalui mata hati. Dapatkah kita berbangga, andai kejayaan yang diperolehi menyebabkan kita hanyut dalam pujian. Kita sering terlupa pada DIA yang menganugerahkan kejayaan tatkala meraikan kejayaan.

Kita hamba-Nya yang lemah. Kesilapan dan kesalahan seringkali mengekori. Besar atau kecil kesilapan, banyak atau sedikit kesalahan, ianya memutik tiap waktu dan ketika. Tanpa petunjuk-Nya bergelumanglah insan dalam dosa yang bertitik hitam.

Allah, Tuhan kita yang Maha Penyayang, dengan rahmat-Nya ditutupi kesilapan dan kesalahan kita. Maka tampillah kita di hadapan manusia dengan wajah yang suci dan bersih. Sedangkan DIA menutupi kesilapan kita kerana memberi peluang untuk kita bertaubat dan kembali menginsafi diri. Binasalah diri andai ini juga tidak dimengertikan. Pasti binasa...

Dalam letih aku merintih
Dalam gundah aku menadah
Dalam sendu aku merayu
Selautan kelalaianku
Segunung dosaku
Namun tidak terhitung limpahan rahmat-Mu
Tidak terjangkau luasnya keampunan-Mu
Berapa pula nilai syukurku...

Seorang hamba,
abuikhwan

Monday, 30 January 2012

Batas pergaulan wanita iddah

Soalan:

Saya ingin penjelasan perkara-perkara berikut. Semasa dalam iddah, apakah batasan aurat bagi wanita terhadap suaminya? Perlukah isteri menyediakan makan minum kepada suaminya dan rumah yang menjadi milik isteri, bolehkah suami tinggal bersama di dalamnya? Terima kasih.

Jawapan:

ISTERI yang telah ditalakkan suami ada dua jenis.

Pertama, talak bain iaitu talak penghabisan yang tidak boleh rujuk. Kedua, talak rajie, iaitu talak yang boleh dirujuk semula.

Apabila termasuk dalam kategori talak bain, maka hubungan suami isteri terputus dengan talak tersebut, maka mereka sudah menjadi orang asing, yang hukum pergaulannya sama seperti hukum perempuan ajnabi dalam semua hal, termasuklah suami itu tidak lagi menjadi kewajipan untuk dia menyediakan makan minum, kerana sudah menjadi bekas suaminya.

Adapun talak rajie, maka isteri yang ditalakkan itu berada di tengah-tengah keadaannya. Menjadi isteri sebenar pun tidak, kerana telah diceraikan dan hanya menunggu tamat iddahnya, maka tamatlah perkahwinan mereka. Hendak dikatakan bukan isteri pun tidak, kerana hanya dengan menyebut “aku rujuk denganmu semula”, maka jadilah mereka suami isteri semula.

Namun begitu, hukum ke atas perempuan yang diceraikan suaminya, ada hak-hak tertentu dari segi syarak untuknya, khususnya hak nafkah dan tempat tinggal, sehingga tamat iddahnya.

Setelah bercerai, maka suami hendaklah memisahkan diri daripada isterinya dan tidak tinggal sebilik lagi. Semasa dalam iddah, boleh tinggal dalam sebuah rumah, tetapi diasingkan.

Firman Allah (mafhumnya): “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.: (at-Talaq: 6)

Maksud ayat di atas, suami wajib menyediakan temps tinggasl untuk isteri yang ditinggalkannya, sekadar kemampuannya, seperti tempat kediaman yang mereka tinggal bersama sebelum mereka bercerai.

Bukan isteri yang menyediakan tempat tinggal untuk suaminya. Jika suami menyediakan tempat tinggal yang baru, maka hendaklah kediaman itu sesuai dengan isteri tersebut.

Adapun batas aurat, mereka hendaklah bergaul seperti orang ajnabi. Iaitu si isteri hendaklah menutup auratnya.

Dalam perbahasan talak sindiran (kinayah), ulama fikah menerima perkataan suami terhadap isterinya, yang menggunakan bahasa talak sindiran, seperti katanya: “tutupilah diri kamu daripada pandangan aku, dengan menutup aurat sepenuhnya” atau seperti kata-kata: “berhijablah kamu daripada aku.”

Apakah itu talak kinayah atau tidak, ulama mengatakan itu adalah talak sindiran, jika dengan perkataan itu ada diniatkan bercerai, maka akan tercerailah isteri.

Ertinya, isteri hendaklah menutup auratnya. Oleh kerana itu isteri yang diceraikan hendaklah menjaga auratnya daripada si suami yang menceraikannya.

Isteri tidak perlu menyediakan makan minum kepada suaminya, kerana mereka dari satu segi sudah menjadi orang asing dan tempat tinggal pun sudah terpisah, walaupun masih sebumbung.

Sekiranya rumah itu rumah isteri, maka suami boleh tinggal dalam rumah tersebut jika diizinkan isteri, dengan syarat dipisahkan bilik. Seelok-eloknya mereka berasingan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Cerita Kapten Hook

Seorang kelasi bertemu dengan Kapten Hook di sebuah bar. Mereka berbual mengenai pengembaraan mereka di lautan. Kelasi itu melihat Kapten Hook mempuyai kaki kayu, cangkuk ditangannya dan menutup sebelah matanya.

Lalu si kelasi bertanya, "bagaimana dengan kaki kamu boleh tempang dan terpaksa memakai kaki kayu?"

Kapten Hook membalas, "masa tu di Lautan Atlantik, kami dilanda ribut taufan yang amat dahsyat. Kapal hampir terbalik dan saya tercampak ke dalam laut, rupa-rupanya saya jatuh ke atas sekumpulan jerung. Ketika saya ditarik ke atas, kaki saya telah dibaham oleh salah seekor jerung."

"Woww!!! Kata si kelasi itu dengan takjub.

"Bagaimana pula dengan tangan tu?" Kelasi itu bertanya lagi.

"Masa tu kami sedang berperang dengan musuh. Musuh memakai pedang dan parang panjang. Salah seorang musuh telah menetak tangan saya, zassssss... putus!!"

"Wahh, hebat!!! Bagaimana pula dengan mata tu?" Soal si kelasi kagum.

"Ohh...mata ni terkena tahi burung..." jawab Kapten Hook mudah dan bersahaja.

Si kelasi merasa hairan sambil menggaru-garu kepala...

"Kapten hilang sebelah mata sebab terkena tahi burung?"

Lantas dengan ringkasnya Kapten Hook membalas: "Ya, sebab hari tu hari pertama saya memakai tangan bercangkuk ni!"

Ceria di pagi hari...