Sahabat Sejati

Thursday, 22 April 2010

3 yang menghancurkan manusia

Salam Kamunting,

Ketua pemuda ahli syurga, Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma, di dalam himpunan nasihat dan kata – kata hikmah yang terakam di dalam sejarah ketinggian ilmu dan budinya pernah bekata;

“Kehancuran manusia adalah pada 3 perkara: 1) Sifat takabbur. 2) Sifat Tamak. 3) Sifat dengki. Adapun sifat takabbur, ia menghancurkan ugama dan kerananyalah iblis dilaknat oleh Allah. Sifat tamak pula, ia adalah musuh kepada diri sendiri dan kerananyalah nabi Adam dikeluarkan daripada syurga. Manakala sifat dengki adalah pengepala kepada kejahatan dan kerananyalah Qabil telah sanggup membunuh Habil.” ( Kitab ‘Allimu auladakum hubba aali baiti al nabi. ms 30 )

Inilah hikmah yang hebat dan cukup meruntun jiwa untuk menginsafi diri dan mendorong taqwa kepada Allah. Semoga Allah merahmati Hasan bin Ali radhiaLlahu anhuma dan menempatkan kita bersamanya dan para sahabat radhiaLlahu anhum di syurgaNya.

Inilah 3 sifat buruk yang disebut di dalam al Quran sebagai punca awal maksiat sang makhluk kepada tuhannya. Sebelumnya tiada satupun makhluk kecuali tunduk dan patuh kepada tuhan sang pencipta yang maha agung.

Ia bermula dengan sifat angkuh dan sombong Iblis yang enggan sujud kepada Adam alaihissalam. Di situlah bermula keengkaran dan kekufuran, lalu iblis dilaknat Allah.

Kemudian datuk kita terlalai oleh pujukan dan tipudaya iblis daripada mengingati pesanan tuhannya untuk tidak mendekati ‘pokok sambung nyawa’ di syurga itu. Nabi Adam didorong oleh ketamakan untuk kekal hidup tanpa mati di syurga menikmati anugerah Allah. Adam memakan daripada pokok itu, lalu baginda dihukum dengan dikeluarkan daripada syurga disebalik taubatnya yang diterima Allah.

Kemudian Allah menceritakan jenayah pertama di muka bumi yang dilakukan oleh Qabil yang telah sanggup membunuh saudara kandungnya sendiri, Habil kerana sifat dengki yang meluat – luat sehingga membutakannya daripada mendengar nasihat yang benar daripada saudaranya itu.

Sayyidina Hasan telah mengingatkan kita bahawa ketiga – tiga sifat buruk inilah yang akhirnya terus membunuh dan menghancurkan manusia selepas daripada itu. Manusia gagal mengambil iktibar daripada cerita – cerita awal kejadian manusia itu, gagal mengesan keburukan sifat – sifat tersebut di dalam tubuh mereka dan gagal menghindari dan mengubatinya.

Sifat takabbur adalah lawan sifat tawadhu’. Ia bermaksud membesar diri dan membangga – banggakan keadaan dirinya, seterusnya memandang leceh dan rendah terhadap orang lain. Inilah sifat paling buruk kerana daripadanyalah akan lahir dan bercabangan sifat – sifat buruk yang lain. Ini kerana sifat itu hanya layak untuk Allah dan menjadi milikNya semata – mata.

Sifat takabbur mudah dikesan kerana wujud tanda – tanda yang zahir, antaranya; suka menunjuk diri di khalayak ramai, menonjolkan kelebihannya di hadapan mereka, suka mengetuai majlis keramaian dan berlagak semasa berjalan, tidak suka kata – katanya ditolak sekalipun salah bahkan enggan menerima teguran dan memandang rendah terhadap orang yang lemah dan miskin.

Selain itu, antara tanda – tanda takabbur lagi adalah suka menyucikan diri sendiri dan memuji – mujinya, berbangga dengan keturunannya dan menunjuk – nunjuk dengan kekayaannya, ilmunya, ibadahnya, kecantikannya, kekuatannya, penyokong dan pembantunya yang ramai dan lain – lain lagi.

Sifat tamak pula adalah keinginan melampau untuk menikmati harta dan kedudukan. Tamak terhadap harta ada 2 peringkat;

Pertama, terlalu inginkan harta dan bersungguh – sungguh menperolehinya melalui jalannya yang harus dan dibenarkan. Ini tetap tercela kerana betapa banyak masanya dihabiskan untuk memburu harta sedangkan masa itu adalah emas yang lebih bernilai daripada harta. Masanya itu sepatutnya dihabiskan untuk memburu taqwa dan taat kepada Allah berbanding harta yang telah ditetapkan oleh Allah untuknya.

Kedua, ketamakan terhadap harta sehingga mendorongnya melampaui had yang dibenarkan syara’. Ia memasuki jalan – jalan haram tanpa lagi menghiraukan kemurkaan Allah. Inilah penyakit ‘asy syuhh’ ( terlalu bakhil ) yang diingatkan Allah di dalam al Quran agar dijauhi.

Sabda Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam: ” Berhati – hatilah kamu daripada sifat asy syuhh. Sesungguhnya asy syuhh itu telah menghancurkan orang sebelum kamu. Ia menyuruh kepada putus hubungan, lalu mereka memutuskannya. Ia menyuruh kepada kebakhilan, lalu mereka menjadi bakhil. Ia menyuruh kepada kejahatan, lalu mereka melakukan kejahatan.” ( Riwayat Abi Daud. Albani mensahihkannya.)

Adapun tamak kepada kedudukan, maka ia adalah lebih buruk daripada tamak kepada harta. Ia terbahagi kepada 2 bahagian;

Pertama, tamak kepada kedudukan melalui kuasa dan harta. Ini cukup bahaya kerana ia akan menghalang daripada kebaikan akhirat dan kemuliaannya. Orang yang menggilai kekuasaan tidak akan dibantu dan diberi petunjuk oleh Allah kecuali mereka yang menerimanya tanpa meminta.

Kedua, tamak kepada kedudukan melalui perkara – perkara ugama seperti ilmu, amal, kezuhudan dan sebagainya. Inilah seburuk – buruk ketamakan. Agama adalah untuk memburu dan mengejar ridha Allah dan kedudukan di sisiNya, tetapi mereka ini telah menyalah gunakannya untuk keduniaan.

Manakala sifat dengki pula, maka ia adalah lawan sifat suka dan mengimpikan kebaikan untuk orang lain. Dengki menjadikan tuannya terlalu mengimpikan sesuatu nikmat itu hilang daripada orang lain. Ia adalah penyakit yang buruk, hina dan menghancurkan segala kebaikan. Allah menyuruh nabiNya berdoa agar dijauhi daripada kejahatan mereka yang berdengki. ( Surah al ‘alaq; 5 )

Hasad dengki terjadi akibat beberapa perkara; permusuhan, kebencian, ujub, cintakan kedudukan, busuk hati dan lain – lain penyakit hati. Ia terlalu buruk dan menakutkan kerana ia boleh saja berlaku di kalangan sendiri, kawan – kawan, para ulama dan peniaga dan keluarga.

Itulah gambaran ringkas keburukan 3 penyakit utama yang menghancurkan manusia sebagaimana digambarkan oleh Sayyidina Hasan bin Ali radhiaLlahu anhu.

Semoga Allah memudahkan kita untuk menjauhi diri daripada berakhlak dengan akhlak – akhlak yang buruk dan terhina. Bersamalah menghias diri dengan sifat – sifat ugama yang mulia.

Sumber: Nik Abduh Nik Abd Aziz

Tuesday, 20 April 2010

Macam-macam cerita

“Assalamualaikum!”

“Assalamualaikum!”

Kedengaran suara memberi salam dari luar. Saya yang baru pulang dari kerja segera menjenguk ke pintu. Kelihatan dua orang anak muda tercegat di luar. Pakaiannya...masya-Allah, dengan fesyen rambut ‘terpacak’. Di sisinya terdapat sebuah kotak.

“Wa ‘alaikum as-salam, ada apa?” Saya bertanya.

“Abang, saya seorang pelajar dan sekarang saya sedang buat latihan untuk melihat tahap komunikasi saya dengan orang ramai,” katanya.

“Betul bang, saya penyelia yang akan membuat penilaian tahap komunikasinya. Jadi saya nak minta kerjasama abang, boleh?” Sambung pula rakan disebelahnya.

“Tak nampak macam pelajar pun, pakaian entah apa-apa, macam nak jual barang je.” Getus saya di dalam hati, sambil memikirkan bagaimana untuk menangani situasi ini.

Diluar pagar kelihatan dua lagi rakannya sedang menunggu di dalam kereta. Seorang lelaki dan seorang lagi perempuan.

“Kamu berdua ni nampak macam nak jual barang je, itu apa dalam kotak tu, penapis air ke?” Duga saya. Kebiasaannya penapis air.

“Tidak bang, ini adalah barang yang kami gunakan untuk praktikal. Bukan untuk di jual, “ jawab si ‘penyelia’ itu, cepat sahaja dia menjawab.

“Kamu belajar di mana? Boleh saya lihat kad pelajar atau apa-apa surat yang berkaitan dengan dengan kerja kursus kamu ni,” saya bertanya kepada yang mengaku pelajar itu.

“Err..saya...belajar di kolej XXX,” jawabnya. Nampak sedikit kalut. Mungkin beliau tidak menyangka saya akan bertanya soalan itu.

“Surat tu saya yang pegang, tetapi saya tertinggal kerana nak cepat tadi,” pantas pula si ‘penyelia’ itu menjawab.

Sukar untuk saya mempercayai penjelasan mereka. Dari apa yang saya perhatikan mereka tiada langsung gaya seorang pelajar. Dengan rambutnya, bajunya, seluarnya serta kasutnya, gayanya seperti...........

“Macam mana bang boleh kami mulakan,” tanya mereka lagi. Saya ligat mencari akal fikiran. Bagaimana agaknya.

“Kamu kenal ‘Encik Sazali Osman’. Dia pegawai di bahagian pentadbiran kolej, tempat kamu belajar tu”. Saya bertanya.

Saya pun tidak mengenali siapa dia ‘Encik Sazali Osman’ serta kewujudannya, macam mana boleh terkeluar namanya pun saya tidak tahu, semuanya sepintas lalu. Saya bertanya sekadar mahu menguji mereka. Lucu pula rasanya.

“Saya kurang pastilah, bang. Saya tak berapa kenal mereka yang di bahagian pentadbiran,” jawab pelajar tersebut. Si ‘penyelia’ di sebelahnya hanya diam.

“Dr Wan Zawidi Adam? Dia pensyarah di situ.” Saya menduganya lagi. Rasa ‘bertanduk’ pula, semoga Allah mengampunkan saya. Sebenarnya Wan Zawidi itu adalah nama rakan saya. Beliau bukan pensyarah, beliau sebenarnya bertugas di Jabatan Kimia di Petaling Jaya. Sengaja saya meminjam namanya, setelah otak beku memikirkan nama yang nak diguna. (maaf Wan Zawidi).

“Ohh..Dr Wan, kenal. Macam mana abang kenal dia?” Dia pula bertanya saya.

“Kawan lama.” Jawab saya pendek.

Kesangsian saya terhadap mereka semakin bertambah, setelah mendengar jawapan mereka. Dan saya rasa mereka sebenarnya ingin menjual barang, kerana saya acap kali berdepan dengan keadaan seperti ini. Ada yang datang untuk buat kaji selidik penduduk di kawasan itu, ada yang mahu buat kaji selidik untuk membina kilang, ada juga yang datang untuk sekadar soalan kuiz, dan berbagai-bagai cara dan taktik yang digunakan. Akhirnya kena tarik sampul surat yang berisi hadiah, hadiah tersebut percuma tetapi untuk mendapatkannya kena bayar sedikit wang. Pulak dah...

Ada juga taktik yang digunakan seperti demostrasi barangan, gores dan menang, pelajar praktikal dan sebagainya. Tidak perlu beli barang kerana kami bukan nak jual barang, hanya untuk memberi penerangan sahaja. Tetapi akhirnya kena beli kerana kotak barang sudah dibuka. Pun sama...

Tak faham bahasa

“Bolehlah bang, 10 minit kami ambil masa abang untuk tunjukkan barang ini. Kami bukan nak jual, hanya latihan untuk dia ni.” Kata ‘penyelia’ itu sambil menunjuk kepada pelajarnya.

“Maaf, saya tak berminat,” saya menjawab. Harap-harap mereka faham.

“Ala..10 minit je, bukannya lama. Susahlah macam ni, kita patut tolong bangsa kita. Kalau orang melayu tak tolong orang melayu siapa lagi yang nak tolong. Macam mana orang melayu nak maju,” makin lebat si ‘penyelia’ bercakap. Makin melalut rasanya.

“Tak apalah saya tak berminat, saya pun nak keluar ni, minta maaf,” saya bercakap lembut. Masih ada toleransi, dan mengharapkan agar mereka segera beredar kerana saya sudah terasa rimas.

“Bolehlah bang, abang cuma dengar sahaja,” katanya lagi. Nada merayu, putus asa pun ada barangkali.

“Saya tak berminat, awak tak faham bahasa ke!” Saya sedikit meninggikan suara. Rasa rimas telah bersarang, rasa menyesal pun ada juga.

Mereka berdua tersentak. Saya sendiri pun terkejut dengan perbuatan saya meninggikan suara.

“Tak apalah bang, kalau abang tak berminat nak menolong bangsa kita” mereka berdua segera beredar, sambil berbisik sesama mereka mungkin tidak puas hati.

“Yang menipu bangsa sendiri pun ramai juga,” kata saya tetapi di dalam hati. Sambil memerhatikan mereka berlalu.

Harapan

Tidak dapat dinafikan banyak syarikat-syarikat perniagaan langsung yang tumbuh dewasa kini. Ada yang menjual barangan kesihatan, ubat-ubatan, alat senaman dan sebagainya. Ia satu perkembangan yang baik. Tetapi jika ada unsur-unsur gharar dalam proses pengendaliannya, maka saya fikir ini adalah satu perkara yang tidak patut berlaku. Maka akan ada yang menjadi mangsa dan teraniaya. Oleh itu, sistem muamalat yang baik asalnya menjadi rosak dan menimbulkan sikap prejudis.

Saya amat berharap agar pihak yang berwajib dapat melakukan pemantauan ke atas isu ini. Bagaimana jika yang menjadi mangsa itu dikalangan warga emas yang tidak mengerti apa-apa. Seperti mana yang pernah diceritakan oleh seorang sahabat, yang mana pasangan warga emas ini terpaksa membeli penyedut hampagas atas alasan mereka telah membuka sampul surat. Difahamkan dirumah mereka hanya ada tikar mengkuang, jadi nak sedut apa. Mujurlah anak lelaki mereka kebetulan pulang ke rumah pada waktu itu kerana ada urusan dan sempat menyelamatkan keadaan. Jika tidak, pasti pasangan warga emas tersebut menjadi mangsa penipuan terancang dan licik ini.

Saya tidak bermaksud untuk bersikap pukul rata, dengan melabelkan semua syarikat jualan tersebut adalah penipu. Ada juga yang menjalankan perniagaan dengan jujur, tetapi kerana perbuatan segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab ini menyebabkan yang lain terpalit sama. Lalu mengundang ketidakpercayaan orang ramai.

Justeru itu, untuk memperbaiki kesongsangan ini ia memerlukan komitmen banyak pihak dan usaha-usaha yang dijalankan mestilah dengan berterusan dan sebaik mungkin. Bukan sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.

Kepada yang mereka yang jujur, istiqamahlah. Saya amat menghargai kejujuran anda. Semoga anda di rahmati Allah SWT.

Sama-sama beringat.

Thursday, 15 April 2010

Petua Berjaya Yang Luar Biasa

Segala penghuni petala bumbung dan lantai sudah berkumpul.

Mamalia ada, reptilia ada, berdarah panas menggelegak pun banyak, berdarah sejuk yang kuat rajuk pun melata. Semuanya berkumpul di tepi permatang untuk bergelanggang. Mahu melihat hari ini dalam sejarah.
Sebuah pertempuran yang dinanti-nantikan.

Pertandingan memanjat pokok pinang.

30 makhluk ciptaan Tuhan tampil ke depan. Mahu berentap memanjat ke awan. Habuan yang ditawarkan pun agak lumayan. Siapa mendengar pasti tertawan.

Sang murai menjerit girang, tanda persaingan bermula sekarang.

“Ayuh, ayuh! Jangan mudah berputus asa,” jerit sang punai menyorakkan tupai.

“Panjat, panjat! Siapa cepat dia dapat!,” sorak si badak mengusik si katak.

Tupai, katak, beruk dan lotong, memanjat-manjat mara ke atas. Menoleh ke kanan menoleh ke kiri, sesekali mencanak telinga mendengar sorak rombongan rimba. Sorak yang kuat menambah semangat. Sorak yang semangat menambah kudrat.

Tapi pinang bukan sebarang pinang. Licinnya kulit bukan kepalang. Basah pula dek gerimis petang, tidak beranting tidak berdahan. Hanya batang, tinggi kepalang.

Peluh memercik sengalnya tulang, pucuk pinang masih menjulang. Jauh lagi sebuah kemenangan, untuk juara mengecap kejayaan. Satu demi satu peserta jatuh. Letih, sakit, lenguh, tersepuh. Hanya tinggal segelintir yang keras hati, terus mara tidak peduli.

Warga rimba berubah hati, dari dorong kepada maki. Tadi beri semangat kini mencaci mengumpat. Tangan masih bersorak, mulut mengeji mencanak.

“Sudah-sudahlah, jangan ditamak hadiah yang banyak. Benda mustahil jangan kejar sampai terkucil,” ujar sang platipus memuncung-muncung.

“Kalau kamu mahu sangat tawaran itu, datang sahaja ke sarangku, akan kubelanja!” tawar si merak yang megah berlagak.

“Baliklah, hari sudah petang. Ingat di reban, keluarga tersayang” panggil sang itik, terkedek-kedek.

Satu demi satu peserta hilang semangat. Tubuh penat, basah keringat. Kudrat tadi semakin susut, ghairah pagi menjadi kecut. Tupai yang lincah jatuh ke tanah, biawak yang buas tergelincir terhempas. Batang pinang tinggal sebatang, hanya seekor cicak berjuang.

“Hahaha! Bodohnya cicak itu. Entah apa yang dia mahu” ketawa si beruk bermuka buruk.

“Uhuhuh! Cicak tamak tak ingat anak. Mengejar hadiah tak nampak rumah!” ejek sang kancil tak padan kecil.

Cicak terus mencanak.

Batang pinang dipanjat tak kira orang.

Walau panjatnya lesu perlahan, pinang dipanjat mencapai awan. Bayu petang menghembus kuat, cicak bertahan tak patah semangat. Biar pun diri tinggal sendiri, cicak langsung tidak peduli.

Jika tadi semua mengeji, timbul kagum semua berdiri. Kutuk tidak didengar lagi, kata semangat kini kembali. Cicak mula terima sorak, jangan undur teruskan tempur. Hadiah bukan tawaran sebarangan, lumayan sekali jangan disesiakan.

Sampai di puncak, tersenyum cicak. Cita-cita sudahlah nyata. Tahun ini cicak juara. Hadiah lumayan miliknya jua.

Datang wartawan mencari cerita. Bertanyakan rahsia semangat yang waja. Cicak tersenyum tanpa bicara, soalan ditanya, tiada jawabnya.

Fahamlah semua rahsia sang cicak, rupanya dia CICAK YANG PEKAK.

PENGAJARAN

Jika mahu berjaya dalam hidup, sesekali belajarlah memekakkan diri daripada melayan cakap orang, sama ada kritikan, sama ada pujian. Jika sudah ditetapkan hala tuju, terus sahaja mara ke hadapan.

“Jika kamu mahu menjadi seorang yang mempunyai pandangan, jadilah seorang yang mempunyai pendirian. Sesungguhnya pandangan menjadi rosak, apabila kamu berbelah bagi” [Abu Tayyib al-Mutanabbi]

* Olahan semula daripada sebuah kisah rakyat masyhur yang dimuatkan di dalam buku Setengah Berisi Setengah Kosong tulisan Bapak Parlindungan Marpaung, terbitan PTS.

Sumber: Saifulislam.com