![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Ada yang bertanya… Mengapa aku selalu menulis tentang masa lalu?
Tentang kenangan kanak-kanak yang berlari di batas dan tali air, tentang bunyi lesung menumbuk padi, tentang tawa emak di dapur kayu, tentang ayah bersama kerusi 'malas' yang akrab dan tak lupa atuk dan nenek yang duduk diam di serambi sambil mengira waktu.
Mungkin, kerana masa silam itu tidak pernah benar-benar pergi. Ia tinggal diam di sudut hatiku yang paling dalam. Dan setiap kali aku menulis, aku sedang memanggilnya pulang.
Aku suka menulis tentang zaman kanak-kanak.. kerana di sana, hidup begitu polos dan tulus. Segala derita terasa ringan, dan dunia, meskipun kecil, terasa cukup.
Aku menulis tentang desa yang dulu.. kerana di situlah jati diriku dibentuk. Rumah papan, jalan tanah merah, suara azan dari surau kecil di pinggir jalan, semuanya bukan sekadar memori, tapi akar kepada siapa aku hari ini.
Dan tentang orang-orang tua yang telah pergi..aku menulis untuk merawat rindu yang tak sempat terluah. Untuk menghidupkan kembali suara mereka yang kini hanya tinggal gema.
Menulis ialah caraku mendoakan, dan dalam setiap bait itu, aku cuba menyentuh tangan mereka walau hanya melalui kata.
Barangkali, aku menulis tentang masa silam kerana dunia hari ini terlalu laju dan bising, sedang hatiku rindu pada waktu yang lambat, pada suasana yang damai, pada cinta yang tidak bertukar ganti.
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Dan sesungguhnya, ia adalah kerana satu rindu. Rindu yang tidak pernah habis, tidak pernah letih dan tidak pernah padam.
Kerana nostalgia itu seperti pelita kecil di malam yang panjang, menghangatkan jiwa yang kian menua, dan menenangkan hati yang letih mencari makna.
Aku menulis bukan kerana enggan melangkah ke depan, tetapi kerana aku tahu, siapa yang lupa pada semalamnya, tidak akan tahu ke mana arah esoknya.


