Sahabat Sejati

Tuesday, 25 October 2022

Sahihkah berkenaan payung emas?

'foto hiasan'

Berkenaan dengan payung emas, tidak terdapat di dalam al-Qur’an ataupun al-Hadis tentang payung emas. Ini bermakna, payung emas adalah satu rekaan semata-mata dan ia hanyalah satu perspektif yang tidak benar. 

Di dalam al-Qur’an memang terdapat ayat-ayat yang menyentuh tentang alam perkahwinan atau hubungan sesama suami dan isteri tetapi payung emas tidak disebut sama sekali. Begitu juga dalam al-Hadis, ada disebut tentang kelebihan seorang isteri yang mentaati suaminya dan sabar dalam menghadapi alam rumah tangga. 

Contoh ayat al-Qur’an yang bercerita tentang hubungan sesama suami dan isteri adalah: Firman Allah SWT:

 فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللَّهُ 

Maksudnya: “Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka”. (An-Nisa:34)

Di dalam sebuah hadis, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا، دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الجَنَّةِ شِئْتِ 

Maksudnya: “Jika seorang wanita menunaikan solat 5 waktu, puasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal kemaluannya dan ta'at kepada suaminya, Masuklah dia ke dalam Syurga dari mana-mana pintu yang anda kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, 9/471] 

Kesimpulannya, terdapat banyak lagi ayat al-Qur’an dan al-Hadith yang menceritakan tentang kelebihan hidup berumah tangga dan juga hubungan sesama suami dan isteri tetapi tidak terdapat sepotong ayat al-Qur’an atau al-Hadis yang menceritakan tentang payung emas sebagaimana yang didakwa.

Friday, 23 September 2022

Kami jua akan menyusul nanti..

Sesungguhnya kita milik Allah dan kita semua akan kembali kepada-Nya. 

Hari ini, Jumaat 23 September 2022, nadinya terhenti buat selama-lamanya. Perginya meninggalkan kesibukan dunia yang fana. Damailah abang Bob @ Mohd Hakim bin Lokman, kami jua akan menyusul nanti pada masa dan tarikh yang kami juga dirahsiakan oleh penggenggam Taqdir! 

Moga Allah SWT mengampuni semua kesalahannya dan menerima semua amal kebaikannya. Salam takziah buat keluarga almarhum. Semoga beroleh kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian ini.

Tuesday, 20 September 2022

"Wanita Muslimah di mata agama adalah Ratu.."

Bertanya seorang lelaki Inggeris kepada Syeikh Mutawally Al-Sha'rawi: "Kenapa wanita Muslimah tidak bersalaman dengan kaum lelaki?" 

Jawapan Syeikh Mutawally sangat menakjubkan. "Saya ingin bertanya kepada kamu, adakah kamu dibenarkan bersalaman dengan Ratu kamu (Ratu Elizabeth) di Britain?" 

Maka jawab lelaki tersebut: "Tidak, menurut undang-undang hanya 7 golongan kayangan sahaja yang boleh bersalaman dengan Ratu.." 

Berkata Syeikh : "Begitulah kami dalam Islam, hanya 12 orang sahaja yang boleh bersalaman dengan wanita Muslimah. Mereka yang dimaksudkan itu ialah: 

1- Ayah 

2- Datuk

3- Suami

4- Bapa mertua

5- Anak lelaki 

6- Saudara lelaki kandung 

7- Bapa saudara belah bapa 

8- Bapa saudara belah ibu 

9- Anak saudara lelaki kandung 

10- Anak saudara perempuan kandung 

11- Cucu lelaki dari anak lelaki 

12- Cucu lelaki dari anak perempuan." 

Syeikh meneruskan jawapannya dengan berkata lagi: "Kesemua mereka ini dibenarkan untuk bersalaman dengan wanita Muslimah. Kamu dilarang oleh undang-undang untuk bersalaman dengan Ratu kamu kerana menghormati kewibawaan Ratu. 

Manakala wanita Islam kami pula dilarang oleh agama bersalaman dengan lelaki selain 12 orang tersebut kerana menghormati kewibawaan mereka. Wanita Muslimah di mata agama adalah Ratu. Maka setiap Ratu ada hadnya yang perlu dijaga dan dihormati sama seperti Ratu kalian." 

Wallahu a`lam 

Moga Allah mengurniakan kerahmatan buat Allahyarham Syeikh Mutawwaly Al-Sya'rawi dan menempatkan beliau di kalangan manusia yang beriman dan bertaqwa ..Insyaallah Amin.