Sahabat Sejati

Saturday, 19 February 2022

Bicara santai: Bimbang juga!

Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, sama-sama kita merafa`kan rasa syukur kepada tuan empunya dunia, Allah SWT yang masih memberikan kepada kita semua bermacam-macam nikmat. Tentunya dengan semua nikmat tersebut kita dapat menjalani kehidupan dengan sebaiknya di dunia ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidak terkira, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi engkar.” (Ibrahim: 34)

Di antara nikmat-nikmat yang tertinggi daripada semua nikmat itu ialah nikmat Islam kerana dengan Islam-lah Allah SWT menyempurnakan agama (Ad-Deen) melengkapi nikmatnya buat kita, dan redha dengan Islam sebagai agama kita kerana Islam adalah penutup kepada semua agama.

Alhamdulillah adalah ungkapan ringkas sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan. Sedangkan Allah SWT juga menegaskan, bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka. Sifat syukur juga membolehkan seseorang mendapat pahala yang besar. Justeru, marilah kita menyebut "ALHAMDULILLAH"

Hari ini kes jangkitan virus Covid-19 semakin meningkat. Bahkan setiap hari makin bertambah. Di lingkungan  tempat tinggal saya sendiri sudah lebih 20 orang yang dikenalpasti positif. Samada orang dewasa maupun kanak-kanak. Ini juga termasuk di antara perkara yang agak membimbangkan. Harap-harap tidak berlaku PKPD atau apa-apa `P` sudahlah! 

Tambahan pula sekarang ini kita semua dalam menghitung hari menuju Ramadhan. Moga tidak berulang kembali sebagaimana Ramadhan yang lalu. Doakan..

Sunday, 6 February 2022

Rejab menuju Ramadhan..


Pantasnya masa berlalu pergi.

Pejam dan celik berlalu seminggu. Pejam dan celik berlalu sebulan. Pejam dan celik setahun berlalu. Pejam dan celik, lalu tidak celik-celik kerana ajal telah mendatangi. 

Terkuak tirai jendela Rejab 1443. 

Sudah mula kedengaran bacaan doa Rejab yang masyhur oleh sang imam di masjid dan surau. Di medsos juga sama rancak, sahabat-sahabat mengirimnya. Semuanya untuk mengingatkan bahawa kita telah berada di bulan Rejab. Lebih daripada itu, mengingatkan untuk bersedia memasuki bulan Ramadhan yang amat didamba.

Acapkali saya menulis, berapa ramai kaum keluarga dan sahabat handai yang telah pergi mendahului tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka. 

Saya jua diulit kebimbangan. Apakah saya dapat bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini ataupun sebaliknya. Jangkamasa dua bulan yang masih berbaki, tiada jaminan untuk masih mampu menghirup udara di dunia ini. Entah-entah telah tertulis suratan di sisi-Nya, saya juga tidak dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini.  

Justeru, seandainya kita diberi kesempatan dan peluang untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini nanti, maka gunakanlah anugerah Allah ini dengan bersungguh-sungguh mengisi waktu dengan ibadat dan amalan yang soleh.

Allahu al-Musta`an..

Wednesday, 22 December 2021