Sahabat Sejati

Friday, 6 January 2017

Warna-warni pengumpulan sumbangan barangan 'flotilla4Rakhine'

3 atau 4 hari tidak menjelajah ke blog sahabat-sahabat. Malahan dalam tempoh itu juga, pondok kecil abuikhwan juga tidak saya dikunjungi untuk mencoret apa-apa kisah. Sibuk? Mahu kata sibuk, tidaklah sangat, tetapi mahu dikatakan tidak sibuk, serasa sibuknya sehingga terkejar-kejar masa.

Sebenarnya saya dan beberapa orang sahabat terlibat dalam kerja-kerja mengumpul barangan yang akan dihantar kepada pelarian Rohingya dalam misi Frotilla4Rakhine. Ya, saya telah menulis mengenainya tempohari (baca sini). Maka berbekalkan semangat yang meruap-ruap, bergeraklah kami dari satu lokasi ke satu lokasi pengumpulan. Memuatkan sumbangan orang ramai ke atas lori yang disewa khas. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan. Jika ada pun masalah, cuma yang remeh-remeh sedikit, tetapi masih di dalam kawalan yang dapat diatasi dengan sebaiknya. Semua itu adalah dengan keizinan-Nya.

Barangan yang dikumpul akan dibawa ke pusat pengumpulan utama di Kampung Delek Kelang, yang dibuka 24 jam sehari. Di sana para petugas akan mengasing barangan mengikut kategori. Tidak dapat saya bayangkan betapa sibuknya petugas di sana 'melayani' barangan sumbangan yang didatangkan dari seluruh semenanjung Malaysia. Kami yang 'bermesra-mesra' dengan sumbangan dari seluruh Pahang pun, tidak terkata penat dan sibuknya. Apatah lagi mereka, entahlah berapa kali ganda pula sibuk dan penatnya. 

Biasanya yang lebih kerja sedikit apabila menangani pakaian terpakai. Kerap-kali terjadi si pemberi (bukan semua) tidak mengikut syarat-syarat berkaitan pakaian terpakai yang telah ditetapkan. Ada yang tidak diisikan label, ada pakaian yang amat uzur yang tidak sepatutnya didermakan, dan bermacam-macam lagi. Akhirnya terpaksalah para petugas 'melembang' semula bungkusan bagi memastikan 'pakaian yang sepatutnya' diterima oleh si penerima.

Tetapi tidak semua yang berbuat demikian. Ada yang juga bagus-bagus dan amat menyenangkan. Saya pernah menerima 6 kotak pakaian terpakai daripada seorang rakan blogger dari Sarikei, Sarawak. Tercetus hasratnya untuk memberi kepada mangsa banjir di pantai timur yang ketika itu terjejas dengan teruk, setelah membaca kisah yang saya nukilkan di dalam pondok abuikhwan ini. Dengan pakaian yang dibungkus dengan baik di dalam kotak, serta label yang jelas dan terang, tentunya saya amat memuji kesungguhan dan ketelitiannya, yang memudahkan kerja-kerja para petugas. 

Apa pun, semua itu adalah asam garam yang sentiasa menambah pengalaman dalam kerja-kerja misi kemanusiaan. (bukan merungut ya, sekadar bercerita pengalaman). Moga Allah SWT memudahkan kerja-kerja yang dilakukan dan membalasnya dengan ganjaran yang sebaiknya. Amiinn.   

Insya-Allah, dari Delek akan dihantar pula ke West Port untuk proses naik ke kapal. Dijangka pelayaran ke sana mengambil masa selama 6 hari. Dengarnya, kerajaan Myanmar tidak akan membenarkan sukarelawan yang membawa bantuan ini masuk ke sempadannya. Bahkan menyifatkan bantuan kepada kem pelarian Rohingya ini adalah satu penghinaan kepada kerajaan Myanmar. Ah, begitu pula. Tak apalah, mereka merancang, Allah jua merancang, tetapi perancangan Allah adalah yang terbaik. Marilah kita berdoa agar Allah SWT memberikan keselamatan kepada para sukarelawan yang akan ke sana dan dipermudahkan urusan yang dilakukan. Amiinn.

Sedikit perkongsian foto:  










Allahu al-Musta`an!

Monday, 2 January 2017

Solatullah wa salamuhu 'ala Rasulillah (21)


foto hiasan ~ sumber

Kembali ke Pangkuan Ibu

Sejak peristiwa pembelahan dada itu, Halimah mula risau akan keadaan baginda. Dia pun mengembalikan baginda kepada ibu kandungnya. Sejak itu, baginda hidup bersama ibunya sehingga umur enam tahun.(1)

Untuk mengingati suaminya yang telah meninggal dunia, Aminah berasa perlu berziarah ke makam Abdullah di Yathrib. Maka, dia meninggalkan Mekah untuk menempuh perjalanan yang jauhnya mencapai 500 kilometer. Nabi Muhammad saw turut mengikuti bersama-sama pembantunya, Ummu Aiman dan Abdul Mutalib.

Di Yathrib, mereka tinggal selama sebulan. Selepas itu, mereka pulang. Dalam perjalanan pulang, Aminah menderita sakit sehingga menyebabkannya tidak mampu meneruskan perjalanan pulang yang masih jauh. Akhirnya Aminah meninggal di Abwa, sebuah kampung yang berada di antara Mekah dan Madinah.(2)

Dalam Pengasuhan Datuk Penyayang

Nabi Muhammad saw dibawa pulang ke Mekah oleh Abdul Mutalib. Rasa simpati terhadap cucunya yang telah lama menjadi anak yatim semakin bertambah. Musibah baru kematian Aminah yang menimpa cucunya itu menyebabkan luka lama (kematian Abdullah) terbuka kembali.

Rasa kasihannya terhadap Nabi Muhammad saw begitu mendalam. Belum pernah dia rasa begitu terhadap anak-anaknya sendiri. Sekuat tenaga dia bertekad tidak akan membiarkan cucunya hidup terlantar sebatang kara. Bahkan, dalam banyak hal, cucunya itu lebih dia dahulukan berbanding anak-anaknya sendiri.

Ibnu Hisyam menyatakan, "Ada sebuah tempat rehat yang diletakkan berdekatan Kaabah untuk Abdul Mutalib. Sanak-saudaranya selalu duduk-duduk di sekeliling tempat rehat itu jika Abdul Mutalib tidak ada di situ. Kalau Abdul Mutalib datang, mereka segera bangun untuk menghormatinya. Pernah sekali, Rasulullah saw yang sewaktu itu masih kanak-kanak menghampiri tempat rehat itu dan hampir duduk di atasnya. Bapa-bapa saudaranya segera menghampiri baginda, memegang dan berusaha mencegahnya agar tidak duduk di atas tempat rehat itu. Namun begitu, Abdul Mutalib berkata, "Biarkanlah anakku ini di sini. Sesungguhnya, masa hadapan yang gemilang ada di tangannya." Lantas Abdul Mutalib turut duduk bersama baginda di atas tempat rehat itu. Dia mengusap belakang baginda dengan tangannya dan sentiasa berasa gembira dengan tingkah laku yang dilakukan oleh baginda."(3)

Ketika Rasulullah saw menginjak usia lapan tahun dua bulan dan sepuluh hari, datuk baginda, Abdul Mutalib meninggal dunia di Mekah. Sebelum meninggal, Abdul Mutalib menyerahkan pengasuhan cucunya itu kepada bapa saudara baginda, Abu Talib.(4)    

Rujukan:

(1) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 7 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168.

(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168, Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum al-Atsar, hal. 7, Muhammad al-Khudari, Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyah, jil. 1, hal. 63 dan Muhammad al-Ghazali, Fiqh al-Sirah, hal. 50.

(3) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 168.

(4) Ibnu Jauzy, Talqih Fuhum Ahl al-Atsar, hal. 7 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil. 1, hal. 169. 

(Adaptasi daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)

Bersambung...

Sunday, 1 January 2017

Frotilla4Rakhine, moga dipermudahkan

Poster 'FLOTILLA4RAKHINE' ~ Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang
 
Yayasan Amal Malaysia bersama gabungan beberapa NGO lain telah melancarkan program bantuan kemanusiaan yang diberi nama ‘Frotilla4Rakhine’. Setiap wakil daripada NGO yang terlibat seperti Yayasan Amal Malaysia, Mapim, Haluan, Salimah, Baraka (sekadar menyebut beberapa nama) akan ke kem pelarian di wilayah Arakan (Rakhine) untuk menghantar bantuan melalui jalan laut. Insya-Allah, dijadualkan kapal akan berlepas pada 10 Januari 2017 dari Pelabuhan Kelang. Sama-sama doakan agar misi ini beroleh kejayaan serta keselamatan kepada mereka yang terlibat. 

Alhamdulillah, sebagai Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang, saya turut terlibat secara langsung dalam program ini di peringkat negeri Pahang. Tetapi peranan saya tidaklah sebesar mana, hanya di belakang tabir iaitu menggerakkan kutipan dana dan barangan keperluan. Jika mahu disamakan dengan mereka yang berada di barisan hadapan, yang akan belayar ke sana, tentu bagai langit dan bumi situasinya. Tidak terbanding sumbangan dan pengorbanan mereka semua.

Alhamdulillah, kerja-kerja mencari sumbangan dana ini mendapat kerjasama yang sangat baik dengan beberapa masjid dan surau. Pihak masjid dan surau yang terlibat bersedia menjadi lokasi pusat pengumpulan sementara, serta melancarkan tabung derma khusus untuk program ini. Sumbangan wang daripada individu melalui akaun bank juga menggalakkan. Masih ramai yang ambil cakna dengan isu muslim Rohingya yang teruk dibantai oleh regim zalim Myanmar.   

Sebagai makluman, Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan Amal Kebajikan. Gerak kerja Amal adalah bertebaran seluruh dunia. Moto Amal adalah "Working for Humanity, Serving God". (Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Beramal Kerana Allah). Setiap negeri mempunyai cawangan Yayasan Amal masing-masing yang diketuai dan dipantau oleh Yayasan Amal Malaysia di peringkat Pusat. 

Pada mulanya saya menyertai Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang sebagai sukarelawan. Kemudian tidak berapa lama pula saya dilantik sebagai ALP (Ahli Lembaga Pengarah). Banyak program dan aktiviti kebajikan yang telah saya ikuti dan sertai. Ia memang sesuatu menyeronokkan, tetapi lebih banyak menginsafkan. Menyeronokkan kerana dapat menyumbang sedikit amal bakti kepada yang memerlukan.  Tatkala melihat kuntuman senyuman daripada ulas bibir mereka yang dibantu, itulah saat yang amat menggembirakan dan sukar dilupakan. 

Menginsafkan pula apabila melihat musibah dan ujian yang menimpa mereka (seperti di Acheh, Sri lanka, India, Sudan, Pakistan, Sabah dan sebagainya). Lalu, tidak semena terbit rasa syukur kerana tidak diuji sebagaimana mereka. Yalah, apakah saya mampu menahan ujian tersebut seumpama mereka. Kadang-kadang kita mudah melantunkan kalimat 'sabar' dan rasa kuat kerana belum diuji. Tetapi apabila dihempap musibah dan ujian sehingga terduduk, barulah kita tahu tahap mana kekuatan dan kemampuan kita. Itulah yang seringkali saya ingatkan.

"Ya Allah, janganlah uji kami dengan ujian yang tidak mampu kami menahannya.." 

Opss, bukan mempamerkan diri 

Apa yang saya coretkan hanyalah sebagai perkongsian rasa. Tidak terdetik mahu mempamerkan diri di hadapan manusia, malahan tidak sedikit pun mahu menunjukkan kehebatan diri. Apalah yang ada pada saya sekadar menumpang nikmat-Nya. Dia yang Maha Hebat. Seperti apa yang saya nyatakan tadi , coretkan ini  hanyalah sekadar mahu berkongsi (bimbang jika ada yang tersalah sangka nanti). Mudah-mudahan ada yang mendapat peransang dan motivasi untuk melakukan perkara yang sama. 

Memanglah kita seharusnya berusaha menyembunyikan kebaikan yang dilakukan. Namun, di sana para ulama membenarkan dengan niat mahu menggalakkan orang lain turut melakukan kebaikan yang sama. Tunjukkanlah kebaikan sebanyak mana, dengan syarat menjaga hati daripada terjebak ke lembah riya’. Saya akur, sebesar debu riya’ yang terbit, maka akan melebur-hanguskan amalan tanpa bersisa. Moga Allah SWT menetapkan hati dan tindak-tanduk saya dalam keikhlasan, Allahu al-Musta`an, amiin ya Rabb.

NGO dan agensi yang terlibat