Sahabat Sejati

Thursday, 5 September 2013

Kenangan masih basah: Cerita telaga

Gambar hiasan (sumber)

Telaga.

Saya hampir terlupa mengenainya. Rasanya sudah lama saya tidak menyebut kalimah itu. Mungkin seiring dengan banyaknya telah tertimbus telaga di kampung-kampung, maka saya turut melupainya. Sejak meluasnya paip air mengambil tempat di rumah-rumah, maka dengan sendirinya telaga atau perigi mulai tersisih.

Masa yang lama...

Sehinggalah suatu hari ketika saya sedang bersantai-santai mendengar radio. Sebenarnya saya bukanlah selalu mendengar radio. Ada masa-masanya sahaja. Mendengar pun melalui telefon bimbit. Tiba-tiba perkataan telaga muncul kembali menerjah ke rongga telinga. Tersenyum saya sendirian, benak memunggah kembali kenangan mandi di telaga. Saya cukup sinonim dengan telaga semasa kecil dahulu.

Tercuit hati saya mendengar celoteh DJ bertugas melayani pendengar. Ramai pula pendengar yang menelefon untuk berkongsi pengalaman mengenai telaga. Macam-macam cerita yang dapat didengar. Ada yang bercerita pengalaman menggali telaga, pengalaman zaman budak-budak mandi di telaga dan yang paling menarik pengalaman jatuh ke dalam telaga.

Zaman kanak-kanak...

Keluarga saya tinggal di sebuah kampung yang cukup harmoni. Rumah saya terletak di hujung baruh jauh daripada rumah penduduk yang lain. Di situ hanya ada dua buah rumah iaitu rumah kami dan rumah nenek. Rumah kami tidak ada bekalan air dan elektrik. Kami sudah biasa dengan terang malap cahaya pelita dan mencedok air perigi.

Arwah ayah menggali satu telaga di hujung dapur berbentuk empat segi, letaknya berhampiran pokok bacang yang batangnya sebesar pemeluk. Dinding telaga dibuat dari susunan batang kayu untuk mengelakkannya runtuh. Tetapi kebanyakan telaga hari ni telah menggunakan simen berbentuk bulat sebagai dindingnya. Orang memanggilnya kerek telaga, tetapi di tempat saya lebih dikenali dengan panggilan belindan telaga. Manakala di sekeliling telaga pula arwah ayah pagari dengan susunan pelepah kelapa yang dianyam cantik.

Disitulah kami sekeluarga mandi, membasuh pakaian dan juga untuk kegunaan lain. Saya masih ingat, tatkala selesai mandi masing-masing akan membimbit sebaldi seorang air untuk dibawa pulang. Besar atau kecil baldi bergantung pada usia. Air yang dibawa pulang untuk memenuhkan tempayan guna untuk memasak dan lain-lain keperluan. Kebiasaan saya hanya melenggang tidak membawa apa-apa, cuma sekali-sekala membawa pulang kain basahan.

Masih segar diingatan, tatkala keletihan bermain sesama adik-beradik, kami akan meneguk air telaga untuk menghilangkan haus. Semuanya gara-gara malas naik ke rumah mengambil air. Yang peliknya tidak pernah kami semua merasa sakit perut akibat minum air yang tidak dimasak. Entahlah, mungkin zaman itu alam belum lagi tercemar seperti hari ini. Demikianlah, saya hanya membuat andaian.

Kini saya mula berfikir betapa telaga yang ayah gali adalah lambang pengorbanan dan kasih sayang yang mahu membesarkan anak-anaknya. Saya bersyukur kerana pernah merasai sejuknya air telaga. Ia kenangan sepanjang zaman.

TAHI LALAT DAN ALAMAT UNTUNG/SIAL

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ada kemusykilan tentang tahi lalat. Pertengahan tahun lalu saya ada berjumpa seorang tukang ubat tradisional dekat kampung tempat saya tinggal. Saya cuba ikhtiar untuk berubat cara tradisional. Semasa pada hari pertama Tok itu cuma tengok sahaja dia dah tau yang saya ada terkena makhluk halus, Tok pun bagitau saya kena dimandikan air bunga dan kena buat sikit urutan badan, semasa buat urutan badan Tok nampak dekat atas bahu kiri saya ada tahi lalat dia bagitau tahi lalat tu kena buang sebab maksud tahi lalat dekat bahu sebelah kiri tu baik 'membawa beban' dia juga minta saya buangkan tahi lalat tu, tapi sampai sekarang saya masih belum berbuat demikian. Jadi apakah pandangan ustaz dengan makna yang tersirat pada tahi lalat yang tumbuh pada atas bahu sebelah kiri saya itu. Sehingga hari ini saya masih mencari-cari jawapan samada mempercayainya atau tidak.

Jawapan: 

Jika tahi lalat itu mendatangkan mudarat atau kecacatan kepada badan, haruslah ia dibuang (lihat hukum membuang tahi lalat dalam nota kaki di bawah). [1] Jika tidak mendatangkan mudarat dan kecacatan, biarkanlah ia di situ. Untung atau rugi kita pada masa depan bukan bergantung kepada tahi lalat atau sebarang benda atau sempena tertentu, tetapi bergantung kepada takdir Allah dan undang-undang/peraturan alam yang ditetapkan-Nya. Lakukanlah mengikut yang diperintah oleh Allah iaitu dengan beriman, menuntut ilmu, beramal dengan ilmu serta bersungguh-sungguh dalam apa saja bidang yang diceburi dan disusuli dengan tawakkal kepada-Nya, insya Allah hidup kita akan berjaya. Tidak perlu terpengaruh dengan sebarang dakwaan dan ramalan yang tiada dalil dan asas.

Akhir-akhir ini kita melihat dalam masyarakat Melayu telah mula meriah kembali amalan-amalan tilikan, ramalan dan kepercayaan kepada khurafat sedangkan dahulunya amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan sebegini telah menyepi. Mungkin puncanya kerana berleluasanya cerita-cerita hantu dan karut- marut dalam televisyen dan juga golongan agama yang terlibat sama dalam amalan serta kepercayaan seumpama itu hingga menjadi ikutan orang lain.

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam: “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim dari beberapa orang isteri Nabi).

Sabda baginda juga: “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad.” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dari Abdullah bin Mas’ud).

Dari sahabat bernama Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. beliau menceritakan: Rasulullah saw mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya, Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab, Allah dan Rasul-Nya yang paling tahu. Baginda berkata, Tuhanmu telah berkata: “Di kalangan hamba-Ku ada yang berpagi dengan beriman kepada-Ku dan ia kufur. Adapun sesiapa yang berkata: kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka orang itu adalah beriman dengan-Ku dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata, kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuri-Ku dan ia beriman dengan bintang”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat; Syarh as-Sunnah).

Perhatikan, jika bintang-bintang yang begitu besar telah dinafikan kesan atau pengaruhnya oleh Nabi terhadap peristiwa yang berlaku di alam ini (sama ada turun hujan atau sebagainya) dan orang yang mempercayai hal itu dikata oleh baginda sebagai kufur kepada Allah, apakah kita ingin percaya tahi lalat di badan kita boleh memberi kesan itu dan ini?

Allah apabila melarang sesuatu, Ia menggantikan untuk hamba-Nya amalan yang lebih baik dari yang dilarang itu. Apabila Ia melarang kita dari tilikan, sebagai gantinya Ia mensyariatkan untuk kita istikharah iaitu memohon petunjuk dari-Nya untuk membuat pilihan terbaik sama ada dengan terus berdoa kepada-Nya atau dengan melakukan solat Istikharah dua rakaat dan disusuli dengan berdoa kepada-Nya.

Wallahu a’lam.

Nota hujung:

[1] Harus hukumnya membuang dari badan benda-benda yang dilihat mencacatkan atau memburukkan rupa wajah dan tubuh seperti jerawat, bintil-bintil, ketumbuhan, tahi lalat, tanda-tanda/kesan-kesan hitam atau sebagainya dengan syarat proses membuangnya tidak membawa kepada mudarat yang lebih besar atau setara dengan kecacatan benda itu pada tubuh. Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah–sallallahu ‘alaihi wasallam- melarang wanita yang mencukur alisnya, wanita yang menipiskan giginya, yang menyambung rambutnya dan yang membuat tatu pada badannya, dikecualikan kerana suatu penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, juz 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu Min Tazayyun an-Nisa’ bihi Wa Ma La Yukrahu).

Berkata Imam as-Syaukani mengulas hadis ini: ungkapan dalam hadis tadi “..dikecualikan kerana suatu penyakit..” Menunjukkan bahawa yang diharamkan dari perbuatan-perbuatan tersebut ialah yang semata-mata untuk tujuan perhiasan, bukan kerana penyakit atau suatu kecacatan. Jika dilakukan untuk menghilangkan suatu penyakit atau suatu kecacatan tidaklah ia diharamkan” (Nailul-Authar). Berkata Imam Ibnu Jauzi: “Adapun ubat-ubat untuk mengilangkan bintil-bintil pada wajah (jerawat) dan memperelokkan wajah untuk suami, aku berpandangan ia tidaklah dilarang” (Dinaqalkan oleh as-Safarini dalam Ghaza’ al-Albab).

Rujukan; Syeikh Munajjid dalam laman as-Su-al wa al-Jawab (al-Maktabah as-Syamilah, 5/8245, fatwa no. 104920).

Wallahu a'lam.

Sumber: Ilmu dan Ulama

Sunday, 1 September 2013

Fikir-fikir: Kita tidak hidup sendiri


Hampir jam 2 pagi saya dan isteri pulang ke rumah kerana membantu persiapan perkahwinan anak jiran kami. Beliau di antara jiran terdekat saya kerana rumahnya betul-betul berhadapan dengan rumah saya, yang hanya dipisahkan jalan tar. Jika melaung pun boleh terdengar suara.

Cukup seronok bergotong-royong menyiapkan kerja-kerja yang ada. Memotong dan mencuci daging, mendirikan khemah serta memasak air gula. Manakala kaum wanita pula mengupas bawang, sayur labu, menyiang ikan dan sebagainya. Walaupun penat dengan kerja-kerja yang dilakukan tetapi seronok dan meriah kerana dilakukan beramai-ramai. Bak kata pepatah berzaman: yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul. Apa sahaja kerja jika dilakukan dengan muafakat dan bekerjasama akan terasa mudah dan ringan.

Sahabat saya ini tidak mahu menggunakan khidmat katering sebagaimana kebiasaan hari ini, sebaliknya beliau mahukan majlis kenduri kahwin anaknya dilakukan secara bergotong-royong. Jika kita perhatikan, kebanyakan majlis perkahwinan sekarang telah pun berubah dari sudut persiapannya. Khidmat katering telah pun mengambil alih dengan begitu meluas. Bahkan bukan hanya majlis perkahwinan, malahan sambutan doa selamat, hari lahir serta keraian-keraian tertentu juga turut menggunakan khidmat katering.

Bukan membuat perbandingan 


Saya tidaklah mengatakan bahawa khidmat katering itu tidak baik, ada kelebihannya. Dari satu sudut ia amat memudahkan tuan rumah. Tidak perlu pening kepala atau memenatkan badan. Hanya sediakan duit dan selesai, manakala tuan rumah boleh bersandar rehat di kerusi atau menunggu di pintu pagar ‘meraikan’ tetamu yang datang dan pulang.

Tetapi saya melihat kerja-kerja menyiapkan majlis perkawinan secara bergotong-royong seperti zaman dulu tidak kurang kebaikannya. Silaturrahim dan muafakat adalah kunci utama. Mengapa saya mengatakan demikian? Fikirkan, bagaimana seorang penduduk kampung atau taman perumahan mahu meminta bantuan daripada penduduk komunitinya jika sebelum ini dia tidak pernah bercampur-gaul atau melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti setempat. Tentu sulitkan?

Contohnya, seseorang yang mahu menjemput jemaah masjid bertahlil atau kenduri doa selamat di rumahnya, sedangkan dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke masjid. Tentu ada perasaan malu dan segan, lainlah jika kulit mukanya ‘tebal berlapis’. Oleh itu, mahu tidak mahu dia terpaksa juga ke masjid atau surau untuk bercampur-gaul dengan orang masjid. Tetapi ada juga yang datang ke masjid pada hari itu sahaja semata-mata untuk menjemput jemaah masjid ke rumahnya. Setelah selesai majlis tahlil, maka hilanglah kelibatnya. Kelibatnya akan kelihatan semula tatkala mahu mengadakan doa selamat atau tahlil kematian ahli keluarganya.

Namun ada juga yang ‘cerdik’ sedikit, iaitu dengan mewakilkan sahaja kepada tuan imam untuk menjemput kepada ahli jemaah. Tuan imam yang baik hati dan amanah itu pun terpaksa memaklumkan kepada semua walaupun dengan hati yang berat.

Oleh itu, peringatan buat diri saya. Lenyapkan keegoan diri, jinak-jinakkanlah hati untuk hadir ke masjid atau surau, bersuaikenallah dengan jiran sebelah menyebelah, kerana satu masa nanti kita pasti akan memerlukan mereka dalam hal-hal yang tertentu. Saya mengatakan demikian kerana ada di antara ‘mereka’ yang tidak peka dengan perkara ini. Berjiran sebelah menyebelah tetapi masing-masing membuat hal sendiri, tidak bertegur-sapa. Jika sekarang ini kita merasa kita ada duit, kita tidak memerlukan sesiapa, tetapi sayugia ingatlah wang tidak mampu untuk membeli segala-galanya. Tiba masanya kita akan menyesal kerana mengabaikan tanggungjawab ini.

Tulisan ini bukanlah mahu membandingkan mana yang lebih baik, katering atau gotong-royong. Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan. Setiap orang ada pandangan dan pilihannya yang tersendiri. Mereka bebas memilih apa yang mereka mahu. Terserah, mahu katering silakan, mahu bergotong-royong silakan. Semuanya bergantung kepada keadaan, kepentingan dan kemampuan masing-masing. Yang lebih utama biarlah majlis yang diadakan itu ‘selamat’ daripada perkara-perkara yang ditegah oleh syarak. Selain daripada itu, apa yang saya mahu celikkan ialah tanggungjawab kejiranan serta bergaul dengan harmoni di dalam masyarakat agar mewujudkan rasa kasih sayang di dalam kehidupan.

Itulah yang terbaik!