Sahabat Sejati

Saturday, 7 April 2012

Cetusan rasa: Tulislah...


Bicara hati berbisik perlahan: “Tulislah duhai insan, coretlah kebaikan buat ummah yang nuraninya kelaparan. Setiap kali ada yang menatap dan mengambil manfaat, maka mengalirlah pahala sebagai bekalan.”

Saya menulis, mencoretkan tinta-tinta mutiara seadanya. Tidak pernah saya mengharapkan ia menjadi suatu yang gah di mata sahabat sekelian, kerana sedar kekurangan diri. Sejujurnya ia sentiasa terpahat di hati.

Saya bukanlah seorang ustaz atau seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi. Saya cuma seorang yang biasa-biasa, seorang yang sentiasa tersungkur oleh noda-noda dosa. Namun, dengan secalit ilmu yang dianugerahkan-Nya, saya mencari kekuatan untuk berkongsi nukilan hati dengan niat menyebar kebaikan.

Saya amat berharap agar coretan di ‘Kembara Mencari Hamba’ ini janganlah dibanding-bandingkan dengan mereka yang telah diberikan oleh Allah keluasan ilmu. Coretan mereka pastinya lebih baik berbanding dengan apa yang dapat saya hasilkan. Tentunya perasaan malu dan segan sentiasa berkeliling memayuti, jika coretan ini tidak mampu memuaskan citarasa serta menepati kehendak sahabat sekelian. Tiadalah yang lebih menggembirakan selain nasihat serta teguran jua yang diharapkan.

Demikanlah...

Seandainya hanya ada seorang yang mendapat manfaat dari apa yang dinukilkan, sesungguhnya ia adalah anugerah terindah yang tidak mampu diungkapkan.

Kepada Allah jua diserahkan segala urusan...

"Sesiapa yang membuat sesuatu yang baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya pahala dan juga pahala seumpama orang yang melakukannya tanpa dikurangi pahalanya sedikitpun, dan sesiapa yang membuat sesuatu yang tidak baik lalu diamalkan amalan tersebut, maka baginya dosa dan juga dosa seumpama orang yang melakukannya selepasnya tanpa dikurangi dosanya sedikitpun.” (Imam Muslim, Imam Nasaie dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Jarir Bin Abdullah)

Wednesday, 4 April 2012

PENGUMUMAN: Pembedahan Jantung Tuan Guru Di Stanford Hospital - 2-April-2012

Adalah dimaklumkan bahawa Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din sedang menjalani saat-saat getir pembedahan jantungnya di Stanford Hospital, San Francisco, USA. Proses pembedahan jantung bermula pada 2-April-2012 @ 8:00 pagi (11:00 malam waktu Malaysia) dan dijangka akan berakhir dalam masa 8 hingga 10 jam kemudian.

Pesanan Tuan Guru kepada kita semua "Kenang Daku Dalam Doa Mu"


 Maklumat Terkini: 2-Apr-2012 (Isnin) @ 8:00 pagi (11:00 mlm waktu Malaysia) :
- Tuan Guru masuk bilik pembedahan
2-Apr-2012 (Isnin) @ 6:30 petang (3-Apr-2012 @ 9:30 pagi waktu Malaysia) :
- Pembedahan selesai dengan selamat. Tuan Guru dijangka akan ditempatkan di ICU selama 4 hari sehingga keadaan jantung stabil.
3-Apr-2012 (Selasa) @ 1:00 pagi (3-Apr-2012 @ 4:00 petang waktu Malaysia) :
- Keadaan Tuan Guru bertambah stabil. Cuma TGUH kehilangan banyak darah. Tuan Guru telah mula sedar dan mengadu kesakitan kesan pembedahan, maka telah diberi ubat sedatif yang kuat.

Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din telah berangkat ke San Francisco untuk menjalani pembedahan jantung pada hari Ahad 18-Mac-2012 jam 2:00 pagi. Rombongan yang bersama-sama menemani Tuan Guru ialah isteri beliau Ustazah Datin Khadijah, anak sulung, kedua dan keempat beliau iaitu Dr. Huda, Ustaz Hj. Hamdi dan Ustaz Hj. Najmi. Juga turut serta menantu beliau suami kepada Dr. Huda iaitu Dr. Azlin Azzudin.

Secara umumnya masalah jantung Tuan Guru ialah terdapat banyak saluran darah (artery) pada jantung yang tersumbat menyebabkan jantung tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Keadaan ini menyebabkan Tuan Guru sering mengalami serangan sakit jantung secara puratanya 10 kali sehari. Bagi mengatasinya Tuan Guru terpaksa menggunakan spray GTN untuk meredakan kesakitan.

Tuan Guru kerap menjalani rawatan jantung di IJN bagi mengatasi sakit jantung tersebut. Bagaimanapun pelbagai ikhtiar telah dilakukan oleh doktor-doktor pakar di IJN, mereka akhirnya menasihatkan Tuan Guru mendapatkan rawatan seterusnya di Stanford Hospital, San Francisco, USA.

Rawatan kali ini agak rumit kerana kaedah memasukkan stent untuk mengatasi saluran darah yang tersumbat tidak boleh dilakukan. Jantung Tuan Guru terpaksa dibedah dari bahagian belakang melalui kaedah 'sternotomy'. Untuk mengetahui bagaimana kaedah ini dilakukan boleh lihat lihat di youtube (http://www.youtube.com/watch?v=r7RsB0BA4EI). Pembedahan akan dilakukan pada pagi Isnin 2-April-2012 jam 8:00 pagi waktu San Francisco USA (11:00 malam waktu Malaysia). Jika tidak ada kerumitan insya-Allah pembedahan akan selesai dalam masa kurang 6 jam.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT memudahkan urusan pembedahan ini dan berakhir dengan kesembuhan yang berpanjangan kepada kesihatan Tuan Guru.

Ya Allah sesungguhnya kami bermohon kepadaMu dengan penyaksian kami bahawa Engkau lah Allah tiada Tuhan melainkan Engkau yang Maha Esa yang ditujukan kepada Engkau-lah segala permintaan, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan yang tiada bagiNya sesuatu yang menyerupaiNya, yang tidak mengambil sesiapa sebagai isteri dan anak, yang tiada bagiNya sekutu dalam pemerintahanNya, yang telah menjadikan setiap sesuatu dan menetapkan baginya ketetapan yang sesuai baginya. Ya Allah sesungguhnya kami mengadu kepadaMu kelemahan upaya kami dan kekurangan usaha kami, wahai yang Maha Penyembuh setiap orang yang sakit, sembuhkan lah hambaMu ini (Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din), berlembutlah dengannya wahai Allah yang Maha Penyantun mengatasi segala yang penyantun, berpihaklah kepadanya (dengan mengurniakan kesembuhan) bukan ke atasnya (dengan sesuatu yang tidak baik) dalam semua urusannya wahai Allah yang Maha Mendengar semua pengaduan, wahai Allah yang Maha Mengetahui semua bisikan, wahai Allah yang Maha Menghindari segala keburukan, dengan hak junjungan besar nabi Muhammad SAW.

(Doa ini disediakan oleh Ustaz Ikmal Zaidi)
 

Monday, 2 April 2012

Dharuratkah sehingga boleh amal riba?

Soalan: 

Betulkah apa yang saya lihat dan saya rasakan, ada perkara-perkara yang jelas dilarang syarak, dilakukan juga oleh umat Islam hari ini atas mudah-mudah memberi fatwa, ia diberi kelonggaran kerana ‘dharurah’. Daruratkah kita di Malaysia, sehingga membolehkan riba diamalkan, menghadiri upacara agama lain yang jelas syiriknya, juga dibolehkan? Membuka aurat secara terang-terangan juga terus dilakukan. Malah ada fatwa ataupun pandangan, bahawa ibu tunggal yang susah boleh menjadi pelacur kehormat, juga atas alasan dharurah. Betulkah hal ini? Mendiamkannya sama seperti menyetujuinya.

Jawapan: 

Ulama terbilang pada zaman tabi`in dahulu seperti al-Imam Malik dan Imam as-Syafie, sering dikemukan banyak persoalan mengenai hukum Allah untuk mereka jawab. Kebanyakannya memilih untuk tidak menjawab persoalan, melainkan setelah meneliti dan memperhalusi, barulah mereka menjawabnya.

Mereka ini amat tawaduk dan takut tersilap, yang hanya akan mengundang kemurkaan Allah.

Kita pada hari ini, seperti persoalan yang anda ajukan, amat mudah memberi hukum atas alasan dharurah.

Saya tidak bermaksud mereka mudah-mudah memberi hukum. Kerana orang yang memberi hukum itu sudah pastinya orang yang berwibawa dan sudah pasti mereka menelitinya.

Namun hukum dharurah tidaklah semudah yang anda atau kita semua sangka. Memang ada ayat di dalam al-Quran mengenai hukum dharurah ini.

Firman Allah (mafhumnya): “Dan tidak ada sebab bagi kamu, (yang menjadikan) kamu tidak mahu makan daripada (sembelihan binatang-binatang halal) yang disebut nama Allah ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkan-Nya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya? Dan sesungguhnya kebanyakan menusia hendak menyesatkan dengan hawa nafsu mereka dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang melampui batas.” (al-An`am: 119) 

Dalam ayat tersebut, Alah sudah memberi bayangan dengan menyebutkan bahawa kebanyakan manusia hendak menyesatkan orang lain, kerana dorongan hawa nafsu, bukannya pengetahuan yang mendalam.

 Maka yang demikian itu mereka telah melampui batas-batas hukum, dengan mengatakan yang tidak boleh kepada boleh. Cuba anda renung dan fikir, di akhir ayat yang Allah sebutkan di atas, tidakkah itu yang dilakukan umat Islam sekarang?

Ada kaedah fiqah, yang disemuafakati berbunyi: “Keterpaksaan (ad-dharurat) mengharuskan perkara yang dilarang syarak, dilakukan.”

Kaedah fiqah ini diasaskan berdasarkan hadis Rasulullah saw (mafhumnya): “Tidak boleh memudaratkan dan tidak boleh dibalas kemudaratan dengan kemudaratan.” (Riwayat Abu Sa`id al-Khudry)

Namun demikian, tidak boleh menggunakan alasan dharurat itu untuk dihukum perkara-perkara yang anda sebutkan tadi, tanpa melihat apa makna dharurah yang sebenar.

Dharurah atau keterpaksaan yang dibolehkan syarak dilanggarinya, adalah apabila ancaman dan tekanan yang benar-benar serius dalam penghidupan, sehingga jika diteruskan juga keadaan itu, boleh membawa kepada kebinasaan.

Misalnya keadaan seperti yang mengancam nyawa, menggadai maruah, agama ternoda, harta yang berharga akan musnah atau sebagainya. Jika keadaan sebegini berlaku dalam masyarakat kita hari ini, bolehlah dikatakannya sebagai dharurah.

Dengan dharurah itu maka hukum-hakam syarak tadi berubah daripada ‘aa’zimat’ (hukum asal) kepada ‘rukhsah’ (kelonggaran), yang membolehkan perkara haram dilakukan.

Akan tetapi, harus dilihat juga, adalah boleh dilakukan sebegini seperti mana yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Adakah dengan tidak mengambil riba, atau membeli saham-saham yang tidak lulus syariah, ancaman yang saya sebutkan di atas akan berlaku?

Adakah dengan tidak pergi ke upacara agama lain, seseorang itu akan diancam kesusahan yang amat sangat?

Adakah dengan tidak ada ikhtiar lain mencari rezeki sehingga diharuskan kehancuran kehormatan berlaku?

Jika kerana kelaparan sehingga nyawa terancam dan makanan halal tidak diperoleh, hanya ada yang haram, maka ulama-ulama muktabar dalam Mazhab Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi menyatakan itu pun yang menghadapi nyawanya, diharuskan memakan atau meminum yang haram itu, pada kadar yang minimum sekadar mengelak nyawanya daripada melayang.

Bukan memakan sampai kenyang dan puas, cukup dengan beberapa suapan atau beberapa teguk minuman, yang boleh menyelamatkan nyawanya. Adakah hukum dharurah sekarang mengambil kira fakta yang saya nyatakan di atas?

Dharurah yang diiktiraf syarak ialah keadaan keterpaksaan yang benar-benar berlaku, bukan diagak-agak atau dibuat-buat.

Dalam Mazhab as-Syafie disebut, dalam hukum yang ‘al-Azhar’, iaitu dharurah hanya berlaku kepada orang yang terancam nyawanya, jika tidak dilakukan matilah ia. Maka barulah dinamakan dharurah, yang membolehkan seseorang itu melanggar hukum syarak yang disebutkan sebagai rukhsah.

Itu pun selagi tidak bertemu dengan perkara yang dihalalkan syarak. Jika bertemu dengan dihalalkan, maka yang haram tetap haram.

Apabila kita dapati bahawa manusia dengan begitu mudah menggunakan kaedah dharurah, seolah-olah kebenaran syarak terbuka begitu luas, maka eloklah dikenang dan diperbetulkan apa yang salah.

Ingatlah firman Allah (mafhumnya): “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Ibrahim: 7) 

Renunglah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din