Sahabat Sejati

Saturday, 18 February 2012

FITRAHKAH KITA Sebagai Hamba Ciptaan ILAHI?


Sejauh mana kita menapak, setinggi mana kita dijulang, usah dilupa fitrah asal sebagai khaliful ardh; hamba kerdil yang sentiasa merisik redha-Nya!

RASULULLAH mengumpamakan fitrah itu sebagai kain putih. Kitalah yang perlu mencoraknya agar dapat dipandu ke arah kebenaran. Manusia yang jiwanya terpesong daripada fitrah akan jauh daripada rahmat ALLAH, akan terdorong ke arah kegelapan dan kosong daripada rasa bahagia. Apalagi jika bertuankan keseronokan duniawi semata, maka semakin lekalah diri berada dalam nikmat kelalaian.

Jika begitu keadaan diri, buatlah garis pemisah antara hak dan batil agar hati bersih daripada segala kotoran memaliti. Carilah di segenap penjuru akan ilmu dan amal yang dapat membawa diri dan kehidupan kepada kejadian hakiki insan.

Yakinlah... hanya fitrah yang dapat mengembalikan jati diri insan kepada hakikat sebenar penciptaan. Jika diri dilitupi noda dosa, berusahalah mengislahkannya semula. Timbanglah amalan dan bandingkan dengan kefasadan. Dan tanyalah... di mana kedudukan kita sebenarnya. Sedarlah... walau siapa pun kita, walau tingginya darjat, ia tidak menjamin kebahagiaan kecuali pulang semula ke pada-Nya.

Tajuk : FITRAHKAH KITA Sebagai Hamba Ciptaan ILAHI?
Penulis : Prof. Dato' Dr. Sidek Baba
Penerbit : GRUP BUKU KARANGKRAF Sdn Bhd
M/S : 261
Harga : SM 13.00 / SS 16.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Wednesday, 15 February 2012

Terima kasih Halim...

Perkhemahan sesi yang lalu berhampiran sungai

“Ana bercadang nak buat kem ibadat pada cuti sekolah nanti. Jadi, ana nak minta pandangan enta tempat yang sesuai.” Saya menghubungi sahabat baik, Halim. Mahu meminta buah fikirannya.

“Oh, macam tu. Berapa hari?” Tanya Halim yang memang ringan tulang dan ringan mulut, cukup mudah menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat.

“Macam biasa, 3 hari 2 malam. Kalau boleh ana tak mahu di tepi pantai kerana ana hari-hari tengok pantai. Ana tak mahu juga di kawasan sungai pasal perkhemahan yang lepas pun dah di tepi sungai, ana tak mahu juga di kawasan hutan pasal ana dah biasa dengan kawasan hutan.” Saya menerangkan dengan panjang lebar.

Teringat perkhemahan yang lalu di tepi sungai, dengan peserta hampir 50 orang. Sungguh mencabar apabila berpuluh-puluh remaja yang saling tidak mengenali dihimpunkan di satu tempat. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dari mula hingga ke akhir program. Jika adapun hanya insiden biasa yang tidak keterlaluan.

“Kalau begitu ana cadangkan enta buat perkhemahan di kawasan tanah perkuburan. Rasanya belum ada lagi orang buat. Boleh mengingat kepada kematian di samping tu boleh menguji keberanian pelajar-pelajar, termasuk fasilitator juga, yalah fasilitator pun perlu diuji juga sekali-sekala.....,” jawabnya dengan nada berseloroh di hujung telefon.

“Ha...ha...ha...” saya turut ketawa, terasa gelihati dengan cadangannya.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana reaksi para pelajar jika cadangan Halim saya turuti. Tentu kem ibadat ini berjalan dengan lancar dan baik sekali. Tidak perlu ada kawalan malam kerana para pelajar tidak akan merayau-rayau, selepas habis aktiviti terus duduk di dalam khemah.

Saya tahu Halim hanya bergurau.

Namun, disebalik gurauannya itu hati saya berkocak. Ya, lontaran gurauan yang terpacul dari mulut Halim dengan perkataan ‘kubur’ mendebarkan hati saya. Bukan kerana saya takutkan kubur sebagaimana zaman kanak-kanak dahulu, tetapi sepantas kilat terlintas satu perasaan di benak. Rupa-rupanya ada sesuatu yang Allah SWT ingin sampaikan melalui gurauannya. Saya menyedari, sebenarnya sudah lama saya tidak menziarahi pusara bonda di kampung.

Teringat satu kisah yang diceritakan oleh Umar al-Khattab, para sahabat pernah bersama-sama Rasulullah saw pergi ke satu tanah perkuburan. Lalu baginda duduk di satu kubur, berhampiran para sahabat. Setelah itu baginda menangis bercucuran air mata. Melihat Rasulullah saw menangis, lalu para sahabat turut menangis.

Nabi bertanya: “Mengapa kamu semua menangis?”

“Kami menangis kerana melihat engkau menangis, ya Rasulullah,” jawab sahabat.

Lalu Rasulullah saw menjawab: “Ini adalah kubur ibuku, Aminah binti Wahab. Aku meminta izin Tuhanku untuk menziarahi kubur ini, lantas diizinkan. Lalu aku memohon supaya ibuku diampunkan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Syukurlah, di sebalik gurauan Halim itu, rupa-rupanya ia satu peringatan dari Allah SWT.

Selembar kenangan

Petang semalam, saat matahari memancarkan cahaya redupnya bersama hembusan angin lembut, saya singkap selembar demi selembar kenangan bersama bonda.

Masih saya ingat, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan, manisnya saat itu.

Semuanya sudah berlalu, tidak mungkin ianya dapat dikecapi lagi.

Lama saya termenung di jendela.

Lalu petang itu saya putuskan bahawa saya akan bawa anak-anak pulang ke desa tercinta untuk menziarahi pusara ayahanda dan bonda.

“Insya-Allah, hujung minggu ini kami akan pulang.” Doa dan harapan dari hati kecil saya.

Terima kasih Halim atas ingatan itu...

Tuesday, 14 February 2012

Memang begitu jalannya...


Sekuntum mawar merah sebuah puisi
Untuk gadis pilihan ohh...
Di bulan Februari
Mulanya cinta bersemi dan kehadiran
Ribuan mimpi-mimpi ohh...
Di bulan Februari

Kemesraanmu dan cintaku
Berlagu dalam irama nan syahdu
Tapi mengapa hanya sementara
Cinta yang menyala padam tiba-tiba...

Lagu sekuntum mawar merah sebuah puisi dendangan Alleycats, cukup syahdu dan romantis. Mawar merah dan sekeping kertas yang tertuang bait-bait puisi, menjadi manifestasi cinta sepasang kekasih.

Namun, kemesraan dan cinta pasangan kekasih ini tidak kekal, ibarat kata pujangga "ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari." Lalu berpisahlah mereka, entahlah mungkin dah dapat apa yang dicita, lalu kekasih ditinggalkan. Inilah namanya cinta kerana nafsu...

Tetapi saya tidak pasti apakah lagu ini ada kaitan dengan hari kekasih atau pun tidak.

Misi dakwah ‘hari kekasih’

Teringat kata-kata sang murabbi...

"90% manusia berfikir dan bertindak menjual barangan dan perkhidmatan mereka kepada orang muda.
10% manusia berfikir tentang cara untuk menyelamatkan mereka.
Segelintir manusia, memindahkan fikiran itu kepada tindakan."

Alhamdulillah. Misi dakwah malam sambutan hari kekasih semalam telah dijayakan dengan lancarnya. Tiada perkara-perkara buruk yang berlaku, jika adapun sekadar kata-kata sindirin dengan pandangan sinis yang sudah biasa dialami tatkala terlibat dalam misi dakwah.

Kami bukan bermaksud mahu memarahi, jauh sekali menangkap mereka , tetapi dengan bermanis muka sambil menyampaikan kata-kata nasihat serta menghulur risalah dakwah kepada mereka.

Memang sebelum itu kami telah diberi taklimat agar membuka kopiah, bermanis muka, jangan mengelilingi mereka sehingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa serta sampaikan nasihat dengan cara yang lembut.

Walaupun ada kata-kata yang kurang enak di dengar, disamping beberapa perlakuan yang kurang menyenangkan, namun inilah realiti dakwah yang harus dihadapi. Jalan dakwah bukan sesuatu yang mudah seumpama menyebutnya, bukan jalan yang dipacakkan bunga manggar di kiri kanan jalan. Bukan juga jalan yang dihamparkan karpet merah disepanjang langkah. Bahkan diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah.

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan.” (Luqman: 17)

Oleh itu, jangan sekali-kali berputus asa, malah jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya. Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai. Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, percayalah ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya. Mungkin ianya diremehkan pada hari ini. Namun akan sampai harinya, mutiara pemberian itu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Suatu hari nanti mereka akan mengerti jua.

Berlapang dadalah di medan dakwah.

Memang begitu jalannya.

Kita bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.

فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)


Bersama risalah misi dakwah sambutan hari kekasih