Sahabat Sejati

Wednesday, 3 August 2011

Gapai cita-cita dengan usaha

Dunia tidak dibangunkan dengan angan-angan dan khayalan kosong. Dunia sentiasa bergerak.

Berangan-angan dan berkhayal kosong hanyalah membuat jiwa menjadi beku dan kaku. Hidup bagaikan terhenti. Hanya berlegar di ruangan mimpi, hidup dalam dunia sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

“Orang sudah menjejak kaki ke bulan, namun kita masih lagi berseloka dengan peribahasa bagai pungguk rindukan bulan.”

Ada yang mimpikan menjadi kaya-raya tetapi malas bekerja dan berusaha. Ada yang ingin menjadi cerdik pandai tetapi malas belajar. Ada yang berangan-angan mahu masuk syurga tetapi culas dalam beramal. Apakah mungkin menjadi kenyataan!

Sabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).

Apabila seorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah SWT.


Ambillah hikmah dari kehidupan semut! Mereka bergerak dan bergerak untuk terus hidup. Apakah pernah melihat seekor semut yang membuang masa, bersahaja tanpa melakukan apa-apa kerja. Tidak! Sebaliknya semut sama-sama berganding bahu membangunkan komunitinya.

Benar, bersungguh-sungguh mencapai impian dan cita-cita.

Berkhayal atau impian kosong tidak sama dengan cita-cita, kerana cita-cita memerlukan perancangan dengan teliti dan rapi. Kemudian berusaha untuk menggapai apa yang diimpikan itu. Bukan hanya duduk bersahaja sambil tangan menupang dagu, ataupun hanya terbaring di tempat tidur sambil tangan melekat di dahi.

Khalifah Umar bin Khattab ra. Pernah berpesan dengan menyeru umat Islam supaya tidak malas bekerja: “Janganlah setiap orang daripada kamu suka duduk bermalas-malas daripada berusaha mencari rezeki sambil berdoa; Wahai Tuhanku, berilah rezeki kepadaku, sedang dia tahu sebenarnya langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak.”

Keazaman yang gigih dan usaha yang berterusan untuk mencapai cita-cita adalah kunci kepada kejayaan.

Usaha tangga kejayaan!

Monday, 1 August 2011

Hukum jual beli gamat, lintah

Soalan:

Saya ada persoalan dalam isu jual beli. Saya terbaca artikel yang menyatakan ‘tokke’ (sejenis cicak besar) adalah haram. Jelas haramnya. Ia adalah cicak yang menjijikkan tidak kira apa alasan penjualannya, adalah haram. Bagaimana pula dengan gamat, lintah dan sebagainya. Harap dapat memberikan penjelasan yang jelas. Terima kasih.

Jawapan:

Semua perkara atau benda dalam alam ini, hukum awalnya adalah harus pada dasarnya. Melainkan dinyatakan haramnya dengan jelas, maka haramlah ia.

Inilah yang disebutkan dalam syarak sebagai `al-ibaahah al-asliyyah`. Maksudnya asal sesuatu itu adalah harus.

Contohnya, tanda awalnya arak, judi, tenungan nasib, pada asalnya adalah harus. Sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat yang mengharamkannya maka jadilah ia haram.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)

Bagi binatang-binatang yang anda kemukakan dalam soalan, tiada penjelasan yang khusus dalam mana-mana ayat al-Quran dan as-Sunnah. Akan tetapi termasuk di dalam sebutan Allah pada ayat-ayat umum yang boleh dimasukkan di dalamnya.

Seperti firman Allah SWT (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang mengikuti Rasulullah (Muhammad saw) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik (tayyibat), dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (khabais), dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (al-A`raf: 157)

Ayat-ayat sebegini banyak terdapat dalam al-Quran.

Perkataan `tayyibat` bermaksud baik, sedap, enak, citarasa dan sebagainya. Akan tetapi siapakah yang menentukannya sedangkan setiap bangsa ada citarasanya sendiri.

Yang baik bagi sesuatu bangsa, mungkin tidak baik bagi bangsa yang lain.
Sebagai contoh `ad-Dhab` atau biawak padang pasir. Memang menjadi kegemaran Arab, malah ada kalangan sahabat Nabi Muhammad saw yang menyukainya. Tetapi Nabi Muhammad yang pernah dihidangkan kepada baginda `ad-Dhab` itu, baginda tidak menjamahnya dan mempelawa sahabat-sahabat memakannya.

Tetapi bagi orang Melayu, haiwan yang bernama biawak itu, sukar hendak diterima sebagai makanan yang menyelerakan. Lebih-lebih lagi biawak dalam penghidupan orang Melayu di kampung-kampung.

Maka dalam hal ini, terpulang kepada masyarakat setempat, yang pada kepentingan umumnya sesuatu makanan atau haiwan yang digunakan untuk makanan, sama ada baik atau tidak, terpulang kepada penilaian sesuatu masyarakat yang berkenaan.

Yang jelas banyak sangat perkara seperti ini, tidak terdapat nas yang jelas sama menghalal atau mengharuskannya, melainkan nas yang saya bawakan di atas.

Oleh itu gamat misalnya, sudah terkenal lama dan diterima masyarakat umum sebagai makanan dan dijadikan ubat atau minyak yang sudah diujikaji ada kemanfaatan kepada manusia, serta tidak termasuk dalam perkara yang menjijikkan.

Adapun jika ada seorang dua yang masih jijik kepadanya, maka ia tidak boleh dijadikan sebagai hukum. Gamat adalah harus, lebih-lebih lagi ia digunakan untuk kegunaan perubatan dan ianya tidak menjijikkan.

Adapun mengenai lintah, ada dua kategori yang jelas padanya. Untuk makan lintah, sup lintah atau apa sahaja untuk dimakan. Maka ianya menjijikan. Tekak orang Melayu tidak boleh menerimanya kerana ia termasuk dalam golongan `khabais`. Menjijikkan.

Maka untuk makanan ianya adalah haram.

Adapun jika digunakan lintah itu untuk menghisap darah para pesakit dan terbukti kaedahnya. Jika ia tidak menjijikkan, maka ia adalah harus bagi tujuan pengubatan.

Dengan lain perkataan, digunakannya untuk luaran atau external use bukannya untuk internal use.

Apa yang saya sebutkan ini tidak terkeluar daripada sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah saw (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah mewajibkan kamu melakukan beberapa perkara, maka jangan dipersia-siakan. Diharamkan ke atas kamu beberapa perkara, jangan kamu lakukannya. Didiamkannya beberapa perkara sebagai rahmat ke atas kamu, bukan kerana lupa, maka jangan kamu mencungkil-cungkil untuk membahaskannya."

Maksud ungkapan akhir hadis ini, bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya tidak menyebut hukum haram tentang sesuatu perkara bukan kerana lupa, tetapi kerana kelonggaran yang diberikan.

Di atas kelonggaran yang diberikan, maka hukumnya adalah harus sebagaimana yang saya huraikan di atas. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Ramadhan Kareem...Munawwar


Remang-remang mentari petang
Melambai Sya`ban kian menghilang
Ramadhan dinanti penuh harapan
Pesta ibadah pohon keberkatan

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah.

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani)

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri.

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri.

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia
Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah.

Selamat mencari taqwa!