![]() |
Masih segar di ruang mata, hari-hari awal di sana. Kami berteduh di sebuah masjid yang bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi rumah, tempat berlindung, tempat menguatkan hati.
Namun masjid itu.. sangat tidak sempurna.
Silingnya telah roboh, seakan langitnya runtuh sekali bersama ujian yang menimpa. Di bahagian luar, jubin-jubin pecah berselerakan, tenggelam dalam lumpur setinggi lima kaki, pekat, berat, dan melelahkan. Manakala di dalam masjid, lumpur setinggi tiga kaki memenuhi ruang, menenggelamkan sejadah, memadam kesan sujud yang pernah hidup di situ.
Tanpa bekalan air bersih, tanpa tenaga elektrik, hanya bergantung pada kudrat dan sabar yang berbaki.
Hari demi hari, kami berusaha.
Membersihkan selut dan sampah yang hanyut entah dari mana. Kayu, kain, sisa kehidupan yang dulunya milik seseorang, kini menjadi beban yang harus kami angkat satu persatu. Setiap cebisan yang disingkirkan, terasa seperti mengangkat sedikit demi sedikit luka yang ditinggalkan bencana itu.
Dari kosong, kami hidupkan kembali harapan, mengusahakan generator, menggali dan membina telaga tiub. Sedikit demi sedikit, kesusahan itu mula terubat, walau tidak sepenuhnya. Namun ujian tetap datang tanpa jemu.
Ada rakan-rakan yang terkena cirit-birit akibat menggunakan air yang tidak benar-benar bersih. Air yang keruh, yang kami terpaksa gunakan kerana tiada pilihan. Dalam serba kekurangan, kesihatan pun menjadi taruhan.
Makan pun bercatu, apa yang ada dikongsi bersama. Siang hari ditemani terik dan lalat yang tidak pernah jemu mengerumuni, seolah-olah turut menjadi saksi perjuangan kami. Malam pula, sunyi yang tidak pernah benar-benar sunyi.. ditemani nyamuk yang menggigit tanpa belas, meninggalkan bintat-bintat kecil sebagai kenangan pada tubuh.
Perit, ya, memang perit untuk dilalui. Namun anehnya, setiap detik itu kini terasa manis untuk dikenang.
Dalam diam, aku menyimpan satu hasrat, untuk kembali semula ke sana. Bertemu wajah-wajah yang pernah aku santuni, yang pernah berkongsi susah dan senang tanpa banyak bicara.
Aku jatuh cinta pada warganya yang sederhana tetapi kaya dengan jiwa. Yang diuji dengan kehilangan, namun tetap mampu menghadiahkan senyuman. Yang hidup dalam serba kekurangan, tetapi tidak pernah lokek dengan kasih dan kemanusiaan.
Aceh, kau bukan sekadar tempat yang pernah aku singgahi. Kau telah menjadi sebahagian daripada cerita hidupku yang setiap kali dikenang, menghadirkan rasa syukur, dan sedikit sayu yang mendewasakan.
Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan teladan(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.
1 comments:
Kadang2 pengalaman yg sukar tulah yg paling akan kita kenang. Banyak jasa ustaz pada penduduk2 kampung sana. Semoga dipermudahkan segala urusan yg mendatang
Post a Comment