Sahabat Sejati

Saturday, 11 April 2026

Pengembaraan Masa (Part 13): Langkah ke Istana, Bayang ke Takdir

foto hiasan ~ sumber

Baca di sini part 12 

Langit cerah dan sang mentari hampir tegak segalah, menyapu awan dengan warna cerah yang terang. Aku menunggang di belakang utusan istana, diapit dua pengiring berkuda. Kali ini tanpa Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja mahupun Alang. Mereka hanya mampu menghantar pandangan dari kaki laman. 

Pakaian yang aku sarung, hadiah tak terduga daripada Alang, beralun lembut dalam bayu lembut. Tak pernah aku rasa segagah ini. Tapi jauh di dalam hati, ada satu rasa gentar yang belum pernah aku kenal. 

Aku kini sendirian. 

Kuda melaju tenang di jalan tanah merah. Berdetak-detak tapak ladam memukul laluan.  Pohon-pohon tua di kiri kanan menggoyangkan daun, seolah-olah turut berbisik: "Kau menuju ke mana, anak zaman lain?" 

Gementar? Ya. 

Takut? Juga ya. 

Bukan kerana Sultan itu menakutkan, tetapi kerana aku tak tahu siapa aku di mata mereka. 

Dan dalam sepi itu, fikiranku ligat berputar. “Bagaimana kalau Sultan bertanya.. dari mana aku datang?” 

Jawapan sebenar itu mustahil. Mana mungkin aku menjawab: “Patik dari abad ke -21, tuanku. Di mana manusia hidup bersama mesin dan cahaya di dalam kotak kecil. Patik sampai ke sini melalui satu putaran masa yang tak dapat dijelaskan.” 

Nescaya aku dianggap gila.. atau lebih teruk, pengintip dari negeri asing. 

Aku menggenggam hujung kain persalinan pinjaman Alang, dan saat itulah satu ilham menyelinap masuk. 

“Patik berasal dari Pulau Bentan, Tuanku. Patik dengar, negeri Melaka sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhurannya.” 

Ya. Itulah jawapan yang akan aku berikan. Terpaksa berbohong.. demi kesejahteraan orang kampung yang sudah menerima aku, dan demi kelangsungan diriku sendiri. 

Sesampainya di kota Melaka, jantungku semakin kencang. Kota ini, tidak seperti yang pernah aku bayangkan. Ia hidup, bernafas dengan suara tukang besi, pekik budak kecil yang bermain gasing dicelah lorong batu, serta para saudagar berbahasa pelbagai. Bau rempah dan asap dupa memenuhi udara. Bendera negeri berkibar di menara batu tinggi.

Di hadapan istana, pintu gerbang megah terbuka. Pengawal bersenjata memberi laluan. 

Aku melangkah masuk. 

Langkah-langkahku berbunyi perlahan atas lantai kayu cengal. Di kiri dan kanan, para bangsawan, hulubalang dan pembesar memerhati. Aku tahu, mereka bertanya dalam hati: "Siapakah anak muda yang tidak dikenal ini?" 

Balairung istana terbentang luas, dihiasi langsir kuning diraja dan tiang-tiang kayu berukir halus. Di hujung balai, duduknya Paduka Sultan Mansur Shah, gagah, berwibawa, tapi tenang wajahnya. 

Aku sembah hormat, seperti yang pak Andak ajarkan. Tapi hatiku seakan berdetik laju.. antara kenyataan dan mimpi.

“Bangunlah, anak muda,” titah baginda, suara bagai ombak yang tenang tapi berkuasa. 

Dengan lutut menggigil, aku mengangkat kepala perlahan. Dan buat seketika, mata kami bertemu.

 "Beta telah dengar cerita tentangmu. Keberanianmu di pasar tempohari bukan sekadar menyelamat Penghulu Bendahari, tapi menyelamatkan maruah negeri."

Baginda diam sejenak. Lalu bangun berdiri. 

“Siapa geranganmu? Dari mana asal usulmu?” soal baginda, tepat seperti yang aku jangka. 

Inilah masanya. 

Aku tunduk sedikit dan menjawab perlahan: “Ampun tuanku, patik berasal dari Pulau Bentan, tuanku.. 

Patik dengar negeri Melaka ini sangat masyhur, aman damai dan kaya raya serta rajanya yang adil dan bijaksana. Maka patik datang untuk melihat sendiri kemasyhuran dan kemakmurannya. Ternyata memang benarlah cakap-cakap yang patik dengar itu tuanku” 

Baginda tersenyum. “Pulau Bentan.. tempat yang tak asing bagi beta. Ramai pedagang dan perantau datang dari sana.” 

Aku menarik nafas perlahan. Syukur. Jawapan itu diterima. 

Degupan jantungku bertukar rentak. Tidak seperti mula-mula tadi. 

Mataku menjelajah balairung. Suasananya terlalu gah, melebihi apa yang pernah aku lihat di muzium atau pembacaan hikayat. 

Tiang-tiang kayu cengal sebesar pelukan lelaki dewasa, dihias ukiran awan larat dan bunga pecah lapan, termasuk juga ukiran pucuk rebung. Langit-langit berwarna emas disulam dengan manik berkilau. Di dinding tergantung senjata pusaka — lembing bermata dua, tombak perak, keris-keris berlok tujuh dan sembilan. Langkah para dayang seperti irama, dan suara gamelan halus-halus mengisi ruang. 

Aku terkesima. 

Ini bukan set drama, bukan rekonstruksi sejarah. Ini dunia sebenar.. ini Melaka abad ke-15. 

foto hiasan: sumber tourism melaka official

 Bertemu Laksamana 

Tiba-tiba, dari belakang balairung, aku terdengar bunyi langkah yang berirama dan penuh wibawa. 

Lima sosok lelaki melangkah masuk. 

Seorang di hadapan, tubuhnya tegap, tinggi, pakaian perwira biru gelap bersulam benang perak. Di pinggangnya tergantung sebilah keris panjang, sarungnya bertatah batu. Empat yang lain mengekor, juga berpakaian pendekar. 

Sosok itu berjalan terlalu kemas. 

Langkahnya bergaya, karismanya seperti mengisi ruang. 

Tapi raut wajahnya tidak sombong. Tenang. Bijaksana. 

Dan yang lebih menggetarkan, semua hadirin, pembesar, hulubalang, dayang, malah para pengawal menunduk hormat saat dia melintasi. 

Hatiku bergetar. 

"Siapa gerangan insan ini..?" getusku dalam hati. 

Sebaik sampai di hadapan Sultan Mansur Shah, dia menyembah dengan tenang dan rendah diri. 

Dan saat itu, baginda bersuara: 

“Silakan, Datuk Laksamana Hang Tuah.. apakah perkhabaran hari ini?”

Jantungku berhenti seketika. 

Nama itu.. Hang Tuah?! 

Datuk Laksamana Hang Tuah?! 

Tubuhku kaku. Nafasku terasa hilang sejenak. 

Aku berdiri di dalam balairung, hanya beberapa langkah dari sosok yang selama ini hanya hidup dalam buku sejarah dan hikayat lama. 

Dialah.. yang disebut sebagai wira agung, penjunjung maruah bangsa, lambang kesetiaan yang tak tergoyah. Dialah.. Hang Tuah! 

Aku hampir tak percaya. 

Ingin rasanya aku mendekat, menyapa, bertanya, "Benarkah tuan wira Hang Tuah? Benarkah aku benar-benar melihatmu, bukan sekadar mimpi atau bayang sejarah..?" 

Tapi aku kekal diam. Kerana di hadapan Sultan, dan di tengah sejarah yang sedang berdetak hidup, aku hanyalah seorang anak dari masa depan yang tidak seharusnya terlalu menonjol. 

Namun satu yang aku tahu, detik itu akan tertulis di dalam ingatan aku selamanya. 

Bersambung Part 14.. 

Wednesday, 8 April 2026

Hari ini

"Genap 47 tahun ayahanda berkelana di alam abadi… rindu ini tidak pernah pudar, hanya diam berteduh dalam doa yang tak pernah putus..." 

Ayahanda, Bicara ini sentiasa dengan kalimah redha-Nya. Setiap yang ditaqdirkan pasti ada hikmah kebaikan. Namun, tidak mampu anakanda sembunyikan rindu yang terbenam. Mudah-mudahan dapat jua wajah ayahanda ditatapi depan mata, di akhirat nanti dengan izin-Nya... 

Ayahanda, Sejahtera buatmu di kelana alam barzakh. Moga doa yang dititipkan menemanimu di sana. Daripada anak-anak yang mengasihimu... 

Sunday, 22 March 2026

Salam Aidil Fitri 1447H

Ramadhan telah pun melabuhkan tirainya. Berlalu meninggalkan kita semua tanpa menoleh ke belakang dan akan kembali lagi pada tahun seterusnya dengan izin-Nya. Namun yang pastinya apakah kita masih diberi peluang untuk mendakap Ramadhan yang akan datang? Allah jua yang mengetahui. 

Tibanya hari raya yang mulia yang disyariatkan untuk kita menyambutnya. 

Justeru, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua sahabat khususnya pengunjung pondok kecil abuikhwan yang sangat saya muliakan. Dengan hamparan setulus hati, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. 

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum solehul a`mal, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu 'am wa antum bi Alf al-Khair... 

Sunday, 8 March 2026

Jangan kita sia-siakan peluang..

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di dalam Ramadan berlalu dengan begitu diam. Tidak berbunyi, tidak juga terasa derap langkahnya. Tiba-tiba sahaja kita tersedar.. hari ini Ramadan telah pun memasuki hari yang ke-18. 

Seakan baru semalam kita menyambut kedatangannya dengan rasa syukur dan harapan. Namun masa tidak pernah berhenti. Ia terus berjalan, membawa bersama hari-hari yang semakin berkurang daripada bulan yang penuh keberkatan ini. 

Mudah-mudahan Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk meniti baki Ramadan yang masih tersisa. Mudah-mudahan setiap amal yang kecil, setiap doa yang kita titipkan di hujung malam, setiap istighfar yang terbit dari hati yang penuh kekurangan, diterima oleh-Nya sebagai bekalan yang berharga. 

Namun di celah-celah keheningan Ramadan ini, hati kadangkala tersentuh mengenang mereka yang telah pergi lebih dahulu. 

Ada yang meninggalkan dunia ini sebelum sempat menyapa Ramadan kali ini. Ada juga yang melalui Ramadan yang lalu tanpa pernah menyangka bahawa itulah Ramadan terakhir dalam hidup mereka. 

Tahun lalu mereka masih bersama kita, duduk di saf yang sama ketika tarawih, berbuka di meja yang sama, atau sekadar bertanya khabar di penghujung petang. 

Hari ini, mereka sudah berada di alam yang berbeza. 

Hanya doa yang mampu kita kirimkan. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada mereka, melapangkan kubur mereka, dan menempatkan mereka dalam reda serta kasih sayang-Nya. 

Dan kita yang masih diberi kesempatan ini.. perlahan-lahan bertanya kepada diri sendiri. 

Bagaimana dengan kita? 

Siapa yang dapat memastikan bahawa kita akan sempat sampai ke penghujung Ramadan ini? Siapa juga yang mampu menjamin bahawa Ramadan tahun hadapan masih menjadi milik kita? 

Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita.. tanpa kita sedari. 

Atau mungkin juga kita tidak sempat menghabiskannya, kerana ajal terlebih dahulu menjemput sebelum bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya. 

Sebab itu, selagi nafas masih di dada.. selagi malam-malam Ramadan masih terbentang.. selagi pintu rahmat dan keampunan masih terbuka.. 

Jangan kita sia-siakan peluang yang sedang Allah hamparkan ini. 

Kerana mungkin.. di antara Ramadan yang pernah kita lalui sepanjang hidup ini, inilah yang terakhir.

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.

Wednesday, 7 January 2026

Misi Kemanusiaan Tamiang Aceh (Part 1): Bermula Perjalanan

Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat. 

Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan. 

Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.  

Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan. 

Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang

Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir? 

Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab. 

Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.

Bersambung Part 2.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.