Sahabat Sejati

Monday, 1 May 2017

Mungkin kunjungan terakhir ke Kulliah Sultan Abu Bakar Pekan


Pagi Sabtu, kami sekeluarga meredah kedinginan pagi menelusuri jalan Kuantan – Pekan yang menyenangkan. Memandangkan hari ini adalah hari Sabtu, maka jalan agak lenggang. Jika hari biasa bukan begini pemandangannya. Jalan raya sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu mahu ke tempat kerja.

Hari ini sekali lagi kami ke Kulliah Abu Bakar di daerah Pekan. Hari ini merupakan hari bersejarah, hari graduasi bagi pelajar-pelajar STAM tahun 2016. Saya pula, termasuk ibu bapa yang lain dijemput untuk mewakili anak masing-masing yang berada di bumi Mesir. Tetapi tidak semua ibu bapa yang dapat hadir, terutama yang tinggal sejauh di daerah Jerantut, Bentong dan sebagainya.

Jika diikutkan pada hari lain pun boleh juga ambil sijil tersebut di pejabat Kulliah Sultan Abu Bakar, selain daripada hari graduasi hari ini. Namun demikian, memandangkan saya tidak mempunyai apa-apa komitmen pada hari ini, maka saya memutuskan untuk menghadirkan diri. Senang, datang  dan naik ke pentas menerimanya apabila nama dipanggil. Terfikir juga, sekiranya mahu diambil pada hari lain yang sudah semestinya hari biasa pada waktu pejabat, kemudian kena pula berjumpa dengan orang yang menguruskannya. Rumit sekali!

Dipendekkan cerita, naiklah kami seorang demi seorang ke atas pentas setelah nama anak-anak dipanggil. Bersalam dengan perasmi dan bergaya di depan lensa kamera yang memetikkan cahaya flash. Ah, persis kami pula yang benar-benar menerimanya. Sedangkan hakikatnya hanyalah pengganti tubuh badan anak-anak yang berada di perantauan. 

Secara peribadi saya beranggapan ini adalah kunjungan terakhir ke Kulliah Abu Bakar. Mengapa? Seingat saya selepas ini tidak ada apa-apa lagi urusan yang memerlukan saya hadir ke sini. Sebelum ini ada anak sulung belajar di sini, jadi memang selalu saya datang atas urusan pengajiannya. Yalah, takkan mahu datang dengan tanpa ada tujuan. Wallahu ta`ala a`lam bissawab.

Seloroh saya kepada ibu bapa sebelum kami berpisah pulang, “Mujur tak kena pakai jubah konvo, kalau tidak jadilah kita semua pelajar STAM tua bangka...”

“Ha..ha..ha..” Berderai ketawa.

2 comments:

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abu Ikhwan...

Walaupun mungkin kunjungan terakhir, tetap semua kenangan hadir apabila mengingati masa yang berlalu bersama nanda Ikhwan yang membanggakan hati. Didoakan nanda Ikhwan yang kini berada di bumi Anbiyaa akan beroleh kejayaan cemerlang dengan ilmu dunia dan akhirat. Aamiin. Tidak terlambat untuk mengucapkan selamat berjaya dengan pengajian di Kaherah. Tahniah buat Abu Ikhwan dan keluarga.

Salam sejahtera dari Sarikei, Sarawak.

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz
Tahniah untuk anak nya.Alhamdulillah bertuah sebenarnya dapat naik pentas dan ambil sendiri sijil anak .Satu hari akan jadi kenangan manis.Akak pun pernah mewakili anak ,terpaksa berulang alik ke pentas sebanyak 3 kali,walaupun bukan di sekolah tapi manis bila dikenang.

Post a Comment