foto hiasan: sumber
Adakah Rasulullah saw Melihat Allah Dengan Mata Kasar?
Seterusnya Ibnu Qayyim menyebutkan perbezaan pendapat yang terjadi tentang hakikat Rasulullah saw melihat Allah. Di situ, beliau menyebutkan pernyataan Ibnu Taimiyah mengenai persoalan ini.
Kesimpulan perbahasannya menerangkan pendapat bahawa Rasulullah saw melihat Allah dengan mata kasar merupakan pendapat yang sama sekali tidak berasas dan pendapat tersebut tidak pernah diucapkan oleh seorang sahabat pun. Sedangkan pernyataan Ibnu Abbas adalah Rasulullah saw melihat Allah secara mutlak dan sekaligus dengan hati nurani dan sesungguhnya penglihatan mutlak tidak menafikan penglihatan dengan hati.
Jibril Mendekati Baginda
Kemudian Ibnu Qayyim berkata, “Adapun firman Allah Taala dalam Surah an-Najm ayat 8,
‘Kemudian dia mendekat lalu bertambah dekat lagi,’
bukanlah mendekat dalam erti kata seperti yang terdapat pada kisah Israk Mikraj. Mendekat dalam ayat Surah an-Najm ini adalah mendekatnya Jibril yang kemudian bertambah dekat. Inilah yang dikatakan oleh Aisyah dan Ibnu Mas’ud. Konteks ayatnya sendiri juga menerangkan sedemikian.
Manakala mendekat dan bertambah dekat yang terdapat dalam hadis Israk Mikraj, maka itu secara jelas menerangkan sebagai mendekat dan bertambah dekatnya Allah Taala.
Dengan demikian, tidak ada percanggahan dalam ayat Surah an-Najm. Bahkan, ayat tersebut menerangkan bahawa Nabi Muhammad melihat Jibril pada kali yang lain di Sidratul Muntaha. Ya, benar, itu Jibril. Nabi Muhammad melihatnya dalam kewujudan yang asal sebanyak dua kali iaitu yang pertama ketika di bumi dan yang kedua ketika di Sidratul Muntaha. Wallahu a’lam.(1)
Beberapa Pemandangan Yang Menakjubkan Sepanjang Israk Mikraj
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah saw juga terjadi pada kali ini. Dalam perjalanan Israk Mikraj ini, Rasulullah saw menyaksikan banyak hal.
- Baginda ditawarkan susu dan arak, maka baginda memilih susu. Sehinggalah Malaikat Jibril berkata kepada baginda, “Engkau telah diberi petunjuk untuk memilih sesuai dengan fitrah,” atau, “Engkau telah bertindak benar sesuai dengan fitrah. Sebabnya, jika engkau mengambil arak, pasti umatmu akan tersesat.
- Rasulullah saw melihat empat batang sungai di syurga, yang dua batangnya kelihatan, sedangkan dua batang lagi tidak kelihatan. Dua batang sungai yang kelihatan ialah Sungai Nil dan Sungai Furat. Manakala dua batang sungai yang tidak kelihatan ialah dua batang sungai di Syurga. Boleh jadi dilihat Sungai Nil dan Furat menjadi petunjuk bahawa risalah yang baginda bawa akan berkembang di lembah-lembah yang subur di sepanjang Nil dan Furat, di mana penduduknya akan memikul agama Islam daripada satu generasi ke generasi yang lain. Maka, maknanya bukan bererti air Sungai Nil dan Sungai Furat itu bersumber dari syurga. WallahuA`lam.
- Rasulullah saw melihat Malik, malaikat penjaga neraka. Dia tidak pernah ketawa. Sedikit pun tidak ada keceriaan dan kehangatan di raut wajahnya. Kemudian Rasulullah saw melihat syurga dan neraka.
- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh pemakan harta anak yatim secara zalim. Bibir mereka seperti bibir unta. Ke dalam mulut mereka dilemparkan potongan api neraka secara paksa, lalu api itu keluar lagi daripada dubur mereka.
- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh pemakan riba. Mereka mempunyai perut yang besar dan disebabkan itu mereka tidak dapat berpindah tempat. Kemudian seluruh pengikut Firaun berjalan di atas mereka dengan menginjak-injak mereka tatkala para pengikut Firaun itu diheret ke neraka.
- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh penzina. Sebelah tangan mereka memegang daging yang tebal dan baik, sementara tangan yang satu lagi memegang daging nipis dan busuk. Namun begitu, mereka makan daging yang nipis dan busuk, sementara daging yang tebal dan baik mereka tinggalkan.
- Rasulullah saw melihat seksaan yang diterima oleh wanita-wanita yang menisbahkan anak-anak kepada lelaki yang bukan ayahnya. Rasulullah saw melihat payudara mereka digantungkan.
- Dalam masa pemergian dan kepulangannya, Rasulullah saw melihat serombongan kafilah Mekah. Baginda sempat menerangkan arah jalan kepada unta mereka yang terpisah daripada rombongan. Baginda juga meminum air mereka daripada bekas yang tertutup ketika mereka sedang tidur, kemudian baginda meninggalkan bekas itu tetap tertutup. Ini menjadi bukti pada keesokan harinya yang membenarkan pengakuan baginda bahawa baginda mengalami Israk Mikraj.(2)
Ibnu Qayyim berkata, “Ketika Rasulullah saw kembali kepada kaumnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah saw, seolah-olah baginda melihatnya dengan mata kepalanya sendiri.
Lalu baginda memperincikannya. Rasulullah saw memberitahu ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka, sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun.Baginda memberitahu kepada mereka tentang kafilah mereka yang baginda lihat ketika pergi dan pulang. Baginda juga memberitahu kepada mereka tentang waktu kedatangan kafilah tersebut serta tentang untanya yang terpisah daripada kafilah.
Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan. Ternyata, semakin bertambah penolakan dan kekafiran orang zalim tersebut.(3)
Dikatakan: Abu Bakar digelar as-Siddiq kerana dia mempercayai kebenaran peristiwa Israk Mikraj ketika semua orang menganggapnya sebagai berita bohong.(4)
Rujukan:
(1) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96.
(2) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil II, hlm. 47-48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil I, hlm. 50, 455, 456, 470, 471, 481, 548, 549, 550 dan jil II, hlm. 684; juga Sahih Muslim, jil I, hlm. 91-96. Lihat juga Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 397 dan 402-406.
(3) Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Zad al-Ma’ad, jil I, hlm. 48. Lihat juga Sahih al-Bukhari, jil II, hlm. 684; Sahih Muslim, jil I, hlm. 96 dan Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 402-403.
(4) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, jil I, hlm. 399.
(Adaptasi daripada al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd)
Bersambung...
2 comments:
ASSALAM...SEMOGA USTAZ N FAMILI SHT SJHTERA DLM PERLINDUNGAN-NYA.PPERKONGSIAN YG SGT MEMENAFAATKAN...TKSH
Salam kak paridah, terima kasih atas kunjungan...semoga bermanfaat
Post a Comment