foto hiasan: 'si kecil Haikal yang istimewa' pun sunyi
Sunyi.
Pelik benar apa yang saya rasakan kebelakangan ini. Bahkan kadang-kala saya sendiri tidak mengerti apa sebenarnya yang terjadi. Ada ketikanya rasa sunyi yang menyelimuti ini bertukar menjadi perasaan rindu. Ah, mengapa begini, rindu kepada siapa pula? Sebenarnya saya rindukan anak-anak. Jika diikutkan belum pun sampai sebulan mereka semua kembali ke asrama.
Entahlah sukar untuk diungkapkan. Empat, lima tahun yang lalu mereka juga sudah pun menginap di asrama. Dan saya tidak pula merasa apa-apa, biasa sahaja. Tidak merasa sunyi dan rindu seperti hari ini. Malahan rindu itu kian memuncak terutama waktu malam sebelum melelapkan mata. Sambil berbaring dan tangan menongkat di dahi, benak kecil saya merintih: "Sunyinya..."
Mujurlah ada 'si kecil Haikal yang istimewa' menemani saya dan ummu Ikhwan. Kalau tidak tentu tambah sunyi. Bolehlah menghibur hati serta mengubat kesunyian mendengar coletahnya yang tidak tentu buah butir perkataan. (anak saya yang seorang ini dilahirkan tidak boleh bercakap dan mendengar)
Teringat pula kata-kata sang murabbi: "Semakin tua, insan menjadi semakin sunyi. Dan semakin sunyi hati akan menjadi semakin rindu. Rindu pada orang yang tersayang."
Ya, sangat benar ungkapan ini. Ketika usia semakin meningkat, hati menjadi sunyi. Dan kesunyian ini kerana ada rindu di dalamnya. Perlahan-lahan saya merasainya setelah usia tersisa di bilah-bilah jari.
Patutlah ibu(arwah) saya dahulu sering menelefon saya. Sekejap-sekejap suruh saya balik ke kampung. Bulan lepas sudah balik, bulan ini suruh balik lagi. Saya tidak mampu meneka dan menafsir. Memang patutlah saya rindukan anak-anak kerana mereka masih budak-budak lagi. Tetapi ibu bapa kita takkan begitu, kerana saya sudah berkeluarga, sudah tua. Begitulah fikiran dangkal di benak saya. Rupanya tidak, rindu tidak pudar seiring usia, bahkan rindu kian menebal apabila usia semakin bertambah. Buktinya, saya sendiri merasainya sekarang.
Kita sayangkan anak-anak kita. Ibu bapa kita pula sayangkan kita. Bila sayang akan terbit rasa rindu. Manakala rindu akan terubat apabila berjumpa, Itulah fitrahnya. Apabila kita memikirkan kerinduan kepada anak-anak, maka fikirkanlah akan kerinduan ibu bapa kita.
"Semakin tua, insan menjadi semakin sunyi. Dan semakin sunyi hati akan menjadi semakin rindu. Rindu pada orang yang tersayang."
Benar sekali.
5 comments:
Salam Abu, benar dan saya suka ayat tu..rindu tidak pudar seiring usia.Saya sangat rapat dengan arwah ibu tapi dia pergi ketika saya dalam musim sibuk...saya kerap menangguh segala waktu tu..padahnya saya sentiasa merindu ibu sampai kehari ini...teringat-ingat akan dia...betapa saya tidak sempat mendengar suaranya disaat akhir bertemu...
AsSalam,memang benar ungkapan2 tentang 'rindu' tentang 'sunyi' diatas tu.
Itulah yang bunda sedang lalui sekarang...Dulu semasa anak2 kecil, riuh rendah dan sibuk seharian melayan mereka...celik mata mengurus makan minum dan sekolah mereka pagi petang hingga kemalam hari.
Apabila sorang2 menjejaki menara gading, kesunyian mula terasa...sebulan sekali pun payah nak berjumpa... kini semua dah bekerja, walaupun dekat tetapi jauh dek tugasan masing2... nasib lah dapat jugak berkumpul sesekali...
Kini dua orang dah bernikah, lagilah terasa sangat kerinduan dan kesunyiannya...apa lagi anak perempuan.. namun hati ini terpaksa redha dan terpaksa terima hakikat yang mereka sudah besuami...
Malah lebih terasa bahawa kini tiada lagi orang yang paling hampir untuk berkongsi rasa dan berkongsi perasaan..
Ku pendam duka dihati ini...
Apa yg AI rasakan itulah juga yg kakak rasakan. Tatkala minggu pertama anak bongsu kakak masuk asrama tahun ini nak makan malam itulah paling kakak rasa. Makan dengan airmata tau. Bukan aje sunyi tapi ada rasa sayu yg sukar digambarkan dgn kata-kata.
Haikal anak pilihan Allah menguji mereka yg menjaganya - ada hikmah besar yg Allah berikan buat keluarga AI.
Saya rindu pada arwah ayah saya :'(
Post a Comment