Sahabat Sejati

Friday, 16 May 2014

Tulus pengorbananmu guru...


“Wan, nanti kamu naik sekolah menengah, cikgu harap kamu dapat tinggalkan panas baran kamu. Cikgu bimbang ia akan merugikan kamu satu hari nanti.” Nasihat tulus seorang guru di hari terakhir persekolahan. 

Demikianlah di antara nasihat yang masih saya ingati lebih dua dekad yang lalu. Suasana sungguh bening ketika itu. Benar nasihat seorang pendidik yang mahukan kebaikan buat anak muridnya. Panas baran tidak kemana, yang pasti ia akan merugikan diri pemiliknya. Sedikit demi sedikit saya berubah. Biarpun dalam meniti perubahan itu saya seumpama menggenggam bara api. Perit, tetapi ada nikmat yang terasa. Sakit, tetapi ada sakinah di dalam dada. Seperti ubat yang pahit tetapi menyembuhkan. Semuanya kerana nasihat seorang guru. 

Hari ini 16 Mei. Hari ini merupakan hari yang diingati dengan satu peristiwa. Seluruh negara bergema ucapan oleh semua yang bergelar pelajar atau bekas pelajar dengan ucapan, “Selamat hari guru atau selamat hari pendidik.” 

Tentunya ramai yang bersetuju jika saya katakan bahawa guru adalah di antara peranan utama dalam mencetak peribadi manusia selain ibu bapa. Tidak kira guru di sekolah, universiti, institusi pondok, atau sekadar guru mengajar al-Quran di kampung. Semuanya berperanan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan panduan. Sungguh besar jasa mereka tidak mungkin dapat disangkal oleh sesiapa. 

Guru sewajarnya dihargai dek kerana pengorbanannya. Membentuk anak orang lain yang kadang-kadang langsung tidak dikenali siapa ibu bapa mereka sehingga beroleh kejayaan dan kesenangan. Walaupun kadang-kadang dia sendiri tidak mengetahui akan kejayaan anak-anak muridnya. Tetapi, begitulah peribadi seorang guru. Mendidik, mendidik dan terus mendidik tanpa jemu. Bak kata Sasterawan Negara, Usman Awang di dalam sajak keramatnya:

“...Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, 
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta 
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara 
Jika hari ini seorang ulama yang mulia 
Jika hari ini seorang peguam menang bicara 
Jika hari ini seorang penulis terkemuka 
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Benar, walau luarbiasa mana kejayaan seseorang, tidak keterlaluan dikatakan ianya dimulakan oleh seorang guru biasa.

Walaupun suatu ketika mungkin kita pernah dihukum dengan hukuman yang berat, atau kita pernah didenda dengan sesuatu yang amat memalukan. Namun percayalah, dengan hukuman yang dikenakannya itu maka kita telah menjadi apa yang kita dapati sekarang, begitu juga kita telah berada di mana kedudukan kita berada sekarang. Oleh itu, marilah kita mendoakan kepada seluruh warga guru agar sentiasa di dalam rahmat Ilahi.

1 comments:

paridah said...

salam pagi..SELAMAT HARI GURU...

Post a Comment