Sahabat Sejati

Saturday, 20 July 2013

Bicara masa di 37

Naik lenguh tangan saya menulis serta penat mengulangkaji pelajaran sejak seminggu yang lalu.

Hari ini peperiksaan semester akhir telah pun selesai dengan meletakkan noktah pada kertas jawapan subjek Ekonomi Islam. Alhamdulillah, terasa beban yang tergalas di atas belakang sejak tiga tahun lalu telah pun terungkai. Yang tinggal hanya tiga assignment sahaja lagi yang belum dihantar. Tetapi semuanya perlu dihantar kepada pensyarah melalui e-mel. Mudahnya teknologi zaman sekarang.

Ramadhan sudah pun memasuki hari yang ke 11 hari ini. Bagaimana agaknya penghayatan puasa kita semua, semakin meningkat? Bagaimana pula dengan misi memburu taqwa yang telah kita tekadkan seawal Ramadhan lalu, masih di atas jalannya? Atau masih di takuk lama dan kita masih lagi terbuai oleh angan-angan yang tidak sudah?


Allah SWT berfirman: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (al-`Ash: 1-3)

Kehidupan manusia amat bergantung kepada penggunaan masanya. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan tentang masa dan mengingatkan manusia akan peri pentingnya masa. Firman Allah SWT di atas sudah cukup menggambar akan nilai masa. Sesungguhnya manusia yang menempa kejayaan adalah ialah mereka yang memanfaatkan masanya di dunia iaitu dengan beriman, beramal soleh dan menyampaikan kebenaran kepada manusia lain sebagai bekalan untuk akhirat.

Berkata Imam Syafie: “Jika manusia memerhati dan mengambil pengajaran daripada surah ini, maka memadailah bagi mereka.”

Di dalam hadis Rasulullah saw menyebut tentang memanfaat masa sebaik mungkin. Rasulullah saw bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (riwayat Imam al-Hakim dan al-Baihaqi dari Ibnu Abbas ra)

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan berganjak kaki anak Adam pada hari kiamat di hadapan ALLAH sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).” (Riwayat Ibnu Hibban & at-Tirmidzi)

Berkata Imam Sya`rani ketika mengulas hadis ini dalam kitabnya al-`Uhud al-Muhammadiah: Inilah empat perkara utama yang akan ditanya setiap hamba mengenainya (di akhirat). Adapun yang selainnya adalah perkara-perkara sampingan sahaja.”

Benar, betapa pentingnya masa, maka seharusnya setiap Muslim hendaklah memberi perhatian dan menjaga masa dan memanfaatkan sepenuhnya masa kepada perkara yang bermanfaat baginya. Tidak lain dan bukan untuk mencapai matlamat dan cita-cita sebagai Mukmin yang memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Namun tidak mudah untuk kita memanfaatkan masa sebaik mungkin kerana sentiasa kita berdepan dengan musuh yang tidak jemu meleka dan mengalpakan kita. Itulah nafsu yang berada di dalam diri. Hawa nafsu adalah teman setia yang sentiasa mendampingi ke mana sahaja kita pergi. Jika sekiranya kita tidak mengawalnya dengan sifat mujahadah, maka akan diruntun diri kita ke arah kehancuran.

Sengaja saya berceloteh mengenai masa.

Sebenarnya semalam adalah hari ulangtahun kelahiran saya. Maka banyaklah ucapan yang saya terima daripada rakan-rakan FB. Keluarga saya terlebih dahulu meraikannya. Dari satu sudut saya merasa amat gembira. Terharu pun ada.

Namun, dari satu sudut yang lain saya tertanya-tanya apakah perasaan sebenar saya. Apakah benar-benar saya merasa gembira?

Sedangkan setiap kali menjelang tarikh seperti ini ia hanyalah mengingatkan bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk menghampiri kematian. Ucapan demi ucapan selamat hari lahir rupanya seumpama memendekkan masa lalu mendekatkan langkah kaki menghampiri liang lahad.

Lupakan sebentar kegembiraan, kerana kelahiran hanya bermakna pada kejayaan memandu kehidupan.


Imam Hasan al-Basri pernah berkata: "Apabila terbit sahaja fajar pada hari baru, ia akan menyeru manusia: "Wahai anak Adam! Aku adalah makhluk yang baru. Aku akan menjadi saksi ke atas apa yang kamu lakukan. Gunakanlah aku untuk berbekal dengan beramal soleh. Sesungguhnya aku (apabila berlalu) tidak akan kembali lagi hingga menjelangnya kiamat."

Saya mengingatinya...

2 comments:

Anonymous said...

Assalaamu'alaikum wr.wb, Abuikhwan....

Didoakan sihat dan sukses dalam exam yang telah ditempuh dan berjaya beroleh ijazah yang dihasratkan.

Selamat Hari Lahir juga. Mudahan keberkatan ilmu dan amal dapat menambah baik kehidupan di dunia dan akhirat. Masa adalah penentu kehidupan kita untuk menuju ke penghujung jalan yang bahagia atau derita.

Jadilah orang yang banyak memberi bukan yang banyak menerima. Hidup dengan banyak memberi akan menghadirkan kebahagian dan ketenangan jiwa.

Selamat menjalani ibadah puasa dan salam Ramadhan yang mulia.

SITI FATIMAH AHMAD
Sarikei, Sarawak.

abuikhwan said...

Alaikum salam wrm
Terima kasih kepada umi yg sudi bertandang ke pondok kecil abuikhwan yg tidak seberapa ini.

Terima kasih juga atas doa dan nasihat yg amat bermakna itu. Mudah-mudahan umi juga sentiasa berada di dlm rahmat kebaikan dari-Nya...

Post a Comment