Sahabat Sejati

Friday, 23 September 2016

Rehat Minda: Pesan Murabbi 83

Salam Jumaat.


"Sesungguhnya rosak rakyat kerana rosak pemimpin..
Rosak pemimpin kerana rosak ulama. 
Kalau tidak kerana para hakim dan ulama jahat, 
pastinya kerosakan pemimpin akan berkurangan 
kerana mereka takut penentangan hakim dan ulama.

~Imam Abu Hamid al-Ghazali~ 

Wednesday, 21 September 2016

Teruskan berdoa, Tuhanmu sentiasa mendengarnya

foto hiasan ~ sumber

Ketika saya budak-budak dahulu, saya sering ke surau yang terletak berhampiran dengan rumah ayahanda. Jika ada ustaz yang menyampaikan kuliah, saya akan duduk bersila menadah telinga bersama para jemaah yang lain. Saya teringat satu kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ustaz yang menceritakan berkenaan dengan doa.

Jika kita boleh memilih kehendak kita sendiri, pasti kita akan memilih yang terbaik. Jika kita berkuasa ke atas kehidupan kita, pasti kita akan menjadikan segala-galanya menurut keinginan dan kemahuan kita. Kita akan jadikan perjalanan hidup kita hanya yang indah-indah belaka. Tetapi mampukah kita berbuat demikian, tidak mungkin. 

Apalah daya kita, kerana kita adalah hamba, sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan kasihan Allah SWT. Justeru, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dialah juga yang memiliki. Dan mereka tidak mempunyai pilihan (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya. Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Al-Qashah: 68-69)

Sebaiknya seorang hamba yang tidak mengetahui apa yang akan terjadi mengakui akan kelemahan dirinya. Maka apabila Tuhan Yang Maha Mengetahui memilih untuknya sesuatu, hendaklah dia redha dan berlapang dada menerimanya. Walaupun seolah-olah pada pandangannya apa yang ditakdirkan itu tidak baik baginya, pahit dan pedih menelannya. Tetapi percayalah itu adalah pilihan Allah yang terbaik.

“Mungkin kamu membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik bagi kamu. Dan Allah yang mengetahui kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Nah, tidakkah kita merasa tenang setelah membaca ayat ini. Patrikanlah di dalam diri kita bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Allah kepada kita adalah yang terbaik untuk kita. Dan itu merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

Jangan jemu berdoa

Kadang-kadang kita merasakan telah lama kita meminta dan merintih kepada Allah. Setiap masa kita berdoa memohon dari-Nya. Namun tidak juga diperkenankan. Apakah yang ada di benak kita. Adakah doa kita tidak didengar oleh Allah atau kita merasakan rintihan dan tangisan kita disia-siakan? Jangan begitu.

Mengapa manusia terlalu cepat berputus asa dalam berdoa? Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu dan merasakan doanya tidak diperkenankan. Jangan putus harapan.

“Dah lama aku berdoa, tapi sampai sekarang tak makbul pun. Allah tak sayangkan aku ke?”

“Sampai bila aku nak berdoa, kalau apa yang aku minta tak dapat.”

“Hari-hari aku berdoa, tapi hidup susah juga.”

Nasihat saya, jangan begitu.

Tidakkah kita pernah mendengar kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang berdoa kepada Allah, supaya dibinasakan Fir`aun. Maka Allah memakbulkan doa mereka berdua setelah 40 tahun.

Empat puluh tahun!

“Dan Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir`aun dan kaumnya perhiasan dan harta benda dalam kehidupan dunia. Wahai Tuhan kami! (Pemberian itu) mereka pergunakan untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan tutuplah hati mereka. Maka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang berat.” (Yunus: 88)

Maka setelah 40 tahun doa dua orang Rasul itu diperkenankan. Maka siapalah kita ini untuk memaksa Allah mempercepatkan permohonan doa kita. Sabar dan terus berdoa.

Diriwayatkan daripada Abu Sa`id al-Khudri ra. bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Adakalanya Allah segera memperkenankan doanya. Adakalanya Allah menjadikan doanya sebagai pahala yang tersimpan di akhirat. Dan adakalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya.” Berkata seorang sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Rasulullah saw bersabda: Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih).

Daripada hadis ini jelas kepada kita setiap doa yang bersungguh-sungguh pasti akan dimakbulkan, kecuali dalam perkara dosa dan memutuskan tali silaturrahim. Oleh itu, tidak sedikit pun kerugian jika kita sentiasa memanjatkan doa, memohon kepada Allah SWT. Apa yang perlu kita ingat ialah menuruti adab-adab berdoa agar ianya tidak menjejaskan doa tersebut.

Kata Syeikh Ibn Atho`illah: Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.”

Oleh itu, teruskan meminta dan mengharap kepada Allah. Sematkan di dalam hati kita keyakinan yang mantap bahawa doa kita pasti dimakbulkan. Itulah sebaik-baik pengharapan.

Ayuh sahabat sekelian, teruskan berdoa!

Tuesday, 20 September 2016

Bersabarlah seupayamu duhai diri..

 foto hiasan ~ sumber

Setiap yang bergelar manusia pasti tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian atau musibah. Diuji dengan kesusahan, kesakitan, kesedihan, kematian dan berbagai-bagai lagi. Apabila ujian mendatang, lakunya umpama dihenyak bebanan yang berat.

Apakah yang perlu dilakukan apabila ditimpa ujian-ujian itu? Allah SWT menyuruh kita agar bersabar. Di dalam al-Quran, disebutkan lebih dari tujuh puluh tempat mengenai sabar. Betapa besarnya kebaikan dan darjat yang diperolehi daripada sifat sabar. Memang tidak mudah untuk bersabar apabila ditimpa ujian.  Kita boleh menulis atau menyebut agar bersabar kepada mereka yang ditimpa musibah atau ujian. Hakikatnya, mungkin kita sendiri tidak mampu menanggungnya jika ia terkena ke atas diri kita.

Namun, apa sahaja yang Allah taqdirkan kepada kita ada rahmat dan hikmah yang mungkin tidak kita sedari. Allah SWT dengan sifat kasih sayang memberikan kekuatan dan memujuk hati setiap Muslim yang ditimpa musibah dengan firman-Nya:

"(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan." (an-Nahl: 96)

"Mereka itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka; dan juga kerana mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka menderma dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka." (al-Qasas: 54)

"Katakanlah (wahai Muhammad, akan firman-Ku ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): "Wahai hamba-hamba-Ku yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira". (az-Zumar: 10)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)." (ali-Imran: 200)

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (al-Baqarah: 155)

Begitulah besarnya rahmat dan kasih sayang Allah SWT, bukan sahaja diberikan pahala atas kesabaran, bahkan diampunkan dosanya. Dua keuntungan dalam satu masa. Syaratnya, hendaklah kita bersabar di atas musibah yang menimpa dan menerima ketentuan dengan berlapang dada. Janganlah mengeluh atau merungut, lebih-lebih lagi menyangka yang tidak sepatutnya kepada Allah SWT.