Sahabat Sejati

Wednesday, 7 January 2026

Misi Kemanusiaan Tamiang Aceh (Part 1): Bermula Perjalanan

Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat. 

Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan. 

Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.  

Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan. 

Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang

Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir? 

Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab. 

Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.

Bersambung Part 2.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.