Sahabat Sejati

Wednesday, 30 September 2020

Friday, 25 September 2020

SYAITAN MAKAN BERSAMA TUAN RUMAH

SOALAN: 

Adakah syaitan masuk dalam rumah jika tuan rumah makan tidak baca bismillah. Saya ingin tahu adakah hanya baca bismillah saja? Kalau tidak baca adakah syaitan masuk sahaja dalam rumah atau dia makan sekali? 

JAWAPAN: 

Kita lihat dulu hadith yang menjadi sandaran persoalan ini. 

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah r.a. katanya Nabi saw bersabda:

 إِذَا دَخَلَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَذَكَرَ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ وَعِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: لا مَبِيتَ لَكُمْ، وَلَا عَشَاءَ، وإذَا دَخَلَ، فَلَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ دُخُولِهِ، قالَ الشَّيْطَانُ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ، وإذَا لَمْ يَذْكُرِ اللَّهَ عِنْدَ طَعَامِهِ، قالَ: أَدْرَكْتُمُ المَبِيتَ وَالْعَشَاءَ 

Ertinya: “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya lalu dia menyebut nama Allah pada ketika masuknya dan pada ketika makannya nescaya berkatalah syaitan : Tiada tempat tidur bagi kita malam ini dan tiada makan malam. Dan apabila seorang itu masuk ke dalam rumah tanpa menyebut nama Allah maka berkatalah syaitan : Kamu semua sudah ada tempat bermalam. Dan apabila seorang itu tidak menyebut nama Allah ketika dia makan maka berkata pula syaitan : Kamu sudah ada tempat bermalam dan makan malam.” (Hadith Riwayat Muslim) 

Maka hadith ini menjadi dalil bahawa syaitan akan menunggu apabila seorang kamu hendak masuk ke dalam rumahnya setiap kali dia pulang kerana syaitan hendak masuk ke dalam rumahnya. Tetapi apabila dia menyebut nama Allah seperti Bismillah ketika masuk maka syaitan tidak akan dapat masuk. 

Begitu juga syaitan akan menunggu untuk makan bersama tuan rumah apabila dihidangkan makanan tetapi apabila tuan rumah menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan tidak dapat makan bersama. 

Ada pun orang yang masuk ke rumahnya tanpa menyebut nama Allah maka syaitan yang menunggu itu akan memanggil syaitan-syaitan yang lain supaya masuk bersama ke dalam rumahnya dan apabila tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika makan maka syaitan akan memanggil syaitan-syaitan yang lain untuk makan beramai-ramai bersama tuan rumah dan makanan yang dimakan bersama syaitan itu adalah tidak berkat. 

Ada pun kaifiat kelakuan makan syaitan itu adalah sesuai mengikut tabiat kejadiannya. 

Dan apabila masuk syaitan ke dalam rumah seseorang maka dihasutnya isi rumah itu kepada melakukan dosa dan perkara sia-sia. 

Dan yang afdhal ketika hendak masuk ke dalam rumah ialah membaca doa yang diajar oleh Rasulullah saw iaitu :

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Malik Al-As’ary r.a. katanya Rasulullah saw telah bersabda :

 إِذَا وَلَجَ الرَّجُلُ بَيْتَهُ، فَلْيَقُلْ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلَجِ ، وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ بِسْمِ اللَّهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللَّهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى اللَّهِ رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا، ثُمَّ لِيُسَلِّمْ عَلَى أَهْلِهِ 

Artinya : “Apabila masuk seseorang ke dalam rumahnya maka bacalah : Ya Allah aku memohon kepada Mu akan masuk yang baik dan keluar yang baik. Dengan nama Allah kami masuk dan dengan nama Allah kami keluar dan atas Allah Tuhan kami yang kami berserah. Kemudian hendaklah dia memberi salam atas keluarganya di dalam rumah.” 

Kesimpulan 

Disunatkan ketika hendak masuk seorang ke dalam rumahnya membaca Bismillah sekurang-kurangnya kemudian memberi salam dan apabila hendak makan membaca juga sekurangnya akan Bismillah. 

Rumah yang tidak disebut nama Allah ketika masuk akan di masuki sama oleh syaitan. 

Hidangan yang tuan rumah tidak menyebut nama Allah ketika memakannya akan turut dimakan oleh syaitan. 

Wallahua’lam

Thursday, 24 September 2020

10 Sebab murah rezeki

foto hiasan (sumber)


1. Iman 

"Sekiranya penduduk suatu negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami (Allah) bukakan kepada mereka pelbagai keberkatan dari langit dan bumi" (al-A'raf; 96).

2. Takwa 

"Sesiapa bertakwa kepada Allah, Dia akan memberinya jalan keluar (dari kesulitan) dan memberi rezki kepadanya dari arah yang tidak disangkanya" (Al-Talaq; 2 & 3). 

3. Istighfar 

"Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Dia akan menurunkan hujan yang lebat dari langit kepada kamu, dan Dia akan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu serta menjadikan untuk kamu kebun-kebun tanaman dan sungai-sungai" (Nuh; 10-12). 

4. Silaturrahim

Sabda Nabi saw; "Sesiapa ingin dilapangkan rezki dan dipanjangkan usia, huhungkanlah silaturrahim" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Doa

Allah berfirman (dalam hadis Qudsi): "Wahai hamba-hambaKu, kamu semua adalah kelaparan kecuali orang yang Aku beri makan, maka mohonlah makanan dariKu, nescaya Aku akan beri kamu makanan" (Riwayat Muslim).

6. Infak

"Apa yang kamu infakkan dari suatu harta, Allah akan menggantinya, dan Dialah sebaik-baik pemberi rezeki" (Saba'; 39). 

7. Usaha sendiri

Ditanya kepada Nabi saw; apakah perolehan terbaik? Baginda menjawab; hasil usaha tangan sendiri dan perniagaan yang mabrur (Riwayat al-Bazzar & al-Hakim). 

8. Berniaga

Hadis di atas dan sabda Nabi saw; "Hendaklah kamu berniaga kerana 9/10 rezki adalah dalam perniagaan" (Riwayat Ibnu Abi al-Dunya, mursal, dhaif).

9. Bersyukur 

"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku (Allah) akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu". (Ibrahim; 7).

10. Nikah

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui" (al-Nur; 32). 

#Mutiara Al-Quran dan Sunnah

Thursday, 17 September 2020

ADAB MEMANGGIL TUAN RUMAH

SOALAN : 

Saya ada dengar kalau pergi ke rumah orang kita hanya boleh beri salam sebanyak tiga kali sahaja. 

Soalan saya apakah haram kalau beri salam lebih dari tiga kali? 

JAWAPAN : 

Hukum memberi salam sebanyak tiga kali ketika ziarah ke rumah seseorang itu adalah sunat hukumnya. Jika tetamu itu memberi salam lebih dari tiga kali maka tidaklah haram hanya sunat yang sebanyaknya ialah tiga kali sahaja. Selepas tiga kali memberi salam tuan rumah masih tidak menjawabnya maka eloklah pulang dahulu dan datang semula pada waktu yang lain. 

Tersebut pada kitab Al-‘Aziz :

 وإذا قصد باب إنسان وهو مغلق، فالسنة أن يسلم، ثم يستأذن فيقول: السلام عليكم، أأدخل، فإن لم يجبه أحد، أعاد ذلك ثانياً وثالثاً، فإن لم يجبه أحد، انصرف 
Artinya : “Dan apabila seorang hendak pergi ke rumah seseorang dan pintunya tertutup yakni tuannya tidak ada di luar maka yang sunnah ialah memberi salam kemudian meminta izin untuk masuk seperti dikatanya : Assalamualaikum. Bolehkah saya masuk? Maka jika tuan rumah tidak menjawab hendaklah dia ulangi salam yang kedua dan ketiga. Maka jika tidak dijawab juga salamnya maka bolehlah dia pulang.” (Kitab Al-‘Aziz Syarah Al-Wajiz) 

Ada pun jika sangat perlu berjumpa dengan tuan rumah atau seumpamanya maka tidak mengapa diteruskan memberi salam lebih dari tiga kali. 

Tersebut pada kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah :

 آدَابُ الاِسْتِئْذَان ِ: إِذَا اسْتَأْذَنَ عَلَى إِنْسَانٍ، فَتَحَقَّقَ أَنَّهُ لَمْ يَسْمَعِ الاِسْتِئْذَانَ، فَلَهُ أَنْ يُكَرِّرَ الاِسْتِئْذَانَ حَتَّى يَسْمَعَهُ. أَمَّا إِذَا اسْتَأْذَنَ عَلَيْهِ فَظَنَّ أَنَّهُ لَمْ يَسْمَعْ، فَقَدْ ذَهَبَ الْجُمْهُورُ إِلَى أَنَّ السُّنَّةَ أَلاَّ يُكَرِّرَ الاِسْتِئْذَانَ أَكْثَرَ مِنْ ثَلاَثِ مَرَّاتٍ. وَقَال مَالِك ٌ: لَهُ أَنْ يَزِيدَ عَلَى الثَّلاَثِ، حَتَّى يَتَحَقَّقَ سَمَاعَهُ 
Artinya : “Adab-Adab meminta izin. Apabila seorang meminta izin untuk masuk ke rumah seseorang dan yakin ia tidak didengar oleh tuan rumah maka harus dia mengulangi meminta izin sampailah didengar. Ada pun jika berat sangkaannya tidak didengar maka jumhur ulamak berpendapat sunat tidak diulangi minta izin itu lebih dari tiga kali. Dan berkata Imam Malik dia boleh melebihkan dari tiga kali meminta izin sampailah yakin didengari

Wednesday, 9 September 2020

Belajor loghat Pahang (3)

 Assalamualaikum warahmatullah.

Semalam mencatatkan kes penularan pandemik covid-19 sebanyak tiga angka. Jika kondisi begini berterusan, tidak mustahil pihak kerajaan akan menguatkuasakan kembali PKP. Apa pun marilah kita semua berdoa agar keadaan ini tidak berlarutan. Dan dalam masa yang sama marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata. 


Contoh ayat : Keh dah kabor kan.. kala nok turun tangga ter... turun la memolek.. jangan nok buat 'cat walk' pulok... Sekali tersempat anok tangga te, jatuh terjerembok cenggini... habih la muka...


Contoh Ayat : Pepalih aok... Keri amat aok nengok duit belabok gitume... sampei nok terjeluo biji mate... Yer la... orang tua pon keri jugek kala duit bertambun gitu... Tak ketahuan nok buat mende dah...


Contoh ayat : Weeehhh dimeh.. Mat nyer condir ngat nyer letok bekas ikan te? Eeee... coper ngat duduknyer... Serio bulu tengkok keh nengok nyer.. Buatnyer ikan dalam te, nyer bantei menggelatat pulok karang.... mboh belempung ke bawoh.....


Contoh ayat :  Alahai Tipoh... Kala nak letok gambo dalam pesbuk tu, letok la gambo memolek sikit... tak payoh la letok gambo yak terjuih-juih, temuncung-muncung gitu... dah serupa beruk orang nengok.....


Contoh ayat : Ingatkan handei ngat belake... sekali beruang jerkoh, menciput lari... bebadi sape laju la... lambat nasib la...

Ok, nanti kita sambung lagi..



    

Sunday, 6 September 2020

Potret hari minggu (060920)

Anakanda Haikal cukup obses dengan air. Selagi tidak disuruh naik, biarpun sudah merah mata, sampai ketar-ketar bibirnya, makin seronok dia berendam. Tak apalah, asalkan dia gembira, kami pun turut gembira.

Air adalah khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Ia juga adalah sumber kehidupan. 

"..dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (al-anbiya': 30)

Semoga air bersih akan sentiasa 'hidup' untuk kita semua nikmati..