Sahabat Sejati

Tuesday 30 January 2018

Gembiranya anakanda Haikal


Meleret senyum 'sikecil Haikal yang istimewa' tatkala dipakaikan cermin mata barunya, seraya menunjukkan ibu jari 'bagus'. Saya yang berada di sebelah turut tersenyum lalu membalas menunjukkan ibu jari ke atas. Cermin mata yang sedia ada sudah tidak sesuai untuk digunapakai kerana beberapa sebab. 

Selain daripada kondisi cermin mata tersebut yang sudah tidak secocok dengan fizikal wajahnya yang semakin membesar, turut menjadi sebab ia perlu ditukar ialah kerana 'power' kantanya sudah tidak sesuai dengan perkembangan anak matanya. Demikanlah nasihat sang perawat pakar yang menjalankan pemeriksaan tempohari. 

Seingat saya cermin mata lama ini sudah digunakan oleh anakanda Haikal sejak tahun 2011. Sudah ada calar-calar pada kedua-dua belah cermin kantanya. Tentu ia akan membataskan jarak penglihatannya. Keputusan diambil, 'wajib' tukar!

Kanta lekap

Sebelum memakai cermin mata, 'sikecil Haikal yang istimewa' menggunakan kanta lekap. Dek kerana keadaannya yang masih kecil lagi ketika itu, doktor menyarankan menggunakan kanta lekap.

"Itu yang lebih sesuai daripada cermin mata." Kata doktor pakar tersebut.

Saya dan Ummu Ikhwan menurut sahaja yang apa terbaik. Doktor pakar lebih tahu daripada kami berdasarkan ilmu yang dipelajari di dalam bidangnya. Cuma kami pula yang menghadapi banyak masalah. Sudah betul nak menjaga dan mengurus pemakaian kanta lekap ini terhadap anakanda Haikal.

Sebelum memakaikan kanta lekap pada mata si Haikal, tangan perlu dibersihkan, begitu juga kanta lekap dicuci dengan pencucinya. Kemudian barulah boleh dipakaikan dengan berhati-hati. Pakai pula tidak sepanjang hari, cuma dalam beberapa jam sahaja. Terutama waktu tidur, mesti ditanggalkan. Penat. 

Pernah beberapa kali kanta lekapnya tertanggal sebelah tanpa disedari. Mungkin jatuh semasa dia menggosok-gosok matanya. Kelam-kabut juga. Puas menelek, akhirnya ketemu di atas lantai. Sampailah satu masa, akhirnya hilang terus tidak bertemu lagi, mahu tidak mahu terpaksa tempah yang baru.  

Setelah si Haikal besar sedikit, barulah doktor membenarkan memakai cermin mata. Terpaksalah (bukan terpaksa dalam erti kata yang sebenar) mengeluarkan RM..RM..RM kerana power kantanya sangat tinggi.  Padanlah dengan harganya.

Tidak mengapalah, bayar lebih sedikit kerana di fikiran saya memakai cermin mata tidaklah serumit memakai kanta lekap dalam aspek menjaganya. Cuma kadang-kadang terbit juga perasaan segan apabila ada orang yang terkejut dengan mimik muka, seraya menegur dengan suara yang agak kuat betapa tebalnya kanta cermin mata anak saya ini.

Namun demikian, itu dulu. Perasaan dulu-dulu. Sekarang tidak lagi, seupaya saya tepis perasaan segan tersebut dengan mengingatkan 'sikecil Haikal yang istimewa' adalah satu anugerah. Ya, satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Satu anugerah..   

3 comments:

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz,akak dpt bayangkan betapa sukarnya nak mengolahkan anak kecil memakai kanta lekap.Yalah kalau dah cicir benda tu kecil tentunya sukar nak cari .
Ceria nmpk Haiqal dgn cermin mata baru nya.
Anak akak Azim tu pun cermin mata dia tebal sebelah...itupun di balance kan walaupun mata sebelah dia memang xnmpk disebabkan lazy eye.Menurut pakar kedua mata nya memang bermasalah sejak lahir ...mujorlh sebelah tu sikit je.

Nor Azimah Ali said...

Dah besar nampaknya Anakanda haikal tu.
Tak dpt bayangkan kesukaran Masa guna kanta lekap tu, tabahnya ustaz dan isteri Kan.
Semoga anak syurga ni benar2 menjadi jambatan ke syurga buat ibuayahnya.

Hans Hanis said...

saya sampai sekarang xberanni pakai kanta lekap
hehehe

Post a Comment