'Ummi tak sempat masak hari ini, jadi kena pergi bazar Ramadhan cari kuih...'
Ketika artikel ini dicoret, hujan dari langit Ilahi mencurah-curah membasahi bumi. Sesekali kilat memancarkan cahayanya berserta guruh yang bergaung di udara. Hujan rahmat, hujan rahmat, benak sentiasa memikirkan demikian.
Hari ini sudah pun masuk 11 Ramadhan. Ini juga menandakan sudah 11 hari kita semua menjalani ibadat puasa. Laju benar hari yang berganti. Kadang-kadang serasa diri jauh tertinggal di belakang dek lajunya masa yang bergulir. Apa pun, moga ibadat puasa yang dikerjakan sehingga hari ke 11 ini sedikit sebanyak mampu menjana kebaikan dan ketaqwaan kepada-Nya. Manakala hari yang berbaki kita penuhi dengan sebaiknya serta makin meningkatkan lagi kualiti setiap ibadah yang dilakukan. Aamiin.
Dalam keasyikan melayani hujan yang bingit menerjah atap, tiba-tiba ingatan menerpa lantas menerjah pada kenangan lebih 3 dekad yang lalu. Memori berputar umpama mesin masa dan saya melayaninya dengan rakus. Teringat ketika mula-mula belajar berpuasa sekira-kira usia 7 tahun dahulu. Jenuh menunggu waktu berbuka. Masa dirasakan bergerak terlalu perlahan. Sekejap-sekejap saya melihat jam loceng yang sentiasa dikelek di tangan. Malahan jarum jam umpama tidak bergerak lagaknya. Teringat kata abang dan kakak, jangan selalu tengok jam nanti masa menjadi lambat, kalau tidak tengok sekejap sahaja masa berlalu. Hmm, tersenyum sendirian saya mengingatkan imbasan memori tersebut. Seperti ada kebenarannya.
Ada masanya akibat tidak tahan, saya merengek dan merayu kepada bonda menyatakan rasa lapar dan dahaga. Bonda dengan lembut memujuk sambil bercerita tentang keseronokan berbuka puasa. Bukan keseronokan yang dibuat-buat, tetapi keseronokan yang dikurniakan Allah SWT bagi setiap mereka yang berpuasa. Keseronokan berbuka puasa kerana hidangannya mungkin lebih pelbagai. Keseronokan yang lebih ketara adalah kerana makan bersama seisi keluarga, serta makan dengan sebenar-benar lapar dan dahaga.
Di tengah beranda rumah pusaka ayahanda, seringkali saya merebahkan badan. Berbekalkan sebiji bantal ‘busuk’ serta jam loceng di tangan, saya melayani perasaan sambil mengharapkan mata terpejam. Tidur adalah salah satu cara untuk melupakan keletihan serta lapar dan dahaga, lazimnya begitu. Tetapi jika perut lapar pun susah juga mahu melelapkan mata. Ada ketikanya setelah selesai memasak, bonda akan turut sama menemani saya di beranda. Sambil lembut mengusap kepala saya, mulut bonda galak bercerita. Bermacam-macam kisah yang diriwayatkan agar saya terlupa pada rasa lapar dan dahaga. Seringkali juga saya tertidur di ribaan bonda. Sangat manis tatkala mengenangkannya.
Apabila saya melihat zaman ini. Mudahnya ibu bapa memujuk anak-anak untuk belajar berpuasa. Hulurkan sahaja gajet yang penuh dengan berbagai permainan bagi melekakan anak-anak daripada rasa lapar dan dahaga. Habis cerita. Itulah diantara yang dapat saya lihat dikalangan sahabat-sahabat saya. Senyum.
1 comments:
Zaman berubah, maka segalanya ikut berubah..
Zaman kita belajar puasa masa kecik2 dulu di kampunglah terutamanya, mmg sangat seronok, sempat je Mandi sungai, bila mak dah siap masak boleh plak tolong menghantar juadah berbuka ke rumah jiran, lebih seronok dpt plak juadah dari jiran, paling to boleh lupa kenangan menipu mak, kononnya puasa padahal dah teguk air kolah masjid.😂
Post a Comment