Sahabat Sejati

Monday, 9 January 2017

Berilah yang baik-baik, jika kita juga suka yang baik-baik

Seorang petugas YAMCP menunjukkan 'sumbangan' yang terpaksa dibuang

Saya bertanya kepada sahabat yang bertugas: "Tidakkah orang yang memberi ini mempunyai jiwa dan perasaan?" 

Kadang-kadang saya berasa 'malas' untuk menerima sumbangan barang keperluan berupa pakaian terpakai. Bukannya apa, 'jelak' dengan mentaliti segelintir (diulangi: segelintir) rakyat Malaysia. Tuduhan saya ada asasnya setelah terlibat dalam kerja-kerja amal. Saya melihat apa yang saya sungutkan tatkala mengendalikan sumbangan-sumbangan berupa pakaian terpakai. 

Saya tidak nafikan kecaknaan rakyat Malaysia terhadap kesusahan orang lain, dan ia benar-benar mengharukan. Apabila 'dicanangkan' kutipan derma atau infaq, maka berduyun-duyun datang untuk turut sama menghulurkan sumbangan. Tidak kira sumbangan dalam bentuk wang ringgit, buku-buku, ubatan serta pakaian terpakai. Sangat baik sikap simpati dan empati dalam membantu orang lain. Saya memuji dalam perkara ini. 

Namun dalam begitu, ada juga cacatnya. Sebenarnya saya mempunyai banyak pengalaman mengutip pakaian terpakai. Sejujurnya, dalam keghairahan menderma ada juga mengambil kesempatan 'membersihkan rumah' mereka, ada yang mendermakan pakaian yang sangat buruk termasuk seluar yang tiada berzip serta coli yang terpakai yang kadang-kadang pin penyangkutnya pun tiada (maafkan saya). Terpaksalah para petugas mengasing dan memilih semula pakaian-pakaian yang akan dihantar ke pusat pengumpulan. 

Rupanya dalam kesantunan dan kemurahan orang kita terselit juga perangai hodoh dalam menderma.(tidak semua) Pengalaman-pengalaman yang dialami membenarkan apa yang saya katakan. Hati saya terguris, jika pakaian buruk yang disumbangkan, jujurkah sikap kita dalam menderma? Soalan ini tidak perlu dijawab, tetapi untuk kita sama-sama fikirkan. Tepuk dada tanya iman. 

Langit tidak selalu cerah. Sesekali mendung mencelah memuramkan cuaca. Hari ini orang lain ditimpa kesusahan dan kita mempunyai kewajipan untuk membantu, lebih-lebih lagi jika ia adalah sesama muslim. Kita tidak tahu dengan hari yang mendatang, bila pula kita akan susah. Tanyalah di dalam diri, seronokkah kita jika di saat susah dan ditimpa musibah, bantuan yang diterima sekadar melepaskan batuk di tangga, seumpama kejadian menderma pakaian terpakai. 

Tetapi saya tidak menuduh semua begitu. Ada yang bersungguh dan menginfaqkan dengan yang baik-baik. Itu tidak mungkin saya nafikan. Kepada mereka yang begitu saya ucapkan syabas, moga Allah SWT melipatgandakan rezeki anda semua. Istiqamah dengan apa yang anda lakukan....Allahu al-Musta`an. 

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92) 

**Sekadar perkongsian

2 comments:

Kakzakie Purvit said...

Sungguh... sebaiknya jika mahu memberi, berilah yg masih elok. Sedangkan selalu diingatkan ganjaran memberi apa yg disayang itu lebih tinggi darjatnya. Kalau beri yg kita dah tak suka/nak buang baik fikirlah beribu kali.

paridah said...

Assalam ustaz moga sht sjhtra sekeluarga..niat hendak memberi sesuatu biarlah seiring dgn kebaikan apa yg hendak diberi barulah sempurna n beroleh ganjaran Allah yg berganda-ganda keberkatannya.

Post a Comment