Sahabat Sejati

Tuesday, 22 June 2010

Tatkala hujan turun

Kesan pemanasan global..?? Mungkin. Atau kifarah dosa-dosa semalam. Jika benar, ucapan keampunan kami semua pohonkan.

Cuaca sejak kebelakangan ini lain macam rasanya. Agak panas, terik dan memeritkan. Di rumah kipas berputar hampir 24 jam. Selepas mandi pun badan masih berpeluh, meruap-ruap. Terasa seperti tidak mahu keluar dari bilik air atau pun terasa mahu berendam sahaja di dalam kolah. Agar hilang rasa panas yang meresahkan. Rakan-rakan di tempat kerja juga mengeluh, “panasnya.” Ada juga yang sempat memberi tazkirah secara lawak: “Ala! baru panas kat dunia, kat sana lebih lagi...”

Panasnya...

Mencari damai penyejuk diri

Hujung minggu saya mencari ketenangan hati. Membawa keluarga pulang ke kampung yang sememangnya mendamaikan. Yang paling gembira adalah anak-anak. Dapat berlari di halaman hijau, mengejar ayam di bawah rumah serta bergayut di dahan ceri yang merimbun subur di hadapan rumah bonda, sambil mata melilau, mengintai buahnya yang sudah masak. Saya turut menumpang rasa gembira anak-anak, si ahli fitrah.

Allah jua yang tahu betapa damainya hati saya. Pulang ke rumah papan, rumah yang menyimpan 1001 rahsia suka duka kehidupan. Rumah tempat saya dibesarkan, meniti hari menuju usia matang. Lebih-lebih lagi dapat bertemu dan mencium tangan bonda. Jiwa saya begitu damai sekali di dalam pelukan bonda. Sejuk hati saya bersama sejuknya curahan hujan yang turun pada petang itu.

Alhamdulillah petang ini hujan. Mencurah-curah menyirami bumi yang sekian lama kering. Bunyi berdetap hujan menarik perhatian saya. Terasa seperti sudah lama saya tidak mendengar bising hujan menimpa atap zink. Biarpun membingitkan telinga tetapi bagi saya ia bagaikan irama yang mengasyikkan.

Saya segera beredar ke jendela, melepaskan pandangan ke arah padang hijau yang luas di hujung jalan. Memerhatikan rintik-intik hujan yang menimpa bumi. Hujan dari cucur atap memercik ke wajah, saya biarkan. Perlahan-lahan fikiran saya menerawang, terimbau kenangan lalu. Kenangan di zaman kanak-kanak yang penuh dengan kemanisan. Hujan bagaikan sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

Mandi hujan!

Kenangan masih basah

Saya masih ingat, betapa saya suka mandi hujan di zaman kanak-kanak dahulu. Kumpulan kami ramai. Berlari menendang bola di halaman rumah bonda. Halaman yang dulu di rasakan cukup luas. Tetapi sekarang terasa semakin sempit. Entahlah, mungkin saya yang semakin membesar.

Kemudian kami berlari dan sengaja menyungsur merebahkan badan dalam lopak-lopak air yang bertakung. Habis badan dan pakaian diselaputi air tanah. Masing-masing ketawa kelucuan. Setelah penat, kami bertolakan berebut mandi di bawah cucuran atap. Kadang-kadang kami mengayuh basikal beramai-ramai di dalam hujan menjelajah seluruh pelusuk kampung. Pakcik dan makcik yang sedang berehat di beranda menggeleng kepala melihat gelagat kami.

Ahh..sungguh indah mengingatkan saat-saat itu.

Saya pernah bercerita dengan seorang sahabat, “seronoknya zaman kanak-kanak dulu tiap kali hujan turun, mesti mandi hujan. Tapi sekarang saya dah tak jumpa budak-budak yang mandi hujan. Mungkin ibu bapa melarang kerana takut demam. Tapi saya dulu selalu mandi hujan, tak demam pun.”

“Zaman dulu tak macam zaman sekarang.” Jawab sahabat.

“Apa yang bezanya.”

“Budak-budak dulu tahan lasak, masuk hutan, masuk paya, panjat bukit dan macam-macam lagi. Lagipun hujan sekarang hujan berasid agaknya, itu yang ibu bapa bimbang dan tak benarkan anak-anak mandi hujan. Kalau demam kena pergi ke klinik keluar duit lagi, dan tak boleh ke sekolah, tak ke sekolah tak dapat belajar, tak belajar nanti tak lulus periksa pula,” kata sahabat saya. Ada maksud yang tersirat disebalik kata-katanya.

Saya terdiam. Kata-kata sahabat saya itu mematikan perbualan kami.

Mandi hujan. Itulah di antara permainan kami dahulu dan cara kami beriadah. Termasuk juga permainan bedil buluh, gasing, layang-layang, konda-kondi, ting-ting dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakan permainan dahulu semuanya dalam bentuk berjemaah. Ada komunikasi ada interaksi. Ada yang sampai berbalah. Tetapi hanya sekejap sahaja. Jiwa kanak-kanak, jiwa fitrah, sebentar sahaja panasnya Selepas itu melastik burung bersama semula.

Begitu juga dengan alatan permainan semuanya di hasilkan mengikut kreativiti sendiri. Sungguh berbeza dengan permainan sekarang. Semuanya berbateri dan berskrin, ada PS2, PSP dan sebagainya. Yang menyebabkan si pemainnya terpisah dengan persekitaran. Hanya dengan dunia mereka. Aku..aku, kamu..kamu.

Nostalgia yang ditinggalkan

Hujan belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, walaupun sudah teduh sedikit. Nostalgia lalu masih sarat bersarang di minda. Mata saya berkaca. Perlahan-lahan saya mengesat pelupuk mata yang bergenang tidak semena-mena. Sudah jauh kenangan itu ditinggalkan.

“Apa yang dimenungkan tu? Jauh benar nampaknya,” tiba-tiba isteri saya menegur dari belakang. “Mari ke hadapan, minum petang, Noni dan emak ada buatkan kuih,” sambungnya lagi.

“Tak ada apa-apa, tengok hujan seronok juga rasanya,” saya menjawab. Saya kira itulah jawapan yang mampu saya ucapkan.

Hujan sudah beransur reda. Titik-titik hujan masih berdetap di atas bumbung. Lamunan saya mati di sapa kesayuan, saya segera menuju ke dapur dengan kepala yang sarat berisi kenangan. Indahnya kenangan itu...

Kenangan demi kenangan
Tidak mampu untuk ku lupakan
Tali air, paya, sawah dan ladang
ku jelajahan ku teroka bersama teman

Namun kini semua itu tinggal kenangan
Satu demi satu hilang dari kehidupan
Semakin jauh jarak masa perjalanan
Semakin jauh nostalgia ditinggalkan

Ingin rasanya jika dapat ku ulang
Buat pengubat rindu hati dan perasaan.

0 comments:

Post a Comment