Sahabat Sejati

Sunday, 8 March 2026

Jangan kita sia-siakan peluang..

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di dalam Ramadan berlalu dengan begitu diam. Tidak berbunyi, tidak juga terasa derap langkahnya. Tiba-tiba sahaja kita tersedar.. hari ini Ramadan telah pun memasuki hari yang ke-18. 

Seakan baru semalam kita menyambut kedatangannya dengan rasa syukur dan harapan. Namun masa tidak pernah berhenti. Ia terus berjalan, membawa bersama hari-hari yang semakin berkurang daripada bulan yang penuh keberkatan ini. 

Mudah-mudahan Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk meniti baki Ramadan yang masih tersisa. Mudah-mudahan setiap amal yang kecil, setiap doa yang kita titipkan di hujung malam, setiap istighfar yang terbit dari hati yang penuh kekurangan, diterima oleh-Nya sebagai bekalan yang berharga. 

Namun di celah-celah keheningan Ramadan ini, hati kadangkala tersentuh mengenang mereka yang telah pergi lebih dahulu. 

Ada yang meninggalkan dunia ini sebelum sempat menyapa Ramadan kali ini. Ada juga yang melalui Ramadan yang lalu tanpa pernah menyangka bahawa itulah Ramadan terakhir dalam hidup mereka. 

Tahun lalu mereka masih bersama kita, duduk di saf yang sama ketika tarawih, berbuka di meja yang sama, atau sekadar bertanya khabar di penghujung petang. 

Hari ini, mereka sudah berada di alam yang berbeza. 

Hanya doa yang mampu kita kirimkan. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada mereka, melapangkan kubur mereka, dan menempatkan mereka dalam reda serta kasih sayang-Nya. 

Dan kita yang masih diberi kesempatan ini.. perlahan-lahan bertanya kepada diri sendiri. 

Bagaimana dengan kita? 

Siapa yang dapat memastikan bahawa kita akan sempat sampai ke penghujung Ramadan ini? Siapa juga yang mampu menjamin bahawa Ramadan tahun hadapan masih menjadi milik kita? 

Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita.. tanpa kita sedari. 

Atau mungkin juga kita tidak sempat menghabiskannya, kerana ajal terlebih dahulu menjemput sebelum bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya. 

Sebab itu, selagi nafas masih di dada.. selagi malam-malam Ramadan masih terbentang.. selagi pintu rahmat dan keampunan masih terbuka.. 

Jangan kita sia-siakan peluang yang sedang Allah hamparkan ini. 

Kerana mungkin.. di antara Ramadan yang pernah kita lalui sepanjang hidup ini, inilah yang terakhir.