Sahabat Sejati

Sunday, 11 July 2021

Pembahagian yang afdhal bagi daging korban

foto hiasan ~ sumber

Allah SWT telah mensyariatkan ibadah korban kepada golongan yang berkemampuan untuk melaksanakannya. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan firman Allah SWT:

 فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ 

 Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). 

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik ra: 

 كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ 

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi saw melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing. Hadith riwayat al-Bukhari: (5233) 

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2:478) 

Selain itu, daging korban itu wajib untuk disedekahkan kepada golongan fakir dan miskin dalam kalangan orang Islam berdasarkan firman Allah SWT:

 فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ 

Maksudnya: Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin. (Surah al-Hajj: 28) 

Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban. 

Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

 فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنة بِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا 

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda saw memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. Hadith riwayat Muslim: (1218) 

Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya: 

1. Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin. 

2. Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya. 

3. Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485) 

Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485) 

Oleh itu, al-Sheikh Muhammad Bin Ahmad al-Syathiri di dalam kitab Syarh al-Yaqut al-Nafis, mengatakan bahawa:

 وَالأَفْضَلُ فِي الضَحِيَّةِ المَسْنُونَةِ : أَن يَتَصَدَّقَ بِأَكْثَرِهَا وَيَبْقَى لَهُ قَلِيلًا للبَرَكَةِ 

Maksudnya: Adapun yang afdhal bagi pembahagian sembelihan korban yang sunat ialah dengan memberi sedekah sebahagian besar daripadanya dan meninggalkan sedikit untuk dimakan sebagai mengambil berkat daripadanya. (Rujuk Syarh al-Yaqut al-Nafis: 826) 

Kesimpulan 

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya. 

Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. 

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah dalam mengamalkan syariat agama-Nya dengan sebaiknya. Amin. WaAllahu a’lam.

(Rujukan: Irsyad Fatawa)

Wednesday, 7 July 2021

Pada seekor kambing

Foto hiasan

Jabir bin Abdillah meriwayatkan, suatu hari Rasulullah saw bersama para sahabat memetik buah di Marru Zahran iaitu kawasan lembah sekitar 8 kilometer dari Makkah, arah ke Madinah. 

Buah yang dipetik dikenali sebagai buah kabath (كباث). Rupanya seperti buah tin. Ia adalah makanan untuk unta dan kambing. Tetapi tika terdesak, manusia pun makan juga buah ini. 

Dikatakan peristiwa ini berlaku pada zaman awal dakwah baginda. Umat Islam ditindas dan ditekan. Hidup susah. Maka buah kabath ini jadi makanan kepada mereka. 

Sambil para sahabat memetik buah berkenaan, Rasulullah saw bersuara,

 عليكم بالأسْوَدِ منه؛ فإنَّه أَطْيَبُهُ 

"Petiklah buah yang berwarna hitam kerana itulah yang paling baik." 

Para sahabat kehairanan, bagaimana baginda tahu tentang buah itu mana yg baik mana yang kurang. Biasanya buah ini hanya dikenali oleh pengembala kambing dan penghuni padang pasir sahaja. 

Lalu mereka bertanya," Ya Rasulullah adakah tuan pernah memelihara kambing?" 

Baginda lantas menjawab:

 وهلْ مِن نَبِيٍّ إلَّا وقدْ رَعَاهَا 

"Tiadalah seorang nabipun melainkan semuanya membela kambing." 

Dalam riwayat Abu Hurairah, baginda bersabda:

 ما بَعَثَ اللَّهُ نَبِيًّا إلَّا رَعَى الغَنَمَ، فقالَ أصْحابُهُ: وأَنْتَ؟ فقالَ: نَعَمْ، كُنْتُ أرْعاها علَى قَرارِيطَ لأهْلِ مَكَّةَ. 

"Tiadalah Allah mengutus seseorang sebagai nabi melainkan dia memelihara kambing." 

Sahabat bertanya, "Tuan juga?" 

Baginda menjawab, "Ya. Aku juga pernah memeliharanya dengan mengambil upah dari penduduk Makkah." 

Hadis ini menjelaskan bahawa kesemua nabi yang diutuskan Allah pasti melalui pengalaman memelihara kambing. 

Kalau sudah semuanya, menunjukkan ia bukan satu kebetulan. Bukan sekadar hobi. 

Tetapi ia adalah tarbiyah ilahiyah untuk melatih mereka dengan suatu aktiviti mencabar dan bermanfaat untuk menghadapi cabaran dakwah. 

Pasti ada suatu yang istimewa pada kambing. 

Beberapa kurun sebelum itu, moyang baginda telah mencatat sejarah menunaikan korban dengan menyembelih kambing atau kibasy di Mina. 

Nabi Ibrahim alaihissalam dianugerahkan binatang sembelihan itu setelah lulus ujian dan terbukti ketaatannya menunaikan perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail. 

Lebih awal daripada itu sejarah mencatatkan manusia pertama yang mengorbankan kambing ialah anakanda Nabi Adam alaihissalam iaitu Habil. 

Dia dan abangnya Qabil, diperintahkan Allah supaya berkorban untuk menentukan siapa yang diterima  korbannya. 

Qabil hanya memberikan hasil tanamannya berupa sayur (gandum) yang tidak berkualiti. 

Sedangkan Habil memilih ternakannya yang paling gemuk berupa seekor kambing untuk dipersembahkan kepada Allah. 

Ternyata korban kambing dari Habil diterima Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 27 bermaksud, “Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil):” Sesungguhnya aku akan membunuhmu!”. (Habil) menjawab: “Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.”.

Semoga musim korban yang bakal tiba seminggu dua lagi, tidaklah ada di antara kita yang korbankan sayur kangkung dan bayam sahaja.

Saturday, 3 July 2021

Korban buat orang yang telah meninggal dunia

Permasalahan mengenai korban buat si mati adalah permasalahan yang diperselisihkan oleh para fuqaha’. Di dalam permasalahan ini, terdapat beberapa pendapat, antaranya: 

Pertama: Dibolehkan untuk melakukan korban buat si mati dan sampai pahalanya juga buat si mati. Ini adalah pendapat jumhur ahli ilmu yang merangkumi al-Hanafiyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan sebahagian al-Syafi’ieyyah. 

Ini berdasarkan sebuah hadith dari ‘Aisyah R.Anha yang mana meriwayatkan bahawa Rasulullah saw ketika menyembelih menyebutkan: 

 بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ 

Maksudnya: Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad. Riwayat Muslim (1967) dan selainnya. 

Umum mengetahui bahawa dikalangan umat Muhammad saw itu ada yang telah meninggal dunia dan Baginda saw menjadikan sembelihannya itu untuk umatnya dan ini menjadi dalil bagi keharusan untuk melakukan korban bagi orang yang telah meninggal dunia. 

Al-Kasani Rahimahullah menyebutkan: “dari sudut istihsannya bahawa kematian bukanlah penghalang untuk taqarrub. Dalilnya adalah dibenarkan untuk bersedekah buat si mati dan juga menunaikan haji buatnya dan telah sahih daripada Nabi SAW bahawa Baginda saw telah melakukan sembelihan korban dengan dua ekor kibasy yang mana satunya untuk Baginda saw dan baki satunya untuk umat Muhammad yang tidak melakukan korban dan sesungguhnya ada dikalangan umat Muhammad saw itu yang telah mati dan tidak sempat melakukan korban maka ini menunjukkan bahawa orang yang telah mati boleh bertaqarrub dengannya (melalui ibadah korban)..” [Lihat Bada’i al-Sana’i, 5/72] 

Seterusnya Ibn ‘Abidin Rahimahullah menyebutkan: “Siapa yang melakukan korban bagi si mati maka lakukanlah sepertimana dia melakukan korban buat dirinya sendiri daripada sedekah dan makan. Adapun pahala untuk si mati dan pemilikan untuk si penyembelih”. [Lihat Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/326] 

Daripada Hanabilah pula menyebutkan: “Sembelihan korban buat si mati adalah afdhal daripada yang hidup kerana yang mati itu memerlukan kepada ganjaran pahala dan lakukan (sembelihan) sepertimana untuk yang hidup dari segi makan, sedekad dan hadiah”. [Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/472] 

Kedua: Makruh hukumnya melakukan korban buat si mati. Ini adalah pendapat al-Malikiyyah. Al-Kharshi Rahimahullah menyebutkan: “Dimakruhkan bagi seseorang melakukan korban buat si mati kerana takut akan riak dan bermegah-megah dan juga tidak warid perbuatan dalam perkara itu, dan ini sekiranya tidak disediakan oleh si mati dan sekiranya tidak maka si waris boleh melakukannya”. [Lihat Syarh Mukhtasar al-Khalil, 3/42] 

Ketiga: Tidak boleh melakukan korban buat si mati melainkan ianya telah diwasiatkan oleh si mati sebelum kematiannya. Ini adalah pendapat al-Syafi’ieyyah yang mana al-Imam al-Nawawi Rahimahullah menyebutkan: “Dan tidaklah disembelih bagi orang lain melainkan mendapat izin daripadanya dan tidak juga daripada yang mati melainkan ianya telah diwasiatkan.” [Lihat Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Dar al-Fikr, hlm. 321] 

Kesimpulan 

Walaupun permasalahan ini menjadi khilaf dikalangan ulama, kami cenderung dengan pendapat yang ketiga iaitu pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya. 

Namun, kami juga tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490] 

Justeru, kami berharap agar permasalahan ini dapat difahami dengan baik serta mengikuti neraca syariah dan fiqhnya. Wallahu a’lam.